Pages

Friday, 2 September 2011

Kesan Maksiat Kepada Kehidupan Serta Langkah Yang Perlu Diambil Untuk Menghindari Maksiat

Pendahuluan
Kita sebagai manusia biasa yang tidak tergolong di kalangan para Nabi, tidak terlepas daripada melakukan maksiat kepada Allah S.W.T. Walaupun begitu, maksiat merupakan satu perkara yang perlu kita jauhi. Oleh yang demikian, apakah perkara-perkara yang perlu kita lakukan untuk menghindarkan diri kita daripada melakukan maksiat, kerana maksiat boleh memberikan kesan kepada kehidupan kita. Dalam coretan ringkas ini akan dibicangkan mengenai maksiat serta kesannya kepada kehidupan, serta langkah2 yang perlu diambil untuk menghindari maksiat.


Pembahagian Maksiat Serta Amalan Yang Boleh Menghapuskan Dosa
Maksiat terbahagi kepada dua iaitu dosa besar dan dosa kecil. Adakah dosa-dosa kecil yang kita lakukan boleh terhapus? Ya, ianya boleh terhapus berdasarkan firman Allah S.W.T.:
"إِنْ تَجْتَنِبُوا كَبَائِرَ مَا تُنْهَوْنَ عَنْهُ نُكَفِّرْ عَنْكُمْ سَيِّئَاتِكُمْ وَنُدْخِلْكُمْ مُدْخَلًا كَرِيمًا "
Dan firman Allah Taala: "إِنَّ الْحَسَنَاتِ يُذْهِبْنَ السَّيِّئَاتِ". Berdasarkan kepada firman Allah yang pertama, menunjukkan bahawa dosa-dosa kecil boleh terhapus dengan kita meninggalkan dosa-dosa besar, serta melakukan kebajikan. Ini bermakna, tidak cukup sekadar kita meninggalkan dosa besar sahaja, malahan kita perlu juga melakukan kebajikan agar dosa-dosa kecil yang kita lakukan terhapus. Begitu juga yang terdapat di dalam hadith iaitu: "وأتبع السيئة الحسنة تمحها". Demikian juga yang terdapat di dalam hadith sahih yang menyatakan bahawa menyempurnakan wuduk, melangkah ke masjid, mendirikan solat lima waktu, mengerjakan solat Jumaat sehingga datangnya Jumaat seterusnya, begitu juga berpuasa di bulan Ramadan sehingga Ramadan seterusnya, bangun malam Laylah al-Qadar, berpuasa pada hari `Ashura' dan sebagainya, maka kesemua ini boleh menghapuskan kesalahan seseorang. Walaupun amalan-amalan ini adalah kecil, tetapi ianya memberi kesan yang cukup besar iaitu penghapus kepada dosa-dosa kecil yang dilakukan. Oleh yang demikian, apabila kita melakukan ketaatan, maka mestilah disertai dengan keimanan kepada Allah S.W.T. dengan meyakini bahawa amalan2 yang kita lakukan itu penyebab kepada terhapusnya dosa. Dengan yang demikian, meninggalkan dosa2 besar mestilah disertai dengan melakukan kebajikan dan amal soleh.  

Apakah yang dimaksudkan dengan dosa besar? Ada yang mengatakan bahawa dosa besar itu ialah segala kesalahan yang dikenakan hukuman hudud ke atasnya. Ada yang mengatakan bahawa setiap kesalahan yang dikenakan laknat, kemarahan, api neraka, atau seksaan ke atas pelakunya. Sabit berdasarkan hadith sahih nama-nama yang banyak terhadap beberapa kesalahan2 yang besar, serta bertingkat-tingkat. Antaranya ialah kekufuran yang paling besar iaitu syirik dan melakukan sihir. Antaranya lagi ialah dosa-dosa besar seperti membunuh jiwa yang diharamkan untuk membunuhnya, lari dari medan perang, memakan riba, memakan harta anak yatim, bercakap dusta, antaranya lagi ialah menuduh wanita solehah melakukan perbuatan keji, meminum arak, derhaka kepada kedua-dua ibu bapa, dan sebagainya. 

Apakah amalan2 yang boleh menghapuskan dosa2 besar? Amalan yang boleh menghapuskan dosa2 besar ialah bertaubat dengan taubat yang betul, ikhlas serta bersungguh-sungguh. Taubat seperti ini dinamakan sebagai taubat nasuha. Firman Allah Taala: 
"يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا تُوبُوا إِلَى اللَّهِ تَوْبَةً نَصُوحًا عَسَى رَبُّكُمْ أَنْ يُكَفِّرَ عَنْكُمْ سَيِّئَاتِكُمْ وَيُدْخِلَكُمْ جَنَّاتٍ تَجْرِي مِنْ تَحْتِهَا الْأَنْهَارُ 
Perkataan "عَسَى" sekiranya ianya datang daripada Allah S.W.T. bermaksud pasti terlaksana iaitu Allah S.W.T. akan hapuskan dosa orang bertaubat nasuha, serta memasukkannya ke dalam syurga yang penuh ni`mat. Dan firman Allah Taala lagi: 
"إِلَّا مَنْ تَابَ وَآمَنَ وَعَمِلَ عَمَلًا صَالِحًا فَأُولَئِكَ يُبَدِّلُ اللَّهُ سَيِّئَاتِهِمْ حَسَنَاتٍ"
Firman Allah Taala lagi: 
"{ وَالَّذِينَ إِذَا فَعَلُوا فَاحِشَةً أَوْ ظَلَمُوا أَنْفُسَهُمْ ذَكَرُوا اللَّهَ فَاسْتَغْفَرُوا لِذُنُوبِهِمْ وَمَنْ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلَّا اللَّهُ وَلَمْ يُصِرُّوا عَلَى مَا فَعَلُوا وَهُمْ يَعْلَمُونَ }{ أُولَئِكَ جَزَاؤُهُمْ مَغْفِرَةٌ مِنْ رَبِّهِمْ وَجَنَّاتٌ تَجْرِي مِنْ تَحْتِهَا الْأَنْهَارُ }
Nabi s.a.w. bersabda: "التوبة تجب ما قبلها".

Apakah yang dimaksudkan dengan taubat nasuha? Taubat nasuha ialah taubat yang benar yang mesti terdiri daripada tiga perkara iaitu: 1) Meninggalkan dosa yang dilakukan serta menyesal akan perbuatan tersebut. 2) Berazam untuk tidak mengulanginya lagi buat selama-lamanya. 3) Sekiranya melakukan kezaliman kepada saudara muslim, maka perlu minta halal kepadanya sekiranya boleh, ini kerana kezaliman yang dilakukan kepada seseorang akan dituntut di hari akhirat kelak. Nabi s.a.w. bersabda: 
"من كان عنده لأخيه مظلمة فليتحلل منه اليوم قبل أن لا يكون دينار ولا درهم إن كان له حسنات أخذ من حسناته وإلا أخذ سيئات أخيه فطرحت عليه

Perlu diingati oleh sekelian manusia bahawa segala maksiat yang dilakukan merupakan satu perlanggaran kepada perintah Allah S.W.T. Daripada Abu Hurayrah bahawa ia berkata, Rasulullah s.a.w. bersabda: "من ستر مسلماً ستره الله في الدنيا والآخرة", dan sabdanya lagi: "مَن ضارَّ أَضرَّ اللهُ به ، ومن شاقَّ شقَّ اللهُ عليه".  

Antara amalan2 yang boleh membantu jiwa bagi mengubati penyakit suka melakukan maksiat ialah sentiasa berzikir kepada Allah S.W.T., menanamkan iman di dalam diri bahawa Allah S.W.T. sentiasa memerhati segala gerak-gerinya, serta kembali kepada Allah S.W.T. Firman Allah S.W.T.: 
"قل يا عبادى الذين أسرفوا على أنفسهم لا تقنطوا من رحمة الله إن الله يغفر الذنوب جميعا إنه هو الغفور الرحيم . وأنيبوا إلى ربكم وأسلموا له من قبل أن يأتيكم العذاب ثم لا تنصرون "  

Kesan Dosa Kepada Kehidupan
Jangan kita menyangka bahawa segala dosa yang kita buat walaupun kecil tidak memberikan apa2 kesan kepada kehidupan. Oleh yang demikian, kita tidak boleh memandang remeh akan dosa yang dilakukan kerana ia kadangkala akan membawa musibah kepada kita. Ibn Taymiyyah mengatakan bahawa segala maksiat yang dilakukan adalah penyebab kepada beberapa musibah yang menimpa kita. Segala musibah dan balasan buruk adalah disebabkan perbuatan kita yang buruk, manakala ketaatan yang kita lakukan pula adalah penyebab kepada kita mendapat ni`mat. Melakukan amalan dengan baik dan penuh ihsan adalah penyebab kepada kita mendapat ihsan daripada Allah S.W.T. Firman Allah Taala:
"وَمَا أَصَابَكُمْ مِنْ مُصِيبَةٍ فَبِمَا كَسَبَتْ أَيْدِيكُمْ وَيَعْفُو عَنْ كَثِيرٍ", 
"مَا أَصَابَكَ مِنْ حَسَنَةٍ فَمِنَ اللَّهِ وَمَا أَصَابَكَ مِنْ سَيِّئَةٍ فَمِنْ نَفْسِكَ",
"إنَّ الَّذِينَ تَوَلَّوْا مِنْكُمْ يَوْمَ الْتَقَى الْجَمْعَانِ إنَّمَا اسْتَزَلَّهُمُ الشَّيْطَانُ بِبَعْضِ مَا كَسَبُوا وَلَقَدْ عَفَا اللَّهُ عَنْهُمْ"
"أَوَلَمَّا أَصَابَتْكُمْ مُصِيبَةٌ قَدْ أَصَبْتُمْ مِثْلَيْهَا قُلْتُمْ أَنَّى هَذَا قُلْ هُوَ مِنْ عِنْدِ أَنْفُسِكُمْ"
"أَوْ يُوبِقْهُنَّ بِمَا كَسَبُوا وَيَعْفُ عَنْ كَثِيرٍ } وَقَالَ : { وَإِنْ تُصِبْهُمْ سَيِّئَةٌ بِمَا قَدَّمَتْ أَيْدِيهِمْ فَإِنَّ الْإِنْسَانَ كَفُورٌ "
"وَمَا كَانَ اللَّهُ لِيُعَذِّبَهُمْ وَأَنْتَ فِيهِمْ وَمَا كَانَ اللَّهُ مُعَذِّبَهُمْ وَهُمْ يَسْتَغْفِرُونَ "

Langkah Yang Perlu Diambil Untuk Menghindari Maksiat

Disebabkan perlakuan maksiat boleh memberikan kesan kepada kehidupan kita dengan ditimpa musibah, maka kita perlu mencari jalan untuk menghindarkan maksiat sedapat yang mungkin. Antara cara yang perlu dilakukan bagi membantu kita daripada perlakuan maksiat ialah menanamkan di dalam diri rasa takut kepada azab Allah S.W.T. Seseorang itu mestilah mengulang-ulang di dalam dirinya akan firman Allah Taala: "يَا أَيُّهَا الإِنْسَانُ إِنَّكَ كَادِحٌ إِلَى رَبِّكَ كَدْحاً فَمُلاقِيهِ". Ayat ini mengingatkan bahawa kita akan menemui Tuhan pada satu hari yang pasti. Selain itu, seseorang itu mestilah meyakini bahawa segala amalan yang dilakukannya sama ada baik atau buruk akan dipersembahkan di hadapam Tuhannya. Seterusnya ia perlu ingat akan akibat yang bakal ditimpanya apabila ia melakukan maksiat. Akibat kepada perlakuan maksiat adalah sesuatu yang buruk. Selain itu, seseorang itu perlu ingat bahawa dengan perlakuan maksiat akan menyebabkan ia lebih jauh daripada Tuhannya. Apabila ia semakin jauh dari Tuhan, maka manusia sekelilingnya akan semakin menjauhinya. Antara punca kita melakukan maksiat juga adalah disebabkan kita bercampur dengan ahli maksiat. Dengan itu, kita perlu menjauhi mereka.

Ada ketikanya kita telah bertaubat kepada Allah S.W.T., tetapi masih lagi mengulangi dosa yang sama. Oleh yang demikian, apakah tindakan yang perlu dilakukan untuk tidak mengulangi lagi dosa yang dilakukan? Dalam hal ini, semestinya kita perlu melawan nafsu dalam melaksanakan yang hak serta teguh dalam bertaubat kepada Allah S.W.T. Sekiranya kita tidak kuat serta tiada usaha untuk melawan nafsu dan meneguhkan pendirian, tidak mustahil kita akan mengulangi dosa yang sama berulang-ulang kali. Ini kerana nafsu yang ada di dalam diri kita perlu dilawan. Allah Taala berfirman:
"وَمَنْ جَاهَدَ فَإِنَّمَا يُجَاهِدُ لِنَفْسِهِ", 
"وَالَّذِينَ جَاهَدُوا فِينَا لَنَهْدِيَنَّهُمْ سُبُلَنَا وَإِنَّ اللَّهَ لَمَعَ الْمُحْسِنِينَ"
Maksud ungkapan firman Allah Taala: "جَاهَدُوا فِينَا" ialah berjihad melawan nafsu, melawan kuffar, melawan orang munafik, melawan si pelaku maksiat, serta melawan syaitan. Ayat ini berbentuk umum merangkumi semua jenis jihad, antaranya ialah jihad melawan nafsu. Nafsu perlu ditarbiyah, diberi perhatian, bersabar serta berjihad melawannya. Mukmin yang kuat ialah mukmin yang berusaha melawan nafsunya, sehingga ia berada di atas jalan yang lurus, tidak melanggar batasan yang ditetapkan Allah S.W.T. Dengan jihad yang seperti ini, mudah-mudahan Allah S.W.T. akan memberikan hidayah kepadanya, dan menggolongkannya di kalangan orang yang muhsin. Orang yang muhsin terdapat di dalam firman Allah Taala: "وَإِنَّ اللَّهَ لَمَعَ الْمُحْسِنِينَ", dan firmanNya: "إِنَّ اللَّهَ مَعَ الَّذِينَ اتَّقَوْا وَالَّذِينَ هُمْ مُحْسِنُون".

Kita perlu ingat bahawa walaupun kita mengulangi lagi dosa yang kita lakukan setelah melawan nafsu, maka Allah S.W.T. tetap menerima taubat hambaNya walaupun banyak sekalipun dosa yang dilakukan sebagaimana firman Allah Taala: "قُلْ يَا عِبَادِيَ الَّذِينَ أَسْرَفُوا عَلَى أَنْفُسِهِمْ لا تَقْنَطُوا مِنْ رَحْمَةِ اللَّهِ إِنَّ اللَّهَ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ جَمِيعًا إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ". Allah S.W.T. melarang hamba-hambaNya berputus asa daripada rahmat Allah. Ini kerana rahmat Allah adalah begitu luas serta keampunanNya amat besar. Firman Allah Taala: "وَهُوَ الَّذِي يَقْبَلُ التَّوْبَةَ عَنْ عِبَادِهِ وَيَعْفُو عَنِ السَّيِّئَاتِ وَيَعْلَمُ مَا تَفْعَلُونَ وقال في حق النصارى أَفَلا يَتُوبُونَ إِلَى اللَّهِ وَيَسْتَغْفِرُونَهُ وَاللَّهُ غَفُورٌ رَحِيمٌ". Nabi s.a.w. bersabda: "الإسلام يهدم ما كان قبله والتوبة تهدم ما كان قبلها". Walaubagaimanapun, kita mestilah melazimi bertaubat kepada Allah S.W.T., menyesal dengan apa yang telah dilakukan, berazam dengan bersungguh-sungguh tidak akan mengulanginya, serta banyakkan istighfar dan beramal soleh. Firman Allah Taala: "وَإِنِّي لَغَفَّارٌ لِمَنْ تَابَ وَآمَنَ وَعَمِلَ صَالِحًا ثُمَّ اهْتَدَى".

Apabila Allah S.W.T. mengharamkan hamba-hambaNya daripada melakukan maksiat, maka Dia tidak membiarkan hambaNya begitu sahaja, malahan membantu mereka dengan menunjukkan cara meninggalkan maksiat. Antara cara yang boleh membantu seseorang meninggalkan maksiat ialah:
1) Menguatkan iman kepada Allah S.W.T. serta takut kepadaNya.
2) Sentiasa ingat bahawa Allah sentiasa memerhatikan gerak geri hamba-hambaNya. Dia sentiasa melihat segala perbuatan hamba-hambaNya. Setiap amalan yang dilakukan sama ada baik atau buruk akan dicatit.
3) Membandingkan kelazatan melakukan maksiat yang sementara tetapi menanggung akibat yang buruk di hari akhirat kelak, berbanding menghindari maksiat serta balasan baik yang akan diterima.
4) Menjauhi faktor-faktor yang boleh menjerumuskannya ke lembah maksiat seperti melihat benda haram, berkawan dengan orang yang buruk akhlaknya, atau mengungjungi tempat2 maksiat.
5) Senitasa menghadiri majlis orang soleh serta bersahabat dengan mereka.

Kita perlu mengamalkan lima perkara di atas kerana sekiranya kita terus melakukan maksiat, maka kita akan menghadapi pula sepuluh perkara berikut:

1) Terhalang daripada mendapat ilmu kerana ilmu merupakan cahaya yang Allah campakkan ke dalam hati.
2) Terhalang daripada mendapat rezeki kerana berdasarkan Musnad Ahamd, daripada Thawban bahawaa ia berkata, Rasulullah s.a.w. bersabda: "إن الرجل ليُحرم الرزق بالذنب
يُصيبه"
3) Terputus hubungan dengan Allah dan dengan manusia.
4) Segala urusannya menjadi payah. Ini kerana, mereka yang bertakwa kepada Allah S.W.T., Dia akan mudahkan jalan.
5) Hati menjadi gelap. Ketaatan merupakan cahaya manakala maksiat merupakan kegelapan. Ibn `Abbas berkara: "Kebaikan itu akan memancarkan cahaya di wajah, nur di dalam hati, meluaskan rezeki, menguatkan badan, makhluk akan rasa cinta kepadanya, manakala keburukan pula akan memberikan kehitaman kepada wajah, kegelapan kepada hati, lemah anggota badan, mengurangkan rezeki, makhluk akan marah kepadanya."
6) Terhalang daripada melakukan ketaatan.
7) Maksiat yang dilakukan akan melahirkan maksiat yang lain, sehingga sukar bagi pelaku maksiat untuk meninggalkannya.
8) Perlakuan maksiat akan melemahkan jiwa.
9) Berbangga dengan maksiat yag dilakukan.
10) Dosa yang dilakukan apabila terlalu banyak, maka menyebabkan hati dimaterikan, jadilah ia seorang yang lalai.  

Kesimpulan
Demikianlah beberapa perkara yang perlu diperhatikan berkaitan dengan maksiat. Walau sekecil mana maksiat, maka kita perlu memandang berat kepadanya kerana ia boleh menggelapkan hati kita, dan menjauhkan kita daripada Allah S.W.T. Apabila seseorang itu melakukan maksiat, maka bersegeralah bertaubat kepada Allah S.W.T. kerana rahmat Allah begitu luas. Isilah akitiviti kehidupan kita dengan zikrullah serta melakukan amal soleh, agar kita merasa jijik untuk melakukan maksiat. Wallahua`lam.

Sumber Rujukan:
1) Dr. Mahir Yasin Fahl, Hurmah al-Muslim `Ala al-Muslim, Bab Jami` al-Ma`asi Maharib Allah.
2) `Atiyyah Saqar, Fatawa al-Azhar, Bab `Ilaj al-Ma`asi.
3) Majmu` Fatawa Ibn Taymiyyah, Bab al-Ma`asi Sabab al-Masa'ib.
4) Silsilah Liqa'at al-Bab al-Maftuh, Bab al-Umur al-Lati Tu`in `Ala Tark al-Ma`siah.
5) `Abd al-`Aziz bin `Abd Allah bin Baz, Majmu` Fatawa Wa Maqalat Ibn Baz.
6) al-Shaykh Muhammad Saleh al-Munjid, Fatawa al-Islam Su'al Wa Jawab.




No comments:

Post a Comment