Pages

Wednesday, 14 September 2011

Hukum Wanita Haid Membaca al-Quran

Pendahuluan

Ada orang bertanya saya, adakah boleh perempuan haid membaca yasin untuk menghadiahkan bacaan kepada bapa saudaranya yang meninggal dunia? Saya katakan tidak boleh kerana membaca Yasin merupakan pembacaan al-Quran, sedangkan membaca al-Quran tidak dibolehkan bagi orang haid menurut mazhab Shafi`i. Bagi saya, kalau ayat al-Quran itu merupakan doa, dan dia berniat untuk membaca doa, maka bagi saya ianya dibolehkan. Seperti membaca basmalah, doa harian dan sebagainya. Itu semua merupakan zikir, bukannya membaca al-Quran. Walau apa pun, saya ada membuat sedikit rujukan berkaitan dengan permasalahan ini dari karya-karya mazhab Shafi`i yang membicarakan mengenai hukum perempuan haid membaca al-Quran. Di sini saya bawakan perbincangan tersebut berdasarkan kepada buku-buku yang saya rujuk.


Wanita Haid Membaca al-Quran Menurut Mazhab Shafi`i

Di dalam karya al-Majmu` oleh al-Nawawi, disebutkan bahawa wanita haid haram membaca al-Quran. Ini adalah berdasarkan riwayat daripada `Umar, `Ali dan Jabir r.hm. Riwayat daripada Ibn `Umar berbunyi: "لا يقرأ الجنب ولا الحائض شيئا من القرآن". Hadith ini diriwayatkan oleh Imam Tirmidhi, Ibn Majah, al-Bayhaqi dan lain-lain. Hadith ini statusnya adalah daif, didaifkan oleh Imam Bukhari, al-Bayhaqi dan selain mereka berdua. Kedaifan hadith ini adalah begitu ketara menurut al-Nawawi.

Namun begitu, menurut Ibn Jama`ah yang telah mengtakhrijkan hadith-hadith al-Rafi`i mengatakan bahawa hadith Ibn `Umar ini mempunyai mutaba`atnyaIbn Jama`ah mengatakan bahawa disebabkan hadith ini dikuatkan oleh mutaba`at, maka  kedaifannya terhapus dengan sendirinya. 

Selain hadith Ibn `Umar di atas, dalil daripada kias juga digunakan di dalam mazhab Shafi`i iaitu mengkiaskan dengan kes junub. Kias yang digunakan oleh mazhab Shafi`i ialah apabila seseorang itu berjunub tidak boleh membaca al-Quran, sudah tentu perempuan yang haid yang datang kotor, lebih-lebih lagi tidak dibolehkan.

Hadith mengenai junub yang dikiaskan oleh mazhab Shafi`i adalah seperti berikut iaitu hadith riwayat `Abd Allah bin Maslamah dan `Ali yang berbunyi:

"كان رسول الله صلى الله عليه وسلم يقضى حاجته فيقرأ القرآن ولم يكن يحجبه وربما قال يحجزه عن القرآن شئ ليس الجناية"

Hadith ini diriwayatkan oleh Abu Dawud, al-Tirmidhi, al-Nasa'i, Ibn Majah, al-Bayhaqi dan lain-lain. al-Tirmidhi mengatakan hadith ini hasan sahih. Selain al-Tirmidhi yang terdiri daripada para huffaz muhaqqiq, mereka mengatakan bahawa hadith ini daif. Imam Shafi`i meriwayatkan hadith ini di dalam Sunan Harmalah lalu mengatakan sekiranya hadith ini sabit, maka ia merupakan dalil pengharaman bagi orang junub membaca al-Quran. al-Bayhaqi mengatakan bahawa Imam Shafi`i tidak memutuskan sama ada beliau mengatakan hadith ini sabit atau tidak, kerana hadith ini diriwayatkan oleh perawi yang bernama `Abd Allah bin Maslamah. Beliau merupakan seorang perawi yang tua serta periwayatannya diingkari. Beliau meriwayatkan hadith ini setelah beliau tua sebagaimana yang diperkatakan oleh Shu`bah.

Selain daripada dalil di atas mengenai junub, mazhab Shafi`i juga menggunakan dalil daripada hadith riwayat `Ali iaitu: "لا يقرأ الجنب القرآن ولا حرفا واحدا". al-Bayhaqi meriwayatkan daripada `Abd Allah bin Malik al-Ghafiqi bahawa beliau mendengar Nabi s.a.w. bersabda: "إذا توضأت وأنا جنب أكلت وشربت ولا أصلي ولا أقرأ حتى أغتسل". Namun, sanad hadith ini juga daif.

Mazhab Shafi`i juga berdalilkan kepada kisah `Abd Allah bin Rawahah r.a. bahawa isterinya melihatnya berjima` dengan hamba perempuan, lalu isterinya bertindak untuk menyerangnya. Maka `Abd Allah bin Rawahah r.a. memberitahu bahawa perempuan itu adalah hamba perempuannya. Lalu ia berkata: tidakkah Rasulullah s.a.w. melarang orang yang junub membaca al-Quran. Isterinya menjawab: "Ya." Lalu `Abd Allah bin Rawahah r.a. membacakan bait2 syair yang masyhur, lalu disangka oleh isterinya sebagai ayat al-Quran. Isterinya pun menahan diri daripada meneruskan tindakan menyerang suaminya. Kisah ini diceritakan kepada Rasulullah s.a.w., maka baginda s.a.w. ketawa dan tidak mengingkari tindakan yang dilakukan oleh `Abd Allah bin Rawahah r.a. itu. Dilalah daripada kisah ini terdapat pada dua wajah, 1) Nabi s.a.w. tidak mengingkari kata2nya yg mengatakan bahawa baginda s.a.w. mengharamkan membaca al-Quran bagi orang yang berjunub, 2) kisah ini masyhur di kalangan sahabat. Walaupun demikian, sanadnya juga daif dan terputus.
     
Pandangan yang mengatakan haram perempuan haid membaca al-Quran juga dipegang oleh al-Hasan al-Basri, Qatadah, `Ata', Abu al-`Aliyah, al-Nakha`i, Sa`id bin Jubayr, al-Zuhri, Ishaq, Abu Thawr, Malik, dan Abu Haniyyah. Bagi Imam Ahmad ada dua periwayatan daripadanya, pertama haram dan kedua harus. Pandangan yang mengatakan harus juga dipegang oleh Dawud. Dawud mengatakan bahawa harus bagi orang yang junub dan haid membaca keseluruhan al-Quran.

Pandangan Yang Mengatakan Perempuan Haid Harus Membaca al-Quran

Mereka yang mengharuskan perempuan haid membaca al-Quran adalah berdasarkan riwayat daripada `Aishah r.ha. bahawa beliau membaca al-Quran dalam keadaan haid. Ini kerana tempoh haidnya adalah panjang, maka beliau takut terlupa penghafazannya terhadap al-Quran. Namun, permasalahan ini dijawab oleh ulama mazhab Shafi`i dengan mengatakan bahawa untuk mengelak daripada lupa itu, boleh sahaja si perempuan yang datang haid mengingatkan penghafazan al-Quran di dalam hati, tanpa melafazkannya dengan lidah. Ini kerana, sekiranya melafazkan membaca al-Quran dengan lidah walaupun perlahan, adalah tidak dibolehkan menurut mazhab Shafi`i. Perbuatan `Aishah tidak boleh dijadikan hujah walaupun ianya sahih menurut mazhab Shafi`i kerana para sahabat selain `Aishah, tidak sependapat dengannya. Sekiranya para sahabat berselisih pendapat dalam sesuatu permasalahan, maka kita perlu merujuk kepada kias. Adapun `Aishah takut terlupa sekiranya lama tidak membaca al-Quran, maka ini jarang berlaku. Ini kerana tempoh haid biasanya memakan masa selama enam hari atau tujuh hari sahaja.

Selain itu, mereka yang mengharuskan perempuan haid membaca al-Quran menggunakan juga riwayat daripada `Aishah iaitu: "أن النبي صلى الله عليه وسلم كان يذكر الله تعالى على كل أحيانه". Berdasarkan hadith ini, mereka mengatakan bahawa pembacaan al-Quran merupakan zikir, lagipun asal bagi sesuatu perkara itu adalah tidak haram. Dalil yang digunakan ini dijawab oleh ulama mazhab Shafi`i yang mengatakan bahawa perkara yang dikehendaki daripada hadith ialah zikir yang selain al-Quran. Sekiranya al-Quran maka tidak dibolehkan berdasarkan kepada dalil yang lain.

Keputusan Fatwa Dalam Mazhab Shafi`i Mengenai Wanita Haid Membaca al-Quran

Di dalam karya Rawdah al-Talibin, disebutkan bahawa satu kumpulan di kalangan muhaqqiq mengatakan bahawa kaul qadim Imam Shafi`i ialah tidak haram perempuan haid membaca al-Quran.  Walaupun demikian, ini adalah kaul qadim, maka kebanyakan kaul qadim sudah tidak diamalkan di dalam mazhab al-Shafi`i. Hanya sebahagiannya sahaja yang masih diamalkan. Oleh itu, perkara yang pasti di dalam mazhab Shafi`i ialah haram perempuan haid membaca al-Quran. Pembacaan tersebut sama ada dibaca sedikit atau banyak, atau sebahagian ayat sahaja, sama sahaja hukumnya. Pandangan sebegini, dipegang oleh kebanyakan ulama sebagaimana yang dihikayatkan oleh al-Khattabi dan selainnya. Di dalam al-Manhaj al-Qawim Sharh al-Muqaddimah al-Hadramiyyah, pengarangnya menyebutkan bahawa haram bagi perempuan haid membaca al-Quran walaupun satu huruf sekiranya dengan menyebut huruf itu adalah dengan niat membaca al-Quran. Sekiranya tidak dengan niat membaca al-Quran, tetapi dengan niat berzikir seperti membaca basmalah dan sebagainya, maka perkara ini tidak haram.

Adapun hukum bagi perempuan haid membaca al-Quran di dalam hati tanpa menggerakkan lidahnya, ia hanya melihat naskhah al-Quran serta mengulang-ulang melihatnya di dalam hati, maka hal ini adalah harus tanpa adanya khilaf di kalangan ulama mazhab Shafi`i. Para ulama telah ijmak untuk mengatakan bahawa harus tasbih, tahlil dan sekelian zikir2 yang selain al-Quran dibaca oleh perempuan haid. Oleh yang demikian, tidak salah bagi perempuan haid mengingatkan pembacaan al-Quran di dalam hatinya, tanpa membaca dengan lisan. Dicadangkan bagi perempuan yang kedatangan haid, mereka mestilah banyakkan berzikir kepada Allah S.W.T., berselawat, tahlil, tasbih dan sebagainya yang selain al-Quran, agar dengan pembacaan2 tersebut akan menguatkan rohaninya dalam menghadapi gangguan syaitan. Wallahua`lam.

Sumber:
1. al-Majmu`.  
2. Rawdah al-Talibin Wa `Umdah al-Muftin, Bab Fasl Fi Kayf al-Ghasl.
3. Sharh al-Wajiz.
4. Asna al-Matalib, Bab Fasl Fi Hukm al-Junub.
5. al-Manhaj al-Qawim Sharh al-Muqaddimah al-Hadramiyyah.
6. Fiqh al-`Ibadat-Shafi`i, Bab Ma Yahrum Bi al-Hayd Wa al-Nifas.
7. Abu al-Hasan al-Mawardi, Kitab al-Hawi al-Kabir, Bab Sunnah al-Wudu', Beirut: Dar al-Fikr.

10 comments:

  1. salam ust,,,bgaimna pula ngn guru wanita yang mnngajar mengaji? xboleh ajar la mase haid ye?

    ReplyDelete
  2. Bagi wanita haid yang belajar al-Quran dan mengajar al-Quran, maka menurut ulama terkini, mereka diperbolehkan membaca al-Quran kerana darurah..ini kerana para wanita di universiti dan di sekolah yg bergelar guru agama atau pelajar agama, mereka tidak dapat mengelak daripada membaca al-Quran kerana subjek yg ditawarkan..oleh yang demikian, dalam hal belajar dan mengajar ini, wanita haid dibolehkan membaca al-Quran berdasarkan kaedah: "الضرورة تبيح المحظورات"..wallahua`lam..terima kasih ye kerana melawat blog ini.. semoga dapat dimanfaatkan sepenuhnya..syukran
    (Rujukan: Dr. Muhammad al-Zuhayli (2010), al-Mu`tamad Fi al-Fiqh al-Shafi`i, j. 3. Dimashq: Dar al-Qalam, h. 117.

    ReplyDelete
  3. salam..kalau ketika haid boleh x baca surah yasin. yasin yg dihafal tp kdg2 tersilap bacaan jugak sbb surah yasin tu agak pnjang.boleh x lidah menutur ayat2 hafazan tu..?

    ReplyDelete
  4. Ada pandangan yang mengatakan bahawa baca ayat-ayat al-Quran itu boleh ketika haid, tapi janganlah sampai sempurna satu surah..macam Yasin tu sempurna satu surah..oleh itu dalam hal ini, sy mengambil jalan tengah..sebab kita berhadapan dengan dua golongan ulama iaitu pertama yang begitu keras dalam soal ini, dan kedua golongan ulama yang bagi pandangan agak ringan sehingga membolehkan membaca al-Quran seberapa banyak yang ia mahu..jadi jalan tengahnya, boleh baca ayat-ayat al-Quran seperti membaca matsurat pagi dan petang yang mengandungi sebahagian ayat al-Quran..manakala membaca yasin pula tidak dibolehkan kerana ia sempurna satu surah..wallahua`lam.

    ReplyDelete
  5. SALAM USTAZ, Bagaimana kalau si ibu (ibu tunggal) yang terpaksa mengajar anak2 mengaji ... dimana mengaji quran menjadi rutin harian pada sebelah malam?

    ReplyDelete
    Replies
    1. Ya, boleh si ibu melakukan demikian dengan tujuan mengajar..

      Delete
  6. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  7. salam ustaz, mcmana pula sekiranya seseorang perempuan tu selalu mengamalkan sekiranya, surah al Mulk stiap malam, atau surah Al Kahf setiap hari Jumaat, jadi bolehkah dibaca surah2 tersebut ketika haidh? tkaseh ustaz

    ReplyDelete
  8. 1.Salam ustaz, kalau kita baca doa belajar ketika haid bolehkah ustaz?
    2.kalau kita mengucap dua kalimah syahadah bertujuan belajar bolehkah ustaz?
    3.kalau kita memegang al-quran ataupun yassin, bolehkah kalau kita pegangnya dengan berlapik? Seperti memegangnya dengan beralas kain
    Terima kasih ustaz.Mohon penjelasan :-D

    ReplyDelete
  9. 1. Seorang perempuan yang memasuki pertandingan hafazan, tiba-tiba ia uzur, adakah ia masih boleh menyertai pertandingan itu.
    2.adakah kita tidak boleh berpegang kepada pandangan Ibn Taimiyyah yang mengharuskan perempuan haid membaca alQuran.

    ReplyDelete