Pages

Saturday 2 July 2011

Taqlid

Pebdahuluan
Kita sebagai umat Islam di Malaysia mengamalkan Islam adalah berdasarkan kepada fikah mazhab Shafi`i. Apabila kita mengamalkan fikah berdasarkan mazhab, bermakna kita taklid kepada mazhab tersebut. Di dalam ilmu usul fiqh, dibincangkan berkaitan dengan permasalahan taqlid dari sudut batasan yang dibolehkan dan yang tidak dibolehkan. Perbincangan tersebut terbahagi kepada beberapa golongan ulama sama ada yang bersikap ketat, longgar dan sederhana. Ada di kalangan mereka yang menganggap tidak elok sikap taklid ini, dan ada juga yang mewajibkannya kepada orang awam supaya bertaklid. Oleh itu, di dalam coretan ringkas ini, akan dibincangkan sedikit sebanyak berkaitan dengan permasalan taqlid, dan apakah sikap yang perlu kita ambil dalam permasalahan ini.

Makna Taklid Dari Sudut Istilah
Imam al-Ghazali mengatakan bahawa taklid itu ialah menerima sesuatu kaul tanpa memerhatikan hujahnya. Selain beliau, ada yang mengatakan bahawa taklid itu ialah menerima kaul seseorang, tidak ditahui dari mana sumber kaul itu dikeluarkan. `Abd al-Karim Zaydan memberikan takrifan kepada taklid dengan beliau mengatakan bahawa taklid itu ialah mengambil pandangan seseorang tanpa mengatahui dalil yang digunakannya, juga tidak diketahui kekuatan dalil itu. (al-Wajiz Fi Usul al-Fiqh (2009), h. 323). 

Berdasarkan kepada takrifan yang diberikan ini bermakna sekiranya kita beramal berdasarkan kaul seseorang tanpa kita memerhatikan dalil yang digunakan bermakna kita dikira sebagai taklid kepada kaul tersebut. Ini bermakna, apabila kita mengamalkan fikah yang berdasarkan mazhab tanpa kita tahu dalilnya, bermakna kita bersikap taklid. Dalam hal ini bagi penulis tidak mengapa, kerana sesuatu pandangan mazhab yang dikeluarkan itu adalah berdasarkan dalil. Cuma langkah seterusnya ialah kita mengetahui dalil yang digunakan oleh mazhab  dalam mengistinbatkan sesuatu hukum-hakam. Sekiranya kita tidak tahu, memadai kita mengamalkannya berdasarkan kepercayaan kepada ulama yang membahaskan mengenai hukum-hakam. Dan agama tidak mencela kita dengan sikap taklid seperti ini. Asalkan kita memahami dengan baik apa yang diajarkan oleh ulama mengenai hukum-hakam. Contohnya berwuduk, kita bertaklid kepada mazhab Shafi`i yang mengatakan bahawa salah satu rukunya adalah tartib. Tidak mengapa kita mengamalkan sebegini tanpa kita ketahui dalilnya kerana apabila kita mengamalkan agama berdasarkan mazhab, sudah tentu ianya adalah berdasarkan dalil.

Hukum Taklid
Asal hukum bagi taklid ialah dicela di dalam agama. (al-Wajiz Fi Usul al-Fiqh (2009), h. 323). Ini bermakna, taklid bukanlah satu sikap yang baik di dalam agama. Ini kerana taklid mengikuti sesuatu kaul tanpa mengetahui dalilnya. Tambahan pula sikap taklid ini akan membawa kepada sikap taasub. (al-Wajiz Fi Usul al-Fiqh (2009), h. 323). 

Para ulama berbeza pandangan dari sudut hukum taklid dalam mengamalkan agama yang berbentuk amali. Satu kumpulan mengatakan bahawa haram mengamalkan agama secara taklid. Mereka mewajibkan setiap mukallaf berijtihad, serta mempelajari ilmu2 alat yang membolehkannya untuk berijtihad. Satu kumpulan lagi mengatakan harus taklid sama ada dia di kalangan orang yang mampu atau tidak untuk berijtihad. Satu kumpulan lagi memperincikannya iaitu harus taklid bagi mereka yang tidak mampu berijtihad, dan haram bagi orang yang mampu berijtihad. Pandangan kumpulan ketiga ini yang dipilih oleh `Abd al-Karim Zaydan di dalam karyanya al-Wajiz. (Lihat al-Wajiz Fi Usul al-Fiqh (2009), h. 323).

Berdasarkan hukum taklid yang dibincangkan di atas, bermakna harus bagi mereka yang tidak mampu berijtihad mengambil sikap taklid. Ini bermakna, apa yang kita lakukan kini iaitu taklid kepada mazhab Shafi`i adalah harus hukumnya. Tiada larangan sama sekali untuk kita taklid kepada mazhab Shafi`i. Melainkan kalau kita menerima pandangan dari kumpulan pertama yang mengharamkan sama sekali bersikap taklid. Bagi penulis, pandangan ini adalah amat sukar untuk diamalkan oleh kita semua. Oleh itu, ianya amat tidak relevan dalam konteks masyarakat Islam kini yang rata2nya adalah jahil di dalam agama.

Taklid Kepada Mazhab
Bagi mereka yang tidak mampu untuk berijtihad, maka mereka wajib bertanya kepada ahli ilmu mengenai permasalahan agama. Pelbagai medium boleh digunakan untuk bertanya ahli ilmu. Ada ketikanya bertanya ahli ilmu adalah secara mushafahah. Ada kalanya bertanya ahli ilmu adalah dalam bentuk merujuk buku-buku yang dikarang oleh para ulama. Berdasarkan kepada medium yang diutarakan ini, harus bagi orang awam mengikuti mazhab tertentu dalam mengamalkan agama. (al-Wajiz Fi Usul al-Fiqh (2009), h. 325). 

Di Malaysia, sudah ada pelbagai medium untuk mempelajari agama sama ada melalui media cetak atau elektronik. Oleh itu, langkah terbaik yang dilihat oleh penulis untuk mengamalkan agama di Malaysia ialah pertama sekali mempelajari ilmu fardhu ain secara mushafahah kepada guru. Setelah itu, bolehlah dia merujuk kepada buku untuk memperdalamkan lagi pengetahuannya di dalam ilmu agama. Adalah tidak tepat sekiranya seseorang yang tiada asas di dalam agama, tiba2 dia terus mempelajari ilmu tanpa berguru. Mempelajari ilmu secara berguru adalah begitu penting untuk mendapat pemahaman yang tepat terhadap agama.

Adakah semua permasalahan agama, kita perlu mengkuti mazhab? Menurut `Abd al-Karim Zaydan, perkara yang perlu diketahui oleh para pengikut mazhab ialah mazhab itu sebagai satu lokasi untuk mengenali hukum-hakam yang diambil daripada al-Quran mahupun al-Sunnah. Sekiranya jelas dan nyata sesuatu mazhab itu salah dalam memberikan jawapan kepada sesuatu permasalahan agama, dan jawapan yang betul pula berada pada mazhab lain, dan jawapan yang diberikan itu cukup jelas dan nyata, maka kewajipan bagi pengikut sesuatu mazhab itu berpindah daripada pandangan mazhabnya kepada pandangan yang tepat itu. (al-Wajiz Fi Usul al-Fiqh (2009), h. 325). 

Menurut penulis, untuk mengetahui sesuatu pandangan mazhab itu tepat atau tidak bukanlah satu perkara yang mudah untuk dilakukan oleh seseorang individu. Bagi mendapatkan sesuatu pandangan ulama yang diutarakan sama ada salah atau tidak, bukanlah tugas yang mudah. Oleh itu, untuk mempraktikkan idea ini adalah terlalu sukar dalam konteks Malaysia. Ini kerana, kita tidak tahu siapakah yang benar-benar beruatoriti untuk mengatakan pandangan ini salah dan pandangan ini betul. Sikap yang diambil oleh kita ialah memberikan kepercayaan sepenuhnya kepada para ulama untuk membahaskan mengenai ilmu agama, kerana merekalah yang berkelayakan untuk melakukannya. 

Apa yang kita amalkan di Malaysia ialah taklid kepada mazhab Shafi`i. Sekiranya kita mengahadapi kesukaran atau mashaqqah dalam mengamalkan mazhab, maka barulah para tuan guru kita akan memberikan ruang untuk merujuk kepada mazhab lain. Ini pun dalam kes mashaqqah. Sekiranya dalam kes biasa, kita akan terus merujuk kepada mazhab Shafi`i, dan tiada salah kita melakukan demikian, kerana kita bukanlah orang yang berkelayakan untuk mengatakan sesuatu pandangan itu salah atau tidak. Kita cuma kategorikan sesuatu permasalahan yang dibincangkan di dalam agama yang berbeza pandangan adalah dalam kategori isu khilaf. Dalam isu khilaf, pernulis berpendirian, segala pandangan yang diutarakan oleh ulama adalah betul. Cuma usul dan kaedah istinbat sahaja yang berbeza menyebabkan mereka berbeza pandangan. Walau bagaimanapun, penulis menghormati pandangan yang diutarakan oleh `Abd al-Karim Zaydan kerana idea yang dilkemukakan oleh beliau adalah bertujuan untuk mengurangkan sikap taasub mazhab. Bagi penulis, ianya hanyalah sebagai langkah untuk mengurangkan sikap taasub mazhab, bukannya mencela amalan bermazhab.

Kesimpulan
Berdasarkan kepada perbincangan secara ringkas yang telah diutarakan di atas, bermakna tidak salah kita sebagai umat Islam di Malaysia taklid kepada mazhab Shafi`i kerana segala pandangan yang diutarakan di dalam mazhab adalah berdasarkan dalil, serta usul kaedah yang tepat untuk mengistinbatkan hukum-hakam. Cuma dalam kes-kes tertentu, kita mengamalkan mazhab lain setelah dilihat dari sudut maslahah kepada masyarakat, atau mashaqqah yang dihadapi oleh mereka sehingga menyebabkan mereka menghadapi kesukaran untuk mengamalkan mazhab Shafi`i. Dalam kes biasa, kita akan terus beramal dengan mazhab Shafi`i, dan adalah lebih elok sekiranya kita mengetahui dalil-dalil yang digunakan oleh mazhab agar pengamalan kita terhadap mazhab Shafi`i menjadi lebih mantap. Oleh itu, pengajian-pengajian agama perlu dirancakkan agar masyarakat akan lebih mesra serta lebih mengetahui usul dan kaedah istinbat hukum yang digunakan oleh para ulama di dalam mazhab al-Shafi`i. Di samping itu, mengadakan juga perbandingan dengan mazhab lain, agar dapat dikenal pasti titik perbezaan antara mazhab dalam membincangkan mengenai agama. Wallahua`lam.   

No comments:

Post a Comment