Pages

Monday 4 July 2011

Perhimpunan Aman Menurut Perspektif ASWJ

Pendahuluan
Di Malaysia pada ketika ini, sibuk orang memperkatakan mengenai perhimpunan yang akan diadakan tidak lama lagi. Ada yang mengatakan bahawa perhimpunan tersebut adalah perhimpunan aman. Ada yang mengatakan bahawa perhimpunan tersebut adalah perhimpunan haram. Walau apa pun pandangan yang diberikan, penulis pada coretan kali ini tidak masuk campur dalam hal yang dibincangkan. Tetapi penulis hanya ingin membincangkan mengenai maksud perhimpunan itu diadakan iaitu mahukan pilihanraya yang telus. Penulis tidak ingin membincangkan sama ada perhimpunan tersebut dibolehkan atau tidak, tetapi ingin membincangkan mengenai pilihanraya yang telus, di mana ianya sangat penting menurut ASWJ.

Kewajipan Melantik Pemimpin Dan Mentaatinya
Sistem yang kita pakai di Malaysia untuk memilih pemimpin adalah berdasarkan pilihanraya. Dengan yang demikian, pilihanraya adalah begitu penting untuk memilih seseorang pemimpin. Apabila sesuatu pilihanraya tidak telus, maka ianya akan memberikan kesan yang cukup besar kepada rakyat yang memilih. Kemungkinan pilihan yang dilakukan oleh rakyat adalah tepat, tetapi disebabkan penipuan yang berlaku di dalam pilhanraya menyebabkan haknya untuk memilih pemimpin yang dikehendakinya itu dinafikan begitu sahaja. Oleh itu kita lihat, pilihanraya yang diaadakan secara telus adalah begitu penting, agar rakyat dapat memilih pemimpin yang dikehendakinya.

Berdasarkan akidah ASWJ, melantik pemimpin dan mentaatinya merupakan perkara yang sangat penting. Hukum melantik pemimpin adalah wajib. Oleh itu, tidak salah sekiranya kita mengatakan bahawa memilih pemimpin yang adil merupakan kewajipan kita sebagai rakyat Malaysia. Apabila rakyat Malasyia tidak mengambil endah akan hal yang berkaitan dengan pilihanraya, maka mereka sebenarnya tidak melaksanakan tanggungjawab mereka sebagai umat Islam yang diwajibkan untuk memilih pemimpin yang adil. Berdasarkan akidah ASWJ, untuk melaksanakan segala hukum-hakam dan segala syariat Allah SWT di muka bumi ini, maka tidak mesti tidak perlu dibangunkan negara untuk melaksanakannya. (Nuh `Ali Salman (2003), al-Mukhtasar al-Mufid Fi Sharh Jawharah al-Tawhid, h. 203). Oleh yang demikian, menyertai pilihanraya untuk membangunkan negara yang mendaulatkan syariat Allah SWT di muka bumi ini, merupakan kewajipan kita sebagai umat Islam, dan ianya amat bersangkut paut dengan permasalahan akidah.

Perhimpunan Aman
Sekiranya benar bahawa perhimpunan yang ingin diadakan itu adalah aman, dan ingin menuntut satu pilihanraya yang telus, maka perkara ini sememangnya dituntut di dalam Islam. Tetapi sekiranya perhimpunan tersebut bertujuan untuk mendatangkan huru-hara, merosakkan harta benda awam, maka tiada sesiapa pun di kalangan umat Islam yang bersetuju akan hal tersebut. Oleh itu, ianya banyak bergantung kepada objektif perhimpunan tersebut diadakan sama ada ingin diadakan secara aman, atau ingin mendatangkan huru-hara. Sekiranya ingin mengadakan perhimpunan secara aman, maka ianya tidak bertentangan dengan Islam dan perlembagaan negara. Tetapi sekiranya ingin mengadakannya dengan tujuan untuk menimbulkan huru-hara, maka sememangnya ia bertentangan dengan Islam dan perlembagaan negara. Walaupun demikian, terpulang kepada budi bicara kerajaan yang memerintah dan juga pihak pembangkang. Mereka boleh berdebat dalam hal ini untuk medapatkan kebenaran. Bagi penulis, kerosakan yang diwar-warkan akan berlaku adalah tersangat kecil kuantitinya dibandingkan dengan penipuan yang akan berlaku di dalam pilihanraya (sekiranya benar ia berlaku). Walau apa pun, terserahlah kepada rakyat Malaysia untuk menilainya. Yang penting mereka perlu betulkan niat untuk menjadikan negara ini benar2 aman dan makmur di bawah naungan pemimpin yang adil lagi beramanah.

Penutup
Pilihanraya yang diadakan untuk memilih pemimpin dalam sistem demokrasi yang diamalkan kini adalah begitu penting bagi umat Islam. Ini kerana ianya melibatkan pemilihan seseorang pemimpin yang akan melaksanakan syariat Allah SWT di muka bumi ini. Bagi mewujudkan satu pilhanraya yang telus, maka ianya sememangnya tugas SPR. Sekiranya rakyat tidak puas hati dengan apa yang dilakukan oleh SPR, maka rakyat berhak menyatakannya. Terpulanglah kepada kebijaksanaan rakyat untuk melakukannya, asalkan apa yang dilakukan oleh mereka itu tidak melanggar syariat Islam, dan perlembagaan negara. Wallahua`lam.   

No comments:

Post a Comment