Pages

Friday 24 June 2011

Mengembara Untuk Menziarahi Kubur: Khilaf Antara Tradisi Dan Salafi


Pendahuluan

Permasalahan berkaitan dengan pengembaraan untuk menziarahi kubur para Nabi atau para ulama, diperselisihkan antara golongan tradisi dan salafi. Ianya berpunca daripada hadith Nabi s.a.w. yang berbunyi:

لاَ تُشَدُّ الرِّحَالُ إِلاَّ إِلَى ثَلاَثَةِ مَسَاجِدَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ ، وَمَسْجِدِ الرَّسُولِ - صلى الله عليه وسلم - وَمَسْجِدِ الأَقْصَى

Oleh itu pada perbincangan kali ini, penulis akan kemukakan alasan yang diberikan oleh golongan tradisi dan salafi mengenainya. Seperti biasa, golongan tradisi diambil rujukan daripada buku berjudul "al-Bid`ah Fi al-Mafhum al-Islami al-Daqiq", dan golongan salafi pula diambil rujukan daripada buku berjudul: "Ittiba` La Ibtida`".

Tradisi

Menurut `Abd al-Malik `Abd al-Rahman al-Sa`di, seseorang yang mengembara untuk menziarahi kubur para Nabi dan orang-orang soleh adalah harus menurut jumhur fuqahak. Antara ulama yang mengharuskannya ialah Imam al-Haramayan dan para muhaqqiq di kalangan ashab al-Shafi‘i. Mereka memberikan pandangan berkaitan dengan hadith di atas ialah mengenai kelebihan yang sempurna untuk seseorang itu mengembara. Kelebihan tersebut boleh diperolehi apabila seseorang mengembara ke tiga tempat ini iaitu Masjid Haram, Masjid Nabawi dan Masjid Aqsa.[1]

          Mereka berkata lagi bahawa larangan mengembara seperti yang disebutkan di dalam hadith adalah ke masjid-masjid yang selain tiga masjid di atas. Ini kerana pengembaraan ke masjid-masjid lain dengan tujuan solat adalah satu perkara yang meletihkan, tiada faedah, dan tidak bertambah pahala. Ini kerana apabila seseorang itu solat di mana-mana masjid pun, pahalanya tetap sama sahaja, berbanding tiga masjid yang disebutkan di dalam hadith. Seseorang yang solat di Masjid al-Haram akan memperolehi sebanyak 100 000 pahala, Masjid Nabawi 1000 pahala, dan Masjid al-Aqsa 500 pahala. Pertambahan pahala menyebabkan seseorang itu rasa teringin untuk mengembara ke ketiga-tiga tempat ini.[2]

          Menurut `Abd al-Malik `Abd al-Rahman al-Sa`di lagi, pandangan yang mengatakan tidak boleh mengembara ke tempat lain melainkan tiga tempat ini sahaja merupakan pandangan yang tidak benar. Sekiranya pandangan ini diterima maka pengembaraan ke tempat lain yang dilakukan dengan tujuan berniaga, belajar dan perkara-perkara yang lain juga tertegah.[3] Oleh itu, ianya akan menyukarkan orang ramai untuk bermuamalah sesama mereka. Menurut `Abd al-Malik `Abd al-Rahman al-Sa`di lagi, para ulama menafsirkan hadith yang melarang mengembara ialah pengembaraan ke masjid-masjid yang selain tiga masjid yang disebutkan di atas.[4] Oleh itu, tempat yang dilarang di dalam hadith berbentuk khusus iaitu jenis masjid, bukannya berbentuk umum yang merangkumi tempat-tempat yang lain. Antara ulama yang berpandangan sebegini ialah Ibn Taymiyyah.[5]

          Menurut `Abd al-Malik `Abd al-Rahman al-Sa`di lagi, pengembaraan untuk menziarahi kubur para Nabi dan orang soleh dibolehkan dan tidak bertentangan dengan hadith pengembaraan ke tiga masjid. Beliau berdalilkan hadith: “نَهَيْتُكُمْ عَنْ زِيَارَةِ الْقُبُورِ فَزُورُوهَا”, di mana arahan yang terdapat di dalam hadith adalah berbentuk mutlak sama ada menziarahi kubur berdekatan atau berjauhan yang menyebabkan seseorang itu perlu mengembara.[6] Selain itu, Nabi s.a.w. pernah menziarahi kubur ibunya di al-Abwa’ dengan mengembara.[7]
               
          Perkara yang dilarang ketika menziarahi kubur adalah mengagungkan kubur yang diziarahi itu (taqdis), menciumnya (taqbil), menyapu diri di kubur, bertawaf di sekelilingnya, dan berlaku pecampuran antara lelaki dan wanita. Sekiranya tiada kesemua unsur-unsur ini, maka tiada larangan untuk mengembara bagi menziarahi kubur. Menziarahi kubur adalah sunnah. Perkara yang dilarang ialah unsur-unsur yang telah disebutkan di atas.[8]

          Adakah dilarang menziarahi kubur seseorang secara khusus? Maka dijawab oleh `Abd al-Malik `Abd al-Rahman al-Sa`di dengan mengatakan bahawa Nabi s.a.w. pernah menziarahi kubur saudara susuannya iaitu ‘Uthman bin Maz‘un secara khusus. Ketika baginda s.a.w. menziarahi itu, baginda s.a.w. meletakkan beberapa ketul batu di atas kubur saudara susuannya, agar mudah dikenali kubur tersebut.[9] Sayyidatina ‘Aishah juga pernah menziarahi kubur saudaranya secara khusus iaitu ‘Abd al-Rahman.[10]

Salafi

Dalam menangani permasalahan ini, golongan salafi bersikap keras, sehinggakan kubur Nabi Musa a.s. walaupun ianya diketahui tempatnya, haram untuk menziarahinya dengan mengembara.[11] Mereka berpegang kepada zahir hadith iaitu:

      
لاَ تُشَدُّ الرِّحَالُ إِلاَّ إِلَى ثَلاَثَةِ مَسَاجِدَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ ، وَمَسْجِدِ الرَّسُولِ - صلى الله عليه وسلم - وَمَسْجِدِ الأَقْصَى

Penafsiran terhadap hadith, diambil juga berdasarkan pandangan Ibn Hajar dan al-Tibi mengenainya. Ibn Hajar mengatakan bahawa ungkapan “لاَ تُشَدُّ الرِّحَالُ” bermaksud larangan bermusafir selain tiga tempat ini. Al-Tibi pula mengatakan tidak sepatutnya seseorang berniat untuk berziarah melainkan tempat-tempat yang disebutkan oleh hadith.[12] Walau bagaimana pun, penafsiran kedua-dua tokoh ini perlu diperhatikan lagi kerana kemungkinan mereka menghendaki maksud yang lain, tidak seperti yang difahami oleh golongan salafi. Pandangan yang dikemukakan oleh kedua-dua tokoh ini menurut penulis boleh disesuaikan dengan pandangan yang dikemukakan oleh `Abd al-Malik `Abd al-Rahman al-Sa`di yang mewakili golongan tradisi, yang mana beliau mengatakan bahawa larangan mengembara tersebut khusus kepada masjid yang selain tiga masjid yang disebutkan oleh hadith, bukannya larangan mengembara untuk menziarahi kubur para Nabi atau para solihin.

Kesimpulan

Dalam permasalahan ini, penulis lebih cenderung untuk mengatakan bahawa mengembara untuk menziarahi kubur para Nabi dan orang soleh adalah tidak dilarang di dalam Islam, malahan ianya adalah sunnah dan disyariatkan di dalam Islam. Perkara yang dilarang ketika menziarahi kubur ialah mentaqdiskannya, bertawaf di sekilingnya, dan sebagainya. Perkara inilah yang perlu dihindarkan oleh kita semua agar tidak terjebak dengan perbuatan yang dilarang di dalam Islam. Wallahua‘lam.
  



[1] `Abd al-Malik `Abd al-Rahman al-Sa`di, al-Bid`ah Fi al-Mafhum al-Islami al-Daqiq, h. 60.
[2] Ibid.
[3] Ibid., h. 61.
[4] Ibid.
[5] Ibid.
[6] Ibid.
[7] Ibid.
[8] Ibid., h. 62.
[9] Ibid.
[10] Fatawa Ibn Taymiyyah, j. 24, h. 334 dan j. 27, h. 36; al-Mughni Li Ibn Qudamah, j. 2, h. 270; al-Majmu‘, j. 5, h. 309; Sharh Muslim Li al-Nawawi, j. 9, h. 106; Nayl al-Awtar, j. , h. 164; dan `Abd al-Malik `Abd al-Rahman al-Sa`di, al-Bid`ah Fi al-Mafhum al-Islami al-Daqiq, h. 62.
[11] Hisam al-Din Bin Musa ‘Afanah, Ittiba‘ La Ibtida‘, h. 196.
[12] Fath al-Bari, j. 3, h. 306; dan Hisam al-Din Bin Musa ‘Afanah, Ittiba‘ La Ibtida‘, h. 196.

No comments:

Post a Comment