Pages

Friday, 19 October 2012

Konsep Bina Jual Wajib Menurut Syarak

Saya amat bersetuju dengan keputusan kerajaan untuk melaksanakan konsep bina jual wajib kerana memberi keuntungan kepada pengguna. Pengguna selepas ini tidak lagi terjebak dengan projek rumah yang terbengkalai, tetapi pada masa sama perlu membayar kepada bank secara bulanan. Semoga hal ini akan terlaksana demi kebajikan pengguna. Dalam coretan ringkas ini, saya akan meniliti pandangan syarak mengenainya.

Kerajaan Mewajibkan Pemaju Perumahan Melaksanakan Konsep Bina Kemudian Jual

Dalam hal ini, saya melihat dari sudut maslahah kepada pembeli yang mahu memiliki rumah sendiri. Memiliki rumah merupakan satu keperluan kepada setiap individu terutama mereka yang sudah mendirikan rumah tangga. Seringkali kita dengar berita di mana projek perumahan terbengkalai dan mangsanya ialah pembeli. Berasaskan kepada fakta, sepanjang 2009 hingga 2012, sebanyak 178 projek perumahan diisytiharkan terbengkalai. Hal ini sekiranya dibiarkan berlaku secara berterusan maka akan menyebabkan pembeli dizalimi. Dizalimi kerana pembeli kena bayar kepada bank pada setiap bulan, tetapi tidak memiliki apa-apa dari pembayaran yang dilakukan. Hal ini merupakan mudarat yang besar kepada pembeli dan dilarang oleh agama. Oleh yang demikian, mewajibkan pemaju perumahan membina rumah terlebih dahulu  kemudian baru menjualnya kepada pembeli, maka dapat mengelakkan pembeli daripada dizalimi. 

Konsep dahulu yang dilaksanakan ialah pembeli dikehendaki membayar wang pendahuluan 10 peratus daripada harga rumah manakala bakinya dibayar apabila rumah siap dibina. Walaupun konsep ini dari sudut zahirnya bertentangan dengan konsep al-salam, namun pembayaran secara ansuran (al-taqsit) telah diterima oleh ulama kini. Dalam karya Fiqh Manhaji `Ala Madhhab Imam al-Shafi`i turut membenarkan pembayaran secara ansuran.  

Jual Beli al-Salam Menurut Syarak

Jual beli perumahan yang dilakukan adalah termasuk dalam bab jual beli al-salam iaitu barang jualan yang dinyatakan dengan jelas sifat-sifatnya, tetapi belum lagi disiapkan. Asalnya jual beli ini tidak dibenarkan oleh syarak kerana barang yang dijual masih tidak wujud, tetapi disebabkan keperluan masyarakat terhadap barang yang ingin dibeli itu, maka Nabi SAW menetapkan bahawa untuk melaksanakan jual beli al-salam, perlu menyatakan secara jelas barang yang ingin dibeli. Sekiranya barang yang ditempah telah siap tetapi tidak memenuhi sifat yang dinyatakan dalam akad, maka pembeli mempunyai hak khiyar sama ada ingin membatalkan jual beli itu, atau meneruskannya. 

Konsep Sekarang Adalah Rumah Telah Siap

Berlainan pula dengan jual beli perumahan yang ingin dilaksana oleh kerajaan nanti di mana rumah telah dibina, kemudian baru dijual. Apabila keadaan ini berlaku, maka barang yang ingin dijual telah ada dan tidak termasuk lagi dalam jual beli al-salam. Jual beli yang dilakukan adalah seperti biasa sebagaimana yang terdapat dalam buku fikah mengenai jual beli. Kemungkinan kaedah pembayaran yang akan dilaksanakan juga secara ansuran kerana faktor kos yang terlalu mahal. Sebagaimana yang telah dinyatakan di atas, pembayaran secara ansuran telah dibenarkan oleh ulama kerana keperluan masyarakat.

Penutup

Semoga konsep bina jual wajib yang ingin dilaksanakan oleh kerajaan nanti akan terlaksana dan para pembeli akan mendapat faedah dari konsep tersebut.

Wallahua`lam.  

No comments:

Post a Comment