Pages

Tuesday 26 July 2011

Hadith2 Yang Tidak Perlu Dikaji Status Kesahihannya

Pendahuluan
Hadith merupakan sumber kedua umat Islam yang terpenting. Untuk menerima hadith Nabi s.a.w., maka ianya melalui sanad. Hadith adalah seperti al-Quran iaitu merupakan wahyu Allah. Kedua-duanya sampai kepada kita melalui sanad. Bezanya ialah sanad al-Quran yang sampai kepada kita adalah secara mutawatir. Manakala hadith pula, sanadnya tidak serupa dengan al-Quran kerana ada antaranya yang mutawatir, dan ada yang tidak mutawatir yang dikenali sebaga Ahad. Sekiranya ianya adalah mutawatir, maka hukumnya sama seperti al-Quran, tidak perlu dikaji. Tetapi sekiranya sanad hadith tidak sampai kepada mutawatir, maka ianya perlu dikaji untuk ditentukan sama ada ianya sahih, hasan, atau daif. Untuk menentukan sesuatu hadith itu sahih, maka ianya ditapis dengan begitu ketat di kalangan ulama. Ada juga status sanad sesuatu hadith itu, dipertikaikan oleh sebahagian ulama. Pada perbincangan kali ini, maka penulis akan membincangkan status hadith sahih yang tidak perlu lagi dikaji kesahihannya.

Sebahagian Hadith Yang Tidak Perlu Dikaji Sanadnya
Sememangnya terdapat hadith-hadith yang tidak perlu dikaji lagi kesahihannya. Ini kerana ianya sememangnya sahih dan diakui oleh para ulama. Para ulama yang mengkaji itu, terdiri daripada para imam hadith dan para pengkritik sanad hadith, di mana mereka telah mengkaji dengan begitu teliti segala hal yang berkaitan dengan sanad hadith beserta dengan ilmu-ilmu yang berkaitan dengannya. Selain itu, mereka juga mengetahui `ilal hadith, yang mana ianya begitu tersembunyi di kalangan orang biasa. Oleh yang demikian menurut Mahmud Tahhan, urusan kesahihan hadith, terserah sahaja kepada pengkajian yang telah dilakukan oleh para imam hadith yang terdahulu. (Mahmud Tahhan, Usul al-Takhrij, h. 208). Kita pada zaman kini, hanya perlu merujuk sahaja kepada hukum hadith yang telah dikeluarkan oleh mereka.

Antara hadith-hadith yang telah dikaji sanad dan matannya oleh para imam hadith terdahulu:
1) Hadith-hadith yang terdapat di dalam Sahihayn atau salah satu daripada kedua-duanya. Oleh yang demikian, sesiapa yang menemui hadith yang terdapat di dalam Sahih Bukhari atau Sahih Muslim, maka hadith tersebut adalah sahih dari sudut sanad dan matan. Menurut Mahmud al-Tahhan, terdapat segelintir ilmuan yang mendakwa bahawa terdapat hadith daif di dalam Sahihayn atau salah satu daripada kedua-duanya. Natijah kajian mereka ialah hadith tersebut tidak menepati sepenuhnya kaedah-kaedah usul hadith atau ilmu-ilmunya, atau hadith tersebut bertentangan dengan akal, atau ilmu perubatan terkini, atau bertentangan dengan kajian saintifik dan sebagainya. (Mahmud Tahhan, Usul al-Takhrij, h. 209). Walaupun begitu, mereka ini tidak lebih daripada mengatakan satu perkara yang tidak kena pada tempatnya dan tanpa ilmu. Apa yang kita terima ialah, hadith yang terdapat di dalam Sahih Bukhari dan Sahih Muslim adalah sahih yang tidak perlu dipertikaikan lagi.

2) Hadith-hadith yang terdapat di dalam karya-karya hadith yang pengarangnya beriltizam memasukkan hadith-hadith sahih ke dalamnya. Karya-karya hadith jenis ini, bukan terdiri daripada Sahih Bukhari dan Sahih Muslim, tetapi karya-karya hadith yang pengarangnya bukan Imam Bukhari dan Imam Muslim. Cuma, taraf kesahihan hadith yang terdapat di dalam karya-karya mereka, rendah sedikit berbanding taraf kesahihan hadith yang terdapat di dalam Sahih Bukhari dan Sahih Muslim. Antara karya hadith sahih yang masyhur selain Sahihayn ialah al-Mustakhrajat `Ala Sahihayn, Sahih Ibn Khuzaymah, Sahih Ibn Hibban, Sahih Ibn al-Sakan, dan al-Mustadrak `Ala al-Sahihayn oleh al-Hakim.

Perlu diingatkan bahawa, terdapat ulama yang mengatakan bahawa Ibn Hibban adalah antara ulama hadith yang mengambil sikap mudah dalam mensahihkan hadith. Walaupun beliau bersikap ringan, sikapnya itu tidak sama dengan sikap al-Hakim yang lebih ringan menghukum sesuatu hadith. Ada ketikanya Ibn Habban mengatakan sesuatu hadith hasan itu sebagai sahih. Ini merujuk kepada syarat sahih yang ditetapkan oleh beliau yang begitu ringan. (Tadrib al-Rawi, h. 1-108; Mahmud Tahhan, Usul al-Takhrij, h. 213). Walaupun beliau bersikap ringan dalam menghukumkan hadith sahih, ianya hanya berlegar kepada darjat hadith sahih atau hadith hasan sahaja. Ianya tidak pergi kepada hadith daif. Berbanding hadith yang terdapat di dalam al-Mustadrak oleh al-Hakim, terdapat sebahagian hadith di dalamnya yang perlu dikaji semula. Namun, secara umumnya, kebanyakan hadith yang terdapat di dalamnya adalah sahih. Cuma perlu dikaji semula sebahagiannya sahaja.

3) Hadith-hadith yang disahihkan oleh imam hadith di dalam karya mereka. Kebanyakan hadith sahih jenis ini terdapat di dalam karya-karya hadith seperti Sunan Abu Dawud, Jami` al-Tirmidhi, Sunan al-Nasa'i, dan Sunan al-Daraqutni. Dengan syarat, pengarangnya mengatakan sahih hadith tersebut. Tidak memadai kewujudan hadith-hadith ini di dalam kitab-kitab yang disebutkan, mesti ada pengesahan dari pengarangnya bahawa hadith itu sahih.

4) Hadith-hadith yang dihukumkan sahih oleh para imam dan mereka menerangkan darjatnya. Di dalam banyak-banyak hadith yang terkumpul dalam karya hadith, sebahagian besar daripadanya telah dikaji oleh para imam terdahulu akan sanad dan matannya. Setelah itu, mereka akan menghukumkan hadith tersebut sebagai sahih, hasan, daif, mungkar atau palsu. Mereka mestilah terdiri daripada para imam yang dipegang kata-kata mereka dalam menghukumkan hadith, iaitu mereka tidak bermudah-mudah dalam menghukumkan sesuatu hadith. Contohnya, sekiranya Imam Tarmidhi mengatakan hadith itu hasan atau daif, maka memadai kita berpegang kepada kata2nya. (Mahmud Tahhan, Usul al-Takhrij, h. 216). Walaupun terdapat perselisihan di kalangan ulama dalam menghukumkan sesuatu hadith, maka ianya akan dibincangkan nanti, InsyaAllah.

Kesimpulan
Berdasarkan kepada perbahasan ringkas yang telah dibincangkan di atas, bermakna, segala hadith yang terdapat di dalam Sahihaynal-Mustakhrajat `Ala Sahihayn, Sahih Ibn Khuzaymah, Sahih Ibn Hibban, Sahih Ibn al-Sakan, al-Mustadrak `Ala al-Sahihayn oleh al-Hakim, dan hadith-hadith yang telah dihukumkan sahih oleh para imam terdahulu yang tidak terkenal bermudah-mudah dalam menghukumkan hadith, maka kata-kata mereka boleh dipegang dalam menghukumkan sesuatu hadith. Oleh itu, memadai kita berpegang kepada kata-kata mereka dalam menghukumkan hadith, kerana mereka terdiri daripada kalangan imam yang begitu mahir dalam ilmu ini. Melainkan Ibn Hibban dan al-Hakim di dalam karya mereka, yang dikatakan oleh sebahagian ulama sebagai bermudah2 dalam menghukumkan hadith. Bagi kita sebagai pengkaji pada zaman kini, pengkajian yang perlu dilakukan ialah mengkaji hadith-hadith yang belum lagi dikhukumkan sahih, hasan atau daif oleh mana-mana imam seperti yang telah disebutkan di atas, dengan kita mengkaji sanad2nya, berdasarkan ilmu takhrij hadith, dirasah asanid dan sebagainya.Wallahua`lam.    

2 comments:

  1. Imam al-Tirmizi tidak menggunakan kalimah da'if bagi hadith yang diriwayatkannya di dalam Jami' beliau.

    Istilah Hasan bagi al-Tirmizi bukan bermaksud Hasan seperti mana difahami sekarang. Hasan oleh al-Tirmizi adalah lebih kepada Da'if.

    http://al-fikrah.net/index.php?name=Forums&file=viewtopic&t=17438

    ReplyDelete
  2. Syukran ustaz Ahmad Saifuddin atas peringatan yang diberikan..:-)

    ReplyDelete