Pages

Thursday, 16 June 2011

Konsep Sunnah-Bid`ah Menurut Golongan Tradisi Dan Salafi


Pendahuluan


Sebenarnya saya adalah antara orang yang berminat dengan isu khilaf yang berlaku di kalangan masyarakat mengenai Sunnah-Bid‘ah. Walaupun isu ini telah dianggap selesai oleh sesetengah pihak, tapi bagi pihak yang mendakwa diri mereka berpegang kuat kepada Sunnah, maka isu ini masih panas dibincangkan oleh mereka. Saya merasakan bahawa isu ini tidak akan habis walaupun terdapat segolongan orang mengatakan bahawa isu ini telah selesai. Ini kerana, kelompok yang berselisih pendapat, kemungkinan tidak melihat punca perselisihan pandangan yang berlaku. Mereka hanya melihat permasalahan ini dari sudut cabang, tanpa melihatnya dari sudut pokok permasalahan.

Dalam membincangkan mengenai isu ini, masyarakat kita telah terbahagi kepada dua kelompok iaitu kelompok yang menerima pakai bid‘ah hasanah dan kelompok yang tidak memakai bid‘ah jenis ini. Bagi kelompok kedua ini, kesemua jenis bid‘ah adalah dalalah yang perlu dibasmi. Bagi penulis, apabila kelompok kedua menganggapnya sesat, maka mereka akan mengambil tindakan yang agak keras dengan mengecam amalan-amalan yang dilakukan oleh umat Islam di Malaysia yang telah diamalkan sejak dahulu kala, sedangkan amalan ini dianggap oleh tuan-tuan guru kita sebagai tidak mengapa kerana ianya masih dalam lingkungan al-Quran dan al-Sunnah, dan tidak bertentangan dengan kaedah umum Islam.

Oleh itu, dalam membahaskan mengenai isu ini, saya telah menemui dua buah buku yang saya rasa amat sesuai untuk dijadikan rujukan bagi melihat perbezaan pandangan dalam menghadapi isu khilaf ini. Buku pertama adalah datangnya daripada Dr. ‘Abd al-Malik ‘Abd al-Rahman al-Sa‘di yang berjudul: “al-Bid‘ah Fi al-Mafhum al-Islami al-Daqiq”, yang penulis rasakan mewakili pandangan majoriti umat Islam di Malaysia. Dan buku kedua pula iaitu daripada Dr. Hisam al-Din Bin Musa ‘Afanah yang berjudul: “Ittiba‘ La Ibtida‘” yang penulis rasakan mewakili golongan minoriti di Malaysia iaitu golongan salafi. Oleh itu, saya akan menyelami sedikit perbahasan di dalam kedua-dua buku ini, bagi melihat perbezaan persepsi antara kedua-dua kelompok mengenai konsep bid‘ah dan sunnah.

Isi Kandungan Kedua-dua Buku Secara Ringkas

Buku pertama oleh Dr. ‘Abd al-Malik ‘Abd al-Rahman al-Sa‘di, membincangkan mengenai takrif bid‘ah dari sudut bahasa dan istilah, pembahagian ibadah yang diambil daripada sunnah Nabi s.a.w., batasan syarak dalam penambahan dan pengurangan ibadah, pandangan para ulama mengenai konsep bid‘ah, beberapa kaedah syarak, perkara yang tidak dilakukan oleh Nabi s.a.w. dan para sahabat tidak semestinya perkara tersebut tidak disyariatkan, memutlakkan ungkapan bid‘ah terhadap permasalahan khilaf atau amalan yang sabit berdasarkan hadith daif, beramal dengan hadith daif pada fada’il al-a‘amal dan banyak lagi.

Manakala buku kedua pula oleh Dr. Hisam al-Din Bin Musa ‘Afanah, dibincangkan mengenai beberapa kaedah dan asas sunnah dan bid‘ah yang dibahagikan kepada sembilan perbahasan. 1) Galakan supaya mengikuti sunnah dan amaran melakukan bid‘ah serta penerangan mengenai sebab2 berlakunya bid‘ah. 2) Takrif bid‘ah dari sudut bahasa dan istilah. 3) Asal bagi ibadah itu adalah mengikuti, 4) Tidak boleh mensabitkan satu bahagian dari ibadah dengan alasan ianya termasuk di bawah dalil berbentuk umum, tetapi mesti menerusi dalil yang berbentuk khusus. 5) Pembahagian sunnah Nabawiyah kepada perbuatan yang dilakukan dan ditinggalkan dan kesan kejahilan terhadap asas ini dalam melakukan bid‘ah. 6) Pembahagian bid‘ah kepada haqiqiyah dan idafiyah. 7) Hukum melakukan bid‘ah. 8) Sebab-sebab berlakunya bid‘ah. 9) Sebab-sebab tersebarnya bid‘ah di kalangan masyarakat.

Berdasarkan sebahagian isi kandungan kedua-dua buku yang disebutkan di atas, bermakna kedua-dua pengarang telah memberikan gambaran yang jelas mengenai pandangan mereka mengenai amalan sunnah dan bid‘ah. Oleh itu, pada perbahasan seterusnya, saya akan membincangkannnya dengan lebih panjang lebar bagi melihat perbezaan persepsi tersebut dalam membahaskan mengenai sunnah-bid‘ah antara mereka berdua.

Istilah Bid‘ah

Menurut Dr. ‘Abd al-Malik ‘Abd al-Rahman al-Sa‘di, bid‘ah dari sudut istilah ialah mengadakan perbuatan, mengiktikadkan atau mengucapkan sesuatu yang tidak disebutkan oleh syarak mengenai keizinan mengadakannya, sama ada menerusi al-Quran, Sunnah, Ijmak mahupun Qiyas. Ianya juga tidak termasuk di bawah kaedah dan asas umum di dalam Islam, atau mengadakan sesuatu yang bertentangan sama sekali dengan kesemua yang disebutkan di atas.[1] Berdasarkan istilah yang diberikan ini bermakna segala sesuatu yang baru, sekiranya masih ada dalil yang menunjukkan kepada keharusan mengadakannya menerusi al-Quran, Sunnah, Ijmak atau Qiyas, maka ianya masih lagi dikira sebagai perkara yang tidak bertentangan dengan syarak. Sekiranya tiada sebarang dalil yang menunjukkan kepada keharusan mengadakannya menerusi empat sumber tersebut, maka perlu diperhatikan, adakah perbuatan baru itu termasuk di bawah kaedah syarak atau tidak. Sekiranya masih termasuk di bawah kaedah syarak, maka masih lagi dikira tidak bertentangan dengan syarak, dan masih lagi tidak dikira sebagai bid‘ah. Sekiranya tidak termasuk di bawah kesemua ini, maka baru ianya dikira sebagai bid‘ah dalalah.[2]

Berdasarkan kepada istilah bid‘ah yang diberikan oleh Dr. ‘Abd al-Malik ‘Abd al-Rahman al-Sa‘di ini bermakna untuk dikatakan sesuatu itu bid‘ah dalalah, adalah terlalu kecil jumlahnya untuk dikatakan demikian. Perkara yang dikatakan sebagai bid‘ah dalalah menurut beliau ialah perkara baru yang bertentangan sama sekali dengan al-Quran, Sunnah, Ijmak, Qiyas dan kaedah-kaedah umum syarak. Sekiranya masih di bawah naungan ini, bermakna masih tidak dikira bid‘ah lagi. Perkara baru yang diadakan itu sama sahaja bagi beliau sama ada dalam aspek ibadah mahupun muamalah.[3]

Menurut Dr. Hisam al-Din Bin Musa ‘Afanah pula, bid‘ah dari sudut istilah yang dipilih oleh beliau setelah beliau mengemukakan kepelbagaian pandangan ulama dan dalil-dalil mereka, maka beliau merajhkan pandangan kumpulan ulama yang mengatakan bahawa bid‘ah dari sudut istilah hanyalah terbatas kepada permasalahan ibadah sahaja.[4] Ini bermakna, beliau tidak sependapat dengan Dr. ‘Abd al-Malik ‘Abd al-Rahman al-Sa‘di yang memasukkan juga perbahasan mengenai bid‘ah dalam perkara muamalah. Dr. Hisam al-Din Bin Musa ‘Afanah berpandangan, bagi mereka yang mengatakan bid‘ah di dalam agama terbahagi kepada dua iaitu bid‘ah hasanah dan dalalah, tiada asasnya di dalam syarak. Apabila Rasulullah s.a.w. menyebutkan mengenai bid‘ah, maka baginda s.a.w. memaksudkan untuk mencela perkara tersebut.[5] Inilah perbezaan persepsi antara kedua-dua orang ilmuan yang mewakili dua kelompok dalam membicarakan mengenai bid‘ah. Dan kedua-dua persepsi ini juga yang dipegang oleh golongan-golongan yang bertentangan di Malaysia dalam membicarakan mengenai isu ini.

Walau bagaimana pun, persepsi sunnah-bid‘ah yang dipegang oleh kebanyakan umat Islam di Malaysia mempunyai asasnya. Asas yang dipegang oleh mereka ialah selagi mana sesuatu perbuatan itu sama ada dalam bentu ibadah mahupun muamalah, masih lagi di bawah lingkungan al-Quran, Sunnah, Ijmak dan Qiyas serta tidak bertentangan dengan kaedah umum syarak, maka selagi itu perbuatan baru yang dilakukan di kalangan umat Islam itu walaupun tidak berlaku pada zaman Nabi s.a.w., masih lagi tidak dikira bid‘ah dalalah. Inilah asas yang dipegang oleh kebanyakan umat Islam di Malaysia yang harus dihormati oleh kelompok yang tidak bersetuju dengan kaedah yang dipegang ini. Mereka tidak perlu menimbulkan persoalan yang bukan2 kepada amalan-amalan umat Islam di Malaysia, kerana kaedah yang dipegang antara kedua-dua kelompok ini mengenai isu sunnah-bid‘ah adalah berlainan sama sekali. Tidak perlu mendakwa bahawa pandangannyalah yang paling tepat dan orang lain telah melakukan bid‘ah dalalah dalam agama.

Sunnah Bid‘ah Dalam Ibadah

Berdasarkan kepada istilah bid‘ah yang telah diberikan oleh kedua-dua orang ilmuan di atas, bermakna kedua-duanya telah bersepakat secara tidak langsung untuk mengatakan bahawa bid‘ah boleh berlaku dalam permasalahan ibadah. Menurut kelompok salafi seperti yang tergambar menerusi pandangan Dr. Hisam al-Din Bin Musa ‘Afanah, bid‘ah dalam permasalahan ibadah perlu dititik beratkan, kerana kesemua jenis bid‘ah dalalah adalah berlaku dalam perkara ibadah ini. Oleh itu, perlu dilihat pendirian yang mewakili kelompok terbesar di Malaysia iaitu oleh Dr. ‘Abd al-Malik ‘Abd al-Rahman al-Sa‘di, yang berbeza dengan pandangan Dr. Hisam al-Din Bin Musa ‘Afanah ini yang mewakili golongan salafi.

Bagi Dr. ‘Abd al-Malik ‘Abd al-Rahman al-Sa‘di, perkara ibadah yang datang daripada Nabi s.a.w. terbahagi kepada dua bahagian. Pertama, perkara yang datang daripada Nabi s.a.w. yang terikat dengan masa, tempat, bilangan, keadaan atau kondisi tertentu. Dalam hal ini, maka umat Islam wajib melakukannya berdasarkan kepada apa yang datang daripada Nabi s.a.w. tanpa ada penambahan, pengurangan, atau perubahan. Sesiapa yang pandai2 mengubah dari keadaan tersebut yang bertentangan dengan apa yang datang daripada Nabi s.a.w., maka orang itu dikira sebagai pelaku bid‘ah. Seperti melakukan pengubahan dalam perkara-perkara asas di dalam ibadat, bilangan rakaat, bilangan hari berpuasa dan masanya, manasik haji, kadar zakat, harta-harta yang diwajibkan untuk dibayar zakat, perkara-perkara yang berkaitan dengan akidah dan sebagainya.[6]

Perkara kedua: apa2 yang datang daripada Nabi s.a.w. dalam bentuk arahan, bimbingan, galakan, atau wasiat yang tidak terikat dengan kondisi, zaman, tempat, keadaan, atau bilangan, juga tidak disebutkan larangan untuk melakukan sesuatu perkara dalam waktu-waktu tertentu. Oleh itu, orang Islam dalam hal ini diberikan kebebasan untuk memilih waktu dan tempat yang sesuai untuk melakukannya, atau dalam bentuk apa sekalipun, asalkan ia tidak menyandarkan waktu, tempat dan keadaan yang dilakukannya itu kepada Rasulullah s.a.w. Perkara yang seharusnya dinyatakan olehnya ialah perbuatan yang dilakukannya itu bersandarkan kepada keizinan umum menerusi nas-nas syarak.[7] Contohnya seperti solat sunat mutlak, puasa mutlak, zikir, membaca al-Quran, berdoa, berselawat ke atas Nabi s.a.w., memberi makan, sembelihan dengan niat sedekah dan mendekatkan diri kepada Allah S.W.T. dan sebagainya.[8] Umat Islam boleh melakukan ibadah2 ini dalam waktu apa pun selagi mana syarak membenarkannya, dan berapa banyak pun yang ia diinginkan, asalkan waktu dan bilangan yang dipilih itu tidak disandarkan kepada Rasulullah s.a.w.

Berdasarkan kepada dua pembahagian menurut Dr. ‘Abd al-Malik ‘Abd al-Rahman al-Sa‘di dalam hal ibadah ini, maka jelas kepada kita bahawa terdapat ibadah yang berbentuk khusus, dan ada ibadah yang tidak berbentuk khusus. Ibadah berbentuk khusus seperti ibadah solat lima waktu yang mana bentuk, keadaan, serta cara bacaan di dalamnya adalah terikat dengan hadith-hadith Nabi s.a.w. Oleh itu, umat Islam tidak dibenarkan berzikir selain zikir yang dibenarkan menerusi hadith Nabi s.a.w. ketika berdiri di dalam solat, apabila tiada hadith yang menyebutkan dan mengarahkan sedemikian. Dengan demikian, kita tidak perlu memperlekeh amalan umat Islam di Malaysia apabila mereka tidak membaca bacaan yang bukan2 di dalam solat seperti tiba2 berhawqalah di dalam solat. Mereka tahu bahawa sekiranya melakukannya demikian, perbuatan tersebut dikira sebagai bid‘ah kerana tidak terdapat di dalam hadith yang menyebutkan mengenainya. Misalnya berhawqalah ketika baca doa iftitah dalam solat, maka ini dikira bid‘ah kerana tidak pernah dilakukan oleh Nabi s.a.w. Tetapi sekiranya berhawqalah setelah selesai solat, dan membaca beribu kali sekalipun, maka ia tidak dikira bid‘ah, kerana sememangnya ada galakan daripada nas supaya kita berzikir banyak2.   

Bagi golongan salafi seperti yang tergambar daripada pandangan Dr. Hisam al-Din Bin Musa ‘Afanah pula, asas yang dipegang olehnya dalam ibadah ialah mesti ittiba‘ Rasul s.a.w. tanpa adanya penambahan mahupun pengurangan.[9] Ini bermakna, dari sudut tiada penambahan dalam ibadah, begitu ketat dipegang oleh golongan salafi, berbanding pegangan kebanyakan masyarakat kita di Malaysia. Sebagaimana yang diterangkan oleh Dr. ‘Abd al-Malik ‘Abd al-Rahman al-Sa‘di, beliau masih ringan dalam hal ini, di mana dalam bentuk penambahan di dalam ibadah, beliau masih lagi membahagikan kepada dua bahagian, sama ada yang dibolehkan dan tidak dibolehkan. Berlainan dengan Dr. Hisam al-Din Bin Musa ‘Afanah yang tidak membahagikannnya sama sekali. Bagi beliau, sekiranya ada unsur penambahan di dalam ibadah, maka beliau gelarkan mereka yang menambah itu sebagai pelaku bid‘ah yang salah faham terhadap dalil umum daripada nas al-Quran dan al-Sunnah.[10] Oleh itu, pandangan beliau sememangnya ditujukan ke atas amalan kita yang memegang kaedah seperti yang diterangkan oleh Dr. ‘Abd al-Malik ‘Abd al-Rahman al-Sa‘di, yang masih lagi menganggap tidak mengapa ada penambahan bagi ibadah yang tidak khusus. Bagi kita umat Islam di Malaysia, sekiranya sesuatu perbuatan ibadah itu masih lagi dalam lingkungan dalil umum al-Quran mahupun al-Sunnah, maka perbuatan tersebut masih tidak dikira bid‘ah. Inilah titik perbezaan antara dua aliran ini, dalam memahami erti bid‘ah sama ada dalam skop yang luas atau sempit.

Dalam hal ini, kita semua perlu berhati-hati apabila berhadapan dengan golongan salafi, sebab bagi mereka, penambahan dalam ibadah yang tidak dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. merupakan bid‘ah dalalah. Apa2 pun, saya mengambil pendirian menghormati pandangan mereka, dan pandangan sebegini boleh diseminarkan di kalangan ahli2 bijak pandai untuk menilainya. Begitu juga dengan mereka, perlu menghormati pandangan kita yang berbeza pandangan dengan mereka dalam isu bid‘ah ini.

Contoh Amalan Khilaf Mengenai Sunnah-Bid‘ah Antara Tradisi Dan Salafi

Antara salah satu contoh khilaf antara kedua-dua golongan ini dalam isu sunnah-bid‘ah ialah mengenai berselawat ke atas Nabi s.a.w. secara kuat selepas azan. Bagi Dr. ‘Abd al-Malik ‘Abd al-Rahman al-Sa‘di, berselawat ke atas Nabi s.a.w. setelah azan adalah merupakan perkara yang disyariatkan di dalam Islam. Ianya adalah berdasarkan hadith iaitu:

إِذَا سَمِعْتُمُ الْمُؤَذِّنَ فَقُولُوا مِثْلَ مَا يَقُولُ ثُمَّ صَلُّوا عَلَىَّ فَإِنَّهُ مَنْ صَلَّى عَلَىَّ صَلاَةً صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ بِهَا عَشْرًا ثُمَّ سَلُوا اللَّهَ لِىَ الْوَسِيلَةَ فَإِنَّهَا مَنْزِلَةٌ فِى الْجَنَّةِ لاَ تَنْبَغِى إِلاَّ لِعَبْدٍ مِنْ عِبَادِ اللَّهِ وَأَرْجُو أَنْ أَكُونَ أَنَا هُوَ فَمَنْ سَأَلَ لِىَ الْوَسِيلَةَ حَلَّتْ لَهُ الشَّفَاعَة

Menurut Dr. ‘Abd al-Malik ‘Abd al-Rahman al-Sa‘di, berdasarkan hadith ini, jelas bahawa berselawat ke atas Nabi s.a.w. setelah azan adalah satu perkara yang disunatkan, dan ia tidak termasuk bid‘ah.[11] Menurut Dr. ‘Abd al-Malik ‘Abd al-Rahman al-Sa‘di lagi, sekiranya dikatakan hadith ini hanya khusus untuk pendengar azan, tidak kepada bilal yang melaungkan azan, maka dijawab oleh beliau dengan dua wajah. 1) Bilal juga dianggap mendengar azan yang dilaungkannya kerana ia mendengar azan untuk dirinya. Maka ia masih termasuk di bawah keumuman lafaz hadith: “إِذَا سَمِعْتُمُ”. 2) Perkara yang berkaitan dengan al-wasilah seperti yang terdapat di dalam hadith, diminta membacanya adalah ketika setelah azan sahaja. Tidak terdapat dalil yang menyebutkan perlu dibaca pada ketika2 yang lain selain azan.[12]

Mengenai hukum menbaca selawat setelah azan secara lantang oleh muazzin atau oleh orang yang mendengar azan, maka dijawab oleh Dr. ‘Abd al-Malik ‘Abd al-Rahman al-Sa‘di bahawa walaupun membaca selawat secara kuat setelah azan tidak berlaku pada zaman Nabi s.a.w. dan para sahabat, ianya tidak menunjukkan bahawa membaca selawat setelah azan secara kuat dilarang melakukannya. Tidak bermakna juga perbuatan itu haram serta dikategorikan sebagai bid‘ah. Nabi s.a.w. dan para sahabat meninggalkan melakukan demikian adalah dalam hal meninggalkan perbuatan yang tidak utama dilakukan kepada melakukan perbuatan yang utama. Mereka meninggalkan melakukan demikian kerana perbuatan itu bukan perbuatan yang paling afdhal. Selagi mana tidak terdapat dalil yang jelas melarang membaca selawat secara kuat setelah azan, maka selagi itu pandangan yang mengatakan membaca selawat setelah azan dengan kuat adalah perbuatan yang dilarang, merupakan pandangan yang lemah.[13]

Menurut Dr. Hisam al-Din Bin Musa ‘Afanah yang mewakili golongan salafi pula, membaca selawat secara kuat setelah azan merupakan perbuatan bid‘ah kerana dengan melakukan sedemikian, seolah2nya selawat itu adalah salah satu bahagian daripada azan.[14] Maksud yang dikehendaki oleh beliau ini ialah berselawat itu bukan bid‘ah kerana ia termasuk perbuatan Sunnah. Perkara yang bid‘ah ialah membaca selawat itu secara kuat setelah azan. Oleh itu, beliau mencadangkan bahawa perbuatan yang sunnah setelah azan ialah membaca selawat serta salam ke atas Nabi s.a.w. secara perlahan, bukannya secara kuat. Sekiranya membacanya dengan suara lantang, maka ia dikira bid‘ah yang tidak pernah dilakukan oleh Nabi s.a.w., para sahabat, salaf saleh dan para imam muslimin.[15] Inilah titik perbezaan antara pegangan umat Islam di Malaysia dengan golongan salafi. Walau apa pun, apa yang dilakukan oleh para bilal kini di Malaysia ialah membaca selawat dan salam ke atas Nabi s.a.w. secara perlahan sebagaimana yang dilakukan oleh golongan salafi. Perbezaan antara kedua-dua golongan ini ialah kita sebagai umat Islam di Malaysia, tidak menganggap membaca selawat setelah azan secara kuat dikira sebagai bid‘ah. Sebab itu, apabila kita membuka televisyen yang menyajikan azan di dalamnya, maka kita akan dapati doa setelah azan dibaca dengan kuat. Ini bermakna, para tok guru kita di Malaysia, tidak mengaggap membaca selawat secara kuat setelah azan dikira sebagai bid‘ah sebagaimana yang dipegang oleh kumpulan salafi. Wallahua‘lam.

Kesimpulan

Sememangnya terdapat khilaf antara golongan tradisi dan salafi mengenai isu sunnah-bid‘ah. Perkara khilaf yang berlaku ini tidak perlulah membawa kepada perpecahan di kalangan umat Islam kerana perkara usul yang dipegang antara kedua-dua golongan ini iaitu tradisi dan salafi mengenai sunnah-bid‘ah adalah berbeza. Sy di dalam catatan ini, tidak merajihkan mana-mana kelompok kerana setiap kelompok mempunyai pandangan masing2 mengenainya. Apa yang diharapkan dari isu khilaf ini adalah rasa persaudaraan antara umat Islam dalam memahami sunnah Nabi s.a.w., serta membanteras sama sekali bid‘ah yang disepakati antara kita. Bagi perkara bid‘ah yang tidak disepakati antara kita, maka kedua-dua kelompok perlulah berlapang dada. Apa yang penting, kita sebagai umat Islam di Malaysia tidak memandang sempit perkara bid‘ah yang di mana amalan yang dilakukan walaupun ianya tidak berlaku pada zaman Nabi s.a.w., para sahabat, para salaf soleh dan imam-imam muslimin, kita tidak menganggapnya sebagai bid‘ah, selagi mana ianya tidak bertentangan dengan dalil2 syarak dan kaedah umum dalam Islam. Perkara inilah yang perlu difahami oleh golongan salafi di Malaysia, bagi menghormati golongan tradisi yang merupakan kelompok majoriti di sini. Wallahua‘lam.  
           

      
                            



[1] Dr. ‘Abd al-Malik ‘Abd al-Rahman al-Sa‘di, al-Bid‘ah Fi al-Mafhum al-Islami al-Daqiq, h. 7.
[2] Ibid.
[3] Ibid., h. 8.
[4] Dr. Hisam al-Din Bin Musa ‘Afanah, Ittiba‘ La Ibtida‘, h. 35.
[5] Ibid.
[6] Dr. ‘Abd al-Malik ‘Abd al-Rahman al-Sa‘di, al-Bid‘ah Fi al-Mafhum al-Islami al-Daqiq, h. 9.
[7] Ibid.
[8] Ibid.
[9] Dr. Hisam al-Din Bin Musa ‘Afanah, Ittiba‘ La Ibtida‘, h. 44.
[10] Ibid., h. 54.
[11] Dr. ‘Abd al-Malik ‘Abd al-Rahman al-Sa‘di, al-Bid‘ah Fi al-Mafhum al-Islami al-Daqiq, h. 102.
[12] Ibid.
[13] Ibid., h. 103.
[14] Dr. Hisam al-Din Bin Musa ‘Afanah, Ittiba‘ La Ibtida‘, h. 92.
[15] Ibid.

No comments:

Post a Comment