Pages

Wednesday 20 July 2011

Perbahasan Qunut Subuh Berdasarkan Hadith


PENDAHULUAN

Qunut Subuh adalah satu amalan yang diamalkan oleh umat Islam di Malaysia pada setiap kali mereka menunaikan solat Subuh. Berdasarkan mazhab Shafi‘i, qunut Subuh merupakan sunat ab‘ad. Bagi sesiapa yang meninggalkannya dengan sengaja, maka ia perlu melakukan sujud sahwi. Sebagaimana yang telah diketahui, qunut Subuh merupakan permasalahan khilaf antara mazhab. Perselisihan yang berlaku disebabkan dalil hadith yang menyebutkan mengenainya, terdapat masalah dari sudut sanad. Bagi mereka yang tidak mengamalkan qunut Subuh, maka mereka beranggapan bahawa hadith yang berkaitan dengannya adalah daif. Bagi mereka yang mengamalkannya pula, maka walaupun ianya daif, tetapi ianya mempunyai pelbagai tariq yang menyebabkan ianya boleh naik taraf kepada hadith maqbul. Dengan yang demikian, di bawah ini akan dibahaskan mengenai kepelbagaian tariq yang berkaitan dengan hadith yang menyebutkan mengenai qunut Subuh, sebagaimana yang telah dibahaskan oleh al-Sayyid al-‘Allamah al-Muhaddith ‘Ali bin Muhammad Tahir al-Husayni al-Hadrami.

PANDANGAN YANG KONTRA TERHADAP QUNUT SUBUH

Sayyid Sabiq di dalam karyanya Fiqh al-Sunnah, mengatakan bahawa membaca doa qunut ketika solat Subuh adalah satu perkara yang tidak mashru` (tidak menepati Sunnah).[1] Beliau mengatakan bahawa, perkara yang mashru` mengenai pembacaan qunut ialah ketika umat Islam ditimpa bala bencana. Ketika umat Islam ditimpa bencana, barulah mereka disyariatkan membaca qunut. Pembacaan qunut tersebut ialah pada setiap kali solat, bukannya khusus kepada solat Subuh sahaja.[2] Beliau berdalilkan hadith riwayat Ahmad, al-Nasa’i, Ibn Majah, al-Tirmidhi, menerusi Abu Malik al-Ashja‘i bahawa beliau berkata:
كَانَ أَبِى قَدْ صَلَّى خَلْفَ رَسُولِ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- - وَهُوَ ابْنُ سِتَّ عَشْرَةَ سَنَةً - وَأَبِى بَكْرٍ وَعُمَرَ وَعُثْمَانَ فَقُلْتُ لَهُ أَكَانُوا يَقْنُتُونَ قَالَ لاَ أَىْ بُنَىَّ مُحْدَثٌ

      Seterusnya, riwayat daripada Ibn Hibban, al-Khatib dan Ibn Khuzaymah daripada Anas iaitu:
أن النبي صلى الله عليه وسلم كان « لا يقنت إلا إذا دعا لقوم أو دعا على قوم »
      Diriwayatkan daripada al-Zubayr dan tiga orang khalifah Islam bahawa mereka semua tidak membaca doa qunut ketika solat Subuh. Pandangan ini juga yang dipegang di dalam mazhab Hanafi, Hanbali, Ibn al-Mubarak, al-Thawri dan Ishaq.[3]
  

   Manakala dalil yang diguna oleh mazhab Shafi‘i mengenai qunut Subuh iaitu hadith yang diriwayatkan oleh al-jama‘ah selain al-Tirmidhi daripada Ibn Sirin bahawa Anas bin Malik ditanya:
1) هَلْ قَنَتَ رَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- فِى صَلاَةِ الصُّبْحِ قَالَ نَعَمْ بَعْدَ الرُّكُوعِ يَسِيرًا
dan riwayat daripada al-Daraqutni, al-Bayhaqi dan al-Hakim daripada Anas iaitu:
2) مَا زَالَ رَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- يَقْنُتُ فِى صَلاَةِ الْغَدَاةِ حَتَّى فَارَقَ الدُّنْيَا

      Hadith yang dikemukakan oleh mazhab Shafi`i ini ditolak oleh Sayyid Sabiq. Menurut beliau, qunut yang dimaksudkan di dalam hadith pertama ialah berkaitan dengan situasi bencana yang menimpa umat Islam pada masa itu sebagaimana yang disebutkan dengan jelas menerusi riwayat Bukhari dan Muslim.[4]

   Manakala pada hadith kedua pula, di dalam sanadnya terdapat Abu Ja‘far al-Razi yang merupakan seorang perawi yang tidak kukuh periwayatannya.[5] Hadith yang diriwayatkan oleh Abu Ja‘far al-Razi ini tidak perlu dijadikan hujah menurut Sayyid Sabiq.[6] Menurut beliau lagi, adalah tidak masuk akal untuk mengatakan bahawa Rasululullah s.a.w. mengamalkan qunut Subuh sepanjang kehidupannya, tetapi apabila sampai sahaja zaman Khulafa’ Rashidun, mereka meninggalkannya.[7] Bahkan perawi hadith itu sendiri iaitu Anas, tidak mengamalkan qunut Subuh sebagaimana sabit daripada periwayatannya. Sekiranya diterima bahawa hadith yang diriwayatkan oleh Anas yang dijadikan dalil oleh mazhab Shafi‘i sebagai sahih, maka qunut yang dimaksudkan berdasarkan hadith tersebut adalah dengan maksud Rasulullah s.a.w. bangun dalam kadar yang lama pada rakaat kedua solat Subuh untuk membaca doa dan pujian kepada Allah S.W.T. Baginda s.a.w. amalkan sedemikian sehinggalah baginda s.a.w. wafat. Makna doa dan pujian adalah termasuk juga dalam erti “qunut”, dan ini lebih sesuai untuk digunakan berdasarkan hadith Anas menurut Sayyid Sabiq.[8] Walaupun beliau menerima pakai bahawa qunut Subuh tidak mashru`, tetapi beliau mengiktiraf bahawa permasalahan ini adalah permasalahan khilaf di kalangan ulama, yang mana melakukan dan meninggalkannya adalah dibolehkan di dalam Islam.[9]    

PANDANGAN AL-SAYYID AL-‘ALLAMAH AL-MUHADDITH ‘ALI BIN MUHAMMAD TAHIR AL-HUSAYNI AL-HADRAMI MENGENAI QUNUT SUBUH

Berlainan dengan Sayyid Sabiq, ‘Ali bin Muhammad Tahir al-Husayni al-Hadrami mengatakan bahawa qunut Subuh adalah satu perkara yang menepati Sunnah. Perkara yang disebutkan oleh ‘Ali bin Muhammad Tahir al-Husayni al-Hadrami mengenai periwayatan yang berkaitan dengan qunut Subuh ialah berdoa kepada Allah S.W.T. dengan imam mengangkat tangan, dan para makmum pula mengaminkan doa imam tersebut. Doa qunut Subuh yang dibaca di dalam solat itu adalah berdasarkan kepada hadith yang sanadnya sahih, serta tiada ilat di dalamnya. Menurut ‘Ali bin Muhammad Tahir al-Husayni al-Hadrami, riwayat daripada Nabi s.a.w. berkaitan dengan doa qunut Subuh, sanadnya adalah sahih serta tiada ilat di dalamnya.[10] Hadith yang dimaksudkan ialah:
عن ابى اسحاق عن بريد بن ابى مريم عن ابى الحوراء عن حسن أو الحسين بن على قال علمني رسول الله صلى الله عليه وسلم كلمات اقولهن في القنوت اللهم اهدني فيمن هديت وعافنى فيمن عافيت وتولنى فيمن توليت وبارك لى فيما اعطيت وقنى شرما قضيت انك تقضى ولا يقضى عليك وانه لا يذل من واليت ولا يعز من عاديت تباركت ربنا وتعاليت
     Hadith ini diriwayatkan oleh Imam Bayhaqi[11] menerusi hadith Abu Ishaq, daripada Burayd bin Abi Maryam, daripada Abu al-Hawra’, daripada al-Hasan bin ‘Ali.


       Ada orang mengatakan bahawa bacaan doa seperti yang disebutkan di dalam hadith adalah untuk solat sunat witir sahaja. Maka ‘Ali bin Muhammad Tahir al-Husayni al-Hadrami menjawab dengan menyebutkan mengenai periwayatan tambahan daripada al-Marwazi daripada Burayd bahawa beliau berkata: “Lalu kami bertemu dengan Ibn ‘Abbas dan Ibn al-Hanafiyyah Muhammad bin ‘Ali, mereka berdua memberitahuku bahawa Nabi s.a.w. membaca doa ini dalam solat witir dan solat Subuh”.[12] Oleh itu, jelaslah bahawa doa yang dibaca ini bukan hanya khusus kepada solat sunat witir sahaja.

      Al-Hadrami seterusnya mengatakan bahawa qunut Subuh dibaca adalah dengan suara kuat disebabkan doa qunut Subuh berbeza dengan doa-doa lain yang dibaca di dalam solat. Berdasarkan hadith Nabi s.a.w., baginda s.a.w. membaca doa qunut dengan kuat. Berdasarkan hadith daripada Abu Hurayrah menerusi periwayatan Imam al-Bukhari, disebutkan bahawa apabila baginda s.a.w. mahu berdoa yang ditujukan khusus kepada seseorang, maka baginda s.a.w. akan membaca qunut setelah rukuk. Apabila baginda s.a.w. berkata: “سَمِعَ اللَّهُ لِمَنْ حَمِدَهُ ، اللَّهُمَّ رَبَّنَا لَكَ الْحَمْدُ”, maka baginda s.a.w. membaca doa seperti berikut: “اللَّهُمَّ أَنْجِ الْوَلِيدَ بْنَ الْوَلِيدِ ، وَسَلَمَةَ بْنَ هِشَامٍ ، وَعَيَّاشَ بْنَ أَبِى رَبِيعَةَ ، اللَّهُمَّ اشْدُدْ وَطْأَتَكَ عَلَى مُضَرَ وَاجْعَلْهَا سِنِينَ كَسِنِى يُوسُفَ”.[13] Doa yang dibaca itu adalah dengan suara yang kuat.


       Seterusya al-Hadrami membawakan dalil-dalil yang menyebutkan mengenai doa qunut yang dibaca dengan mengangkat tangan, dan diaminkan oleh makmum di belakang. Beliau membawakan periwayatan yang datang daripada al-Marwazi dan al-Bayhaqi mengenainya. Antara Khulafa’ Rashidun yang melakukan demikian ialah Sayyidina ‘Umar al-Khattab. Beliau terkenal sebagai orang kuat beragama, dan menentang keras segala bentuk bid‘ah. Anas bin Malik, Ibn ‘Abbas, Abu ‘Uthman al-Nahdi, Abu Rafi‘ al-Sa’igh, empat orang di kalangan tabiin iaitu ‘Abd al-Rahman bin Abza, ‘Ubayd bin ‘Umayr, Zayd bin Wahb dan Ziyad bin ‘Uthman meriwayatkan bahawa mereka solat Subuh di belakang Sayyidina ‘Umar, lalu beliau membaca qunut di dalamnya. Al-Marwazi menyebutkan riwayat yang datang daripada al-Aswad dan ‘Abd Allah bin Shaddad daripada ‘Umar berkaitan qunut tersebut.[14]


        Qunut yang dibaca oleh ‘Umar adalah secara kuat, diangkat tangan, serta diaminkan oleh makmum di belakangnya. Perbuatan tersebut turut dilakukan oleh ‘Ali dan ‘Abd Allah bin Mas‘ud. Salah satu hadith yang diriwayatkan secara mursal daripada al-Hasan bahawa ‘Umar membaca qunut dan diaminkan oleh orang di belakangnya. Ishaq berkata: imam berdoa dan orang di belakang mengaminkannya.[15]


         Daripada al-Hasan dan Bakr bin ‘Abd Allah, daripada Abu Rafi‘ bahawa beliau solat di belakang ‘Umar, lalu beliau qunut selepas rukuk dengan mengangkat tangan, serta membaca doa secara kuat.[16] Serta banyak lagi riwayat yang menunjukkan bahawa qunut Subuh diamalkan oleh ‘Umar yang disebutkan itu. Selain ‘Umar, ‘Ali dan Ibn Mas‘ud turut mengamalkannya.[17]

      Berdasarkan riwayat-riwayat yang disebutkan ini, bermakna terdapat sahabat yang beramal dengan qunut Subuh. Oleh itu, timbul persoalan, kenapakah menerusi riwayat daripada Abu Malik al-Ashja‘i, diceritakan bahawa Abu Bakr, ‘Uhtman, dan ‘Umar tidak beramal dengan qunut Subuh? Perkara ini dijawab oleh al-Hadrami dengan mengatakan bahawa hikayat yang menyebutkan mereka tidak beramal adalah berdasarkan kepada cerita yang diketahui oleh perawi yang meriwayatkan riwayat tersebut. Ini kerana terdapat sahabat yang melakukannya, dan ada di kalangan mereka yang tidak melakukannya disebabkan qunut Subuh bukanlah satu perkara yang wajib.[18] Oleh itu, terdapat dua riwayat yang menyebutkan mengenai qunut Subuh iaitu terdapat sahabat yang melakukannya, dan ada yang tidak melakukannya. Tidak melakukan qunut Subuh tidak bermakna ianya telah dimansuhkan. 
        
         Perkara sunnah dalam hal ini menurut al-Hadrami ialah mengamalkan qunut Subuh iaitu dengan mengangkat tangan ketika berdoa, lalu diaminkan oleh makmum di belakang. Perkara ini dilakukan oleh Nabi s.a.w., para sahabat dan tabiin.[19] Al-Hadrami mengambil kata-kata daripada al-Khattabi yang mengatakan bahawa qunut pada watu Subuh tidak ditinggalkan oleh Rasulullah s.a.w., serta doa yang dibaca di dalam qunut sebagaimana yang disebutkan menerusi hadith al-Hasan bin ‘Ali iaitu: “اللَّهُمَّ اهْدِنِى فِيمَنْ هَدَيْتَ” juga tidak ditinggkan. Menurut al-Hadrami lagi, qunut Subuh yang dilakukan oleh Nabi s.a.w. sehingga akhir hayatnya ditunjukkan oleh hadith-hadith yang sahih. Ibn Mahdi berkata, perkara yang ditinggalkan oleh Rasulullah s.a.w. ialah melaknat dalam doa qunut. Ibn Khuzaymah menyebutkan bahawa perkara yang ditinggalkan di dalam qunut ialah doa laknat kepada orang-orang kafir.[20] Oleh yang demikian, bukan qunut Subuh yang ditinggalkan, tetapi qunut laknat kepada orang kafir. Inilah yang ditinggalkan oleh baginda s.a.w. Oleh yang demikian, qunut Subuh adalah satu perkara yang tidak ditinggalkan oleh Nabi s.a.w. sehingga ahkir hayatnya.

Kesimpulan

Berdasarkan kepada perbahasan berkaitan dengan qunut Subuh, bermakna qunut Subuh adalah sabit berdasarkan Sunnah. Bagi mereka yang mengkhususkan untuk qunut nazilah sahaja, maka perkara ini tidak benar. Sekiranya mereka berkata demikian, maka mereka perlu mengkaji periwayatan yang berkaitan dengan qunut Subuh dengan lebih mendalam lagi. Sekiranya sesiapa yang memerhatikan perbahasan yang dikemukakan oleh al-Hadrami berkaitan dengan qunut Subuh, maka kita akan berpuas hati dengan perbahasan beliau, kerana beliau menggabungjalinkan ilmu yang berkaitan hadith dalam membahaskan mengenainya. Penulis tidak memasukkan kesemua perbincangannya kerana akan menjadikan coretan ini terlalu panjang. Apa yang penulis dapat simpulkan, al-Hadrami berjaya membuktikan bahawa pembacaan qunut Subuh sebagaimana yang kita amalkan kini, beserta dengan mengangkat tangan, berdoa dengan suara kuat, serta diaminkan oleh makmum, merupakan sunnah Nabi s.a.w. Pembuktian yang dilakukan oleh beliau adalah dengan mengambil kira kesemua perkara yang berkaitan dengan ilmu periwayatan hadith. Hanya itu sahaja yang boleh penulis kemukakan dalam coretan ringkas ini. Semoga mendapat komen dari sahabat2 sekelian..Wallahua‘lam.  



    

     



[1] Al-Sayyid Sabiq (t.t.), Fiqh al-Sunnah. Al-Qahirah: al-Fath i al-I‘lam al-‘Arabi, j. 1, h. 140.
[2] Ibid.
[3] Ibid.
[4] Ibid.
[5] Ibid.
[6] Ibid.
[7] Ibid.
[8] Ibid.
[9] Ibid.
[10] ‘Ali Bin Muhammad Tahir Bin Yahya Ba‘alawi al-Husayni al-Hadrami (2010), Tahqiq al-Bid‘ah: Dirasah Shamilah Qadiman Wa Hadithan. Al-Kuwayt: Dar al-Diya’, h. 295.
[11] Al-Sunan al-Kubra, Kitab al-Salah, Bab Du‘a’ al-Qunut, no. hadith 3138, j. 2, h. 296-297.
[12] ‘Ali Bin Muhammad Tahir Bin Yahya Ba‘alawi al-Husayni al-Hadrami (2010), op.cit., h. 295.
[13] Dikeluarkan oleh Imam Bukhari di dalam Kitab al-Tafsir, Bab Ke-9, no. hadith 4560.
[14] ‘Ali Bin Muhammad Tahir Bin Yahya Ba‘alawi al-Husayni al-Hadrami (2010), op.cit., h. 301.
[15] Ibid.
[16] Ibid.
[17] Ibid., h. 303.
[18] Ibid.
[19] Ibid.
[20] Ibid., h. 307.

No comments:

Post a Comment