Pages

Friday 3 June 2011

Fikah Imam al-Bukhari Mengenai Jual Beli Yang Terlarang

Jual beli yang terlarang sememangnya dibincangkan oleh para fuqahak secara panjang lebar di dalam karya mereka. Antara jual beli yang terlarang yang kita ketahui ialah seperti jual beli gharar, najash, talaqqi rukban, riba dan sebagainya. Jual beli seperti najash atau talaqqi adalah satu amalan yang pernah berlaku pada zaman Nabi s.a.w. dan Nabi s.a.w. pernah melarangnya. Namun adakah amalan seperti itu masih berlaku pada masa ini ataupun ianya sememangnya berlaku, tetapi kurang diketahui oleh kita disebabkan kita kurang mengambil perhatian mengenai konsep tersebut.

Perbincangan mengenai fikah Imam al-Bukhari pada kali ini adalah difokuskan kepada jual beli yang terlarang yang pernah disabdakan oleh Nabi s.a.w. dan ianya terdapat di dalam Sahih al-Bukhari. Di dalam perbahasan kali ini, penulis akan meneliti fikah Imam al-Bukhari mengenai jual beli yang terlarang, dengan menganalisis tarjamah bab yang terdapat di dalam Sahih Bukhari. Semoga dengan analisis yang dilakukan, akan memberikan manfaat kepada kita semua, untuk menghindarkan diri daripada mengamalkan jual beli yang dilarang oleh Nabi s.a.w.

Sekilas Pandang Mengenai Hadith-Hadith Bukhari Tentang Jual Beli Yang Terlarang

Di dalam Kitab Jual Beli di dalam Sahih Bukhari, antara perkara utama yang disebutkan oleh Imam al-Bukhari di dalam jual beli ialah mengenai hadith "yang halal itu jelas dan yang haram itu jelas, dan antara kedua-duanya terdapat kesamaran hukum". Hadith ini dibincangkan oleh beliau pada tarjamah bab yang ke-2 di dalam Kitab Jual Beli. Seterusnya, dibincangkan mengenai shubhat, dan dilanjutkan perbincangannya pada tiga bab iaitu pertama mengenai tafsiran kepada makna shubhat, kedua tindakan yang perlu dilakukan untuk menghindarkan diri daripada shubhat, dan peringatan mengenai was-was yang berlaku di dalam diri manusia, bukanlah shubhat. Serkiranya diperhatikan secara sepintas lalu mengenai empat tarjamah bab ini, maka dapat diketahui bahawa Imam al-Bukhari ingin membincangkan mengenai konsep shubhat yang perlu diketahui oleh umat Islam, dan salah faham mereka mengenai konsep shubhat. Ini bermakna, perkara shubhat ini, sememangnya berlaku secara berleluasa di kalangan umat Islam dalam aspek jual beli.

Seterusnya pada tarjamah bab ke-22 hingga bab ke-25, Imam al-Bukhari membicarakan mengenai larangan Riba. Ianya dimulai dengan ayat al-Quran, dan hadith-hadith yang berkaitan dengan larangan memakan riba. Selanjutnya pada bab ke-55 di dalam jual beli, Imam al-Bukhari membicarakan mengenai tindakan-tindakan terlarang yang dilakukan di dalam jual beli. Pada bab ke-55 ini, beliau membicarakan mengenai menjual makanan yang belum diqabad, atau menjual sesuatu produk yang tiada di sisi. Seterusnya, bermula pada tarjamah bab ke-58 hingga bab ke-73, beliau mula membicarakan mengenai jual beli yang terlarang melakukannya. Oleh itu, menerusi artikel ringkas ini, penulis akan membahaskan secara mendalam mengenai fikah Imam al-Bukhari terhadap jual beli yang terlarang yang difokuskan kepada tarjamah bab ke-58 hingga bab ke-73.

Perbahasan Tarjamah Bab Ke-58 Hingga Bab ke-73

Pada tarjamah bab ke-58, Imam Bukhari menamakan tarjamah babnya sebagai larangan menjual atas jualan saudaranya, serta tawaran atas tawaran saudaranya, melainkan saudaranya mengizinkan perbuatan tersebut, atau meninggalkan jual beli itu. Tarjamah bab yang dibuat oleh Imam al-Bukhari ini menggambarkan mengenai empat perkara iaitu 1) larangan jualan muslim atas jualan saudaranya seagama, 2) larangan tawaran muslim atas tawaran saudaranya seagama, 3) bila dua larangan tersebut dibolehkan? dan 4) adakah larangan tersebut membawa kesan kepada akad? (al-Ja`id, j. 1, h. 432). Dalil yang dibawa oleh Imam al-Bukhari terhadap tarjamah bab ini ialah:
حَدَّثَنَا إِسْمَاعِيلُ قَالَ حَدَّثَنِي مَالِكٌ عَنْ نَافِعٍ عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا
أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ لَا يَبِيعُ بَعْضُكُمْ عَلَى بَيْعِ أَخِيهِ

حَدَّثَنَا عَلِيُّ بْنُ عَبْدِ اللَّهِ حَدَّثَنَا سُفْيَانُ حَدَّثَنَا الزُّهْرِيُّ عَنْ سَعِيدِ بْنِ الْمُسَيَّبِ عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ
قَالَ نَهَى رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنْ يَبِيعَ حَاضِرٌ لِبَادٍ وَلَا تَنَاجَشُوا وَلَا يَبِيعُ الرَّجُلُ عَلَى بَيْعِ أَخِيهِ وَلَا يَخْطُبُ عَلَى خِطْبَةِ أَخِيهِ وَلَا تَسْأَلُ الْمَرْأَةُ طَلَاقَ أُخْتِهَا لِتَكْفَأَ مَا فِي إِنَائِهَا

Berdasarkan dua dalil yang dibawa oleh Imam al-Bukhari ini, maka jualan muslim ke atas saudaranya adalah tidak dibolehkan serta terlarang melakukannya, demikian juga tawaran seorang muslim ke atas tawaran saudaranya juga tidak dibolehkan, sehinggalah saudaranya itu mengizinkan perbuatan tersebut. (al-Ja`id, j. 1, h. 433).

Pandangan yang diutarakan oleh Imam al-Bukhari ini merupakan ijmak di kalangan ulama menurut Ibn Hajar. (Fath al-Bari, j. 4, h. 415) serta dihikayatkan juga oleh al-Nawawi mengenainya. (Muslim Bi Sharh al-Nawawi, j. 10, h. 159). 

Perkara yang didiamkan oleh Imam al-Bukhari mengenai permasalahan ini ialah adakah pembelian seorang muslim atas saudaranya juga dikira termasuk dalam perbuatan yang dilarang? Dalam permasalahan ini, al-Ja`id mengatakan bahawa pembelian seorang muslim atas saudaranya juga dikira termasuk dalam perbuatan yang dilarang menurut Imam al-Bukhari. (al-Ja`id, j. 1, h. 434). Adakah perkara yang dilarang ini hanya untuk orang Islam sahaja? Menurut al-Ja`id, Imam al-Bukhari berpandangan bahawa perkara yang dilarang ini adalah ditujukan kepada orang Islam sahaja, dan tidak termasuk di dalamnya orang bukan Islam. (al-Ja`id, j. 1, h. 434-435). Pandangan ini juga diutrarakan oleh al-Awza`i dan Ahmad. (al-Baji, al-Muntaqa, j. 5, h. 100 dan Ibn Rajab, Jami` al-`Ulum Wa al-Hikam, h. 290). Alasannya ialah hadith yang dibawa oleh Imam al-Bukhari adalah larangan yang ditujukan kepada orang Islam ke atas saudaranya sahaja. Perkara ini adalah berkaitan dengan hak-hak orang Islam. (al-Ja`id, j. 1, h. 435).

Menurut kaedah usul, sesuatu larangan itu menunjukkan kepada hukum haram. Dari sudut hukum haram itu, maka para ulama berbeza pendapat, adakah larangan yang ditunjuki oleh hadith, akan membawa kesan kepada akad yang dijalankan, atau tidak memberikan sebarang kesan kepada akad? Berdasarkan kepada fikah Imam al-Bukhari seperti yang dibahaskan oleh al-Ja`id, larangan yang terdapat di dalam hadith sememanngnya menunjukkan kepada hukum haram, tetapi ianya tidak membatalkan akad menurut Imam al-Bukhari. Cuma, orang yang melakukan perbuatan demikian seperti yang disebukan oleh hadith dikira berdosa. (al-Ja`id, j. 1, h. 435). 

Imam al-Bukhari juga berpandangan bahawa makna bagi jualan ke atas jualan yang dilarang itu tidak sama dengan konsep tawaran ke atas tawaran. Alasannya ialah Imam al-Bukhari membawakan dua perkara ini dalam bentuk "`ataf". Ini kerana huruf `ataf di dalam bahasa Arab menunjukkan kepada dua perkara yang berbeza. Imam al-Bukhari adalah di kalangan ulama yang mengatakan bahawa jual beli adalah tidak sama dengan konsep penawaran sama ada dari sudut bahasa mahupun syarak. Oleh itu, beliau berpandangan bahawa khiyar majlis adalah sabit menurut syarak. (al-Ja`id, j. 1, h. 435). Ini kerana, sekiranya diterima pakai konsep penawaran itu adalah sama makna dengan jual beli, maka tidak akan berlaku khiyar majlis di dalamnya sebagaimana yang dipegang oleh ulama Hanafiyah.

InsyaAllah, akan bersambung pada perbahasan seterusnya.....Wallahua`lam.         

1 comment:

  1. Idea fikah Bukhari mengenai Jual Beli adalah berdasarkan Tesis PhD oleh Satar bin Thawab al-Ja`id dari Universiti Umm al-Qura..berdasarkan penelitian penulis, beliau adalah orang terkemudian yang mengkaji fikah Imam al-Bukhari dalam jual beli..metode yang digunakan ialah melihat tarjamah bab secara keseluruhan, serta memerhatikan usul tarjamah serta kaedah usul yang dipegang yang dipegang oleh Imam Bukhari dalam membahaskan mengenai fikah..al-Ja`id tidak mengabaikan pandangan para pengulas Sahih Bukhari mengenai tarjamah bab Sahih Bukhari

    ReplyDelete