Pages

Wednesday 8 June 2011

Fikah Imam Bukhari Mengenai Jual Beli Gharar

Tarjamah Bab ke-61 di dalam Kitab Jual Beli adalah mengenai jual beli gharar. Perkataan gharar adalah begitu terkenal di dalam fiqh muamalah, sistem perbankan atau kewangan Islam. Ianya seringkali dibincangkan di dalam perbankan Islam, kerana apa sahaja produk yang ingin dikeluarkan kepada masyarakat, maka ianya mestilah terhindar daripada unsur2 gharar yang dilarang di dalam agama. Sekiranya terdapat unsur2 gharar, maka para ulama tidak akan teragak-agak untuk tidak membenarkan sesuatu produk itu dikeluarkan kepada masyarakat.

Perkara yang akan diperhatikan di sini ialah mengenai konsep gharar berdasarkan fikah Imam Bukhari. Di dalam tarjamah bab ke-61, Imam Bukhari ada menyatakan tarjamah bab dengan katanya: "Bab Jual Beli Gharar....". Di dalam muamalah, gharar terbahagi kepada beberapa peringkat yang tidak sama antara satu sama lain. Tidak kesemua gharar adalah dilarang di dalam agama. Menurut Imam al-Bukhari, gharar yang kecil kuantitinya adalah dimaafkan menurut ijtihad beliau. (al-Ja`id, j. 2, h. 473). Antara gharar yang dianggap kecil menurut Imam Bukhari adalah seperti khiyar al-shart yang tidak ditentukan tempohnya di dalam akad. Maka jual beli yang seperti itu adalah harus menurut Imam Bukhari. Antara gharar yang masih dianggap boleh oleh Imam al-Bukhari adalah menjual buah-buahan yang masih belum masak, maka ianya masih sah menurut Imam al-Bukhari. Namun, sekiranya berlaku kerosakan kepada buah2an yang dijual seperti itu, maka ianya adalah di bawah tanggungan penjual. (al-Ja`id, j. 2, h. 474-475). Sekiranya diperhatikan kepada gharar yang terkandung di dalam jual beli buah yang masih belum masak, maka ianya dianggap oleh kebanyakan orang sebagai gharar yang banyak kuantitinya, tetapi bagi Imam Bukhari ianya masih dianggap kecil. (al-Ja`id, j. 2, h. 475).

InsyaAllah, para sahabat sekelian perlu membuat rujukan yang panjang lebar mengenai pandangan ulama berkaitan dengan jual beli gharar, agar nampak jelas akan permasalahan ini. Di sini penulis hanya menyatakan secara ringkas mengenai fikah Imam Bukhari terhadap jual beli gharar, sebagaimana yang dibincangkan oleh pengkaji fikah Imam Bukhari. Kesimpulannya, Imam Bukhari mengganggap bahawa gharar yang kecil kuantitinya adalah dibolehkan menurut beliau. Wallahua`lam.





     

No comments:

Post a Comment