Pages

Saturday 3 September 2011

Puasa Enam Hari Di Bulan Syawal


Hadith yang berkaitan dengan berpuasa enam hari di bulan Syawal ialah hadith Abu Ayyub yang diriwayatkan oleh Imam Muslim, lafaznya ialah: "من صام رمضان ثم أتبعه ستا من شوال كان كصيام الدهر". al-Nawawi mengatakan hadith ini turut diriwayatkan oleh Abu Dawud dengan sanad yang sahih. al-Nasa'i meriwayatkan hadith yang lain yang menunjukkan puasa di bulan Ramadan seperti berpuasa selama 10 bulan, manakala berpuasa enam hari seperti berpuasa selama 2 bulan. Kesemuanya menjadi satu tahun. Lafaz hadith tersebut ialah: "صِيَامِ شَهْرِ رَمَضَانَ بِعَشَرَةِ أَشْهُرٍ وَصِيَامِ سِتَّةِ أَيَّامٍ بِشَهْرَيْنِ فَذَلِكَ صِيَامُ السَّنَةِ".

Di dalam karya Asna al-Matalib, disebutkan bahawa berpuasa enam hari di bulan Syawal adalah sangat dituntut, walaupun seseorang itu masih belum qada puasanya yang tertinggal di bulan Ramadan disebabkan keuzuran seperti masih kanak2, sakit, gila, bermusafir dan sebagainya. Namun demikian, di dalam karya Hashiyah al-Bujayrami `Ala al-Khatib disebutkan bahawa sesiapa yang tidak berpuasa di bulan Ramadan kerana uzur, maka tidak disunatkan baginya berpuasa enam hari di bulan Syawal. Al-Mahamili dan gurunya al-Jurjani mengatakan bahawa makruh bagi mereka berpuasa sunat terlebih dahulu sebelum qada Ramadan yang ditinggalkan. Walaupun ada yang mengatakan tidak sunat dan makruh, namun bagi sesiapa yang berpuasa juga enam hari di bulan Syawal, tetap dibolehkan serta mendapat pahala sunat. Abu Zur`ah berkata, boleh berpuasa sunat enam hari di bulan Syawal bagi mereka yang meninggalkan puasa Ramadan kerana uzur, walaupun mereka tidak mendapat pahala seperti setahun sebagaimana yang disebutkan di dalam hadith. Oleh yang demikian, sesiapa yang tidak berpuasa di bulan Ramadan kerana uzur dan sebagainya, kemudian masih tidak menggantikannya maka boleh berpuasa enam hari di bulan Syawal, tetapi pahala puasa selama setahun sebagaimana yang disebutkan di dalam hadith tidak akan diperolehinya. Ini bermakna, untuk memperolehi pahala setahun sebagaimana yang disebutkan oleh hadith, seseorang itu perlu sempurnakan puasanya. Kalau ada puasa yang tertinggal dan perlu diqada, maka perlu diqada terlebih dahulu, barulah ia berpuasa sunat enam hari di bulan Syawal.

Bagi kes wanita yang uzur di mana ada di kalangan mereka yang tidak dapat berpuasa sebulan bulan Ramadan, ada yang berpandangan bahawa untuk mendapatkan pahala puasa setahun sebagaimana yang disebutkan di dalam hadith, maka dia boleh berpuasa qada sebulan di bulan Syawal, kemudian diikuti enam hari di bulan Dhulkaedah. Ia boleh mendapatkan pahala seperti ia berpuasa di bulan Syawal, kerana dia menangguhkannya disebabkan darurat. Namun hal ini adalah khilaf  di kalangan ulama kerana ada ulama yang mengatakan bahawa ia tidak dapat kelebihan puasa setahun itu. Di dalam Majallah al-Buhuth al-Islamiyyah, disebutkan bahawa perkara yang wajib ialah bersegera mengqada puasa yang ditinggalkan, walaupun terluput enam hari di bulan Syawal. Ini bermakna, mereka tidak berpandangan bahawa berpuasa enam hari di bulan Dhulkaedah sama pahalanya berpuasa sunat enam hari di bulan Syawal. Penulis juga cenderung dengan pandangan ini kerana hadith hanya menyebutkan kelebihannya pada bulan Syawal, bukan bulan2 yang lain. Bagi wanita dalam kes ini, tidak mengapa dia tidak mendapat kelebihan berpuasa enam hari di bulan Syawal kerana ia tidak sengaja dan berada dalam keadaan uzur. Lagipun puasa enam hari di bulan Syawal adalah sunat. Dia boleh mengamalkannya para tahun2 yang lain.  

Ada di kalangan kita yang terus berpuasa enam hari di bulan Syawal bermula pada hari raya kedua, dan ini menepati pandangan ulama  yang mengatakan sangat elok menghubungkannya dengan hari raya kerana bersegera dalam melakukan ibadah. Di dalam karya al-Manhaj al-Qawim Sharh al-Muqaddimah al-Hadramiyyah, disebutkan bahawa sunat berpuasa secara berturut-turut dalam enam hari dan berhubungan dengan hari raya. Perkara ini juga disebutkan oleh al-Nawawi di dalam karya Sharh Muslim. Penulis juga lebih cenderung dengan pandangan ini untuk mengatakan bahawa puasa secara berturut-turut selama enam hari, pada hari raya kedua adalah lebih afdal. Nilainya sudah tentu tidak sama bagi mereka yang berpuasa secara berpisah-pisah di bulan Syawal. Ini kerana dengan berpuasa demikian, ianya lebih menepati istilah 'diikuti' seperti yang terdapat di dalam hadith iaitu: "ثم أتبعه". Selain itu, ianya juga menepati nas-nas yang lain supaya kita bersegera melakukan kebaikan.

Walaupun demikian, berpuasa yang tidak berhubungan dengan hari raya dan tidak berturut-turut, tetap mendapat pahala sunat. Di dalam karya Subul al-Salam, disebutkan bahawa pahala puasa yang dikerjakan secara terpisah-pisah hari di bulan Syawal tanpa berturut-turut selama enam hari juga berhasil pahala berpuasa selama setahun. Ibn al-Mubarak berkata, sesiapa yang berpuasa enam hari di bulan Syawal tanpa berturut-turut, maka harus perlakuan sedemikian. Bagi Imam Ahmad, menunaikan puasa sunat enam hari di bulan Syawal secara berturut-turut atau tidak, maka salah satunya tidak melebihi yang lain. Kedua-duanya sama sahaja. Tiada yang lebih afdal antar kedua-duanya. Namun di sisi ulama Hanafi dan Shafi`i, perkara yang afdal ialah berpuasa enam hari secara berturut-turut, dan bermula pada hari raya kedua. Ini bermakna, berpuasa berturut-turut atau tidak, sama sahaja pahalanya. Asalkan seseorang itu berpuasa enam hari di bulan Syawal. Namun, dari sudut afdal atau tidak maka bersegera berpuasa selama enam hari serta berturut-turut dan bermula pada hari raya kedua adalah lebih afdal.    




Rujukan:
1) Al-Majmu` oleh al-Nawawi.
2) Asna al-Matalib, Bab Fasl Sawm Yawm `Arafah.
3) Hashiyata Qalyubi Wa `Amirah, Bab Sawm al-Tatawu`.
4) Hashiyah al-Bujayrami `Ala al-Khatib, Kitab al-Siyam. 
5) Fiqh al-`Ibadat-Shafi`i, Bab al-Qism al-Thani al-Sawm al-Masnun.
6) Subul al-Salam, Bab Fadl Sawm Sittah Min Shawwal.
7) Nayl al-Awtar, Bab Sawm Sitt Min Shawwal.
8) Qism al-Fiqh, Bab Siyam al-Tatawwu`.
9) Majallah al-Buhuth al-Islamiyyah. 

No comments:

Post a Comment