Pages

Thursday, 8 December 2011

Hak Khiyar Dalam Isu Kepenggunaan di Malaysia: Satu Analisis


Abstrak
Isu yang berkaitan hak pengguna seringkali didiskusikan di media massa. Antara persoalan kepenggunaan yang dibincangkan ialah hal-hal yang bersabit dengan penipuan harga barang terhadap pengguna, barang yang tidak memenuhi kriteria yang dikehendaki oleh pembeli, dan sebagainya. Islam menggariskan beberapa hak penjual dan pembeli dalam membuat pilihan mengenai sesuatu produk. Antara hak yang diketengahkan menurut neraca Islam ialah satu elemen yang dipanggil sebagai khiyar. Khiyar ialah satu hak yang diberikan kepada penjual dan pembeli dalam meneruskan transaksi atau membatalkannya. Elemen ini begitu signifikan kepada hak pengguna bagi menyelamatkan mereka daripada terus ditipu oleh penjual yang tidak bertangungjawab. Objektif kertas kerja ini adalah untuk menganalisis jenis-jenis khiyar serta mendedahkan aplikasinya dalam isu kepenggunaan. Di samping itu, kertas kerja ini akan menganalisis hubungan antara Akta Kontrak 1950 dan Akta Perlindungan Pengguna 1999 dengan elemen khiyar yang mengandungi hak penjual dan pengguna. Metodologi kajian yang digunakan ialah metode komparatif iaitu membuat perbandingan antara undang-undang Islam berkaitan khiyar dengan akta-akta yang berkaitan dengan hak kepenggunaan. Hasil kajian mendapati bahawa khiyar al-‘ayb boleh diaplikasikan di dalam undang-undang di Malaysia disebabkan terdapat peruntukan yang begitu banyak di dalam akta-akta tersebut. Kajian ini mencadangkan bahawa konsep khiyar di dalam undang-undang Islam perlu diperluaskan lagi pengaplikasiannya agar ia menjadi satu unsur yang terpenting di dalam muamalah masyarakat Islam di Malaysia.
Pengenalan Mengenai Akta Kontrak Dan Akta Perlindungan Pengguna

Undang-undang Inggeris mula diperkenalkan di negeri-negeri Melayu melalui undang-undang dan keputusan hakim-hakim Inggeris di mahkamah-mahkamah pada masa itu. Penyerapan undang-undang Inggeris melalui keputusan-keputusan kehakiman adalah lebih awal daripada undang-undang itu sendiri.[1] Undang-undang yang pertama sekali diluluskan di Negeri-negeri Melayu Bersekutu dengan cara rasminya ialah Enakmen Undang-undang Sivil 1937.[2] Pada tahun 1951 Enakmen Undang-undag Sivil 1937 ini telah dikenakan juga kepada Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu melalui Ordinan Undang-undang Sivil (Perluasan) 1951.[3] Kemudian, kedua-dua undang-undang tersebut dihapuskan dan digantikan dengan Ordinan Undang-undang Sivil 1956 yang telah dilaksanakan di seluruh negeri-negeri tersebut dan Negeri-negeri Selat iaitu Pulau Pinang dan Melaka.[4]

Bagi Sabah dan Sarawak, setelah kedua-dua negeri ini masuk ke dalam Negara Malaysia, maka undang-undang yang digunakan di Sabah iaitu Ordinan Pemakaian Undang-undang 1951 dan Sarawak iaitu Ordinan Pemakaian Undang-undang 1949 telah digantikan dengan Akta Undang-undang Sivil 1956.[5] Akta ini menentukan bahawa apabila tidak ada peruntukan tentang sesuatu kes yang dibuat maka undang-undang Common Law Inggeris dan kaedah Equity yang ditadbirkan di England pada 7 April 1956 hendaklah diterima pakai di Semenanjung Malaysia.[6] Ini bermakna, setelah kejatuhan kerajaan Turki ‘Uthmaniyyah, Negara umat Islam benar-benar dijajah jiwa dan fizikal, sehinggakan undang-undang yang ingin dilaksanakan di dalam Negara mereka pun diganggu gugat.

Undang-undang Inggeris dijadikan rujukan utama dalam perundangan di Malaysia dan tiada sama sekali rujukan kepada undang-undang Islam seperti yang terdapat di dalam Majalah al-Ahkam al-‘Adliyyah[7] pada zaman pemerintahan Empayar Turki ‘Uthmaniyyah sebelumnya. Misalnya, sekiranya undang-undang tempatan berhubung dengan prinsip Undang-undang Perdagangan Inggeris tidak ada, maka seksyen 5(1) Akta Undang-undang Sivil 1956 (Semakan 1972) menyebutkan seperti berikut:

Dalam segala masalah atau isu yang timbul atau yang perlu diputuskan di dalam negeri-negeri selain Melaka dan Pulau Pinang mengenai undang-undang perkongsian, perbadanan, bank dan urusan bank, prinsipal dan ejen, pembawa melalui udara, darat dan laut, insurans laut, averej, insurans nyawa dan kebakaran dan mengenai undang-undang persaudaraan umumnya, undang-undang yang harus ditadbirkan hendaklah sama sebagai yang ditadbirkan di England dalam perkara yang sama pada tarikh berkuatkuasa Akta ini…[8]
Ordinan Kontrak (Negeri-negeri Melayu) 1950 (Contracts (Malay States) Ordinance 1950) merupakan salah satu cabang daripada undang-undang perdagangan seperti di atas. Ordinan ini kemudiannya disemak pada tahun 1974 supaya diterima pakai di seluruh Malaysia dan dinamakan sebagai Akta Kontrak 1950 (Disemak 1974).[9]

Undang-undang berhubung dengan penjualan barang adalah juga satu cabang daripada undang-undang perdagangan. Oleh sebab Pulau Pinang, Melaka, Sabah dan Sarawak tidak mempunyai undang-undang sedemikian, maka melalui seksyen 5(2) Akta Undang-undang Sivil 1956, Undang-undang Jualan Barang Inggeris (Sale of Goods Act, 1893) dilaksanakan di negeri-negeri tersebut. Manakala bagi negeri-negeri lain menggunakan undang-undang tempatan iaitu Ordinan Jualan Barang (Negeri-negeri Melayu) 1957 (Sale Goods (Malay State) Ordinance 1957) yang dibuat berdasarkan daripada Sale of Goods Act, India.[10]

Dilihat dari sudut tarikh diwujudkan Akta Perlindungan Pengguna dan Akta Kontrak maka Akta Perlindungan Pengguna terkemudian daripada Akta Kontrak. Anta Kontrak diwujudkan pada tahun 1974 manakala Akta Perlindungan diwujudkan pada tahun 1999.[11] Akta Perlindungan Pengguna diwujudkan lebih kepada untuk menjaga hak pengguna daripada diperdayakan oleh penjual dalam urusan jual beli. Melihat kepada bahagian II akta ini, maka ianya menyebutkan salah satu tajuk yang berbunyi: “perlakuan mengelirukan dan memperdaya, representasi palsu dan amalan tak saksama”, menunjukkan dengan jelas bahawa akta ini sememangnya ingin menjaga hak pengguna daripada diperdayakan oleh penjual dalam urusan jual beli.

Walaupun Akta Perlindungan Pengguna khas diwujudkan untuk menjaga hak pengguna, tetapi dari sudut perlaksanaannya, tidak sepenuhnya terlaksana untuk menjaga hak pengguna. Ini disebabkan oleh masalah pengguna itu sendiri yang kurang bekerjasama dalam meningkatkan tahap perlindungan pengguna. Selain itu, perlindungan undang-undang tidak diberikan perhatian yang sewajarnya. Oleh yang demikian, di dalam salah satu artikel oleh Mohaji bin Selamat yang bertajuk: “Urusan Jual beli: Pengguna Masih Tidak Terlindung”, menyarankan dua perkara yang penting yang perlu dilakukan oleh rakyat Malaysia dan para pemerintah iaitu 1) semua pihak termasuk pengguna perlu bekerjasama dalam meningkatkan tahap perlindungan pengguna di negara ini dan 2): penekanan terhadap pelaksanaan undang-undang yang ada juga perlu dipertingkatkan supaya pengguna tidak teraniaya.[12]  

Di dalam Islam, terdapat satu perkara yang dibincangkan untuk menjaga hak penjual dan pembeli dalam urus niaga mereka. Di dalam perbahasan berkaitan dengan khiyar, terdapatnya unsur-unsur yang boleh disesuaikan dengan akta kontrak dan akta pengguna seperti yang termaktub di dalamnya. Melihat kepada kesesuaian yang wujud antara undang-undang Islam dan undang-undang di Malaysia berdasarkan akta yang digubal adalah begitu penting kerana undang-undang yang dilaksanakan di Negara ini adalah berdasarkan kepada peruntukan akta yang telah digubal itu. Persoalan yang timbul ialah apakah memungkinkan untuk dilaksanakan konsep khiyar sepenuhnya di Malaysia berdasarkan kepada peruntukan yang ada di dalam Akta Kontrak mahupun Akta Pengguna?
 
Konsep Khiyar Dalam Islam

Secara bahasa khiyar bererti pilihan. Khiyar umumnya merujuk kepada jenis hak tertentu merangkumi dua pihak iaitu pembeli dan penjual  untuk mengesahkan sesuatu kontrak atau membatalkan kontrak  tersebut[13]. Kebiasaannya penentuan khiyar ini berdasarkan harga yang dipersetujui oleh kedua-dua belah pihak.[14] Persetujuan kedua-dua belah pihak ini haruslah berada dalam sesuatu majlis akad untuk berunding dan fokus kepada urusan jual beli tersebut selagi mereka belum beredar daripada sesuatu tempat perundingan jual beli tersebut[15]. Dalam kitab Kifayah Akhyar, Imam Taqiuddin Abu Bakr bin Muhammad al-Husayni menyebut bahawa khiyar bagi dua orang pembeli dan penjual adalah selagi mana mereka tidak berpisah dalam urusan jual beli tersebut[16]. Beliau menambah lagi bahawa syarat berpisah tersebut adalah selama tiga hari[17].

Sebenarnya khiyar disyariatkan adalah untuk memenuhi kepentingan transaksi perniagaan dalam hukum Islam. Kepentingan ini meliputi penjagaan kemaslahatan dan kerelaan kedua belah pihak yang melakukan kontrak dan melindungi mereka dari kemungkinan bahaya yang akan merugikan perniagaan mereka kelak. Ulama  telah membahagikan khiyar ini kepada beberapa jenis. Imam Hanafi membahagikan kepada tujuh belas jenis, Shafi‘i enam belas, Hanbali lapan jenis dan Maliki dua jenis[18]. Manakala empat khiyar utama yang akan dirungkaikan dalam kertas kerja ini ialah Khiyar Majlis, Khiyar Syarat, Khiyar Aib, dan Khiyar Rukyah.

i.                    Khiyar Majlis
Khiyar majlis merujuk kepada hak pilihan ketika dalam majlis[19]. Ia dieertikan dengan hak bagi kedua belah pihak, antara penjual dan pembeli untuk melangsungkan jual beli atau membatalkannya selama masih berada di tempat ( majlis ) jual beli itu. Apabila keduanya berpisah dari majlis tersebut, maka hilanglah hak khiyar ini sehingga perubahan tidak dapat dilakukan lagi[20].
ii.                  Khiyar Syarat
Khiyar syarat merupakan suatu pilihan yang telah ditetapkan syarat dalam sesuatu kontrak. Ia memberikan hak kepada salah satu, atau kedua-duanya atau kepada pihak ketiga untuk mengesahkan atau membatalkan sesuatu kontrak dalam sesuatu tempoh masa[21].  Pada dasarnya khiyar ini memberi tempoh masa tersebut supaya penilaian semula faedah dan kos terlibat dapat dilakukan dalam sesuatu kontrak tersebut. Imam shafie dan imam Abu Hanifah mengehadkan tempoh khiyar syarat hanya kepada tiga hari, manakala Imam Ahmad Ibn Hanbal tidak menetapkan limitasi tempoh tersebut[22].


iii.                Khiyar Aib
Khiyar Aib ialah hak untuk membatalkan atau meneruskan jual beli barang bagi pihak yang berakad. Hal ini terjadi jika sesuatu barang yang dibeli mengalami kecacatan atau kerosakan, maka penjual berhak mengembalikan wang yang diberi oleh pembeli tersebut[23].Dalam jual beli, Islam mensyaratkan kesempurnaan dalam amalan perniagaan dan melarang berjual beli dengan amalan yang salah yakni batil[24].

iv.                Khiyar Rukyah

Khiyar rukyah ialah hak membuat pilihan yang diberi kepada pembeli sama ada ingin meneruskan kontrak atau membatalkannya apabila telah melihat barang jualan yang tidak dilihatnya semasa melakukan akad[25]. Mazhab Hanafi menggariskan jual beli barangan yang tidak nampak sah di sisi hukum. Mereka berpendapat risiko pembeli adalah minimum kerana jika barangan sudah sampai, maka pembeli berhak untuk membuat pilihan barangan yang dilihatnya[26]. Imam Shafi‘i pula tidak bersetuju kerana transaksi sebegitu terdapat gharar yang tidak diketahui risikonya[27].


Walaupun majoriti Fuqaha berpandangan khiyar ialah perjanjian membeli atau menjual sesuatu barangan pada harga tertentu dalam tempoh masa yang ditetapkan[28] dan merupakan sesuatu transaksi yang sah di sisi undang-undang tertakluk kepada kebenaran produk tersebut,[29] namun ia masih mempunyai ruang perbahasan yang panjang berkenaan konsep dan amalan khiyar yang dilaksanakan terutamanya di negara ini.

Akta Kontrak Dan Akta Perlindungan Pengguna Serta Kaitannya Dengan Hak Khiyar

Berdasarkan Akta Kontrak, Akta Perlindungan Pengguna serta konsep khiyar yang telah dikemukakan di atas, maka perbahasan seterusnya adalah melihat dari sudut ruang-ruang yang ada di dalam akta-akta tersebut untuk diamalkan khiyar di dalamnya. Antara konsep terpenting di dalam khiyar ialah hak yang diberikan kepada pengguna atau penjual untuk membatalkan transaksi yang dijalankan oleh mereka. Pembatalan transaksi itu sama ada terikat dengan tempoh tertentu, atau kerana adanya kecacatan pada barang yang dijual beli. Pengguna dan penjual dalam hal ini diberikan hak sepenuhnya di dalam Islam untuk membatalkan transaksi yang dijalankan selagi mana ianya memenuhi kriteria yang telah ditetapkan oleh Islam mengenainya.

Melihat pada Akta Kontrak 1950 pada bahagian 5, disebutkan bahawa: “sesuatu cadangan boleh dibatalkan pada bila-bila masa sebelum komunikasi penerimaannya adalah lengkap terhadap pencadang, tetapi tidak selepasnya”.[30] Sekiranya ingin diaplikasikan dalam khiyar, maka ianya adalah dirujuk kepada mazhab Hanafi dan Maliki dalam konteks transaksi yang berlaku antara penjual dan pembeli. Hak khiyar yang dimaksudkan ialah khiyar al-qabul dan khiyar al-rujuyang merujuk kepada proses tawar-menawar antara kedua-dua pihak sebelum akad dimeteraikan. Ini bermakna, pembatalan transaksi sudah tidak boleh dilakukan apabila telah sempurna ijab dan qabul. Ianya berbeza dengan mazhab Shafi‘i dan Hanbali yang mengiktiraf akan adanya hak khiyar al-majlis walaupun ijab dan qabul telah sempurna dilakukan, selagi mana penjual dan pembeli masih berada di dalam majlis akad. Berdasarkan kepada fiqh al-hadith mengenai khiyar al-majlis, pandangan yang dikemukakan oleh mazhab Shafi‘i dan Hanbali dilihat oleh ramai ulama adalah lebih menepati maksud yang dikehendaki oleh hadith Nabawi. Ini bermakna, peruntukan pembatalan jual beli yang terdapat di dalam akta kontrak adalah tidak dapat diaplikasikan konsep khiyar al-majlis di dalamnya. Hak khiyar yang dapat diaplikasikan hanyalah khiyar al-qabul dan khiyar al-rujuseperti yang terdapat di dalam mazhab Hanafi dan Maliki.

Lanjutan kepada tiadanya ruang khiyar al-majlis dilaksanakan dalam undang-undang kontrak di Malaysia, maka khiyar al-shart turut menerima nasib yang sama. Sekiranya diperhatikan kepada peruntukan yang terdapat di dalam akta kontrak, maka ianya begitu berbeza dengan konsep khiyar al-shart yang dibincangkan oleh para ulama mengenainya. Di dalam khiyar al-shart, penjual dan pembeli diberikan tempoh tertentu seperti tiga hari untuk membatalkan transaksi jual beli. Sekiranya tempoh yang diberikan itu sudah berlalu, lalu tiadanya pembatalan jual beli, maka dengan sendirinya jual beli itu menjadi sah dan sempurna. Penjual dan pembeli pula tiada ruang selepas itu untuk membatalkan jual beli tanpa persetujuan antara kedua-dua pihak. Namun, berdasarkan kepada akta kontrak, lain pula yang berlaku iaitu apabila tempoh masa yang telah ditetapkan telah tamat, manakala pembatalan terhadap jual beli masih tidak dilakukan, maka dengan sendirinya jual beli itu terbatal. Ianya disebutkan di dalam akta kontrak bahagian 6 (b) seperti berikut: “sesuatu cadangan adalah dibatalkan dengan luputnya waktu yang telah ditetapkan dalam cadangan itu mengenai penerimaannya, atau, bila waktu tidak ditetapkan sedemikian, dengan luputnya waktu yang munasabah, tanpa komunikasi penerimaan itu.[31] Walaupun akta yang dikemukakan ini menampakkan seolah-olah pembeli masih tidak menerima akad yang ditawarkan oleh penjual, tetapi dari sudut amalan jual beli yang masyhur, apabila tempoh diberikan dalam jual beli, bermakna salah satu pihak memerlukan tempoh untuk mengesahkan jual beli yang ingin dilaksanakan. Ini bermakna, ia bukan tidak mahu menerima transaksi yang dilakukan, tetapi mahukan tempoh untuk memikirkan sama ada ingin meneruskan jual beli atau membatalkannya. Di dalam undang-undang Islam, sekiranya pembeli tidak melakukan pembatalan terhadap transaksi dalam tempoh yang ditetapkan, maka jual beli itu dikira sah. Berbeza pula dengan Akta Kontrak 1950, sekiranya pembeli tidak melakukan sebarang tindakan yang menunjukkan bahawa ia menerima jual beli itu, maka dengan sendirinya jual beli terbatal menurut peruntukan akta.

Mengenai konsep khiyar al-‘ayb pula, maka ianya dilihat oleh penulis mempunyai ruang yang cukup luas untuk diaplikasikan di Malaysia, kerana ianya terdapat di dalam peruntukan akta di Malaysia. Sekiranya diperrhatikan kepada Akta Perlindungan Pengguna 1999, maka sebahagian besar peruntukan yang terdapat di dalamnya berkaitan dengan pengawalan terhadap kualiti barangan yang ingin dijual oleh pembekal. Misalnya pada bahagian kedua di bawah tajuk: “Perlakuan Mengelirukan Dan Memperdaya, Represantasi Palsu Dan Amalan Tidak Saksama”, seksyen ke-10(1)(a) memperuntukan kenyataan yang berbunyi: “Tiada seorang pun boleh membuat representasi palsu atau mengelirukan-bahawa barang itu adalah daripada jenis, standard, kualiti, gred, kuantiti, komposisi, gaya atau model tertentu.[32] Jelaslah menerusi peruntukan ini bahawa tiada sesiapa yang boleh membuat penipuan terhadap kualiti barang yang ingin dijual. Sekiranya penipuan dilakukan terhadap barang yang diperjualkan, maka tindakan mahkamah boleh diambil.
   
Bagi perbahasan selanjutnya, maka penulis memilih beberapa permasalahan transaksi jual beli, dengan melihat aplikasi khiyar yang boleh dilaksanakan di dalamnya. Perkara yang diberi penumpuan dalam hal ini ialah menerusi urus niaga harian umat Islam di Malaysia yang merangkumi jual beli di pasaraya dan jual beli rumah. Kedua-dua contoh transaksi merupakan transaksi yang seringkali dilakukan oleh masyarakat Islam di Malaysia. Di akhir perbahasan maka akan dianalisis satu topik khusus yang membincangkan mengenai perbandingan antara konseop khiyar al-‘ayb dengan peruntukan gerenti yang terdapat di dalam akta Malaysia. Ini dilakukan berdasarkan kepada peruntukan gerenti yang hampir menyamai konsep khiyar al-‘ayb di dalam undang-undang Islam.
     
Isu Jual Beli Semasa di Pusat Membeli Belah : Penyelesaian melalui Transisi Khiyar

Transaksi jual beli di pusat membeli belah samada melibatkan premis yang melibatkan jual beli dalam urusniaga yang berskala besar dan kecil adalah merupakan salah satu transaksi yang paling besar dan paling kerap dilaksanakan kini, yang melibatkan semua peringkat. Walaupun pada asasnya kepelbagaian transaksi jual beli khasnya dalam pusat membeli belah telah memenuhi hak kepenggunaan antaranya ialah hak untuk mendapatkan keperluan asas[33], namun telah menimbulkan pelbagai masalah dan polemik yang menuntut pihak berwajib melestarikan hak pengguna dalam pelbagai matra demi untuk menjamin hak-hak sebagai pengguna dipelihara.
Sebagai contoh, aduan yang telah diterima oleh Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC)[34] dari tahun 2010 sehingga Oktober 2011, didapati sebanyak 107 aduan yang telah direkodkan dan berdasarkan telahan penulis mendapati hampir 90 peratus aduan yang diterima melibatkan transaksi jual beli di pasar raya. Antara permasalahan yang timbul ialah isu harga barang[35], kualiti jaminan sesuatu barang yang dibeli[36], perlanggaran kontrak[37] dan banyak lagi.

Justeru dalam persoalan ini, penulis tidak akan membincangkan semua permasalahan yang timbul, sebaliknya hanya memilih satu isu yang paling kerap berlaku dalam transaksi jual beli di pasar raya iaitu yang melibatkan jaminan kualiti sesuatu barangan. Ini kerana isu ini boleh dikatakan satu fenomena songsang dalam jual beli di Malaysia khasnya. Sebagai contoh, apabila seorang pembeli ingin membeli sesuatu barangan misalnya setin susu, dan setelah pembayaran dilakukan, didapati kandungan susu tersebut telah rosak walaupun label tarikh luput yang tertera menunjukkan barangan tersebut masih sesuai untuk digunakan. Manakala dalam situasi yang berasingan,  terdapat juga barangan yang tidak selaras dengan nilai yang telah dibelanjakan. Aduan berikut menggambarkan situasi sebenar yang berlaku;

“Pada 26 hb Dis 2010 saya telah pergi membeli belah ke Pasar raya . Semasa itu saya telah  singgah di sebuah kedai kain di dalam Pasar raya tersebut. Saya telah  membeli dua helai kemeja T yang dikatakan berjenama dan kualiti baik. Saya telah membeli  dua helai kemaja T dengan harga RM 179.80 dan Rm 89.90. Pada hari yang ketiganya saya telah meminta isteri saya mencuci kedua- dua helai bajunya . Saya terkejut dan hairan  mendapati kedua-dua kemeja T tersebut kendur dan warnanya pula pudar.Pada 30hb Dis 2010 dan 07 jan 2011 saya telah Pergi kekedai tersebut untuk mendapatkan jawapan disebabkan . Saya  tidak mendapat apa-apa jawapan yang munsabah”.[38]
Dalam hal ini, pengguna berhak untuk menuntut ganti rugi berdasarkan kelemahan mahupun kecacatan yang terdapat pada barangan yang telah dibeli. Namun situasi yang membelenggu dalam transaksi jual beli di pasar raya pada hari ini bukan sahaja memarginalisasikan pengguna malah tidak mengendahkan tuntutan terhadap hak pengguna sebaliknya meletakkan kesilapan dan kekurangan terhadap pengguna secara mutlak.

Justeru jika dilihat dalam konteks muamalat Islam, konsep khiyar[39] adalah merupakan indikasi terbaik sebagai solusi dalam masalah yang timbul dalam transaksi jual beli. Manakala dalam situasi di atas, konsep khiyar al-‘ayb[40] adalah sebagai jalan penyelesaian yang menjamin hak pengguna dalam bermuamalah. Apa yang jelas, sekiranya barang yang terikat dalam transaksi tidak memenuhi kegunaan asalnya dan mengurangkan nilai pasarannya atau tidak memenuhi syarat kegunaan yang sepatutnya, maka ketika itu pengguna yang ‘berkontrak’ mempunyai khiyar al-‘ayb. Manakala dalam mazhab Maliki, pilihan ini juga dinamakan Khiyar al-Naqisah’. Ini kerana kecacatan yang terdapat dalam situasi di atas telah jelas mengurangkan nilai barang tersebut. Sudah menjadi kaedah umum bahawa pengkhianatan atau penipuan tidak boleh wujud dalam urusan jual beli. Ini menjamin keselamatan dalam aspek jual beli. Keselamatan tidak akan wujud sekiranya terdapat kecacatan mahupun kekurangan dalam penjualan sesuatu barang.

Dalam situasi ini, peruntukan Akta Perlindungan Pengguna 1999 di bawah seksyen 32 (1), (2), (3), (4) dan sekseyn 68 (1), (2) juga menjadi batu asas melindungi hak pengguna yang mana dikatakan :

“Jika barang dibekalkan kepada pengguna, maka hendaklah tersirat suatu gerenti bahawa barang itu adalah daripada kualiti boleh diterima, [41] ; Jika apa-apa kerosakan disebabkan keseluruhannya atau sebahagiannya oleh kecacatan pada sesuatu keluaran, orang yang berikut hendaklah menanggung liabiliti bagi kecacatan itu[42]
Justeru konklusi secara makro, Khiyar al-‘Ayb telah menginterpretasikan kesempurnaan muamalat Islam. Ini kerana kesempurnaan sesuatu barang adalah penting dalam kontrak jual beli demi untuk menjamin kepuasan dan kepentingan kedua-dua pihak (penjual dan pembeli) dan juga mengimbangi kecacatan sesuatu barangan. Perlu diingat bahawa tegahan Allah s.w.t yang dirakamkan melalui Surah al-Nisa’ ayat 29 jelas menunjukkan larangan pengambilan wang secara haram dan memerintahkan supaya manusia melakukan perniagaan secara redha meredhai.[43]

Hak Khiyar Dalam Jual Beli Rumah
Dalam urusan jual beli rumah yang dilaksanakan di negara ini, antara kontrak yang biasa digunakan adalah al-bay‘ bi thaman ’ajil[44]. Kontrak ini adalah suatu alternatif kepada pembeli untuk mendapatkan pembiayaan perumahan secara Islam. Secara ringkasnya, jual beli rumah menggunakan prinsip al-bay‘ bi thaman ’ajil bermaksud pihak bank membeli aset tersebut daripada pihak pemaju perumahan dengan harga yang tertentu kemudian menjual semula rumah tersebut kepada pelanggan pada harga yang ditambah keuntungan, dan pelanggan akan menjelaskan bayaran dalam tempoh yang ditetapkan secara ansuran.[45]

Manakala dalam amalan perbankan Islam di Malaysia pula, terdapat tiga perjanjian utama yang perlu ditandatangani.[46] Pertama, pihak pembeli dan syarikat pemaju perumahan akan menandatangani dokumen Perjanjian Jual Dan Beli (Sale and Purchase Agreement, SPA). Urusan ini mengkehendaki pembeli untuk membayar sebanyak 10 peratus daripada harga rumah kepada syarikat pemaju perumahan sebagai tanda pembeli mempunyai hak terhadap rumah tersebut. Selepas itu, pembeli akan menandatangai dokumen Perjanjian Pembelian Harta (Property Purchase Agreement, PPA) dengan pihak bank di mana bank akan membeli aset tersebut daripada pembeli dan dalam masa yang sama, kedua-duanya akan menandatangani Perjanjian Jualan Harta (Property Sale Agreement, PSA)[47] di mana pihak bank akan menjual semula rumah tersebut dengan harga ditambah keuntungan menggunakan akad al-bay‘ bi thaman ’ajil.

Apabila diteliti dalam transaksi urusniaga di atas, timbul beberapa isu dan masalah berhubungkait dengan jual beli rumah apabila berlaku kerosakan. Ini disebabkan kontrak jual beli rumah yang menggunapakai prinsip al-bay‘ bi thaman ’ajil hanya melibatkan urusniaga di antara pihak bank dan pembeli serta tidak melibatkan pihak pemaju perumahan. Hal ini berikutan pihak bank telah memperoleh pemilikan penuh selepas membeli rumah tersebut daripada pembeli sepertimana yang ditandatangani dalam dokumen PPA dan kemudian menjual semula kepada pembeli menggunakan kontrak al-bay‘ bi thaman ’ajil. Apa yang menjadi isu disini adalah pihak mana yang sepatutnya bertanggungjawab terhadap kerosakan rumah tersebut.

Oleh yang demikian, konsep khiyar al-‘ayb[48] dilihat sebagai jalan penyelesaian kepada permasalahan ini. Pembeli sebenarnya tidak perlu menetapkan satu perjanjian khas berkenaan khiyar al-‘ayb semasa kontrak dimeterai.[49] Akan tetapi khiyar al-‘ayb ini hanya dapat dilaksanakan berdasarkan kepada beberapa keadaan iaitu kecacatan itu berlaku sebelum penerimaan oleh pembeli, kecacatan itu tidak diketahui semasa akad jual beli dan tidak disyaratkan oleh penjual supaya pembeli melihat terlebih dahulu aset tersebut.[50] Sekiranya pembeli telah dijelaskan oleh penjual mengenai kecacatan terhadap aset tersebut dan pembeli tidak membantah, penjual dianggap telah lepas daripada tanggungjawabnya.

Berdasarkan peraturan khiyar al-‘ayb, pihak bank sebagai penjual sepatutnya bertanggungjawab ke atas kerosakan rumah yang dijual. Walaubagaimanapun, dalam amalan jual beli rumah secara realiti menunjukkan bahawa pihak bank tidak memegang tanggunjawab tersebut. Ini jelas dalam dokumen PSA yang ditandatangani menyatakan bahawa pihak bank dikecualikan daripada segala tanggungjawab apabila berlaku kerosakan terhadap rumah yang dijual. Akan tetapi hak bagi pembeli ini secara tidak langsung telah termaktub dalam Akta Perlindungan Pengguna 1999 di mana telah disebut di bawah seksyen 68 (1) :

Jika apa-apa kerosakan disebabkan keseluruhannya atau sebahagiannya oleh kecacatan pada sesuatu keluaran, orang yang berikut hendaklah menanggung liabiliti bagi kecacatan itu ; (a) Pengeluar keluaran itu. (b) orang yang dengan meletakkan namanya pada keluaran itu atau menggunakan suatu cap dagangan atau cap bembeza yang lain berhubung dengan keluaran itu, telah mengemukakan dirinya sebagai pengeluar keluaran itu. (c) orang yang dalam perjalanan perniagaannya telah mengimport keluaran itu ke dalam Malaysia untuk membekalkannya kepada orang lain.
Jelas di sini bahawa pihak bank sebagai pemilik rumah tersebut seharusnya memegang tanggungjawab sebagai penjual di mana sekiranya berlaku apa- apa kerosakan terhadap rumah tersebut, pembeli mempunyai hak khiyar sama ada ingin membatalkan kontrak jual beli atau menuntut bayaran ganti rugi daripada pihak bank.

Khiyar al-‘Ayb Serta Perbandingannnya Dengan Gerenti

Gerenti bermaksud jaminan atau tanggungan. Jika berlaku sebarang kerosakan pada barang yang dibeli dalam masa yang ditetapkan, maka pihak penjual akan menanggung kerosakan barangan tersebut samada menggantikannya atau memberikan servis membaiki barangan yang rosak tersebut. Kebiasaannya, tempoh masa gerenti adalah ditetapkan oleh pihak penjual barangan bergantung kepada barangan tersebut, begitu juga dengan barangan-barangan atau komponen-komponen tertentu di dalam setiap satu barangan yang ditetapkan oleh penjual akan gerentinya. Manakala pihak pembeli tidak mempunyai sebarang hak di dalam menetapkan apa-apa syarat di dalam gerenti tersebut.

Dalam perbincangan mengenai khiyar al-‘ayb, kebanyakan hukum Islam meletakkan jika terdapat kecacatan pada barang tersebut, maka atas kondisi tertentu ianya adalah samada dipulangkan barang itu dan mengambil duitnya kembali, mengambil separuh harga barang yang cacat, atau sebagainya. Namun dengan adaya gerenti daripada pihak penjual, maka kepuasan pembeli terhadap pembelian barangan tersebut menjadi lebih terjamin. Hakikatnya gerenti tidak ditawarkan untuk barangan yang biasa kita temui di dalam kitab-kitab fiqh silam seperti buah-buahan, sayur-sayuran, binatang ternakan dan pelbagai lagi. Namun kecanggihan barangan teknologi pada masa kini memerlukan kepada gerenti untuk menjamin kepuasan pembeli dan merupakan suatu jaminan produk daripada penjual sehingga dapat meyakinkan pembeli akan kualiti barang yang dijualnya.

Persoalan khiyar yang dibincangkan di dalam kitab fiqh silam menyebut tentang pemulangan semula barangan yang ada kecacatan dan penerimaan semula wang. Namun pada zaman kini, khiyar tidak hanya tertakluk kepada penerimaan atau pembatalan akad semata-mata, namun juga servis barangan yang diberikan jaminan, samada secara percuma atau separuh harga ataupun penggantian barang yang baru. Perkara ini lebih menjamin kepuasan pembeli dan penjual bersama di dalam urusan kontrak jual beli.

Pada masa kini, penggunaan khiyar sesama penjual dan pembeli harus disertakan bersama dengan penguatkuasaan undang-undang. Ini bagi menjamin kebajikan golongan pengguna daripada menjadi mangsa penipuan penjual yang tidak bertanggungjawab. Di dalam Akta Perlindungan Pengguna 1999, banyak sekali terdapat unsur yang menjaga dan melindungi pengguna daripada menjadi mangsa di dalam sesuatu kontrak jual beli. Bahagian V[51] sehingga bahagian IX[52] memperuntukkan dengan khusus berkenaan dengan gerenti yang akan menjadi topik perbincangan komparatif dengan khiyar.
 
Bahagian V menjelaskan jenis-jenis gerenti yang perlu diberikan oleh pihak penjual barang terhadap barangan jualannya yang terangkum seperti gerenti tersirat mengenai hakmilik[53], gerenti tersirat mengenai kualiti boleh terima[54], gerenti tersirat mengenai kesesuaian bagi maksud tertentu[55], gerenti tersirat bahawa barang mematuhi perihal[56], gerenti tersirat bahawa barang mematuhi sampel[57], gerenti tersirat mengenai harga[58], gerenti tersirat mengenai pembaikan dan barang ganti[59], gerenti nyata pengilang[60].
Jika dinilai kesemua seksyen-seksyen dan sub-subseksyen yang diperuntukkan di dalam akta Perlindungan Pengguna 1999, ternyata ianya dapat dikatakan menepati konsep khiyar aib yang diperuntukkan di dalam hukum Islam seperti yang termaktub di dalam kitab-kitab fiqh muktabar empat mazhab. Di dalam bahagian VI, seksyen 41 dan 42 misalnya menjelaskan bahawa :

41. (1) Jika pengguna mempunyai hak tebus rugi terhadap pembekal di bawah Bahagian ini berkenaan dengan kegagalan apa-apa barang untuk mematuhi gerenti di bawah Bahagian V, pengguna itu boleh menggunakan remedi yang berikut:
(a) jika kegagalan itu ialah kegagalan yang dapat dibetulkan, pengguna boleh menghendaki pembekal membetulkan kegagalan itu dalam masa yang munasabah mengikut seksyen 42; dan
(b) jika kegagalan itu ialah kegagalan yang tidak dapat dibetulkan atau bersifat substansial mengikut pengertian seksyen 44 pengguna boleh—
(i) tertakluk kepada seksyen 43, menolak barang itu mengikut seksyen 45; atau
(ii) mendapatkan ganti rugi daripada pembekal sebagai pampasan bagi apa-apa penurunan nilai barang itu ke bawah harga yang telah dibayar atau kena dibayar oleh pengguna bagi barang itu.

(2) Sebagai tambahan kepada remedi di bawah subseksyen (1), pengguna boleh mendapatkan ganti rugi daripada pembekal bagi apa-apa kerugian atau kerosakan yang ditanggung oleh pengguna, selain kerugian atau kerosakan oleh sebab penurunan nilai barang itu yang terbukti sebagai hasil atau akibat daripada kegagalan itu.

Peruntukan untuk menolak barang tersebut dengan samada memulangkan kembali duit[61], atau mendapat harga kerugian penurunan harga barang[62] juga merupakan antara yang dibincangkan di dalam fiqh Islam. 
Keperluan pemulangan barang, di bawah seksyen 45. Ini juga dibincangkan di dalam hukum Islam seperti jenis barang yang perlu dipulangkan dan tidak perlu dipulangkan[63], serta ke atas siapa perbelanjaan pemulangan barang tersebut[64], namun penjelasan di dalam akta adalah dalam konteks zaman moden kini berkenaan perbelanjaan barang itu untuk dipulangkan jika ianya sukar dipulangkan dan membabitkan perbelanjaan yang banyak kepada pembeli.
  
Seksyen 43 pula menyatakan kehilangan hak pengguna untuk menolak barang yang disebabkan oleh beberapa perkara. Jika dilihat kepada perbahasan syarat pemulangan barang aib keempat-empat mazhab, nyata bahawa mereka menilai sesuatu keaiban tertakluk kepada jenis barang itu samada ianya haiwan, hamba dan sebagainya yang mana aib tersebut adalah merupakan perkara yang kebiasaannya tidak terjadi kepada barang itu[65], aib itu berlaku setelah atau selepas penerimaan barang dan siapa yang mengaibkannya[66] ataupun maksud asal daripada pembelian barang itu tidak tercapai.[67]

Kesimpulannya, walaupun peruntukan di dalam Akta Perlindungan Pengguna 1999 tidak secara menyeluruh mengikut apa yang telah ditetapkan oleh para fuqaha silam mengenai khiyar aib, namun kaedah yang dirasakan perlu terutama terhadap barangan moden seperti alat-alat elektronik misalnya tetap masih menepati konsep khiyar yang ditetapkan di dalam Islam di dalam mendepani arus semasa di dalam aspek fiqh muamalat. Namun begitu, dari masa ke semasa, peruntukan di dalam akta perlu untuk dikemaskini dan diperbaharui seiring dengan tuntutan masa dan keadaan bagi menjamin kebajikan pengguna daripada ditindas dan menjadi mangsa kepada penjual yang mengambil kesempatan di sebalik akta yang ada.[68] Gabungan beberapa hukum fiqh setiap mazhab adalah amat perlu untuk menjaga hak-hak pengguna terutama di dalam peruntukan undang-undang di Malaysia yang akan menjaga kebajikan pengguna dan sekaligus meletakkan fiqh kepenggunaan sebagai suatu rujukan di dalam isu kepenggunaan bukan setakat melibatkan umat Islam namun seluruh lapisan masyarakat.

Penutup

Akhirnya, penelitian menunjukkan bahawa aplikasi konsep khiyar di dalam enakmen dan akta adalah tidak menyeluruh dengan tidak memperuntukkan tentang khiyar syarat dan khiyar majlis dan hanya menepati konsep khiyar aib sahaja. Sedangkan kajian ini juga menunjukkan terdapat banyak isu yang timbul kepada pengguna di berbagai peringkat yang perlu untuk diberikan penyelesaian mengenainya.

Islam telah memberikan solusi terbaik bagi menjamin kesejahteraan kehidupan manusia dalam segala aspek. Hal ini tidak dapat disangkal lagi. Pada masa ini pemerkasaan undang-undang di dalam kontrak jual beli perlu untuk diperluaskan dan merujuk kepada undang-undang kontrak sebagaimana yang diperuntukkan di dalam hukum Islam bagi tujuan mengoptimumkan kebajikan kedua belah pihak yang melakukan transaksi jual beli.

Walaubagaimanapun, realiti semasa perlu diambilkira di dalam mengimplementasikan hukum Islam untuk diamalkan. Maqasid al-Syariah perlu digunakan untuk memastikan maslahah tercapai ke atas pengguna dan penjual serta menolak mafsadah dari mereka serta dapat merealisasikan keadilan sejagat yang merupakan antara maksud Syarak yang begitu penting untuk dipelihara.


[1] Mohd. Ali Bin Haji Baharum (1999), op.cit., h. 2 dan Anwar Ahmad Qadri (1968), Justice In Historical Islam. Lahore: Pakistan, h. 9.
[2] Ibid.
[3] Ibid., h. 10.
[4] Ibid.
[5] Ibid.
[6] Ibid.
[7] Majalah al-Ahkam al-‘Adliyyah merupakan undang-undang sivil Islam yang pertama pernah dikodifakasi dalam bentuk moden. Majalah ini sedikit sebanyak memainkan peranan penting dalam penbentukan undang-undang sivil bagi kebanyakan Negara-negara Islam di Timur Tengah. Majalah al-Ahkam al-‘Adliyyah mula digubal pada tahun 1869 Masihi bersamaan 1285 Hijrah oleh sebuah jawatankuasa yang terdiri daripada tujuh orang pakar undang-undang yang dipengerusikan oleh Ahmad Pasha, Pengarah Biro Undang-undang Turki. Majalah ini mengandungi 16 bahagian dengan 1851 seksyen. Antara bahagian tersebut termasuklah jual beli, sewa-menyewa, jaminan, pemindahan hutang, ikrar, syarikat, perwakilan dan lain-lain. Bahagian pertama daripada Majalah yang menyentuh kontrak jual beli mula dikeluarkan pada tahun 1870. Manakala bahagian 16 iaitu bahagian yang terakhir sekali siap pada tahun 1876.
Lihat Mohd. Ali Bin Haji Baharum (1999), op.cit., h. 2 dan Anwar Ahmad Qadri (1968), Justice In Historical Islam. Lahore: Pakistan, h. 76.
[8] Malaysia, Akta Undang-undang Sivil 1956 (Akta 67), seksyen 5(1).
[9] Mohd. Ali Bin Haji Baharum (1999), op.cit., h. 12.
[10] Ibid.
[11] Akta Perlindungan Pengguna 1999 (Akta 599) telah dikuatkuasakan pada 15 November 1999, sebagai perlindungan perundangan kepada pengguna di dalam hal kepenggunaan dan lain-lain hal yang berkaitan dengannya. Akta ini terpakai kepada semua urusan jualan barangan atau perkhidmatan yang diberikan kepada pengguna. Lihat Akta Perlindungan Pengguna 1999 (Akta 599) (2010). Selangor: Penerbitan Akta (M) Sdn. Bhd., halaman belakang.
[13] Mohammed Obaidullah (2002), “Islamic Risk Management: Towards Greater Ethics and Efficiency”, International Journal of Islamic Financial Services, Vol.3, No.4, h.1-18 http://www.iiibf.org/journals/journal12/obaidvol3no4.pdf  21 Disember 2011.
[14] Ibid., h.8
[15] Afdawaiza (2008), “Terbentuknya Akad Dalam Hukum Perjanjian Islam”, Jurnal al-Mawarid Edisi XVIII. No. 18, h.181-202. http://journal.uii.ac.id/index.php/JHI/article/view/153 21 Disember 2011.
[16] Imam Taqiuddin Abu Bakar bin Muhammad al-Husaini (1994), Kifayatul Akhyar fi Hal Qayah al-Ikhtisar. jil.1.Maktab Buhus Wa al-Dirasat : Darul Fikr, h.203
[17] Ibid., h.203
[19] M.Nadratuzzaman Hosen dan AM. Ali Hasan (2007) Kamus Popular Keuangan Ekonomi Syariah . Jakarta : PKES Publishing, h.43
[20] Ibid., h.43
[21] Mohammed Obaidullah (1998), Financial Engineering With Islamic Options”, Islamic Economic Studies, Vol. 6, No. 1, h.77.
[22] Ibid., h.77
[23] Nasrul Hisyam Nor Muhamad (2008) “Aplikasi Sains Dan Teknologi Dalam Transaksi Muamalah Islam: Rujukan Kepada Rukun-RukunAkad Mengikut Perspektif Undang-Undang Kontrak Islam”, Jurnal Teknologi, 49(E) Dis, h.81-91.
[24] Rujuk ayat al-Quran Surah an-Nisaa’ : 29
[25] Suruhanjaya Sekuriti (2006) Buku Keputusan Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti . Kuala Lumpur: Security Commision, h.119
[26] Ibid., h.113
[27] Ibid., h.113
[28] Mohammed Obaidullah (2002), Op.Cit., h.8
[29] Nicholas HD Foster (2007), Islamic Commercial Law (II): An Overview Some principles and rules. Barcelona: Indret, h.11
[30] Akta Kontrak1950 (Akta 136), bahagian 5, h. 14.
[31] Ibid., h. 15.
[32] Akta Perlindungan Pengguna 1999 (Akta 599), Seksyen 10(1)(a), h. 13.
[33] Berdasarkan Akta Kepenggunaan, terdapat sebanyak 8 asas hak pengguna dalam transaksi jual beli, iaitu ; Hak untuk mendapatkan keperluan asas, hak untuk mendapatkan keselamatan, hak untuk mendapatkan maklumat, hak untuk membuat pilihan, hak untuk bersuara, hak untuk mendapatkan ganti rugi, hak untuk mendapatkan pendidikan pengguna, hak untuk mendapatkan alam sekitar yang sihat dan selamat. Sumber daripada Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC). http://www.nccc.org.my/v2/index.php/portal-pengguna/hak-hak-pengguna. 1 November 2011.
[34] Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC) telah dirasmikan oleh Yang Berhormat Datuk Hj. Mohd Shafie Apdal, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna pada 13 Julai 2004. NCCC ditubuhkan di atas inisiatif bersama Persatuan Penyelidikan dan Penyilidikan Pengguna Malaysia (ERA Consumer Malaysia), Persatuan Pengguna Selangor dan Wilayah Persekutuan dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna. Ia bertujuan menjadi pusat aduan setempat bagi membantu para pengguna menyelesaikan masalah dan aduan tersebut. NCCC turut bertindak sebagai pengantara mempertemukan pengguna dan peniaga untuk menyelesaikan pertikaian.Berdasarkan analisa aduan yang diterima, didapati para pengguna menghadapi masalah untuk mencari badan penyelesaian masalah yang sesuai dengan masalah mereka. Di samping itu, pengguna juga tidak mempunyai maklumat tentang pihak yang sewajarnya dihubungi untuk sesuatu masalah.Oleh itu, NCCC ditubuhkan bagi mengisi ruang yang wujud ini. Bagi memantapkan urusan penyelesaian masalah, NCCC bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa yang berkaitan seperti Bahagian Penguatkuasa, Kementerian Perdagangan Dalam negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Tribunal Tuntutan Penggguna Malaysia, Tribunal Tuntutan Pembeli Rumah Malaysia, Majlis Peguam, Biro Pengantaraan Kewangan dan sebagainya. Lihat http://www.nccc.org.my/v2/index.php/mengenai-nccc. 1 November 2011. Lihat juga Akhbar Utusan Malaysia bertarikh 16 Mac 2010 dibawah tajuk Hak Pengguna Lebih Terjamin.

[35] Sebagai contoh harga barang tidak seperti yang tertera pada label barangan dan harga promosi.
[36] Pengguna berhak untuk menikmati sesuatu barangan berdasarkan nilai yang telah dibelanjakan. Situasi ini sejajar dengan Seksyen 32 Akta Perlindungan Pengguna 1999 Jika barang dibekalkan kepada pengguna barang tesebut hendaklah bebas daripada kecacatan dan mesti mempunyai kualiti yang boleh diterima. Lihat http://www.nccc.org.my/v2/index.php/aduan-pengguna/arkib-2010/161-sub-standard-products/1630-kemaja-t
[37] Antara situasi dalam hal ini ialah penjual tidak bertanggungjawab terhadap barangan yang telah dibeli walaupun telah kontrak telah dimeterai ketika transaksi dilakukan.
[38] Aduan ini adalah merupakan salah satu aduan yang telah diterima oleh Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC), dan hasil tinjauan yang telah dilakukan, pemilik pasar raya bertanggungjawab membayar ganti rugi. Hal ini berdasarkan hak pengguna yang telah termaktubdalam Seksyen 32 Akta Perlindungan Pengguna 1999. lihat http://www.nccc.org.my/v2/index.php/aduan-pengguna/arkib-2010/161-sub-standard-products/1630-kemaja-tv. 1 November 2011.
[39] Dari segi literalnya khiyar ialah mencari yang terbaik di antara dua pilihan, iaitu meneruskan atau membatalkan jual beli. Dan ianya terbahagi kepada 3 bahagian yang utama iaitu Khiyar Majlis, Khiyar Sayart dan Khiyar ‘AIb. 'Abdul 'Azhim bin Badawi al-Khalafi, Al-Wajiz Fi Fiqhis Sunnah Wal Kitabil 'Aziz, Ma'ruf Abdul Jalil  (terj.) Al-Wajiz Ensiklopedi Fikih Islam dalam Al-Qur'an dan As-Sunnah Ash-Shahihah,. Jakarta, Pustaka As-Sunnah, hlm. 666 - 668.
[40] Khiyar al-‘Aib dari segi literalnya ialah jika seseorang membeli barang yang mengandung aib atau cacat dan ia tidak mengetahuinya hingga si penjual dan si pembeli berpisah, maka pihak pembeli berhak mengembalikan barang dagangan tersebut kepada si penjualnya. Dan syarat penetapan khiyar al-‘Aib ialah i. Memastikan kecacatan terhadap sesuatu barang telah lama (telah berlaku tanpa diseadari), ii. Kecacatan barang menyebabkan kerugian terhadap pembeli, dan iii. Kualiti barang tidak selaras dengan nilai yang diperuntukkan. Lihat Mustafa al-Khin et. all. (2008), al-Fiqh al-Manhaji ‘Ala Mazhab al-Imam al-Syafi’e, Damsyiq, Dar al-Qalam, jil. 3, hlm. 21-23. Lihat juga Jamila Hussain (t.t), Islam It’s Law and Society, Leichhardt, The Federation Press, hlm. 79.
[41] lihat Undang-Undang Malaysia, Akta 599, Akta Perlindungan Pengguna 1999, Pesuruhjaya Penyemak Undang-Undang, Malaysia Di Bawah Kuasa Akta Penyemakan Undang-Undang 1968, Kuala Lumpur, Percetakan Nasional Malaysia Berhad, hlm. 39-40.

[42] Ibid. hlm. 63-64.
[43] Dr. Ala’Eddin Kharofa (1997), Transaksi Dalam Perundangan Islam, Dr. Hailani Muji Tahir (terj.) Taransaction In Islamic Law, Kuala Lumpur, Institut Terjemahan Negara Malaysia Berhad, hlm. 91-92.
[44] Al-bay’ bithaman ajil menurut ahli Fiqh Islam bermaksud penjual menyerahkan barang kepada pembeli dengan serta merta dan pembeli menangguhkan bayaran harga barang kepada suatu tempoh tertentu atau membuat bayaran secara ansuran. Lihat al-Ittihad Li al-Bunuk al-Islamiyyah (1982), al-Mawsu’ah al-Ilmi Wa al-‘Amaliyyah, j. 5. T.P. : al-Ittihad Li al-Bunuk al-Islamiyyah, h. 384.
[45] Saiful Azhar Rosly, Mahmood Sanusi & Norhashimah Mohd Yasin (Okt-Dec 2000), The Role of Khiyar al-‘Ayb in Al-Bay’ Bithaman Ajil Financing. International Journal of Islamic Financial Services, vol. 2, no. 3, h. 2.

[46] International Centre for Education in Islamic Finance (t.t), The Application of Bai’ Bithaman Ajil (BBA). Dipetik dari INCEIF CIFP Module on Applied Shariah In Financial Transactions, h. 9.

[47] Syarat dalam penjanjian ini menetapkan bahawa pihak bank bukan sebagai pihak pemaju harta dan tidak bertanggungjawab terhadap apa-apa tuntutan berkaitan kecacatan, penyusutan atau kerosakan lain yang berkaitan dengan harta disebabkan oleh mutu kerja atau kerosakan bahan atau tidak mengikut spesifikasi pelan yang diluluskan oleh pihak yang berkenaan. Lihat Saiful Azhar Rosly, Mahmood Sanusi & Norhashimah Mohd Yasin (Okt-Dec 2000), op.cit., h. 4.

[48] Khiyar al-‘Ayb merupakan pilihan kepada pembeli sama ada ingin meneruskan kontrak jual beli atau membatalkannya sekiranya terdapat kecacatan pada harta tersebut. Lihat Saleh, N (2001), ‘Freedom of Contract: What Does it Mean in the Context of Arab Laws?’, (16) Arab Law Quarterly, h. 327-343.
[49] Rayner, S.E.. (1991). The Theory of Contracts in Islamic Law: A Comparative Analysis With Particular Reference to the Modern Legislation in Kuwait, Bahrain, and the United Arab Emirates. Boston: Graham & Trotman., h. 327-328.
[50] Al-Kasani (1328 H), Bada’i’ al-San’I Fi Tartib al-Syara’i. Kaherah : Matba’ah al-Jamaliyah, jil. 5, h. 275. Lihat juga Ibn al-Humam (1339 H), Fath al-Qadir. Kaherah : Matba’ah al-Maimaniyah, jil. 5, h. 153.
[51] Akta Perlindungan Pengguna 1999, h.38
[52] Ibid h.55
[53] Ibid h.38
[54] Ibid h.39
[55] Ibid h.41
[56] Ibid h.41
[57] Ibid h.42
[58] Ibid h.42
[59] Ibid h.43
[60] Ibid h.43
[61] Mazhab Hanafi juga berdasarkan kondisi-kondisi yang tertentu meletakkan samada perlu dibayar gantirugi dengan harga asal sepenuhnya kepada pembeli, terdapat juga keadaan di mana pembeli hanya menerima harga penurunan barang aib itu. Rujuk al-Jaziri, op.cit. h.161.
[62] Misalnya mazhab Hanbali menyatakan bahawa jika barang itu rosak semuanya dan masih mempunyai sedikit nilai, maka dibolehkan pembeli menghantar semula barang dan membayar gantirugi terhadap kerosakan itu ataupun tidak memulangkan barang tetapi menerima pampasan kerugian barang tersebut. Manakala jika barang tersebut tiada langsung nilai, maka pembeli hanya ada satu pilihan iaitu boleh menerima pampasan tanpa memulangkan barang tersebut. Rujuk al-Jaziri, h.161.
[63] Mazhab al-Syafie menjelaskan barang seperti telur yang rosak tidak perlu dipulangkan semula kerana ianya memang tiada nilai lagi. Rujuk al-Jaziri, h.160
[64] Mazhab Hanbali mengatakan nafkah pemulangan itu adalah ke atas pembeli. Rujuk al-Jaziri, h.154.
[65] Al-Jaziri, op.cit. h.151.
[66] Mazhab Hanafi misalnya meletakkan lima keadaan bagi setiap satu kategori terjadinya aib itu selepas atau sebelum akad berlangsung. Samada ianya dilakukan oleh penjual, pembeli, orang lain, bencana alam, dan barang itu sendiri. Masing-masing mempunyai kesan hukum untuk melakukan khiyar aib pada barang tersebut atau tidak Rujuk al-Jaziri, h.152.
[67] Al-Jaziri h.151.
[68] Suzanna Mohamed Isa, Azimon Abdul Aziz, Sakina Shaik Ahmad Yusoff, (2011). Undang-Undang Kontrak Malaysia: Keterbatasan Pemakaian Dalam Kontrak Pengguna, dalam Jurnal Pengurusan, 32, h.32-53.

1 comment: