Pages

Friday 21 October 2011

Hadith-hadith Yang Terdapat Di Dalam Karya Ihya' `Ulumuddin

Pendahuluan
Hadith-hadith yang terdapat di dalam karya 'Ihya' `Ulum al-Din seringkali diberi perhatian oleh ulama. Ini kerana memandangkan kepada ketokohan Imam al-Ghazali di dalam bidang tasawuf yang dijadikan rujukan oleh umat Islam sedunia. Berdasarkan kepada satu seminar yang diikuti oleh penulis, hadith-hadith yang terdapat di dalam karya ihya'  perlu difahami akan metodologinya agar kita tidak salah faham kenapa hadith-hadith palsu turut dimasukkan ke dalam karya ini. Oleh yang demikian, di dalam coretan ringkas ini penulis akan bicarakan mengenai hadith-hadith yang terdapat di dalam karya ihya' sebagaimana yang telah dikaji oleh para sarjana dahulu mahupun yang terkemudian. Semoga analisis ringkas yang dilakukan ini memberi manfaat kepada kita semua. 

Hadith-hadith Daif Yang Terdapat Di Dalam Karya Ihya'  Dan Pembelaan Terhadap Imam Ghazali

Penulis sebenarnya tidak setuju dengan sejumlah sarjana yang memperkecilkan keupayaan Imam Ghazali terhadap ilmu hadith. Bagi penulis, Imam Ghazali adalah pakar di dalam ilmu hadith dan disaksikan sendiri oleh ramai ulama, antaranya ialah Imam Nawawi. Antara contoh sarjana terdahulu atau terkini yang seolah-olah memperkecilkan keupayaan Imam Ghazali adalah seperti Ibn al-Jauzi, Salih Ahmad al-Shami, al-Qardawi dan ramai lagi. Di bawah ini, penulis akan baawakan kenyataan mereka yang seakan-akan memperkecilkan keupayaan Imam Ghazali dalam ilmu hadith, dan jawapan penulis mengenainya.

Kritikan: Berdasarkan kepada pengkajian Salih Ahmad al-Shami mengenai hadith yang terdapat di dalam karya ihya', beliau mengatakan bahawa Imam Ghazali banyak memuatkan hadith daif dan palsu di dalam karyanya. Oleh yang demikian menurut Salih Ahmad al-Shami, karya ini terdedah kepada kritikan ramai sarjana selepas Imam Ghazali. Antara sarjana yang paling keras mengkritik karya ihya'  ialah al-Imam Ibn al-Jawzi. (Salih Ahmad al-Shami, al-Imam al-Ghazali Hujjah al-Islam Wa Mujaddid al-Mi'ah al-Khamisah, h. 166). Menurut al-Shami, perlakuan Imam Ghazali tersebut terhadap karyanya adalah disebabkan Imam Ghazali tidak pakar dalam ilmu hadith. Ini kerana seluruh kehidupan Imam Ghazali disibukkan dengan urusan perdebatan dengan golongan penyeleweng, sehinggakan masa beliau kepada ilmu hadith adalah begitu kurang. (Salih Ahmad al-Shami, al-Imam al-Ghazali Hujjah al-Islam Wa Mujaddid al-Mi'ah al-Khamisah, h. 167.) Sheikh Yusuf al-Qardawi turut sependapat dengan al-Shami dalam hal ini. Di dalam karya  al-Qardawi iaitu al-Imam al-Ghazali Bayn Madihihi Wa  Naqidihi, beliau menyatakan bahawa antara faktor Imam Ghazali tidak pakar di dalam ilmu hadith dirujuk kepada madrasah yang dipelajari oleh beliau iaitu madrasah Imam al-Haramayn yang di mana madrasah ini tidak begitu memberi perhatian terhadap ilmu hadith.  (al-Imam al-Ghazali Bayn Madihihi Wa  Naqidihi, h. 150). Terdapat fakta-fakta yang seakan menyokong dakwaan-dakwaan sarjana di atas. Antaranya ialah Imam Ghazali sendiri pernah mengakui bahawa pengetahuannya berkaitan dengan ilmu hadith adalah sedikit. (Salih Ahmad al-Shami, al-Imam al-Ghazali Hujjah al-Islam Wa Mujaddid al-Mi'ah al-Khamisah, h. 167.)

Jawapan penulisKata-kata Imam Ghazali di atas boleh diandaikan yang beliau bersikap rendah diri walaupun ilmu beliau begitu mendalam dalam ilmu hadith. Ini kerana Imam Ghazali adalah seorang yang begitu mendalam dalam lapangan tasawuf, oleh itu beliau akan bersikap tawaduk dan rendah diri dalam percakapannya.

Kritikan: Selain itu, al-Sam`ani ada menyebutkan bahawa ketika mana Imam Ghazali pulang ke tanah airnya, antara urusan terakhir yang dilakukan oleh beliau ialah menuntut ilmu hadith serta menghadiri majlis para ahlinya, membaca hadith, dan menukilkannya. (Salih Ahmad al-Shami, al-Imam al-Ghazali Hujjah al-Islam Wa Mujaddid al-Mi'ah al-Khamisah, h. 167.)

Jawapan PenulisKata-kata ini juga perlu diperhatikan semula kerana seolah-olahnya Imam Ghazali baru belajar ilmu hadith ketika di akhir umurnya, sedangkan Imam Ghazali telah menghafaz beribu-ribu hadith dan dimasukkan di dalam karya ihya'nya. Bagi seseorang yang pakar di dalam ilmu hadith, maka ia perlu menghafaz banyak hadith sama ada hadith tersebut sahih, atau daif. Perkara ini pernah dilakukan oleh Imam Bukhari di mana beliau mengafaz dua ratus ribu hadith, separuhnya adalah hadith daif dan separuh lagi hadith sahih. Daripada separuh hadith sahih itu, beliau saring semula untuk dimasukkan ke dalam Sahih Bukhari. Kenapa hadith sahih sahaja yang dimasukkan oleh Imam Bukhari ke dalam karyanya? Ini kerana karyanya memang bertujuan untuk dimuatkan hadith sahih. Bagi karya Imam Bukhari yang lain seperti al-Adab al-Mufrad, tidak semestinya kesemua hadith di dalamnya adalah sahih. Oleh yang demikian, tidak mustahil Imam Ghazali turut memasukkan hadith daif di dalam karyanya kerana karyanya bukan karya hadith, tetapi karya tasawuf.     

Penidirian Penulis Dalam Isu Ini: Menurut penulis (blogger blog ini), mana mungkin untuk dikatakan Imam Ghazali tidak pakar di dalam ilmu hadith, sedangkan Imam Nawawi sendiri merujuk kepada pandangan Imam Ghazali ketika membahaskan mengenai ilmu hadith. Sekiranya saudara dan saudari ingin mendapatkan maklumat tersebut, maka boleh merujuk kepada karya al-Majmu`  yang di dalamnya terdapat banyak perkara yang di mana Imam Nawawi merujuk kepada kata-kata Imam Ghazali ketika membahaskan mengenai ilmu hadith. Misalnya, ketika membahaskan mengenai kata-kata sahabat iaitu: "أمرنا بكذا أو نهينا عن كذا أو من السنة كذا أو مضت السنة بكذا أو السنة بكذ", maka Imam Nawawi mengatakan bahawa tiada bezanya antara ucapan seperti ini diucapkan oleh Nabi s.a.w. sama ada ketika masih hidup atau telah wafat. Ianya dikira marfu` kepada Rasulullah s.a.w. Seterusnya Imam Nawawi mengatakan bahawa pandangan sebegini dijelaskan oleh al-Ghazali dan lain-lain. (al-Majmu`, j. 1, h. 99). Ini bermakna, sebagaimana yang telah kita sedia maklum mengenai ketokohan Imam Nawawi dalam ilmu hadith, maka ketika beliau membahaskan mengenai salah satu item dalam ilmu hadith, turut merujuk kepada pandangan Imam Ghazali. Menunjukkan bahawa Imam Ghazali merupakan pakar rujuk di dalam ilmu hadith.

Terdapat Hadith Palsu Dalam Ihya'?

Mengenai hadith-hadith palsu yang terdapat di dalam karya ihya' , ianya pernah diperkatakan oleh al-`Iraqi menerusi usaha takhrijnya terhadap hadith-hadith yang terdapat di dalam karya ihya'. (Salih Ahmad al-Shami, al-Imam al-Ghazali Hujjah al-Islam Wa Mujaddid al-Mi'ah al-Khamisah, h. 167.) Ibn Kathir pernah memberikan pandangannya mengenai hadith yang begitu daif yang terdiri daripada hadith gharib, mungkar dan palsu yang terdapat di dalam karya ihya'. Ibn Kathir mengatakan bahawa karya-karya yang memberi fokus mengenai al-raqa'iq, al-targhib dan al-tarhib adalah karya yang paling mengambil sikap mudah terhadap hadith-hadith yang dijadikan dalil di dalamnya. (Salih Ahmad al-Shami, al-Imam al-Ghazali Hujjah al-Islam Wa Mujaddid al-Mi'ah al-Khamisah, h. 168.). Oleh yang demikian, apakah yang menyebabkan hadith palsu turut terselit di dalam karya ihya', sedangkan hadith palsu adalah satu perkara yang tidak boleh dijadikan hujah di dalam agama walau dalam fada'il a`mal sekalipun?

Status Hadith Palsu Dalam Karya Ihya'

Terdapat seorang sarjana yang mengkaji mengenai kedudukan hadith daif dan palsu yang terdapat di dalam karya ihya'. Beliau ialah Dr. al-Sayyid Muhammad `Aqil bin `Ali al-Mahdali yang menghasilkan karya berjudul "al-Imam al-Ghazali Wa `Ilm al-Hadith". Di dalam karya ini, pengarangnya mengatakan bahawa tidak semestinya hadith daif atau palsu seperti yang diperkatakan oleh al-`Iraqi terhadap hadith di dalam ihya' adalah daif dan palsu kesemuanya. Ianya masih dalam perkara khilaf di kalangan ulama dalam menghukumkan sesuatu hadith. al-Mahdali mengatakan bahawa hadith-hadith yang dihukumkan daif atau palsu oleh al-`Iraqi,  dihukumkan oleh ulama lain seperti al-`Allamah al-Sayyid Muhammad bin Muhammad al-Husayni dengan hukum yang sebaliknya. (Dr. al-Sayyid Muhammad `Aqil bin `Ali al-Mahdali, al-Imam al-Ghazali Wa `Ilm al-Hadith, h. 138.) Oleh yang demikian, al-Mahdali menegaskan bahawa, sebenarnya tidak terdapat hadith palsu di dalam karya ihya'  seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak. Hadith yang terdapat di dalamnya hanyalah terdiri daripada sahih, hasan dan daif sahaja. (Dr. al-Sayyid Muhammad `Aqil bin `Ali al-Mahdali, al-Imam al-Ghazali Wa `Ilm al-Hadith, h. 138-139.)

Seterusnya al-Mahdali menerangkan mengenai pendirian al-Ghazali mengenai hadith palsu yang menunjukkan bahawa tidak mungkin beliau memasukkan hadith palsu di dalam karyanya. Imam Ghazali mengatakan  bahawa terdapat satu golongan yang menyangka bahawa harus memalsukan hadith dalam perkara-perkara yang berkaitan dengan kelebihan beramal dan sikap keras terhadap perkara maksiat. Mereka menyangka bahawa tujuan mereka melakukan demikian adalah sartu tindakan yang benar, sedangkan ini merupakan satu kesalahan yang sebesar-besar kesalahan. Ini adalah berdasarkan kepada sabdaan Nabi s.a.w.: "مَنْ كَذَبَ عَلَىَّ مُتَعَمِّدًا فَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ مِنَ النَّارِ". (Dr. al-Sayyid Muhammad `Aqil bin `Ali al-Mahdali, al-Imam al-Ghazali Wa `Ilm al-Hadith, h. 139.). Berdasarkan kepada pendirian Imam Ghazali ini, maka mustahil bagi beliau memasukkan hadith palsu di dalamnya menurut  al-Mahdali. (Ibid.)

Sekiranya betullah terdapat hadith yang tersangat lemah di dalam ihya'  sebagaimana yang diperkatakan oleh al-`Iraqi mengenainya, maka menurut al-Mahdali, Imam Ghazali menyebutkan hadith tersebut adalah setelah beliau yakin bahawa hadith itu bukan dalam kategori lemah yang bersangatan. Ini bermakna, sekiranya terdapat hadith yang tersangat lemah di dalam ihya', maka ianya merupakan kesilapan al-Ghazali dalam menukilkan sesuatu hadith, bukannya disengajakan oleh beliau. Orang yang melakukan kesilapan seperti itu adalah ramai. Oleh yang demikian, adalah tidak beradab sekiranya menisbahkan kejahilan kepada Imam Ghazali terhadap ilmu hadith, semata-mata beliau tersalah dalam menukilkan beberapa hadith tersangat lemah di dalam karya ihya'nya. (Dr. al-Sayyid Muhammad `Aqil bin `Ali al-Mahdali, al-Imam al-Ghazali Wa `Ilm al-Hadith, h. 139.)

Walaubagaimana pun, perkara ini boleh lagi dibahaskan di kalangan ilmuan Islam yang pakar mengenai ilmu hadith. Penulis dalam catatan ini cenderung untuk mengatakan bahawa Imam Ghazali adalah seorang tokoh dalam ilmu hadith, dan penulis tidak bersetuju dengan sesetengah pihak yang mengatakan bahawa Imam Ghazali kurang pengetahuannya terhadap ilmu hadith.

Kesimpulan

Sebelum ini, ramai orang mengkritik hadith-hadith yang terdapat di dalam karya ihya'  disebabkan kajian hadith yang dilakukan oleh al-`Iraqi mengenainya, sedangkan takhrij yang dilakukan itu masih dalam perkara khilaf di kalangan ulama. Tidak semestinya hadith palsu yang dikatakan oleh al-`Iraqi terhadap hadith ihya' adalah palsu menurut ulama hadith lain. Misalnya al-`Allamah al-Sayyid Muhammad bin Muhammad al-Husayni, mengatakan sebaliknya terhadap hadith-hadith yang dikatakan palsu oleh al-`Iraqi. Atau boleh jadi hadith yang statusnya wahi oleh al-`Iraqi adalah disebabkan kesalapan dalam menukilkan hadith oleh al-Ghazali ke dalam karya ihya' nya. Oleh itu, seseorang itu perlu lebih berhati-hati dalam mengkritik hadith yang terdapat di dalam karya ihya'  kerana pengarangnya iaitu Imam Ghazali adalah pakar di dalam ilmu hadith.        

No comments:

Post a Comment