Pages

Thursday, 15 September 2011

Hukum Solat Jumaat Bagi Orang Yang Bermusafir

Permasalahan

Seseorang yang ingin bermusafir dari Kuala Lumpur menuju ke Kelantan pada pagi Jumaat, adakah ia diwajibkan menunaikan solat Jumaat pada hari tersebut?

Jawapan

Sekiranya seseorang itu mula bermusafir sebelum masuknya waktu Subuh, maka jawapan bagi persoalan di atas ialah tidak diwajibkan ke atasnya mengerjakan solat Jumaat. Di sisi ulama Shafi`i, mereka mengatakan makruh bagi orang yang bermusafir sebelum Subuh pada hari Jumaat. (Silsilah Liqa'at al-Bab al-Maftuh, Bab Salah al-Jum`ah Li al-Musafir; al-Mawsu`ah al-Fiqhiyyah, Bab Salah al-Jum`ah; dan `Abd al-Rahman al-Jaziri, al-Fiqh `Ala al-Madhahib al-Arba`ah, Bab al-Safar Yawm al-Jum`ah). Apabila makruh, maka hukumnya adalah harus bermusafir sebelum Subuh pada hari Jumaat.

Namun, sekiranya seseorang itu mula bermusafir selepas terbitnya fajar iaitu setelah masuknya waktu Subuh dan sebelum zohor pada hari Jumaat, maka ianya adalah permasalahan khilaf di kalangan ulama. Ulama Maliki dan Hanbali mengatakan makruh pada waktu itu. Ulama Hanafi pula mengatakan harus, manakala ulama Shafi`i mengatakan haram. Oleh yang demikian, jalan yang selamat untuk keluar daripada khilaf  ini ialah kalau seseorang itu ingin bermusafir, maka ia perlu keluar dari kawasan tempat tinggalnya sebelum Subuh. (Fatawa al-Shubkah al-Islamiyyah Mu`addalah, Bab Hukm al-Safar Waqt Salah al-Jum`ah).

Disebabkan di dalam mazhab Shafi`i, musafir pada hari Jumaat selepas Subuh adalah haram, maka jalan penyelesaian bagi permasalahan ini bagi mereka yang ingin bermusafir pada hari Jumaat menurut penulis adalah seperti berikut. Misal kata bas bertolak dari Kuala Lumpur ke Kelantan ialah pada pukul 9.30 pagi, maka dicadangkan kepadanya keluar bermusafir dari tempat tinggalnya menuju ke tempat yang melepasi sempadan tempat tinggalnya sebelum masuk waktu Subuh. Contohnya, sekiranya dia pelajar Universiti Malaya dan tinggal di Kolej Kediamana Ke-12, maka tempat kediamannya ialah Universiti Malaya. Untuk memulakan musafir, maka ia perlu melepasi sempadan Universiti Malaya sebelum masuknya waktu Subuh. Oleh itu, sekiranya ia ingin bermusafir pada hari Jumaat, seelok-eloknya ia menuju ke kawasan yang di luar Universiti Malaya terlebih dahulu seperti Kerinchi, Bangsar, Pantai Dalam dan sebagainya. Sekiranya ia berhenti di Masjid Rahman sebelum Subuh, maka masjid ini masih lagi dikira sebagai kawasan Universiti Malaya. Maka tiada rukhsah baginya untuk meninggalkan solat Jumaat pada hari tersebut. Ini cuma sekadar cadangan penulis, setelah dilakukan beberapa rujukan mengenainya. Apa2 pun, menurut guru penulis, kita boleh bertaqlid kepada mazhab lain dalam keadaan yang menyukarkan kita kerana mazhab lain juga mempunyai hujah yang kuat.

Terdapat ulama di dalam mazhab lain yang mengatakan bahawa tiada apa-apa2 syarat untuk orang bermusafir pada hari Jumaat sama ada keluar musafir sebelum Subuh atau selepas Subuh. Kesemua hal ini menggugurkan kewajipannya untuk solat Jumaat. Dalil mereka adalah berdasarkan hadith bahawa Nabi s.a.w. tidak memerintahkan bagi orang yang bermusafir mengerjakan solat Jumaat. Nabi s.a.w. sendiri tidak mengerjakan solat Jumaat ketika baginda s.a.w. bermusafir, begitu juga dengan para sahabat. Sabit berdasarkan hadith-hadith yang sahih bahawa ketika Nabi s.a.w. mengerjakan haji wida` yang kebetulan dilakukan pada hari Jumaat, maka baginda s.a.w. hanya mengerjakan solat Zohor  sahaja. Baginda s.a.w. tidak mengerjakan solat Jumaat dan baginda s.a.w. juga tidak mengarahkan para haji yang lain mengerjakan solat Jumaat, kerana mereka semua pada masa itu dalam keadaan musafir. (Fatawa Islamiyyah, Bab Hukm Salah al-Jum`ah Li Man Fi Hukm al-Musafir). Diriwayatkan daripada Jabir r.a. bahawa Nabi s.a.w. bersabda: "من كان يؤمن باللّه واليوم الآخر فعليه الجمعة إلاّ مريض ، أو مسافر ، أو امرأة ، أو صبيّ ، أو مملوك ، فمن استغنى بلهو أو تجارة استغنى اللّه عنه واللّه غنيّ حميد ". Berdasarkan hadith ini, solat Jumaat itu adalah fardu ke atas umat Islam melainkan mereka yang bermusafir dan seumpamanya. (al-Mawsu`ah al-Fiqhiyyah, Bab Salah al-Jum`ah).

Bagi penulis, untuk menyesuaikan dalil-dalil di atas dengan pandangan yang dipegang di dalam mazhab Shafi`i, maka diandaikan bahawa perjalanan yang dimulakan itu adalah sebelum masuknya waktu Subuh. Dalil-dalil di atas tidak disebutkan waktunya, tetapi terdapat dalil lain yang menyebutkan mengenai waktunya. Antaranya ialah hadith mengenai malaikat yang enggan membantu mereka yang musafir pada pagi Jumaat setelah Subuh. Namun, hadith ini dihukumkan daif oleh sesetengah pihak. Walau apa pun, terdapat kaedah di dalam mazhab Shafi`i mengenai hadith daif iaitu antaranya ialah apabila ia disokong oleh hadith lain sama ada sahih atau daif, maka hadith yang lain itu boleh menjadi penguat kepada hadith daif tadi.

Kes di atas ialah mengenai seseorang yang terpaksa bermusafir pada hari Jumaat. Berlainan pula bagi mereka yang sengaja musafir pada hari Jumaat semata-mata untuk meninggalkan solat Jumaat, maka perbuatan ini dilarang sama sekali. Ianya berdasarkan kepada hadith iaitu: "من ترك ثلاث جمع تهاوناً طبع الله على قلبه". Hadith ini memberi ancaman kepada mereka yang sengaja meninggalkan solat Jumaat, bahawa hati mereka akan mati, tidak diterangi oleh cahaya iman. Orang yang seperti ini diancam dengan ancaman yang buruk di dalam hadith.

Bagi mereka yang ingin bermusafir pada hari Jumaat bukan dengan niat untuk meremehkan solat Jumaat, tetapi dengan niat yang baik pula, maka ianya dibolehkan dan tidak termasuk di bawah janji buruk seperti yang terdapat di dalam hadith. (Silsilah Liqa'at al-Bab al-Maftuh, Bab Salah al-Jum`ah Li al-Musafir).

Oleh itu, sesiapa yang ingin bermusafir pada hari Jumaat, maka ia perlu memulakan musafirnya sebelum Subuh menuju ke satu kawasan yang di luar kawasan kediamannya. Dengan itu, baru gugur hukum wajib solat Jumaat ke atasnya berdasarkan mazhab Shafi`i. Sekiranya terdapat kesukaran bagi seseorang untuk mengamalkannya, maka ia boleh bertaqlid kepada mazhab Hanafi atau Maliki dalam permasalahan ini.

Kesimpulan

Sekiranya kita hendak bermusafir, maka kita jangan memilih hari Jumaat kerana banyak pandangan ulama berkaitan dengan bermusafir pada hari Jumaat. Tidak bermakna seseorang itu tidak dibolehkan bermusafir pada hari Jumaat secara mutlak. Ini kerana, ada ketikanya kita boleh mengerjakan solat Jumaat walaupun dalam perjalanan. Apa-apa pun kita sebagai umat Islam, perlulah mengambil berat akan hal yang berkaitan dengan musafir ini, agar kita menjaga kewajipan terhadap solat Jumaat. Wallahua`lam.
   

No comments:

Post a Comment