Pages

Sunday 16 August 2015

Tauhid Uluhiyyah Dan Rububiyyah: Satu Penilaian Semula

PENDAHULUAN

Dua perkataan ini iaitu Tauhid Uluhiyyah dan Rububiyyah sememangnya biasa didengari di Malaysia kerana sejak peringkat sekolah menengah lagi, para pelajar telah didedahkan dengan kedua-dua jenis tauhid ini. Namun begitu, adakah kedua-dua jenis tauhid ini menepati tauhid yang diperkenalkan oleh ulama Asha`irah dan Maturidiyyah iaitu mengenai sifat 20?  Ada sesetengah di kalangan kita mengatakan bahawa sama ada tauhid uluhiyyah dan rububiyyah atau sifat 20, kedua-duanya berbeza dari sudut pendekatan sahaja. Sekiranya diperhatikan secara mendalam, terdapat banyak perbezaan antara kedua-dua konsep ini. Pendekatan tauhid uluhiyyah dan rububiyyah akan menatijahkan pengkafiran terhadap orang Islam yang bertawasul kepada Nabi, manakala pendekatan sifat 20 akan membawa pengkaji ke arah mengesakan Allah denga sebenar-benarnya. Oleh yang demikian, artikel kali ini akan menilai semula konsep Tauhid Uluhiyyah dan Rububiyyah yang diperkenalkan oleh geng salafi-wahabi di Malaysia.
 
TINDAKAN BID`AH IBN TAYMIYYAH DALAM MEMBAHAGIKAN TAUHID

Ibn Taymiyyah dan pengikutnya berpandangan bahawa tauhid terbahagi kepada dua bahagian besar iaitu Tauhid Rububiyyah dan Tauhid Uluhiyyah.

Tauhid Rububiyyah ialah mengesakan Allah dari aspek rububiyyahNya. Makna rububiyyah ialah Tuhan Maha Esa dari sudut mencipta, memberi rezeki, menghidupkan dan mematikan. 

Tauhid Uluhiyyah pula ialah Allah satu-satunya Tuhan yang disembah dengan sebenarnya. Oleh yang demikian wajib membawa kesemua ibadat ditujukan kepadaNya semata-mata tidak kepada yang lain.

Ibn Taymiyyah berpandangan bahawa setiap mukallaf tidak dikira bertauhid melainkan bertauhid dengan kedua-dua jenis tauhid ini. Sekiranya seseorang mukallaf bertauhid dengan salah satunya sahaja, maka ia tidak dikira sebagai ahli tauhid, malahan tidak dikira sebagai orang Islam sama sekali!!

Persoalannya, adakah boleh seseorang itu bertauhid dengan salah satu jenisnya sahaja? Atau kedua-dua jenis pembahagian ini sama sahaja, tidak berbeza sama sekali?  

Ibn Taymiyyah dan pengikutnya berpandangan bahawa orang yang bertauhid Uluhiyyah maka dengan sendirinya ia akan bertauhid Rububiyyah, tetapi sebaliknya akan berlaku iaitu sekiranya ia bertauhid Rububiyyah tidak semestinya ia juga akan bertauhid Uluhiyyah. Oleh yang demikian Ibn Taymiyyah berkata: "Tidaklah seseorang yang mengakui Allah itu sebagai Rabb bagi segala sesuatu dan mencipta segalanya akan beribadah kepadaNya semata-mata tidak kepada yang lain..."

Di sini kita boleh persoalkan, bagaimana seseorang yang mengakui Allah sebagai pencipta segalanya, kemudian ia memilih untuk menyembah Tuhan yang selainNya?   

DALIL YANG DIADA-ADAKAN UNTUK MEMBOLEHKAN PEMBAHAGIAN TAUHID INI BERLAKU 

Pembahagian tauhid oleh Ibn Taymiyyah ini tidak disebutkan sama sekali di dalam al-Quran mahupun Sunnah Nabi SAW. Golongan salaf yang terdahulu pun tidak membahagikan tauhid sebegini. Ini cuma satu teori yang dibina oleh Ibn Taymiyyah yang berdasarkan khayalan semata-mata yang dianggap sebagai satu istinbat sahih oleh beliau terhadap al-Quran dan Sunnah. Seolah-olah beliau mengatakan bahawa orang terdahulu sebelum beliau selama lapan kurun tidak tahu mengenai tauhid yang diperkenalkan oleh beliau ini. 

Ibn Taymiyyah menganggap bahawa kalimah Rabb dan Ilah adalah berbeza dari sudut bahasa dan istilah syarak. Perbezaan ini dilakukan untuk mengesahkan pendirian beliau yang mengatakan orang yang bertauhid rububiyyah tidak semestinya bertauhid uluhiyyah. Sandarannya ialah orang musyrik Quraysh dahulu mengakui bahawa Allah itu Rabb yang satu tetapi mereka tidak mengakui akan keuluhiyyahan Allah. Dalil beliau ialah:

 قُلْ مَنْ رَبُّ السَّمَاوَاتِ السَّبْعِ وَرَبُّ الْعَرْشِ الْعَظِيمِ سَيَقُولُونَ لِلَّهِ قُلْ أَفَلا تَتَّقُونَ
 Maksudnya: Katakanlah siapakah Rabb bagi tujuh langit dan Rabb bagi Arasy yang agong. Sudah tentu mereka akan berkata: Allah. Tidakkah kamu mahu bertakwa.

Dan banyak lagi ayat yang seumpama ayat di atas yang dijadikan dalil oleh Ibn Taymiyyah untuk mengatakan bahawa orang musyrik Quraysh mengakui akan keesaan Rububiyyah Allah tetapi tidak mengakui akan Uluhiyyahnya Allah. Hal ini kerana mereka enggan untuk mengucap Tiada Tuhan Melainkan Allah. Oleh itu, Rasulullah SAW memerangi mereka sehinggalah mereka berkata Tiada Tuhan Melainkan Allah!!

Justeru, Ibn Taymiyyah mengistinbatkan hadith berkaitan dengan Rasul memerangi orang kafir sehingga mereka berkata Tiada Tuhan Melainkan Allah sebagai satu pembeza antara istilah Ilah dan Rabb. Namun begitu, bolehkah dikatakan demikian oleh orang yang berakal? Kenapa ia hendak menyembah Tuhan yang lain sedangkan Tuhan itu juga diakui olehnya sebagai pencipta, pemberi rezeki dan seumpamanya? Orang musyrik Quraysh sendiri merupakan ahli bahasa, mustahil mereka membezakan antara dua-dua istilah ini.

PENOLAKAN TERHADAP BID`AH YANG DICIPTA OLEH IBN TAYMIYYAH MENGENAI TAUHID  

Adakah istilah Rabb dan Ilah itu berbeza dari sudut maknanya? Sebenarnya tiada perbezaan sama sekali makna antara Rabb dan Ilah. Oleh yang demikian, Tuhan yang mencipta itu sendiri merupakan Tuhan yang layak disembah. Rabb itu merupakan Ilah yang disembah. Ilah yang sebenar-benarnya ialah Tuhan yang mencipta dan tidak selayaknya Ia disembah kalau sekiranya Ia tidak mampu mencipta sesuatu. Justeru, Ilah itu sendiri merupakan Rabb. Tiada beza antara kedua-duanya. Al-Tabari mentafsirkan ayat: ( أَإِلَهٌ مَعَ اللَّهِ) "Adakah ada Ilah lain bersama Allah" dengan mengatakan bahawa adakah disembah bersama-sama Allah wahai orang yang jahil Tuhan yang menciptakan, Ia menurunkan dari langit akan hujan, Ia menumbuhkan bagi kamu akan tanam-tanaman? Cuba lihat, al-Tabari menafsirkan perkataan Ilah dengan menggandingkan dengan perbuatan mentadbir seperti mencipta, menurunkan dan menumbuhkan. Ini bermakna ia tidak membezakan antara perkataan Ilah dan Rabb. Ulama tafsir sebegini pun tidak membezakan kedua-duanya bagaimana Ibn Taymiyyah boleh mengatakan yang kedua-duanya berbeza?

Sekiranya dalil ini digunakan untuk membezakan antara perkataan Ilah dan Rabb iaitu:

وَلَئِنْ سَأَلْتَهُمْ مَنْ خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالأرْضَ وَسَخَّرَ الشَّمْسَ وَالْقَمَرَ لَيَقُولُنَّ اللَّهُ
Maksudnya: Sekiranya kamu bertanya mereka siapakah yang menciptakan langit dan bumi sudah tentu mereka akan menjawab Allah

maka jawapannya ialah kata-kata itu tidak pernah diucapkan oleh mana-mana orang musyrik pun, tetapi ia merupakan pengakuan yang mu`allaq (tergantung). Persamaan antara pengakuan yang sebenar dan pengakuan yang tergantung ialah kedua-dua pengakuan ini tidak pernah berlaku pun kepada orang musyrik. Buktinya ialah orang musyrik sanggup menghalau orang Islam dari bumi Makkah hanya semata-mata orang Islam mengatakan Rabb kami ialah Allah. Kalaulah golongan musyrik ini beriman dengan tauhid Rububiyyah, kenapa pula mereka hendak menghalau orang Islam yang mengatakan Rabb kami ialah Allah?

Antara bukti lagi yang menunjukkan orang Arab Quraysh kufur kepada Rabb iaitu Nabi SAW menyeru mereka agar mengakui Allah adalah pencipta, pemberi rezeki, mematikan, menghidupkan, pemberi manfaat dan mudarat, sedangkan kesemua sifat merupakan sifat-sifat rububiyyah sebagaimana yang didakwa oleh Ibn Taymiyyah. Firman Allah Ta`ala:

نَحْنُ خَلَقْنَاكُمْ فَلَوْلا تُصَدِّقُونَ
Maknanya: Kami menciptakan kamu tetapi kamu tidak membenarkan akan hal itu.

Iaitu kenapa kamu tidak membenarkan serta mengakui bahawa Kami yang menciptakan kamu? Ini membuktikan bahawa orang kafir Quraysh sama sekali tidak beriman dengan rububiyyah Allah, tetapi kenapa dikatakan oleh Ibn Taymiyyah dan pengikutnya sebagai beriman beriman kepada rububiyyah tidak uluhiyyah? Cukup sekadar ini perbahasan ringkas berkaitan pembahagian Tauhid kepada Uluhiyyah dan Rububiyyah. Semoga ia memberi sedikit kesedaran kepada kita akan kekeliruan si pembawanya.

KESIMPULAN

Berdasarkan kepada perbahasan di atas bermakna pembahagian Tauhid kepada Uluhiyyah dan Rububiyyah adalah tidak tepat sama sekali. Pembahagian seperti ini hanya ingin menafikan keharusan untuk seseorang bertawassul kepada Nabi Muhammad SAW serta mengambil berkat daripada kesan tinggalan baginda SAW. Tiada beza antara istilah Rabb dan Ilah dan tidak perlu dibahagikan kepada dua pun. Sekiranya seseorang itu beriman dengan Rabb dengan sendirinya ia juga beriman dengan Ilah. Tiada beza antara kedua-duanya. Oleh yang demikian, kita perlulah berhati-hati dengan kekeliruan fikiran dan pegangan yang cuba dibawa oleh golongan salafi-wahabi ke Malaysia semata-mata untuk menghalalkan segala fahaman salah mereka. Semoga kita semua sedar akan hal ini.      

6 comments:

  1. assalamualaikum..maafkan saya..tapi pada hemat saya, penulisan ini agak berat sebelah.. memang ramai yang mempertahankan konsep rububiyyah dan uluhiyyah tetapi konsep ini digunapakai utk org awam supaya mudah memahami tntg tuhan sebenarnya.. tentang persoalan..ada ke orang yg nak sembah orang lain sedangkan mereka percaya bahawa hanya Allah yg menciptakan segalanya..tentulah ada..saya ulang..tentulah ADA..merekalah antara musyrikin yg menolak islam itu..maafkan saya kalau sy yg silap faham..

    ReplyDelete
  2. Wa`alaikumussalam..terima kasih pandangan yang diberikan..cuma saya ingin bertanya, kenapa tidak mempelajari Sifat 20 sebagaimana yang dikemukakan oleh ulama Asha`irah wal Maturidiyyah? Pengajian ini sentiasa dimomokkan oleh satu golongan sebagai satu disiplin ilmu yang terlalu berfalsafah, susah dikuasai dan sebagainya..sedangkan ianya tidaklah sesukar seperti yang diwar-warkan oleh sesetengah pihak itu..saya menegaskan bahawa pengajian Akidah yang terbaik sama ada untuk orang awam atau orang yang takhassus dalam bidang akidah adalah pengajian berdasarkan aliran Asha`irah wal Maturidiyyah..kitab yang dipelajari pula adalah dalam pelbagai peringkat iaitu untuk permulaan, pertengahan dan peringkat tinggi..wallahua`lam

    ReplyDelete
  3. Pada pandangan saya, illah dan rabb ada pada zat yang esa iaitu Allah. Dari segi tauhid, seseorang itu hanya dikira bertauhid sekiranya mengakui kesepaduan sifat Allah ini. Tidak boleh dianggap bertauhid jika hanya mengakui salah satu sifat itu sahaja. Selain itu, tidak wajar dikelompokkan umat manusia yang beragama selain Islam dalam kumpulan Tauhid Rububiyyah. Selain itu, pembahagian Tauhid Rububiyyah dan Tauhid Uluhiyyah juga tidak wajar kerana hanya untuk umat Islam dan tidak wajar dikaitkan dan diberikan untuk golongan musyrikin.

    ReplyDelete
  4. Saya rasa pelik apabila ada orang menyifatkan pembahagian tauhid Rububiyyah, uluhiyyah dan asma Wan sifat ini di katakan bid'ah. Sedang kan semua dalilnya di dapati dalam Al-Quran dan As-Sunnah. Pembahagian ini bukan mencipta ilmu baharu, sebaliknya hanya lah approach bagaimana memahami tauhid mengikut dalil-dalil yang terdapat di dalam Al-Quran dan As-Sunnah.
    Kalau nak di kira di bid'ah, sifat 20 lagi lah besar bid'ah nya. Kerana mementingkan'aqal daripada Nash. Bagaimana sifat 20 yang sah sedang kan ia hanya di rumus 300 tahun selepas nabi SAW. Pada ketika itu ilmu falsafah Greek (Yunani) meresap dan mempengaruhi ulamak-ulamak Islam lalu timbul fahaman Muktazilah. Pengaruh mereka besar hingga kan khalifah-khalifah abassiah pun terkait sama. Malah pengasas Asya'irah, imam Abu Hassan Asha'ari sendiri asalnya adalah seorang Muktazilah, hasil didikan bapa tirinya.
    Beliau merumuskan apa yang di kenali hari ini sifat 20 (beliau merumuskan 13 sifat, jadi 20 selepas maturidi) sebagai menjawab cabaran-cabaran Muktazilah yang menggoncang aqidah umat Islam. Ajaran berasaskan ilmu filsafah dan mantiq sesuai menjawab persoalan-persoalan yang di bangkitkan oleh gulungan filsafah.
    Di akhir hayatnya, beliau kembali kepada fahaman salaf sebagai mana yang terbukti dalam kitab nya yang terakhir.
    Dengan kata lain samada sifat 20 atau tauhid Rububiyyah, uluhiyyah, ialah lebih kepada pendekatan pemahaman tauhid itu sendiri.
    Malangnya sifat ta'sub kepada mazhab dan kelompok yang menimbulkan konflik yang berpanjangan hingga sampai menuduh kepada gelaran yang tidak sesuai di berikan kepada orang-orang beriman.

    ReplyDelete