Pages

Tuesday 29 December 2015

Siapakah Yang Kita Gelarkan Sebagai Wahabi Di Tempat Kita?

Persoalan ini iaitu siapakah Wahabi adalah begitu menarik untuk dibicarakan. Hal ini kerana apabila kita membicarakannya, kita akan mengenal siapa itu wahabi, serta kita mahu orang ramai pula menghindarkan diri daripada kumpulan yang digelar wahabi itu.

Siapakah yang kita gelar sebagai wahabi di tempat kita? Satu persoalan yang menarik dan kalau kita bersama dengan kawan2 kita yang anti wahabi, amat mudah untuk kita faham. Mereka yang digelar wahabi ialah mereka yang apabila memberikan kuliah2 agama, seringkali menimbulkan faham-faham yang kontroversi dan suka untuk mengkritik amalan-amalan tradisi yang telah diamalkan oleh masyarakat di tempat kita. Walaupun mereka ini tidak mahu dinisbahkan kepada Muhammad bin Abdul Wahhab iaitu sebagai pendiri kepada fahaman Wahabi, namun sikap mereka ini seakan-akan sama dengan Muhammad bin Abdul Wahhab yang seringkali meresahkan masyarakat serta mengkritik amalan-amalan yang telah dilakukan. Keresahan pada zaman Muhammad bin Abdul Wahab bukan hanya orang awam sahaja malahan mufti Makkah pada masa itu turut resah dengan tindakannya sehinggakan mufti Makkah membuat satu kitab yang mengkritik secara ilmiah segala pandangan Muhammad bin Abdul Wahab. Sikap Muhammad bin Abdul Wahab mengkritik amalan-amalan umat Islam pada masa itu bukan dalam konteks yang biasa, sehinggakan sampai satu tahap dia menyamakan pula umat Islam dengan kafir Qurasyh kerana dianggap mereka tidak beriman kepada Tauhid Uluhiyyah. 

Kita tidak mengatakan kesemua mereka yang belajar di Arab Saudi sebagai wahabi kerana tidak semua ulama di sana mengajar satu ajaran yang datang daripada Ibn Taymiyyah dan Ibn al-Qayyim sahaja. Malahan di sana terdapat ulama yang terkenal sebagai ulama Ahli Sunnah wal Jamaah, bermazhab Shafi`i serta bertasawuf dengan mengamalkan tarekat2 tertentu. Justeru, apabila pelajar Malaysia yang belajar di sana, kemudian mereka balik ke Malaysia dan mengajar pula masyarakat berdasarkan kepada akidah yang bermanhaj Asha`irah wa al-Maturidiyyah, mengajar mazhab Shafi`i serta tidak menolak tasawuf, maka kita tidak mengatakan mereka ini sebagai wahabi. Melainkan sekiranya mereka mula mengkritik amalan masyarakat, mengkritik manhaj Sifat 20, serta mengkritik ilmu Tasawuf. Pada ketika itu, barulah kita menggelar mereka sebagai wahabi kerana sikap mereka yang hampir sama dengan Muhammad bin Abdul Wahhab yang sentiasa mengkritik amalan masyarakat pada zamannya. Wahabi Malaysia walaupun tidak sampai kepada tahap mengangkat senjata seperti yang dilakukan oleh Muhammad bin Abdul Wahhab, tetapi kita tetap menggelar mereka sebagai wahabi disebabkan karektor mereka yang hampir sama dengan Muhammad bin Abdul Wahab, dan agar masyarakat berjaga-jaga dengan mereka. 

Karektor wahabi ini bukan hanya berada di Malaysia sahaja malahan terdapat di negara Islam seluruh dunia. Misalnya, orang yang tidak belajar di negara Arab Saudi pun ada yang wahabi seperti sebahagian anak-anak muda yang berceramah di masjid-masjid, seringkali ia mengkritik amalan-amalan masyarakat Islam di sini.  Oleh yang demikian, kita perlu berhati-hati dengan mereka yang mempunyai karektor wahabi kerana fahaman ini sudah menular sehingga ke seluruh dunia. Kononnya fahaman ini hendak mengembalikan umat Islam kepada ajaran Islam yang tulen, akidah yang sahih, menghidari bid`ah dan sebagainya sedangkan apa yang dilakukan oleh umat Islam sekarang sudah benar serta berpandukan kepada ajaran para ulama, maka tidak perlu dikritik dengan mengatakan yang ianya salah, sesat serta bid`ah. Perjuangan yang sepatutnya ialah memerangi fikrah2 yang bertentangan dengan Islam seperti fahaman Islam Liberal, sekular, ajaran sesat dan sebagainya. Inilah yang patut diutamakan untuk diperangai, bukannya memerangi amalan umat Islam yang dipandu oleh para ulama tempatan.

Mungkin yang tinggal kini ialah penentangan mereka terhadap kita yang didakwa sebagai mengamalkan amalan-amalan yang berdasarkan kepada hadis palsu. Kita dalam permasalahan ini berlapang dada. Sekiranya mereka beritahu kita bahawa sesuatu hadis itu palsu, sekiranya kena dengan manhajnya, maka kita terima. Tetapi apa yang kita lihat ialah mereka tidak begitu adil menilai sesuatu hadis itu sama ada palsu atau tidak. Adakalanya sesuatu hadith itu dikatakan tidak palsu oleh jumhur ulama tetapi dikatakan palsu oleh mereka disebabkan datang daripada beberapa orang ulama. Sedangkan jumhur ulama hanya mengatakan daif hadith itu tanpa sampai kepada martabat palsu. Hanya sebahagian sahaja yang kata palsu, tetapi terus dikategorikan oleh mereka sebagai palsu. Misalnya hadith: "Tuntutlah ilmu walau ke negeri China." Hadith ini dilnilai oleh al-Mizzi sebagai hasan li ghayrihi. Oleh itu, tidak boleh mudah2 hukum kata ianya palsu. Inilah yang kita tegur mereka disebabkan mereka tidak bersikap adil dalam menilai sesuatu hadith. Kita bukanlah pembela kepada hadith palsu kerana haram bagi seseorang muslim meriwayatkan hadis palsu, tetapi yang kita perjuangkan ialah berikan penilaian yang adil terhadap sesuatu hadith, tanpa mengambil pandangan sebahagian ulama sahaja.

Oleh yang demikian, gelaran 'wahabi' memang patut diberikan kepada mereka yang seringkali mengkritik serta menimbulkan keresahan dalam masyarakat yang mengamalkan agama secara tradisi kerana amalan ini adalah amalan yang sahih yang tidak bertentangan dengan al-Quran dan Sunnah serta usul-usul syarak. Gelaran itu diberikan agar masyarakat menghindarkan diri daripada mereka, serta tidak memanggil ustaz2 yang telah dicop sebagai wahabi, yang telah terpengaruh dengan angin wahabi untuk memberi kuliah di masjid2 atau tempat2 awam. Melainkan mereka telah insaf, serta kembali untuk menghormati para ulama, juga  menghindarkan diri daripada berbangga diri, sombong, tidak amanah dengan ilmu dan sebagainya. Sekiranya mereka telah insaf, cop yang diberikan itu perlulah ditarik balik kerana ia telah insaf serta berubah, tetapi ia tetap dalam pengawasan kerana dtakuti ia akan kembali semula kepada fahaman lamanya. Siapakah kita yang tidak mahu menerima taubat seseorang sedangkan Nabi SAW sendiri sudi memaafkankan umatnya. Semoga kita sentiasa berada di atas manhaj yang benar mengikuti manhaj yang dibawa oleh para ulama yang mukhlisin, solihin serta amilin.

Wallahua`alam

al-Faqir ila Allah
Murshidi al-Kodiangi

No comments:

Post a Comment