Pages

Monday 1 August 2011

Pemahaman Asas Berkaitan Hadith Hasan Li Ghayrihi

Pendahuluan
Hadith hasan li ghayrihi pada asalnya adalah hadith daif yang mana kedaifannya itu ringan, tetapi ianya boleh naik tingkatan kepada hadith hasan disebabkan sesuatu hadith itu mempunyai kepelbagaian tariq. Perkara yang berkaitan dengan hadith hasan li ghayrihi ini adalah begitu penting, kerana ianya melibatkan hadith-hadith yang pada asalnya tidak boleh dijadikan hujah, namun disebabkan ianya naik tingkatan kepada hasan li ghayrihi, maka dengan sendirinya boleh dijadikan hujah di dalam agama. Oleh yang demikian, perbincangan pada kali ini akan membahaskan secara ringkas berkaitan dengan pemahaman asas terhadap hadith hasan li ghayrihi, agar kita mendapat pemahaman yang tepat mengenainya. 

Pengertian Hadith Hasan Li Ghayrihi
Hadith hasan li ghayrihi adalah hadith daif yang mana kedaifannya itu ringan, dan ianya dikuatkan dengan kepelbagain tariq hadith. (Ibn al-Salah, Muqaddimah, h. 33). Berdasarkan pengertian ini maka boleh difahami bahawa hadith hasan li ghayrihi pada asalnya merupakan hadith daif, tetapi ianya boleh naik tingkatan  kepada status hasan li ghayrihi dengan dua syarat:

1) Kedaifan hadith tersebut mestilah dalam kategori yang ringan. Sebab kedaifannya itu berpunca daripada masalah hafazan kepada salah seorang perawi yang berada di dalam rantaian sanad hadith, atau sanad terputus, atau hal keadaan perawi tidak diketahui. Oleh itu, hadith yang dalam kategori mu`allaq, mursal, mu`dal, munqati`,mudallas, mursal khafi, hadith al-mukhtalit, mutalaqqin, majhul dan mubham boleh naik tingkatan kepada hadith hasan li ghayrihi. (Muhammad Abu al-Layth (2009), `Ulum al-Hadith Asiluha Wa Mu`asiruha, c. 6. Malaysia: Dar al-Shakir, h. 152).

Adapun hadith daif yang mana kedaifannya adalah dalam kategori berat, yang mana punca kedaifannya adalah bersumberkan kepada pendustaan seseorang perawi hadith, ditohmah sebagai pendusta, fasik, mukhalafah al-thiqat, atau wahm maka ianya sama sekali tidak boleh naik tingkatan kepada hadith hasan li ghayrihi. (Muhammad Abu al-Layth, Ulum al-Hadith Asiluha Wa Mu`asiruha, h. 152). Oleh itu, hadith yang dalam kategori berikut tidak boleh naik tingkatan kepada hasan li ghayrihi iaitu: hadith mawdu`, matruk, dan munkar. Demikian juga hadith shadh yang terdiri daripada hadith mudraj, maqlub, mazid fi muttasil al-isnad bi shurutihi, mudtarib, musahhaf dan muharraf. Sama juga hadith yang dalam kategori munkar dan ma`lul. Kesemua hadith dalam kategori ini tidak boleh naik tingkatan kepada hasan li ghayrihi. Perkara yang perlu dilakukan dalam hal ini ialah kita beramal dengan hadith yang bukan dalam kategori yang telah disebutkan di atas. (Muhammad Abu al-Layth, Ulum al-Hadith Asiluha Wa Mu`asiruha, h. 152).

2) Hadith daif yang ringan itu mestilah diriwayatkan menerusi tariq lain yang seumpamanya, atau yang lebih kuat daripadanya. (Ibn al-Salah, Muqaddimah, h. 36-37; Ibn Hajar, Sharh al-Nukhbah, h. 83; Ibn Jama`ah, al-Manhal al-Rawi, h. 36). Maksud tariq lain yang seumpamanya itu ialah tariq lain yang daif dalam kategori ringan. Manakala tariq yang lebih kuat pula ialah tariq hasan atau sahih.

Apabila kita menemui hadith hasan li ghayrihi, maka ianya boleh dijadikan hujah di dalam akidah, hukum-hakam, ibadah, muamalah, akhlak dan adab. (Muhammad Abu al-Layth, Ulum al-Hadith Asiluha Wa Mu`asiruha, h. 153).

Menurut Nur al-Din `Itr, nama bagi hadith hasan li ghayrihi disebutkan sebagai "hasan" sahaja tanpa li ghayrihi oleh Imam Tirmidhi di dalam karya sunannya. (Nur al-Din `Itr (2003), Manhaj al-Naqd Fi `Ulum al-Hadith, c. 3. Dimashq: Dar al-Fikr, h. 268). Oleh itu, apabila kita menemui hadith daif yang disebutkan oleh Imam Tirmidhi di dalam karya Jami` al-Tirmdhi sebagai "hasan", maka ianya adalah hadith daif dalam kategori hasan li ghayrihi.

Selain dua syarat di atas, untuk menjadikan sesuatu hadith daif ringan naik tingkatan kepada hasan li ghayrihi, hadith itu mestilah bukan dalam kategori shadh. (Nur al-Din `Itr, Manhaj al-Naqd Fi `Ulum al-Hadith, h. 270).

Contoh Hadith Daif Ringan Yang Boleh Naik Tingkatan Kepada Hasan Li Ghayrihi
Imam Tirmidhi berkata di dalam karya sunannya:

حَدَّثَنَا عَلِىُّ بْنُ حُجْرٍ حَدَّثَنَا حَفْصُ بْنُ غِيَاثٍ عَنِ الْحَجَّاجِ عَنْ عَطِيَّةَ عَنِ ابْنِ عُمَرَ قَالَ صَلَّيْتُ مَعَ النَّبِىِّ -صلى الله عليه وسلم- الظُّهْرَ فِى السَّفَرِ رَكْعَتَيْنِ وَبَعْدَهَا رَكْعَتَيْنِ

Imam Tirmidhi berkata: "Hadith ini adalah hasan [iaitu li ghayrihi]. Hadith ini turut diriwayatkan Ibn Abi Layla daripada `Atiyyah dan Nafi` daripada Ibn `Umar." Setelah itu, Imam Tirmidhi membawakan sanad lain yang menceritakan mengenai hadith yang sama iaitu:

حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ عُبَيْدٍ الْمُحَارِبِىُّ - يَعْنِى الْكُوفِىَّ حَدَّثَنَا عَلِىُّ بْنُ هَاشِمٍ عَنِ ابْنِ أَبِى لَيْلَى عَنْ عَطِيَّةَ وَنَافِعٍ عَنِ ابْنِ عُمَرَ قَالَ صَلَّيْتُ مَعَ النَّبِىِّ -صلى الله عليه وسلم- فِى الْحَضَرِ وَالسَّفَرِ فَصَلَّيْتُ مَعَهُ فِى الْحَضَرِ الظُّهْرَ أَرْبَعًا وَبَعْدَهَا رَكْعَتَيْنِ وَصَلَّيْتُ مَعَهُ فِى السَّفَرِ الظُّهْرَ رَكْعَتَيْنِ وَبَعْدَهَا رَكْعَتَيْنِ وَالْعَصْرَ رَكْعَتَيْنِ وَلَمْ يُصَلِّ بَعْدَهَا شَيْئًا وَالْمَغْرِبَ فِى الْحَضَرِ وَالسَّفَرِ سَوَاءً ثَلاَثَ رَكَعَاتٍ لاَ تَنْقُصُ فِى الْحَضَرِ وَلاَ فِى السَّفَرِ وَهِىَ وِتْرُ النَّهَارِ وَبَعْدَهَا رَكْعَتَيْنِ

Lalu Imam Tirmidhi berkata: "Hadith ini adalah hasan [li ghayrihi]." (al-Tirmidhi, al-Jum`ah, Bab Ma Ja'a Fi al-Tatawwu` Fi al-Safar, j. 2, h. 437, no. hadith 548 dan 549).

Imam Tirmidhi mengatakan hasan walaupun al-Hajjaj iaitu Ibn Arta'ah di dalam tariq pertama yang merupakan seorang perawi hadith yang saduq tetapi banyak melakukan kesalahan dan tadlis, dan Ibn Abi Layla pula pada tariq kedua juga saduq tetapi buruk hafazannya, disebabkan kedua-dua hadith ini saling bantu membantu antara satu sama lain. (Muhammad Abu al-Layth, Ulum al-Hadith Asiluha Wa Mu`asiruha, h. 153). Oleh itu, hadith pertama dan kedua merupakan hadith yang dalam kategori hasan li ghayrihi.  

Contoh yang diberikan di atas adalah dalam kategori mutaba`ah iaitu hadith kedua merupakan mutaba`ah kepada hadith pertama. Selain itu, hadith hasan li ghayrihi juga boleh terjadi pada hadith daif ringan yang disokong oleh tariq lain yang dalam kategori shawahid. Misalnya hadith yang diriwayatkan menerusi tariq Khusayf iaitu: 

    عَنْ عِكْرِمَةَ وَمُجَاهِدٍ وَعَطَاءٍ عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ أَنَّ النَّبِىَّ -صلى الله عليه وسلم- قَالَ « الْحَائِضُ وَالنُّفَسَاءُ إِذَا أَتَتَا عَلَى الْوَقْتِ تَغْتَسِلاَنِ وَتُحْرِمَانِ وَتَقْضِيَانِ الْمَنَاسِكَ كُلَّهَا غَيْرَ الطَّوَافِ بِالْبَيْتِ »

Hadith ini adalah daif disebabkan Khusayf adalah seorang perawi  hadith yang saduq tetapi buruk hafazannya, serta berlaku ikhtilat di akhir-akhir umurnya. (Ibn Hajar, al-Taqrib, h. 92; Burhan al-Din al-Halabi, al-Ightibat Bi Man Rumiya Bi al-Ikhtilat, h. 45). Namun, hadith ini boleh naik tingkatan kepada hasan li ghayrihi disebabkan ianya mempunyai dua shawahid yang menyokongnya iaitu pertama hadith `A'ishah yang dikeluarkan oleh Imam Bukhari, Muslim, dan selain mereka berdua. (al-Bukhari, al-Haid, no. hadith 310, 1481, dan 4134; Muslim, al-Hajj, 2/870-880, no. hadith 1211). Dan kedua hadith Jabir riwayat Imam Bukhari dan Muslim. (al-Bukhari, no. hadith 1693; dan Muslim, al-Hajj, 2/881, no. hadith 1213). Oleh yang demikian, hadith Ibn `Abbas di atas, boleh naik tingkatan kepada hasan li ghayrihi disebabkan ianya mempunyai dua shawahid yang datang menerusi`A'ishah dan Jabir yang terdapat di dalam al-Sahihayn. (Muhammad Abu al-Layth, Ulum al-Hadith Asiluha Wa Mu`asiruha, h. 153). 

Kesimpulan

Dapat disimpulkan bahawa, hadith daif yang ringan, boleh naik kedudukan kepada hasan li ghayrihi sekiranya ianya disokong oleh tariq lain yang juga daif ringan, hasan atau sahih. Tariq yang menyokong itu sama ada ianya dalam kategori mutaba`ah atau shawahid. Wallahua`lam. 

No comments:

Post a Comment