Pages

Thursday 1 September 2011

Penyelesaian Kepada Permasalahan Imam Tertambah Rakaat Di Dalam Solat Secara Berjamaah

Pengenalan
Solat merupakan tiang agama di dalam Islam. Apabila kita tidak mendirikan solat bermakna kita telah meruntuhkan tiang agama. Solat afdal didirikan secara berjamaah oleh golongan lelaki, Bagi golongan wanita, mereka digalakkan mendirikan solat di rumah, dan sekiranya mereka mahu pergi ke masjid, maka kaum lelaki tidak boleh menghalang mereka. Dalam kita mendirikan solat jamaah, ada ketikanya berlaku beberapa kesilapan yang tidak kita sedari. Apabila berlaku kesilapan tersebut, kadangkala kita tidak tahu cara penyelesaiannya berdasarkan hukum. Ada ketikanya apabila kita tidak tahu hukum, menyebabkan solat yang dikerjakan itu diulangi sebanyak dua kali. Inilah yang seringkali berlaku kepada umat Islam yang solat secara berjamaah apabila berlaku kesilapan dalam menunaikannya. Di dalam coretan ringkas ini, penulis akan membincangkan sedikit sebanyak kesilapan yang sering berlaku ketika solat secara berjamaah iaitu imam tertambah rakaat menjadi  5 untuk solat yang 4 rakaat. Dengan yang demikian, apakah tindakan kita sebagai makmun apabila terjadi permasalahan seperti ini? Adakah kita perlu mufaraqah atau apakah tindakan sepatutnya yang perlu dilakukan?

Jawapan kepada permasalahan ini ialah makmum dikehendaki memilih antara dua cara sama ada niat mufaraqah, kemudian tahiyyat akhir dan terus bagi salam, atau dia menunggu imam sehingga imam berada pada tahiyyat akhir dan memberi salam bersama-sama dengan imam. Perkara ini sekiranya imam benar2 berlaku syak kepada bilangan rakaatnya. Sekiranya dia sedar yang ia menambah bilangan rakaat, dan dia teruskan juga menambah rakaat kelima, maka tidak sah solatnya. Kebanyakan daripada kita akan terus bangun bersama imam pada rakaat kelima, sedangkan dia tahu itu adalah rakaat kelima, maka tidak sah solat makmum dalam hal ini. Oleh itu, penulis memberikan sedikit sebanyak penerangan berkaitan dengan hal yang berkaitan dengna mufaraqah dan sujud sahwi agar mengelak daripada berlaku salah faham kepada kedua-duanya.

Mufaraqah
Apa yang dimaksudkan dengan mufaraqah ialah salah seorang daripada jamaah, memisahkan diri daripada jamaah tersebut. Ada ketikanya mufaraqah ini dilarang, ada ketikanya diharuskan, dan ada ketikanya diwajibkan. Bagi mufaraqah yang di mana makmum dilarang melakukannya ialah sekiranya dilakukan tanpa ada keuzuran, maka menurut pandangan mazhab Shafi`i yang qadim, tidak harus makmum melakukan mufaraqah terhadap imam tanpa adanya keuzuran. Oleh yang demikian, ia tidak boleh berpindah daripada solat secara berjamaah kepada solat secara seorang diri. Ianya adalah berdasarkan dalil: "إنّما جعل الإمام ليؤتمّ به فلا تختلفوا عليه". Sekiranya berpindah juga dari solat secara berjamaah kepada solat secara seorang diri tanpa adanya keuzuran, maka menurut pandangan mazhab Shafi`i yang qadim, terbatal solat orang tersebut, kerana sesiapa yang meninggalkan imam tanpa adanya keuzuran, adalah sama seperti ia meninggalkan imam tanpa niat mufaraqah. Namun, bagi pandangan yang mu`tamad berdasarkan mazhab Shafi`i, solat orang tersebut sah, tetapi makruh perbuatannya itu. Alasan sah perbuatan mufaraqahnya kerana solat jamaah adalah sunat. Apabila sunat maka tidak diwajibkan ke atasnya mengikuti jamaah itu.

Majoriti para fuqahak mengatakan bahawa sekiranya makmum mufaraqah daripada imam dengan niat untuk solat seorang diri kerana adanya keuzuran, maka perkara ini dibolehkan. Dalilnya ialah riwayat daripada Jabir r.a. ia berkata: 
"كان معاذ بن جبلٍ يصلّي مع النّبيّ صلى الله عليه وسلم العشاء ثمّ يرجع إلى قومه بني سلمة فيصلّيها بهم ، وأنّ رسول اللّه صلى الله عليه وسلم أخّر العشاء ذات ليلةٍ فصلاها معاذ معه ثمّ رجع فأمّ قومه ، فافتتح بسورة البقرة فتنحّى رجل من خلفه فصلّى وحده فلمّا انصرف قالوا : نافقت يا فلان ، فقال : ما نافقت ولكنّي آتي رسول اللّه صلى الله عليه وسلم فأخبره ، فأتى النّبيّ صلى الله عليه وسلم فقال : يا رسول اللّه إنّك أخّرت العشاء البارحة وإنّ معاذاً صلاها معك ثمّ رجع فأمّنا فافتتح سورة البقرة فتنحّيت فصلّيت وحدي وإنّما نحن أهل نواضح نعمل بأيدينا ، فالتفت رسول اللّه صلى الله عليه وسلم إلى معاذٍ فقال : أفتّان أنت يا معاذ ؟ أفتّان أنت ؟ اقرأ بسبّح اسم ربّك الأعلى ، والسّماء والطّارق ، والسّماء ذات البروج ، والشّمس وضحاها ، واللّيل إذا يغشى ونحوها"      
Berdasarkan hadith ini, lelaki tersebut tidak berpuas hati dengan Mu`adh kerana membaca terlalu panjang di dalam solat, sedangkan lelaki tersebut mempunyai kerja lain. Lalu ia berpisah daripada jamaah solat dan solat secara sendirian. Kemudian, ia ceritakan hal ini kepada Rasulullah. Setelah diceritakan, maka baginda s.a.w. membenarkan perbuatannya, dan tidak memerintahkannya supaya mengulangi solat. 

Dari sudut keuzuran yang dibolehkan untuk berpisah dengan imam, maka ianya diperselisihkan di kalangan fuqahak. Antara keuzuran disepakati yang membolehkan seseorang itu memisahkan diri dari solat imam ialah apabila imam membaca terlalu panjang di dalam solatnya, sehinggakan makmum tidak sabar untuk menunggu imam kerana makmum ada kerja lain untuk dilakukan atau ia lemah untuk menunaikan solat dengan bacaan yang terlalu panjang. Sekiranya panjang yang sederhana, maka ini tidak mengapa. Ini adalah dalam kes di mana imam membaca terlalu panjang seperti membaca satu surah al-Baqarah dan seumpamanya. 

Di kalangan ulama Shafi`iyyah, selain keuzuran seperti ini mereka juga menambah dengan mengatakan bahawa keuzuran yang lain seperti imam tertinggal perkara sunat di dalam solat seumpama tahiyyat awal, atau qunut Subuh, maka makmum boleh mufaraqah daripada imam lalu mengerjakan perkara sunat yang ditinggalkan oleh imam itu.

Dalam kes wajib mufaraqah, maka antara keadaan-keadaan yang mewajibkan makmum mufaraqah daripada imam ialah: 
1) Imam berpaling dari kiblat. Majoriti para fuqahak mengatakan bahawa apabila imam berpaling ke arah lain dari arah kiblat, maka makmum wajib mufaraqah daripada solat imam.
2) Terlihat pada pakain imam najis yang boleh membatalkan solat atau perkara2 lain yang disedari oleh makmum bahawa solat imam terbatal, maka wajib ke atas makmum melakukan mufaraqah dari solat imam. Seperti baju imam terkena najis, atau imam terbatal air sembahyang dan sebagainya. Para ulama Shafi`iyyah mengatakan bahawa sekiranya makmum meneruskan juga solatnya dengan mengikuti imam dalam keadaan ini walaupun seketika kerana tidak niat mufaraqah, maka terbatal solat makmum itu, kerana ia solat di belakang orang yang diketahui bahawa solatnya telah terbatal. 

Para ulama Shafi`iyyah berkata lagi, sekiranya imam bangun pada rakat ke-5, maka wajib ke atas makmum niat mufaraqah dan menyempurnakan solatnya secara sendirian, memisahkan diri daripada solat imam. Ini bermakna, dalam permasalahan seperti yang diutarakan di atas, makmum wajib mufaraqah daripada imam apabila imam bangun untuk solat pada rakaat ke-5 setelah diperingatkan kepadanya dengan membaca tasbih sebanyak tiga kali, lalu ia tidak duduk tahiyyat akhir, maka makmum diwajibkan tidak mengikut imam, melakukan niat mufaraqah, serta menyempurnakan solatnya. Perlakuan ini dengan syarat makmum yakin bahawa solatnya telah sempurna 4 rakaat. Makmum dalam hal ini tidak dibolehkan mengikuti imam menambah rakaat solat. Sekiranya makmum menambah juga dengan mengikuti imam dalam hal tersebut, maka terbatal solatnya kerana ia sengaja menambah bilangan rakaat. 

Sekiranya makmun tidak niat mufaraqah, maka ada satu cara lagi untuk dilakukan supaya solatnya tidak terbatal. Makmum dalam hal ini boleh terus duduk di tahiyyat akhir pada rakaat keempat menunggu imam, setelah itu memberi salam bersama-sama dengan imam. Imam Nawawi berkata, sekiranya solat makmum telah sempurna, maka tidak harus baginya mengikuti imam menambah rakaat, malahan ia boleh niat mufaraqah lalu bertasyahhud dan memberi salam, atau ia boleh juga menunggu imam tanpa niat mufaraqah, dengan membaca doa panjang setelah tahiyyat akhir, sehinggalah imam duduk sekali tahiyyat akhir dan memberi salam bersama-sama makmum.              

Sujud Sahwi
Bagi penulis, sekiranya para makmum mengikuti imam dengan sengaja menambah rakaat sedangkan mereka tahu rakaat yang ditambah itu adalah rakaat ke-5, maka tidak sah solat mereka. Perkara yang sepatutnya dilakukan ialah menunggu imam sehingga bersama-sama dengan imam tashahhud akhir, kemudian bagi salam bersama-sama, atau niat mufaraqah dan terus bagi salam. Imam dalam hal ini tidak terbatal kalau dia benar2 syak pada bilangan rakaatnya, dan boleh tidak mempedulikan teguran makmum di belakang dengan bacaan tasbih. Setelah itu sebelum salam, ia perlu sujud sahwi dengan dua kali sujud. Sekiranya dia sedar yang ia telah tertambah rakaat, dan ia teruskan juga menambah bilangan itu, maka tidak sah solatnya.

Walaubagaimana pun, kebanyakan orang kita akan terus menambah rakaat bersama imam sedangkan makmum tahu yang rakaat itu adalah rakaat yang kelima. Oleh itu dalam hal ini, mereka telah salah faham dalam memahami sujud sahwi ketika imam melakukan kesilapan. Di bawah ini penulis akan bincangkan tatacara sujud sahwi, agar kita tidak tersalah dalam memahaminya.

Sujud sahwi dari sudut syarak bermaksud berlaku kekurangan dalam solat yang dikerjakan oleh seseorang sama ada dengan sengaja atau terlupa. Hukum sujud sahwi adalah sunat. Dalil bagi pensyariatan sujud sahwi sebagaimana yang terdapat di dalam Sahih Bukhari iaitu:
" حَدَّثَنَا مُسَدَّدٌ قَالَ حَدَّثَنَا يَحْيَى عَنْ شُعْبَةَ عَنِ الْحَكَمِ عَنْ إِبْرَاهِيمَ عَنْ عَلْقَمَةَ عَنْ عَبْدِ اللَّهِ قَالَ صَلَّى النَّبِىُّ - صلى الله عليه وسلم - الظُّهْرَ خَمْسًا فَقَالُوا أَزِيدَ فِى الصَّلاَةِ قَالَ « وَمَا ذَاكَ » . قَالُوا صَلَّيْتَ خَمْسًا . فَثَنَى رِجْلَيْهِ وَسَجَدَ سَجْدَتَيْنِ "
Penyebab Kepada Sujud Sahwi
Sujud sahwi tidak boleh dilakukan dengan sewnenang-wenangnya. Mesti ada sebab yang menyebabkan kita sujud sahwi. Antara sebab-sebabnya ialah: 
1) Meninggalkan salah satu bahagian daripada bahagian-bahagian solat sepertu tahiyyat awal atau qunut Subuh.
2) Syak pada bilangan rakaat. Apabila kita syak pada bilkangan rakaat misalnya 3 atau 4, maka kita perlulah mengatakan masih tiga walaupun pada hakikatnya kita telah mengerjakan 4 rakaat. Oleh yang demikian, kita perlu menambah satu rakaat lagi bagi menghilangkan syak itu. Dan setelah itu perlu sujud sahwi kerana diandaikan bahawa kita telah tertambah rakat menjadi 5. Kes yang kedua ini adalah sekiranya solat seorang diri. Sekiranya solat secara berjamaah, apabila kita menjadi imam dan syak pada bilangan rakaat, setelah itu kita bangun pada rakaat seterusnya dan para makmum mengingatkan kita dengan tasbih, maka kita perlu turun kepada tahiyyat akhir. Apabila imam bangun juga kerana ia benar2 syak, maka para makmum tidak boleh mengikuti tindakan imam itu. Tindakan makmum sama ada ia niat mufaraqah atau tunggu imam sehingga ia tahiyyat akhir.


Kesimpulan
Berdasarkan situasi di mana imam tertambah rakaat walaupun makmum sudah memperingatkannya dengan mengatakan: "سبحان الله" sebanyak tiga kali, maka sekiranya imam bangun dan menambah bilangan rakaat maka para makmum tidak boleh menuruti tindakan imam itu. Tindakan yang sepatutnya dilakukan oleh makmum ialah sama ada mufaraqah atau menunggu imam sehingga ia berada di tahiyyat akhir. Semoga kita mengerjakan solat dengan sebaik-baiknya serta mengetahui hukum-hakam berkaitan dengannya. Wallaua`lam.

Rujukan:
1)I`anah al-Talibin
2) Hawashi al-Sharwani
3) Fath al-Mu`in
4) Tuhfah al-Muhtaj Fi Sharh al-Minhaj
5) al-Manhja al-Qawim Sharh al-Muqaddimah al-Hadramiyyah Li al-Haytami
6) al-Ashbah Wa al-Naza'ir
7) al-Fiqh al-Manhaji `Ala Madhhab al-Imam al-Shafi`i 
8) Tarh al-Tathrib
9) Multaqa Ahl al-Hadith, al-Mawsu`ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaytiyyah, Bab Mufaqarah.
10) Hisam al-Din bin `Afanah, Fatawa Yas'alunaka, Bab Mufaraqah al-Imam.


1 comment:

  1. kalau imam tertambah rakaat kelima, dan dia yakin bahawa itu adalah rakaat kelima, maka adakah wajib bagi imam untuk turun semula duduk tahiyyat akhir? saya ada dengar apabila berpindah rukun tidak boeh kembali ke rukun sebelumnya???

    ReplyDelete