Pages

Wednesday, 19 October 2011

Wahabi Menurut Abu Zahrah

Pendahuluan
Istilah Wahabi ini adalah begitu diambil perhatian oleh sesetengah pihak di Malaysia. Bagi saya, mereka yang mengambil perhatian akan istilah ini adalah di kalangan monoriti masyarakat Malaysia, yang terdiri daripada orang yang bersikap keras kepada fahaman Wahabi. Bagi pihak yang bersikap keras kepada fahaman ini, mereka agak sensitif apabila diajukan perbincangkan mengenai Wahabi. Fahaman ini dirasakan merupakan ancaman kepada mereka, sedangkan sekiranya kita mempertahankan akidah berasaskan metodologi Asha`irah ASWJ, menyebarkannya dengan seluas-luasnya di kalangan masyarakat, menerbitkan banyak buku mengenainya. maka permasalahan Wahabi ini tidak perlu dirisaukan. Ia bukan merupakan ancaman besar kepada umat Islam di Malaysia. Langkah yang bijak untuk kita lakukan ialah memperkasakan Akidah ASWJ berasaskan metodologi Asha`irah, bukannya mengecam secara membabi buta fahaman Wahabi yang kadangkala sesetengah masyarakat kita tidak kenal pun apa itu Wahabi. Dalam coretan ringkas ini, penulis akan membincangkan sedikit sebanyak mengenai pandang sudut Abu Zahrah mengenai fahaman Wahabi. Semoga perbincangan ringkas ini akan memberi manfaat kepada kita semua.

Wahabi Adalah Berbeza Dengan Salafi Dari Sudut Zaman, Bukannya Manhaj
Sekiranya kita perhatikan kepada karya yang dibuat oleh Abu Zahrah yang berjudul Tarikh al-Madhahib al-Islamiyyah, maka kita akan dapati bahawa Abu Zahrah tidak membezakan antara Salafi dan Wahabi dari sudut manhaj, tetapi membezakan antara dua kelompok ini dari sudut zaman kemunculan kedua-duanya. Golongan Salafi muncul pada kurun ke-4 Hijrah, manakala golongan Wahabi pula muncul pada kurun ke-12 Hijrah. (Tarikh al-Madhahib al-Islamiyyah, h. 187).

Golongan Salafi menurut Abu Zuhrah terdiri daripada mereka yang berpegang kepada mazhab Hanbali. Mereka mendakwa bahawa pandangan mereka kebanyakannya dinisbahkan kepada Imam Ahmad bin Hanbal yang merupakan orang pertama menghidupkan akidah aliran salafi. Pada kurun ke7 Hijrah, golongan ini mengalami pembaharuannya  yang dihidupkan oleh Sheikh Islam Ibn Taymiyyah r.h. Beliau bersikap keras dalam mempromosikan fahaman ini. Setelah itu, fahaman ini, muncul di Jazirah Arab pada kurun ke-12 Hijrah yang dihidupkan oleh Muhammad bin `Abd al-Wahhab. Dengan kemunculan Muhammad bin `Abd Wahhab serta pegangannnya kepada aliran salaf dalam akidah, maka golongan ini dipanggil sebagai Wahabi. Golongan ini menisbahkan diri mereka kepada golongan Salafi. (Tarikh al-Madhahib al-Islamiyyah, h. 187). Berdasarkan kepada sejarah ringkas fahaman salafi menurut Abu Zahrah, bermakna golongan Wahabi menisbahkan diri mereka kepada golongan salafi. Oleh yang demiikian, manhaj akidah golongan Wahabi tidak jauh bezanya dengan golongan Salafi.

Kemunculan fahaman Wahabi menurut Abu Zahrah adalah respon kepada realiti yang berlaku pada tanah Arab pada masa itu yang berkaitan dengan pengagungan yang melampau terhadap manusia (tabarruk), menziarahi orang soleh untuk mendekatkan diri kepada Allah, berleluasanya bid`ah yang tidak bersumberkan kepada agama. (Tarikh al-Madhahib al-Islamiyyah, h. 208). Oleh yang demikian, kemunculan Wahabi pada masa itu adalah respon kepada situasi masyarakat yang begitu jauh dari ajaran Islam menurut Abu Zahrah. Dengan itu, kemunculan Wahabi adalah untuk membanteras kemungkaran-kemungkaran yang berlaku pada masa itu. Golongan Wahabi menurut Abu Zahrah lebih kepada menghidupkan semula mazhab Ibn Taymiyyah dalam akidah. (Tarikh al-Madhahib al-Islamiyyah, h. 208). Oleh yang demikian, walaupun Wahabi dan Salafi adalah dua perkara yang berbeza dari sudut zaman kemunculannya, namun dari sudut mahaj antara kedua-duanya adalah begitu rapat sekali. Walaupun demikian, terdapat sedikit perbezaan dari sudut pendekatan di mana golongan Wahabi mengambil pendekatan lebih keras dalam agama berbanding Ibn Taymiyyah sendiri. Dari sudut akidah pula, manhaj kedua-duanya adalah sama sahaja. (Tarikh al-Madhahib al-Islamiyyah, h. 208).

Menurut penulis, Wahabi telah tersalah langkah dalam mempromosikan akidah mereka kepada orang ramai sehingga menyebabkan timbul fitnah kepada umat Islam sehingga ke hari ini. Bagi sesetengah pihak, golongan ini sengaja mempromosikan akidah mereka yang tertolak itu. Dalam berdakwah, mereka terlalu bersikap keras kepada umat Islam, sehingga sanggup mengangkat senjata kerana menganggap ianya adalah jihad untuk memerangi bid`ah yang dilakukan oleh umat Islam pada masa itu. Dalam hal ini menurut penulis, amalan seseorang itu sekiranya dirasakan telah terpesong, maka ianya boleh dibawa berbincang, dinasihatkan, serta diberi tunjuk ajar agar ianya kembali semula ke jalan yang lurus, bukannya diambil tindakan keras dengan mengangkat senjata kepada umat Islam. Dalam hal ini, golongan Wahabi terlampau memperluaskan makna bid`ah menurut Abu Zahrah, dan tidak mahu menganggap terdapatnya bid`ah hasanah di dalam Islam, sehinggakan umat Islam yang melakukan bid`ah hasanah sekalipun telah dianggap melakukan bid`ah dalalah oleh golongan Wahabi. Inilah fahaman serta tindakan yang kurang bijak dilihat oleh penulis dilakukan oleh golongan Wahabi dalam lipatan sejarah.

Kesimpulan
Dalam permasalahan akidah, Wahabi dikira sebagai beraliran Salaf menurut Abu Zahrah. Cuma perbezaan antara Salafi dan Wahabi ialah Salafi lebih kepada manhaj dalam membahaskan mengenai akidah, bersumberkan kepada Ahmad bin Hanbal dan Ibn Taymiyyah, manakala golongan Wahabi pula lebih kepada fahaman ekstrem dalam memahami satu perkara akidah, serta memperluaskan makna bid`ah. Fahaman mereka mengenai bid`ah kadangkala telah terpesong jauh daripada makna bid`ah yang difahami oleh majoriti ulama sama ada yang terdiri daripada aliran salaf mahupun khalaf. Oleh yang demikian, fahaman Wahabi perlu diperbetulkan, agar ianya benar2 mengikut landasan yang telah digariskan oleh figure utama kepada aliran salafi iaitu Ahmad bin Hanbal dan Ibn Taymiyyah. Apa2 pun, penulis merasakan penulisan ini masih belum selengkapnya untuk membahaskan mengenai Wahabi. Elok sekiranya dirujuk kepada karya yang dibuat oleh Dr. Sa`id Ramadan al-Buti mengenai al-Salafiyyah. Kesimpulannya, kita dalam mempromosikan satu2 fahaman, tidak boleh bertindak keras, kerana mudaratnya lebih besar dari manfaatnya. Wallahua`lam.  
   

No comments:

Post a Comment