Pages

Wednesday 12 October 2011

Perkara Baru Dalam Kajian

Pendahuluan

Apabila kita masuk dalam dunia kajian, maka perkara yang seringkali ditanya kepada kita ialah berkaitan dengan masalah kajian, penemuan baru dan perkara baru daripada kajian. Sekiranya kita dapat mencari masalah kajian, maka kita pada masa tersebut dikira sebagai pengkaji yang berada di atas landasan yang betul bagi memulakan sesuatu kajian. Berdasarkan pengalaman penulis yang seringkali menghadiri pembentangan seminar para pelajar yang terdiri daripada pelajar PhD dan Master, maka soalan terpenting yang ditanya kepada mereka ialah berkaitan dengan perkara baru daripada kajian yang ingin dijalankannya. Oleh yang demikian, dalam coretan ringkas ini, penulis akan cuba meneliti perkara baru yang pernah dibincangkan oleh para sarjana kita, yang di mana mereka telah memberikan sumbangan yang cukup besar dalam dunia keilmuan. Antara kajian yang menarik perhatian penulis untuk diteliti menerusi blog ini ialah kajian yang dilakukan oleh Akram Yusuf `Umar al-Qawasimi yang bertajuk: "al-Madkhal Ila Madhhab al-Imam al-Shafi`i". Sebagaimana yang telah kita ketahui bahawa kajian berkenaan dengan mazhab Imam Shafi`i telah ramai dilakukan oleh para pengkaji sebelum beliau. Oleh yang demikian, dengan tajuk yang seperti ini, bagaimanakan beliau berjaya mencari perkara baru daripada kajian dilakukannya? Oleh itu, akan dibahaskan di dalam blog ini sedapat yang mungkin.

Analisis Kandungan Kajian

Berdasarkan kepada isi kandungan kajian yang berjudul: "al-Madkhal Ila Madhhab al-Imam al-Shafi`i", beliau membahagikan kajiannya kepada dua bab. Bab pertama mengandungi tiga fasal dan bab kedua mengandungi dua fasal. Bab pertama beliau membahaskan mengenai Imam al-Shafi`i, dan bab kedua beliau membincangkan mengenai mazhab Shafi`i.

Berdasarkan kepada bab pertama, beliau membincangkan mengenai Imam al-Shafi`i di mana perbincangan tentang Imam Shafi`i telah begitu banyak dilakukan oleh pengkaji terdahulu. Oleh yang demikian, apakah perbincangan yang dilakukannya bagi memperlihatkan kepada kita bahawa kajiannya adalah satu kajian yang baru yang berbeza daripada kajian orang lain? Pertama sekali yang dilihat oleh penulis mengenai kajiannya yang dianggap baru ialah penyusunan beliau yang begitu kemas mengenai peringkat pengembaraan Imam Shafi`i dalam kehidupannya. Dalam setiap peringkat pengembaraan Imam Shafi`i, al-Qawasimi akan mengkaji pengalaman Imam Shafi`i dalam menuntut ilmu serta hubungannya dengan para ulama yang merupakan guru beliau. Sebelum ini, kita hanya mengetahui bahawa guru utama Imam Shafi`i ialah Imam Malik. Setelah kita membaca kajian yang dilakukan oleh al-Qawasimi, barulah kita tahu bahawa guru Imam Shafi`i adalah ramai lagi yang bukan sekadar Imam Malik sahaja. Selain Imam Malik yang merupakan guru Imam Shafi`i di Madinah, guru utama Imam Shafi`i di Makkah ialah Muslim bin Khalid al-Zinji yang merupakan murabbi kepada Imam Shafi`i. al-Zinji merupakan orang pertama yang memberi bimbingan kepada Imam Shafi`i agar beliau menceburi diri dalam bidang fikah. Setelah itu, Imam Shafi`i begitu konsisten bergelumang dalam ilmu fikah sehinggakan beliau berjaya mengasaskan satu mazhab baru, yang berbeza dengan mazhab dua imam sebelumnya.

Sekiranya seseorang rajin membaca mengenai karya tentang biografi Imam Shafi`i, bahagian yang telah disebutkan di atas dalam kajian al-Qawasimi masih lagi dalam peringkat biasa. Cuma, apa yang dilakukan oleh al-Qawasimi hanya memudahkan pembaca untuk mendapatkan maklumat mengenai pengalaman belajar Imam Shafi`i, guru-guru terpenting beliau, serta murid-murid penting beliau. Bagi mereka yang tidak pernah membaca mengenai biografi Imam Shafi`i, maka kajian al-Qawasimi adalah medan yang terbaik untuk mereka mendapatkan maklumat yang lengkap mengenai biografi Imam Shafi`i. Sebelum al-Qawasimi, sememangnya telah ada pengkaji yang membahaskan tentang biografi Imam Shafi`i secara lengkap iaitu Nahwari salah seorang sarjana yang mendapat Doktor Falsafah di Universiti al-Azhar. Kajian al-Qawasimi cuma melengkapkan lagi perbahasan mengneai biografi mengenai Imam Shafi`i. Sesiapa yang inginkan biografi yang lengkap mengenai Imam Shafi`i, maka bolehlah merujuk kepada kajian yang dibuat oleh Nahrawi dan al-Qawasimi ini.

Antara perkara menarik dan baru yang dibahaskan oleh al-Qawasimi menerusi kajiannya pada bab satu ialah pada fasal kedua bab ini yang membahaskan mengenai ilmu Imam Shafi`i. Pada fasal ini, al-Qawasimi menganalisis keilmuan Imam Shafi`i dalam bahasa Arab, Tafsir al-Quran, Hadith Nabawi, serta penguasaan Imam Shafi`i terhadap fikah empat orang mujtahid iaitu fikah Imam Malik, fikah Imam Abu Hanifah, fikah Imam al-Awza`i dan fikah Imam Abu al-Layth. Fikah Imam Malik dan Imam Abu Hanifah telah berkembang sehingga ke hari ini, manakala fikah al-Awza`i dan Abu al-Layth pula tidak berkembang, namun Imam Shafi`i sempat mempelajari fikah mereka berdua dalam hayat Imam Shafi`i.

Mengenai penguasaan Imam Shafi`i terhadap hadith Nabawi, maka menurut al-Qawasimi, Imam al-Shafi`i adalah seorang imam di dalam hadith dari sudut riwayah dan dirayah. Di samping Imam Shafi`i merupakan imam di dalam fiqh dan usulnya, beliau juga merupakan imam di dalam hadith. Di dalam karya al-Risalah, termuat idea-idea beliau yang berbentuk usul mengenai ilmu hadith, yang seterusnya usul tersebut dikembangkan oleh para ahli hadith selepasnya. Dalam hal ini, dalam salah satu kertas kerja yang dilakukan oleh Dr. Abdul Hayyei Abdul Sukor, beliau mengatakan bahawa Imam Shafi`i merupakan orang terawal yang mencetuskan gelombang kebangkitan ilmu hadith pada zamannya dan seterusnya, sehingga lahir imam-imam hadith yang besar seperti Imam Bukhari, Muslim, Abu Dawud, Tirmidhi, Ibn Majah dan lain-lain adalah hasil cetusan yang idea Imam Shafi`i. Inilah sumbangan Imam Shafi`i dalam ilmu hadith sehingga beliau layak digelar  Nasir al-Sunnah. 

Mengenai perkara shubhah yang timbul di sekitar penguasaan Imam Shafi`i terhadap hadith Nabawi, maka ia dijawab oleh al-Qawasimi dengan jawapan yang memuaskan bagi sesiapa yang membacanya. Setiap jawapan yang diberikan oleh beliau akan disertai oleh hujah serta fakta-fakta yang konkrit untuk membuktikan bahawa Imam Shafi`i adalah seorang imam di dalam hadith. Antara shubhah yang dibincangkan di dalam kajian ini ialah mengenai alasan kenapa Imam Shafi`i meminta pertolongan daripada Imam Ahmad agar menerangkan kepada Imam Shafi`i mengenai hadith sahih. Adakah Imam Shafi`i tidak tahu hendak membezakan hadith sahih dan daif sehinggkan beliau perlu meminta pertolongan kepada Imam Ahmad bin Hanbal? Antara shubhah lagi ialah mengenai peribadi Imam Shafi`i yang tidak terdapat di dalam rantaian sanad Imam Bukhari dan Imam Muslim, yang menurut Ibn Ma`in, Imam Shafi`i merupakan perawi yang daif. Jawapan bagi shubhah pertama ialah Imam Ahmad bin Hanbal lebih mengetahui hal keadaan hadith dan perawinya di Baghdad disebabkan beliau merupakan penduduk tetap di situ, berbanding Imam Shafi`i yang merupakan seorang perantau di Baghdad. Oleh yang demikian, Imam Shafi`i bertanyakan hal berkaitan hadith sahih dan daif kepada Imam Ahmad kerana beliau lebih mengetahui hal keadaan perawi di Baghdad dan kawasan sekitarnya. Shubhah kedua ialah Imam Bukhari dan Muslim tidak pernah bertemu dengan Imam Shafi`i kerana mereka berlainan zaman. Oleh yang demikian, untuk mendapatkan sanad yang `ali, mereka berdua perlu bertemu dengan para mashayikh yang sezaman dengan Imam Shafi`i yang masih hidup. Sekiranya mereka berdua mendapat tariq Imam Shafi`i menerusi muridnya, maka Imam Bukhari dan Muslim tidak akan mendapatkan tariq `ali yang berkualiti tinggi yang sangat2 dipentingkan oleh mereka berdua.

Seterusnya pada bab kedua, antara perkara baru yang dirasa oleh penulis menerusi kajian ini ialah pada perbasahan ketujuh yang berada pada fasal pertama. Fasal ini membincangkan mengenai pengamalan orang ramai terhadap mazhab Shafi`i semakin berkurangan. Antara punca orang ramai berkurang dalam mengamalkan mazhab disebabkan tabiat kepada sistem pengajian yang diamalkan kini yang lebih mementingkan kepada fiqh al-`am. Pada zaman kini, fikah yang diajar tidak lagi berasaskan kepada satu-satu mazhab, malahan mencampurkan kesemua mazhab. Oleh yang demikian, pembelajaran yang berdasarkan satu-satu mazhab seperti mazhab Shafi`i, yang bermula daripada kaedah usul, asas-asas mazhab, karya2 mazhab, tokoh-tokoh mazhab, tidak lagi dibincangkan secara terperinci dari satu step ke satu step. Selain itu, ijtihad yang dilakukan kini yang membahaskan mengenai permasalahan baru yang timbul, tidak lagi dibincangkan berdasarkan mazhab tertentu. Setelah itu, timbul pula Majma` Fiqh di seluruh dunia yang sama sekali tidak membincang sesuatu permasalahan agama dalam kerangka mazhab tertentu. Dan banyak lagi alasan yang diberikan oleh al-Qawasimi untuk menggambarkan mengenai faktor2 yang menyebabkan orang ramai semakin berkurangan dalam mengamalkan mazhab tertentu seperti mazhab Shafi`i. Perbahasan yang diberikan oleh al-Qawasimi pada fasal ini adalah begitu menarik bagi penulis kerana sekiranya kita perhatikan masyarakat kita kini, kebanyakannya tidak lagi mengamalkan mazhab Shafi`i sepenuhnya bermula daripada bab taharah sehinggalah bab jenayah. Ditambah lagi dengan isu "Wahabi" yang panas kini, telah menggganggu sama sekali pengamalan umat Islam di Malaysia terhadap mazhab Shafi`i. Walaupun banyak seminar yang dilakukan seperti yang dianjurkan oleh Jabatan Fiqh dan Usul APIUM mengenai pemerkasaan mazhab Shafi`i di Malaysia, namun masyarakat masih lagi di takuk lama dari sudut pengkajian mereka terhadap mazhab Shafi`i. Sepatutnya masyarakat kita didedahkan dengan kaedah2 mazhab, usul mazhab, karya2 mazhab dan sebagainya bermula dari sekolah rendah sehinggalah peringkat universiti.

Selain itu, antara kelebihan kajian al-Qawasimi mengenai mazhab Shafi`i ialah data-data yang dikumpulkannya berbentuk baru serta semasa yang menjadikan kajiannya begitu memberi manfaat kepada pembaca. Misalnya pada fasal kedua pada bab kedua, beliau mengumpulkan kajian terkini mengenai Usul Fiqh mazhab Shafi`i yang dilakukan oleh beberapa orang sarjana sama ada kajian tersebut telah diterbitkan atau tidak. Dalam hal ini menampakkan kepada kita bahawa al-Qawasimi begitu bersungguh-sungguh mencari data-data terbaru yang berkaitan dengan kajiannya dan ini memberikan kepada kita satu panduan bahawa untuk menjadikan kajian kita betul2 tulen dan tidak sekadar saduran dari idea orang lain, maka kita perlu berusaha mencari data-data terkini berkaitan dengan kajian yang kita lakukan.

Kesimpulan

Berdasarkan kepada analisis yang telah dilakukan di atas mengenai salah satu kajian yang dilakukan salah seorang sarjana antarabangsa, maka menampakkan kepada kita bahawa untuk menjadikan sesuatu kajian kita berbentuk baru, maka kita perlulah memiliki bahan yang banyak dan terkini yang berkaitan dengan kajian yang ingin kita lakukan. Antara bahan yang boleh dianggap terkini ialah seperti artikel, tesis, kertas kerja, temu bual dan sebagainya. Selain itu, sekiranya perkara yang berkaitan dengan kajian kita merupakan bahan lama dan ianya adalah berdasarkan kitab turath, maka kita hanya perlu menyusun data-data2 ini dipermulaan bab kajian dengan begitu kemas, seterusnya kita memberikan ulasan terhadap data-data turath berdasarkan analisis kita untuk mendapatkan kesimpulan yang berbentuk jami` dan mani`. Semoga coretan ringkas di dalam blog ini akan memberikan manfaat kepada kita semua, khususnya kepada sesiapa yang berminat untuk menceburkan diri dalam bidang penyelidikan lanjutan. Wallahua`lam....

No comments:

Post a Comment