Pages

Sunday 8 January 2012

Cara Membahaskan Fiqh Berdasarkan Hadith (3)

Hadith yang dipilih pada kali ini ialah:

حَدَّثَنَا مُوسَى قَالَ حَدَّثَنَا أَبُو عَوَانَةَ عَنْ أَبِى بِشْرٍ عَنْ يُوسُفَ بْنِ مَاهَكَ عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرٍو قَالَ تَخَلَّفَ النَّبِىُّ - صلى الله عليه وسلم - عَنَّا فِى سَفْرَةٍ سَافَرْنَاهَا ، فَأَدْرَكَنَا وَقَدْ أَرْهَقْنَا الْعَصْرَ ، فَجَعَلْنَا نَتَوَضَّأُ وَنَمْسَحُ عَلَى أَرْجُلِنَا ، فَنَادَى بِأَعْلَى صَوْتِهِ « وَيْلٌ لِلأَعْقَابِ مِنَ النَّارِ » . مَرَّتَيْنِ أَوْ ثَلاَثًا

Berdasarkan hadith yang dibawakan di atas, para sahabat Nabi s.a.w. pada ketika itu kelam kabut kerana waktu Asar hampir habis. Oleh yang demikian, mereka mengambil wuduk dengan cepat sehinggakan ketika sampai pada anggota wuduk kaki, mereka hanya menyapu di atasnya sahaja tidak terkena tumit. Melihatkan kepada perlakuan mereka itu maka Nabi s.a.w. memarahi mereka.

Berdasarkan hadith ini, Imam al-Bukhari menamakan tarjamah bab dengan katanya: "Bab Membasuh Kaki Dan Tidak Boleh Hanya Sekadar Menyapu Di Atasnya." Pemahaman daripada hadith ini ialah air wuduk anggota kaki perlu diratakan termasuk bahagian tumit. Untuk menjadikan anggota kaki lebih bersih, maka amat digalakkan seseorang itu menggosoknya ketika berwuduk. Imam al-Bukhari meletakkan tarjamah bab dengan katanya: Tidak Boleh Hanya Sekadar Menyapu Di Atasnya adalah untuk menolak pandangan mazhab Shi`ah yang mengatakan bahawa aggota wuduk kaki hanya sekadar menyapu di atasnya, tidak perlu diratakan sehingga ke bahagian tumit. Pemahaman yang seperti ini adalah bertentangan dengan ijmak umat Islam. Ini kerana kefarduan membasuh anggota wuduk kaki adalah berdasarkan kepada ijmak umat Islam. [Muhammad al-Zuhayli (2010), al-Mu`tamad Fi al-Fiqh al-Shafi`i, j. 1, c. 2. Dimashq: Dar al-Qalam, h. 74].

Kenapakah Imam al-Bukhari menyebutkan perkataan membasuh di dalam tarjamah bab sedangkan di dalam hadith tidak disebutkan perkataan membasuh itu? Ini kerana perkataan membasuh itu terdapat di dalam al-Quran. Dengan yang demikian, perkataan membasuh yang diletakkan Imam al-Bukhari di sini adalah merujuk kepada ayat itu. Membasuh membawa erti membersihkan sesuatu dengan air yang merangkumi meratakan air di tempat membasuh atau menggosoknya. Menurut mazhab Shafi`i, disunatkan kita menggosok anggota kaki ketika berwuduk agar air akan lebih merata pada bahagian itu. 

Oleh yang demikian, aggota wuduk kaki perlu dibasuh dengan meratakan air ke seluruhnya. Perlakuan yang lebih elok ialah menggosoknya agar air lebih merata pada bahagian kaki. Wallahua`lam.  



Tuesday 3 January 2012

Kritikan Terhadap Matan Hadith

Pendahuluan

Walaupun sesuatu hadith itu sahih dari sudut sanadnya, tetapi ianya tidak terlepas daripada kritikan para ulama terhadap matannya. Sesuatu hadith sahih yang dipelajari dalam ilmu mustalah hadith yang di mana kriteria untuk diterima sesuatu hadith itu sebagai sahih telah dibincangkan oleh para ulama. Terdapat lima kriteria untuk diterima sesuatu hadith itu sebagai sahih iaitu 1) sanadnya bersambung, 2) perawi yang adil, 3) perawi yang dabit, 4) tidak shudhudh dan, 5) tidak `illah. Sekiranya sesuatu hadith itu telah terpenuhi kesemua kriteria ini, maka ianya dikira sebagai sahih dari sudut zahirnya, tetapi ianya tidak putus sebagai sahih dari sudut hakikatnya. Perkara sebegini pernah dinyatakan oleh ahli hadith semasa seperti Mahmud Tahhan dan Muhammad Abu al-Layth dengan kata mereka: "sekiranya ahli hadith mengatakan hadith ini sahih, maka syarat2 yang lima itu telah terpenuhi, tetapi pada masa yang sama ianya tidaklah diputuskan sebagai sahih dari sudut hakikatnya kerana boleh jadi berlaku kesalahan dan kelupaan pada perawi yang thiqah." [Mahmud Tahhan (1984), Taysir Mustalah al-Hadith. Arbil al-`Iraq: Maktabah al-Hidayah, h. 36; dan Muhammad Abu al-Layth al-Khayr 'Abadi (2009), `Ulum al-Hadith Asiluha Wa Mu`asiruha, c. 6. Selangor: Dar al-Shakir, h. 147]. Oleh yang demikian, para ahli hadith semasa akan terus mengkaji isi kandungan matan hadith serta melakukan kritikan terhadapnya dengan melihat kepada kaedah-kaedah kritikan terhadap matan hadith. Oleh itu, di bawah ini akan dibincangkan mengenai kritikan terhadap matan hadith berdasarkan kepada kaedah-kaedah yang telah dibincangkan oleh para ulama.

Kritikan Terhadap Matan Hadith Adalah Pada Shadh Dan `Illah

Biasanya, kritikan terhadap matan hadith ditumpukan oleh para ulama terhadap shadh dan `illah sesuatu matan hadith. [Muhammad Abu al-Layth al-Khayr 'Abadi (2009), op.cit., h. 277]. Ini kerana apabila terdapat kedua-dua perkara tersebut pada matan hadith, maka sesuatu hadith yang walaupun sahih sanadnya, tetap dikira sebagai daif.

SHADH PADA MATAN

Shadh dibincangkan oleh para ulama sebagai hadith yang diriwayatkan oleh perawi yang thiqah,  bertentangan dengan periwayatan kawannya yang lebih thiqah atau dabit daripadanya. Atau periwatannya bertentangan dengan periwayatan sekumpulan perawi yang sama thiqah dengannya, sama ada sekumpulan perawi thiqah itu terdiri daripada kawan seperguruannya atau tidak. [Ibid., h. 278]. Oleh itu, dalam hal ini periwayatannya adalah berseorangan dari sudut makna. Pertentangan makna tersebut sama ada dari sudut pertambahan makna yang membawa kepada perubahan hukum (bukan mengtakhsiskan hukum), berlaku al-qalab, al-idtirab, al-idraj atau al-tashif. [Ibid.].

Bagi mengetahui kecacatan pada matan hadith maka metode yang digunakan ialah sama ada dengan mengumpulkan tariq hadith dengan membandingkan antara tariq2 yang dikumpulkan itu sehingga nyata kesesuain atau pertentangan antara matan-matan hadith, atau merujuk kepada kata-kata ulama berkaitan dengan hadith tersebut menerusi karya  `ilal al-hadith, karya ulasan hadith dan sebagainya. [Ibid.].  

Contoh Pertambahan Makna Pada Matan:
Hadith yang diriwayatkan oleh Imam Malik daripada Nafi` daripada Ibn `Umar:
أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- فَرَضَ زَكَاةَ الْفِطْرِ مِنْ رَمَضَانَ عَلَى النَّاسِ عَلَى كُلِّ حُرٍّ أَوْ عَبْدٍ ذَكَرٍ أَوْ أُنْثَى مِنَ الْمُسْلِمِينَ     
Berdasarkan hadith ini Imam Tirmidhi berkata: Imam Malik meriwayatkan daripada Nafi` daripada Ibn `Umar daripada Nabi s.a.w. di mana terdapat penambahan perkataan: (مِنَ الْمُسْلِمِينَ). Telah meriwayatkan hadith ini `Ubayd Allah bin `Umar, Ayyub dan selain kedua-dua mereka daripada Nafi` daripada Ibn `Umar tanpa adanya penambahan lafaz ini. [al-Tirmidhi, Kitab al-Zakah, Bab Ma Ja'a Fi Sadaqah al-Fitr, j. 3, h. 61, hadith bernombor 765 dan 676]. 

Menurut Muhammad Abu al-Layth yang menukilkan kata-kata Ibn Hajar di dalam Fath al-Bari, pertambahan lafaz ini menyebabkan berlaku perubahan hukum zakat fitrah di mana berdasarkan hadith lain ianya berbentuk umum merangkumi hamba Islam dan tidak Islam. Pandangan ini dipegang di dalam mazhab Hanafi dan selain mereka. Apabila berlaku pertambahan pada matan hadith, maka makna hadith tersebut menjadi khusus iaitu khas kepada orang Islam sahaja. Pandangan ini yang dipegang oleh jumhur ulama. [Muhammad Abu al-Layth al-Khayr 'Abadi (2009), op.cit., h. 278-279].

Menurut penulis, contoh yang diberikan ini adalah kurang tepat kerana sekiranya berlaku pertambahan lafaz pada matan hadith yang di mana ianya telah mengkhususkan makna yang berbentuk umum, maka ianya tidak dikira sebagai shadh pada matan, tetapi di dalam kategori ziyadah al-thiqah yang diterima sebagai hujah di dalam agama oleh para ulama di dalam mazhab Shafi`i . Oleh itu, matan hadith di atas tidak boleh dikira sebagai daif disebabkan pertambahan lafaz pada matan hadith menerusi tariq Imam Malik ini. Apatah lagi matan hadith ini diterima sebagai hujah di sisi jumhur ulama.

Contoh al-Qalab Pada Matan
Hadith riwayat Muslim di dalam karya sahihnya menerusi hadith Abu Hurayrah berkaitan dengan tujuh golongan yang dinaungi di bawah `Arash pada hari kiamat iaitu:
وَرَجُلٌ تَصَدَّقَ بِصَدَقَةٍ فَأَخْفَاهَا حَتَّى لاَ تَعْلَمَ يَمِينُهُ مَا تُنْفِقُ شِمَالُهُ
Menurut Muhammad Abu al-Layth, lafaz yang sahih ialah riwayat Imam al-Bukhari iaitu:
 حَتَّى لاَ تَعْلَمَ شِمَالُهُ مَا تُنْفِقُ يَمِينُهُ
Menurut Ibn Hajar al-`Asqalani sebagaimana yang dinukilkan kata-katanya oleh Muhammad Abu al-Layth, frasa bagi matan hadith ini telah tertukar menerusi riwayat Muslim. Ianya tertukar oleh Yahya bin Sa`id al-Qattan iaitu guru kepada Imam Muslim. [Ibid., h. 279].

Menurut penulis, `illah yang terdapat pada riwayat Muslim ini bukanlah dalam kategori `illah qadihah yang boleh mencacatkan periwayatan Imam Muslim.

Contoh al-Idtirab Pada Matan
Hadith Ibn `Abbas ia berkata: 
جاء رجل إلى النبي صلى الله عليه و سلم فقال ان أمي ماتت وعليها صوم أفأصوم عنها فقال أرأيت لو كان عليها دين أكنت تقضيه قال نعم قال فدين الله أحق أن يقضي    
Menurut Muhammad Abu al-Layth, hadith ini berlaku perselisihan pada periwayatan A`mash dari sudut sanad dan matan. Berdasarkan riwayat sebahagian perawi hadith daripada al-A`mash daripada Ibn `Abbas ia berkata:
وَإِنَّهَا مَاتَتْ وَعَلَيْهَا صَوْمُ شَهْرٍ أَفَيُجْزِئُ - أَوْ يَقْضِى - عَنْهَا أَنْ أَصُومَ عَنْهَا قَالَ « نَعَمْ ». قَالَتْ وَإِنَّهَا لَمْ تَحُجَّ أَفَيُجْزِئُ - أَوْ يَقْضِى - عَنْهَا أَنْ أَحُجَّ عَنْهَا قَالَ « نَعَمْ ».
Imam Malik meriwayatkan daripada Ibn Shihab daripada `Ubayd Allah bin `Abd Allah bin `Utbah bin Mas`ud daripada `Abd Allah bin `Abbas:
إِنَّ أُمِّى مَاتَتْ وَعَلَيْهَا نَذْرٌ وَلَمْ تَقْضِهِ. فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- « اقْضِهِ عَنْهَا ». 
Pada riwayat yang lain menerusi Imam Malik daripada Ibn `Abbas bahawa Sa`d berkata:
يا رسول الله أينفع أمي أن أتصدق عنها وقد ماتت قال نعم قال فما تأمرني قال اسق الماء
Menurut Muhammad Abu al-Layth, kesemua periwayatan di atas berlaku perbezaan antara kesemuanya. Bentuk perbezaan itu ialah: 1) Orang yang bertanya itu adalah seorang lelaki yang bertanya berkaitan dengan emaknya yang telah meninggal dunia yang masih ada hutang puasa. 2) Orang yang bertanya itu ialah perempuan yang bertanya berkaitan dengan ibunya yang telah meninggal tetapi masih ada hutang. 3) Orang yang bertanya itu adalah Sa`d bin `Ubadah yang bertanya berkaitan ibunya yang telah meninggal dunia tetapi masih ada hutang nazar. 4) Orang yang bertanya ialah Sa`d yang meminta fatwa Rasulullah s.a.w. berkaitan dengan sedekah untuk ibunya yang telah meninggal dunia. [Ibid., h. 280]. 

Berdasarkan perbezaan riwayat ini maka Ibn `Abd al-Barr mengatakan bahawa hadith ini dalam kategori mudtarib. [Ibn `Abd al-Barr, al-Tamhid, j. 9, h. 27 dan seterusnya].

Contoh al-Idraj Pada Matan
Hadith riwayat Abu Dawud daripada gurunya `Abid Allah bin Muhammad al-Nafili iaitu:
حَدَّثَنَا زُهَيْرٌ حَدَّثَنَا الْحَسَنُ بْنُ الْحُرِّ عَنِ الْقَاسِمِ بْنِ مُخَيْمِرَةَ قَالَ أَخَذَ عَلْقَمَةُ بِيَدِى فَحَدَّثَنِى أَنَّ عَبْدَ اللَّهِ بْنَ مَسْعُودٍ أَخَذَ بِيَدِهِ وَأَنَّ رَسُولَ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- أَخَذَ بِيَدِ عَبْدِ اللَّهِ فَعَلَّمَهُ التَّشَهُّدَ فِى الصَّلاَةِ فَذَكَرَ مِثْلَ دُعَاءِ حَدِيثِ الأَعْمَشِ « إِذَا قُلْتَ هَذَا أَوْ قَضَيْتَ هَذَا فَقَدْ قَضَيْتَ صَلاَتَكَ إِنْ شِئْتَ أَنْ تَقُومَ فَقُمْ وَإِنْ شِئْتَ أَنْ تَقْعُدَ فَاقْعُدْ ».
Imam al-Nawawi berkata: Para huffaz telah bersepakat bahawa tambahan lafaz iaitu: (...إِذَا قُلْتَ) adalah mudraj. Berdasarkan riwayat Shababah bin Sawwar daripada Zuhayr, maka beliau memisahkan lafaz ini dengan katanya:
قال عبد الله: إذا قلت ذلك إلى آخره
[Lihat al-Suyuti, Tadrib al-Rawi, j. 1, h. 268 dan al-Hakim, Ma`rifah `Ulum al-Hadith, h. 135-140].

Contoh al-Tashif Dan al-Tahrif Pada Matan
Berdasarkan riwayat Imam Ahmad di dalam Musnadnya daripada `Abd Allah bin `Amru bin al-`As berkaitan dengan larangan Rasulullah s.a.w. terhadap الحلق sebelum solat Jumaat. al-Khattabi berkata: Kebanyakan ahli hadith meriwayatkan dengan lafaz: (عن الحلق قبل الصلاة). Mereka menakwilkannya dengan memotong rambut. Dan telah berkata kepadaku sebahagian guruku: Aku tidak potong rambutku sebelum solat selama 40 tahun setelah aku mendengar hadith ini. Setelah itu al-Khattabi berkata: Perkara yang dimaksudkan ialah al-hilaq iaitu jama` kepada halqah. [al-Khattabi (1985), Islah Khata' al-Muhaddithin, ditahqiq oleh Hatim Salih al-Damin. (t.t.p.): Mu'assasah al-Risalah, h. 28]. 

Berdasarkan riwayat Abu Hamid al-Sa`idi secara marfu` mengenai pemberian hadiah oleh orang ramai kepada pegawai kerajaan iaitu:
وَاللَّهِ لاَ يَأْخُذُ أَحَدٌ مِنْكُمْ مِنْهَا شَيْئًا بِغَيْرِ حَقِّهِ إِلاَّ لَقِىَ اللَّهَ تَعَالَى يَحْمِلُهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ فَلأَعْرِفَنَّ أَحَدًا مِنْكُمْ لَقِىَ اللَّهَ يَحْمِلُ بَعِيرًا لَهُ رُغَاءٌ أَوْ بَقَرَةً لَهَا خُوَارٌ أَوْ شَاةً تَيْعِرُ
Berdasarkan perkataan: (تَيْعِرُ) di dalam hadith, maka telah ditashifkan oleh sebahagian perawi hadith dengan mereka membacanya sebagai: (تنعر). [Ibn al-Salah, Muqaddimah Ibn al-Salah, h. 412].

`ILLAH PADA MATAN

Menurut Muhammad Abu al-Layth, `illah pada matan bermaksud sebab yang tersembunyi yang boleh mencacatkan matan hadith. Sesuatu hadith itu dikatakan terdapat `illah sekiranya terdapat perkara-perkara seperti berikut iaitu matan hadith bertentangan dengan isi kandungan al-Quran, bertentangan dengan tujuan-tujuan syarak, bertentangan dengan tarikh yang sabit, bertentangan dengan akal sihat yang mencintai sunnah, bertentangan dengan pancaindera atau yang dilihat dengan mata kepala, atau bertentangan dengan tatabahasa atau seni bahasa. [Muhammad Abu al-Layth al-Khayr 'Abadi (2009), op.cit., h. 281]. Berdasarkan pandangan yang diutarakan oleh Muhammad Abu al-Layth ini maka beliau membezakan antara shadh dan `illah. Bagi beliau, kategori hadith daif yang dibincangkan di dalam ilmu Mustalah Hadith seperti mudtarib, mudraj, muharraf dan sebagainya termasuk di dalam shadh, bukannya `illah. `Illah bagi beliau adalah satu perkara yang benar-benar tersembunyi kerana hadith-hadith yang ditemui yang terpenuhi lima syarat hadith sahih, tidak bertentangan antara satu sama lain dari sudut tariq yang dikumpulkan, namun ianya bertentangan dengan perkara yang lebih asas di dalam syariat iaitu al-Quran al-Karim serta dasar-dasar pokok di dalam syariat. Oleh yang demikian, sekiranya sesuatu hadith itu terdapat di dalam Sahih Bukhari dan Muslim sekalipun, sekiranya tampak bertentangan dengan dasar-dasar agama, maka dikira sebagai hadith daif menurut Muhammad Abu al-Layth.

Contoh yang diberikan oleh Muhammad Abu al-Layth di dalam karyanya adalah begitu jelas iaitu walaupun sesuatu hadith itu terdapat di dalam Sahih Muslim, masih dianggap ada `illah oleh Abu al-Layth disebabkan ianya bertentangan dengan perkara-perkara yang telah disebutkan di atas. Contoh yang beliau berikan adalah seperti berikut iaitu hadith riwayat Muslim daripada Abu Hurayrah katanya:
خَلَقَ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ التُّرْبَةَ يَوْمَ السَّبْتِ وَخَلَقَ فِيهَا الْجِبَالَ يَوْمَ الأَحَدِ وَخَلَقَ الشَّجَرَ يَوْمَ الاِثْنَيْنِ وَخَلَقَ الْمَكْرُوهَ يَوْمَ الثُّلاَثَاءِ وَخَلَقَ النُّورَ يَوْمَ الأَرْبِعَاءِ وَبَثَّ فِيهَا الدَّوَابَّ يَوْمَ الْخَمِيسِ وَخَلَقَ آدَمَ عَلَيْهِ السَّلاَمُ بَعْدَ الْعَصْرِ مِنْ يَوْمِ الْجُمُعَةِ فِى آخِرِ الْخَلْقِ وَفِى آخِرِ سَاعَةٍ مِنْ سَاعَاتِ الْجُمُعَةِ فِيمَا بَيْنَ الْعَصْرِ إِلَى اللَّيْلِ

Berdasarkan hadith ini maka menurut Abu al-Layth, hadith ini menghendaki bahawa tempoh penciptaan adalah selama tujuh hari. Menurut beliau lagi, hadith yang seperti ini adalah bertentangan dengan firman Allah Taala iaitu:
اللَّهُ الَّذِي خَلَقَ السَّمَوَاتِ وَالأرْضَ وَمَا بَيْنَهُمَا فِي سِتَّةِ أَيَّامٍ ثُمَّ اسْتَوَى عَلَى الْعَرْشِ  
Ibn al-Qayyim berkata: Hadith ini berlaku kesalahan dari sudut mengkategorikannya sebagai marfu`. Hadith tersebut merupakan kata-kata Ka`ab al-Ahbar. Demikian juga yang dikatakan oleh Imam al-Bukhari di dalam karyanya Tarikh al-Kabir. [Ibn al-Qayyim, al-Manar al-Munif, h. 84].

Ibn Taymiyyah berkata: hadith ini dikritik oleh orang yang lebih tahu daripada Imam Muslim seperti Yahya bin Ma`in, Imam al-Bukhari dan lain-lain. Imam al-Bukhari menyebutkan bahawa hadith ini merupakan kata-kata daripada Ka`b al-Ahbar. [Ibn Taymiyyah, Majmu` al-Fatawa, j. 8, h. 18-19]. 

Menurut Abu al-Layth, kata-kata Abu Hurayrah iaitu: "أَخَذَ رَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- بِيَدِى", bertentangan dengan pandangan Imam al-Bukhari kerana frasa ini menunjukkan bahawa hadith ini didengari sendiri oleh Abu Hurayrah daripada Nabi s.a.w. [Muhammad Abu al-Layth al-Khayr 'Abadi (2009), op.cit., h. 282]. Namun, hadith ini tetap daif menurut Abu al-Layth kerana menurut Ibn Kathir hadith ini daif kerana bertentangan dengan al-Quran. Di dalam hadith tidak disebutkan berkaitan dengan penciptaan langit. Ia hanya disebutkan mengenai penciptaan bumi dan perkara yang bersangkutan dengannya sahaja dalam tujuh hari. [Ibn Kathir, Tafsir al-Quran al-`Azim, j. 2, h. 220].

Contoh lagi hadith daripada Muslim menerusi Rafi` bin Khadij secara marfu` iaitu:
شَرُّ الْكَسْبِ مَهْرُ الْبَغِىِّ وَثَمَنُ الْكَلْبِ وَكَسْبُ الْحَجَّامِ 
Menurut Abu al-Layth, riwayat ini semacam memperlekehkan profesion berbekam dan mengambil untung daripadanya, sedangkan Islam memuliakan segala pekerjaan yang baik. Berbekam adalah pekerjaan yang baik kerana termasuk dari jenis perubatan. Menurut Abu al-Layth, gambaran sebenar bagi berbekam ialah terdapat pada hadith yang lain yang menggambarkan bahawa berbekam adalah sebaik-baik pengubatan. Imam Bukhari dan Muslim meriwayatkan daripada Anas katanya:
احْتَجَمَ رَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- حَجَمَهُ أَبُو طَيْبَةَ فَأَمَرَ لَهُ بِصَاعَيْنِ مِنْ طَعَامٍ وَكَلَّمَ أَهْلَهُ فَوَضَعُوا عَنْهُ مِنْ خَرَاجِهِ وَقَالَ « إِنَّ أَفْضَلَ مَا تَدَاوَيْتُمْ بِهِ الْحِجَامَةُ أَوْ هُوَ مِنْ أَمْثَلِ دَوَائِكُمْ  
Berdasarkan hadih di atas maka para ulama menolak segala periwayatan yang mencela profesion berbekam kerana ianya bertentangan dengan tujuan syariat yang diturunkan kepada manusia. [Muhammad Abu al-Layth al-Khayr 'Abadi (2009), op.cit., h. 284]. 

Contoh hadith yang dikritik matannya di dalam Sahih Bukhari dan Muslim adalah seperti berikut iaitu hadith Anas yang berkaitan dengan peristiwa Israk:
أُسْرِىَ بِالنَّبِىِّ - صلى الله عليه وسلم - مِنْ مَسْجِدِ الْكَعْبَةِ جَاءَ ثَلاَثَةُ نَفَرٍ قَبْلَ أَنْ يُوحَى إِلَيْهِ ، وَهُوَ نَائِمٌ فِى مَسْجِدِ الْحَرَامِ
Menurut Abu al-Layth, hadith ini bertentangan dengan perkara makruf dan sabit berdasarkan fakta sejarah. Peristiwa Israk berlaku setelah 15 bulan baginda diutuskan menjadi Rasul. Ada yang mengatakan setahun sebelum penghijrahan ke Madinah. Ada yang mengatakan lima bulan setelah baginda diutuskan menjadi Rasul. Tiada khilaf di kalangan ahli sejarah bahawa Sayyadatina Khadijah r.ha. solat bersama-sama dengan baginda s.a.w. adalah setelah peristiwa Israk.  Sayyadatina Khadijah r.ha. meninggal sebelum peristiwa Hijrah ke Madinah. Oleh yang demikian, bagaimana dikatakan Israk berlaku sebelum diwahyukan al-Quran kepada baginda s.a.w. [Ibid., h. 284-285; Ibn Hajar, al-Fath, j. 13, h. 480; dan al-San`ani, Tawdih al-Afkar, j. 1, h. 130]. 

Kesimpulan
Berdasarkan kepada perbincangan mengenai kritikan terhadap matan hadith di atas bermakna kritikan terhadap matan hadith oleh para ulama terdapat pada dua perkara ini iaitu shadh dan `illah. Perbahasan yang berkaitan dengan shadh dan `illah masih berterusan hingga kini kerana tidak semestinya hadith sahih yang terdapat  di dalam Sahih Bukhari dan Muslim itu terlepas daripada kritikan  oleh ulama hadith kini terhadap matan dan isi kandungannya. Wallahua`lam.