Pages

Monday 27 June 2011

Tarjih Dan Amalan Bermazhab


Pendahuluan

Pada kali ini, penulis akan membincangkan sedikit perkara yang berkaitan dengan tarjih. Kenapakah tarjih dilakukan oleh para pengkaji? Ada kalanya melibatkan pandangan yang berbeza lalu memilih pandangan yang rajih. Memilih pandangan yang rajih itu dikira sebagai ijtihad yang dilakukan oleh pengkaji itu, setelah dia meniliti segala data yang berkaitan dengan sesuatu permasalahan di dalam agama. Permasalahan yang ingin dibincangkan oleh penulis pada kali ini ialah berkaitan dengan tarjih yang dilakukan di dalam mazhab, serta pengamalan dalam bermazhab. Oleh itu, penulis akan membincangkan sedikit sebanyak perkara yang berkaitan dengan tarjih berdasarkan kepada maklumat yang ada pada penulis.

Tarjih Adalah Tugas Para Mujtahid

Bagi penulis, tugas melakukan tarjih adalah tugas para mujtahid yang berkelayakan. Tugas ini tidak boleh diambil oleh orang sembarangan. Kita yang bermazhab al-Shafi‘i di Malaysia menjadikan mazhab ini sebagai mazhab pengamalan kita. Perlu diketahui bahawa sesuatu mazhab itu wujud adalah kerana para ulama yang berada di dalam sesuatu mazhab itu telah melaksanakan tugas mereka untuk melakukan tarjih di dalam mazhab. Ini kerana di dalam mazhab, sebelum ianya berkembang sehingga kini, ianya mengalami beberapa peringkat. Peringkat pertama ialah pandangan Imam al-Shafi‘i yang terdiri daripada kaul qadim dan kaul jadid . Seterusnya para ashab di dalam mazhab al-Shafi‘i melakukan ijtihad berdasarkan kaedah yang dipegang oleh Imam al-Shafi‘i. Dalam mereka melakukan ijtihad, terdapat pandangan-pandangan mereka yang bertentangan antara satu sama lain yang memerlukan kepada perajihan. Tugas melakukan perajihan terhadap pandangan-pandangan yang bertentangan itu diambil tugas oleh Imam al-Rafi‘i dan Imam al-Nawawi. Seterusnya beberapa abad kemudian diteruskan lagi oleh Ibn Hajar al-Haytami dan al-Ramli sehinggakan ianya menjadi satu pandangan mazhab yang muktamad yang diamalkan oleh kita semua yang bermazhab al-Shafi‘i.

Apabila tuan-tuan guru kita di Malaysia menerima pakai mazhab al-Shafi‘i sebagai mazhab pengamalan kita di Malaysia, maka kita perlu menghormati pengamalan ini dan perlu mendukung dan menyebar luaskan amalan-amalan fikah al-Shafi‘i kepada masyarakat. Ini kerana masyarakat Islam di Malaysia keseluruhannya walaupun dia orang alim sekalipun, adalah taklid kepada mazhab al-Shafi‘i. Oleh itu, ilmu-ilmu fikah yang berkaitan dengan mazhab al-Shafi‘i perlu disebar luaskan di kalangan masyarakat. Penyebaran ajaran Islam yang berdasarkan fikah mazhab al-Shafi‘i perlu disertai dalil, agar masyarakat terbiasa dengan dalil-dalil. Ini kerana mazhab al-Shafi‘i adalah satu mazhab yang kaya dengan dalil-dalil sama ada al-Quran, hadith, ijmak dan kias. Kita mempunyai ramai ulama di dalam mazhab yang berkebolehan serta pakar di dalam ilmu hadith seperti Imam al-Bayhaqi, Imam al-Nawawi, al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani dan ramai lagi. Apabila kita membiasakan masyarakat dengan dalil-dalil, maka mudah bagi kita untuk berhadapan dengan golongan yang seringkali meminta dalil daripada kita apabila membincangkan mengenai permasalahan agama.  

Amalan Bermazhab

Sebagaimana yang telah diterangkan di atas, majoriti daripada kita bermazhab al-Shafi‘i. Oleh itu, beberapa langkah perlu diambil agar kita dekat dengan mazhab al-Shafi‘i. Sekarang ini, kita begitu jauh dengan mazhab al-Shafi‘i kerana telah berlaku pencampuran mazhab. Walaupun pencampuran mazhab tidak begitu ketara dari sudut pengamalan, namun dari sudut perbincangan di dalam agama, maka ianya sudah ketara. Sekiranya kita perhatikan buku-buku agama yang dikarang kini, siapakah di kalangan penulisnya yang hanya merujuk karya di dalam mazhab al-Shafi‘i sahaja? Amat jarang kita menjumpainya. Buku-buku yang kita jumpa adalah membincangkan mengenai agama secara umum, tanpa menekankan aspek pengamalan mazhab al-Shafi‘i di Malaysia. Apa salahnya sekiranya pengarang membincangkan agama berdasarkan mazhab al-Shafi‘i, serta cara-cara untuk mengamalkannya di Malaysia. Contohnya mengenai isu najis anjing yang dianggap berat oleh mazhab al-Shafi‘i, apakah tindakan kita apabila berhadapan dengan anjing? Adakah perlu melarikan diri? Sekiranya anjing masuk ke dalam surau misalnya, apakah langkah yang perlu dilakukan? Penulis merasakan, pemahaman masyarakat kita terhadap fikah Shafi‘i masih jauh kerana kita seringkali mengabaikan perkara ini. Sekiranya semua perbincangan mengenai mazhab Shafi‘i telah ada di dalam kitab jawi lama, maka bahasa yang berada di dalam kitab jawi lama perlu dimodenkan. Atau bukan sekadar dimodenkan, malahan perlu dijadikan rujukan, serta apakah langkah yang perlu kita ambil untuk mengamalkan apa yang disarankan oleh kitab jawi lama itu. Sekiranya kita masih tidak melakukan kesemua ini, maka selagi itu masyarakat tidak akan kukuh pemahamannya terhadap fikah Imam Shafi‘i.

Kesimpulan

Walaupun perbincangan awal bagi penulisan ini adalah berkaitan dengan tarjih, tetapi penulisan di dalam artikel ini kebanyakannya tidak  menyentuh tarjih dari sudut teorinya, tetapi lebih kepada perbincangan ringkas berkaitan tarjih yang telah ada di dalam mazhab al-Shafi‘i. Apabila ianya telah ada maka ianya merupakan jalan yang perlu diikuti oleh kita semua untuk mengamalkan agama yang berdasarkan kepada pentarjihan yang telah dilakukan oleh ulama di dalam mazhab al-Shafi‘i. Artikel ini tidak bermaksud untuk menjadikan umat Islam di Malaysia taksub kepada mazhab, tetapi langkah yang paling bijak untuk kita semua mengamalkan agama adalah berdasarkan kepada mazhab, kerana kita semua masih tidak sampai kepada peringkat mujtahid yang melayakkan kita untuk berijtihad sendiri.   

        
 

No comments:

Post a Comment