Pages

Tuesday 6 September 2011

Cara Imam al-Bukhari Menghasilkan Karya Ilmiah

PENDAHULUAN
Pada masa kini, telah ramai pelajar yang memasuki universiti untuk melakukan kajian lanjutan terhadap ilmu yang dipelajarinya. Antara faktor yang perlu diperhatikan oleh seseorang pengkaji ialah disiplinnya dalam melakukan pengkajian, serta amalan-amalan yang perlu dilakukan, agar kajian yang dilakukannya tidak terbabas di tengah jalan. Pada kali ini, penulis akan membincangkan sedikit sebanyak berkaitan dengan cara yang dilakukan oleh Imam Bukhari dalam menghasilkan karya ilmiah, sehingga karya-karya yang dihasilkan oleh beliau dalam bidang hadith menjadi rujukan utama sehingga ke hari ini. Penghasilan karya yang menjadi fokus dalam tulisan ini ialah berkaitan dengan karya yang paling sahih setelah al-Quran iaitu Sahih Bukhari.

Ilham Yang Datang Menerusi Kata-kata Guru
Sebelum menghasilkan karya ilmiah, kadangkala kata-kata guru yang didengari di dalam kuliah, menjadi pencetus utama kepada penghasilan karya ilmiah. Ini bermakna, sebelum menghasilkan karya ilmiah, seseorang itu perlu banyak menghadiri beberapa seminar, kuliah dan sebagainya, kerana kemungkinan dengan kehadirannya ke kuliah-kuliah itu akan menghasilkan satu idea yang amat bermanfaat kepadanya, bagi menghasilkan sesuatu karya ilmiah. Perkara ini pernah berlaku kepada Imam al-Bukhari sebelum beliau menghasilkan karya ilmiah yang amat tinggi mutunya iaitu Sahih Bukhari. Pada satu hari, ketika beliau menghadiri kuliah gurunya Ishak bin Rahawayh, gurunya itu mencetuskan satu idea kepada anak muridnya supaya dapat mengumpulkan hadith sahih dalam sebuah karya yang ringkas yang boleh dijadikan rujukan oleh semua umat Islam. Maka cetusan idea yang dilontarkan oleh Ishaq bin Rahawayh ini, telah membangkitkan satu keghairahan kepada Imam al-Bukhari, bagi menghasilkan sebuah karya hadith.(Lihat Tarikh Baghdad, h. 82; Sharh al-Nawawi, h. 7; Tahdhib al-Asma', j. 1, h. 74).

Penghasilan Karya Yang Memakan Masa Yang Lama
Bagi menghasilkan karya yang bermutu tinggi, maka masa yang lama amat diperlukan bagi menjadikan satu kajian ilmiah itu berkualiti tinggi. Mengambil masa yang lama tidak bermakna menghabiskan masa dengan perkara lain yang tidak berfaedah. Masa lama yang diambil itu perlulah diisi sepenuhnya dengan mencari data-data yang diperlukan, seterusnya data-data yang dikumpulkan itu dianalisis agar ianya menjadi satu perkara yang bermanfaat kepada orang ramai. Mengambil masa yang lama tidak bermakna perlu menghabiskan masa berbelas-belas tahun untuk menyiapkan kajian ilmah. Apa yang dipentingkan ialah, seseorang itu perlu merancang dan merangka dengan bijak masa yang perlu digunakannya untuk menyiapkan satu kajian ilmiah yang bermutu tinggi. Dalam menghasilkan karya Sahih Bukhari, Imam Bukhari mengambil masa selama 16 tahun untuk menyiapkannya. Ini kerana, data-data yang perlu dikumpulkan oleh beliau adalah begitu banyak, yang bertebaran di pelbagai negara Islam. Setelah karya beliau dihasilkan, beliau membentangkannya kepada para ulama hadith yang ada pada masa itu, untuk menilai karyanya. Pada zaman kini, karya ilmiah yang dihasilkan akan dinilai menerusi viva yang tarikhnya ditentukan oleh pihak universiti. Selain viva, karya ilmiah juga boleh dinilai menerusi pembentangan kertas kerja di dalam seminar-seminar yang dianjurkan. Dan banyak lagi cara yang boleh dilakukan untuk menjadikan sesuatu karya ilmiah itu dinilai oleh pihak yang pakar.

Menulis Karya Ilmiah Di Tempat Yang Mulia
Imam Bukhari memulakan menulis karya Sahih Bukhari di Masjidil Haram di Makkah Mukarramah. Dalam penghasilan karya tersebut, beliau akan solat dua rakaat agar karya yang dihasilkannya itu berkualiti tinggi. Ini bermakna, tempat sesuatu karya ilmiah dihasilkan merupaka satu perkara yang dipentingkan oleh Imam Bukhari. Beliau tidak memilih sebarang tempat untuk menghasilkannya karyanya. Kita juga pada zaman kini, boleh memilih tempat yang kita sukai untuk menghasilkan karya ilmiah. Adalah lebih elok sekiranya kita menghasilkan karya ilmiah di dalam masjid, kerana di samping kita berfikir mengenai ilmu, kita juga akan mendapat pahala iktikaf dengan berniat iktikaf di dalam masjid. Berfikir berkaitan dengan ilmu, merupakan salah satu aktiviti iktikaf di dalam masjid.

Sentiasa Melakukan Istikharah
Selain memilih tempat yang mulia untuk menghasilkan karya ilmiah, Imam Bukhari juga dilihat begitu kerap menunaikan solat istikharah sebelum memasukkan sesuatu data ke dalam karya sahihnya. Ini bagi menjamin kesesuaian data yang dimasukkan. Apabila kita telah memasukkan data ke dalam kajian ilmiah, maka kita perlu yakin dengan data yang kita masukkan itu. Ini adalah tindakan yang dilakukan oleh Imam Bukhari dalam proses memasukkan data ke dalam karya sahihnya. Bagi kita sebagai orang biasa, kadangkala kita terus memasukkan data yang kita temui ke dalam kajian ilmiah, tanpa didahui oleh solat istikharah terlebih dahulu. Kemungkinan tindakan yang kita lakukan itu, menyebabkan kadangkala data yang kita masukkan  tidak bersesuai dengan tajuk kajian kita. Ini menyebabkan data-data yang telah kita masukkan perlu dibuang, dan kadangkala kita perlu pula menulis laporan baru akibat tindakan kita yang kurang berhati-hati itu.         

No comments:

Post a Comment