Pages

Thursday 9 June 2011

Perbezaan Pandangan Antara Mazhab Bukhari Dan Mazhab Shafi`i Mengenai Jilatan Anjing

Perbahasan yang akan dibawa oleh penulis pada kali ini adalah mengenai khilaf yang berlaku antara mazhab Imam Bukhari dan mazhab Shafi`i mengenai jilatan anjing. Jilatan anjing adalah satu simbol mengenai najis mughallazah yang dibahaskan oleh para fuqahak di dalam mazhab Shafi`i. Perbahasan mengenai jilatan anjing ini ada hubungkaitnya dengan hadith yang menyebutkan mengenai jilatan anjing, dan kesannya kepada kefahaman para fuqahak terhadap hadith tersebut.

Isu ini pernah hangat pada satu ketika dahulu di Malaysia. Namun kini, ia kembali seperti biasa iaitu pengamalan kita sebagai umat Islam di Malaysia adalah najis anjing dikategorikan sebagai najis berat yang perlu dibasuh sebanyak tujuh kali, dan salah satunya adalah dengan tanah. Penulis tidak bertujuan untuk memanaskan semula isu ini, tetapi ingin mengemukakan mengenai perbahasan ulama yang begitu segar dan terbuka, di mana penulis akan hanya memberi fokus kepada mazhab Bukhari dan mazhab Shafi`i mengenainya. Perbandingan yang dilakukan ini adalah begitu menarik kerana kedua-dua mazhab ini berpegang kepada hadith yang kuat statusnya. Oleh itu, status hadith tidak akan dibahaskan secara panjang lebar dalam coretan ini. Perkara yang akan dibincangkan hanyalah kefahaman para mujtahid dalam berinteraksi dengan hadith menurut perspektif fiqh Shafi`i dan fiqh Bukhari.

Mazhab Bukhari Mengenai Najis Anjing

Di dalam Sahih Bukhari, terdapat tajuk yang membincangkan mengenai permasalahan ini di mana Imam Bukhari di dalam tarjamah bab ke-33 dalam kitab al-Wudu' , mengemukakan pandangan yang datang daripada `Ata' dan al-Zuhri. `Ata' mengatakan bahawa: "Tidak mengapa air liur anjing, dan tempat yang dilalui oleh anjing di dalam masjid." al-Zuhri pula berkata: "Sekiranya anjing menjilat di dalam satu bekas air, dan tiada lagi bekas air untuk berwuduk, maka seseorang itu hendaklah berwuduk dengan bekas itu."

Majoriti pengulas Sahih Bukhari mengatakan bahawa tarjamah bab yang diambil kata-kata `Ata' oleh Imam Bukhari, menunjukkan mengenai kesucian anjing dan air liurnya. (Nur Hasan `Abd al-Halim, j. 1, h. 326).

Hadith yang dibawa oleh Imam Bukhari mengenai permasalahan ini ialah:
عَنْ أَبِى هُرَيْرَةَ قَالَ إِنَّ رَسُولَ اللَّهِ - صلى الله عليه وسلم - قَالَ « إِذَا شَرِبَ الْكَلْبُ فِى إِنَاءِ أَحَدِكُمْ فَلْيَغْسِلْهُ سَبْعًا »
Kesesuaian hadith yang dibawa oleh Imam Bukhari dengan permasalahan ini ialah mengenai perintah supaya bekas yang dijilat oleh anjing perlu dibasuh tujuh kali. Perintah yang terkandung di dalam hadith, tidak menunjukkan kepada najis air liur anjing, tetapi membawa maksud yang lain. Air kencing dan tahi anjing adalah lebih berat tahap kenajisannya berbanding air liur, tetapi tidak pula diperintahkan supaya dibasuh dengan bilangan tertentu. (Nur Hasan `Abd al-Halim, j. 1, h. 327). 

Hadith kedua yang dibawa oleh Imam Bukhari mengenai permasalahan ini ialah:
عَنْ أَبِى هُرَيْرَةَ عَنِ النَّبِىِّ - صلى الله عليه وسلم - « أَنَّ رَجُلاً رَأَى كَلْبًا يَأْكُلُ الثَّرَى مِنَ الْعَطَشِ ، فَأَخَذَ الرَّجُلُ خُفَّهُ فَجَعَلَ يَغْرِفُ لَهُ بِهِ حَتَّى أَرْوَاهُ ، فَشَكَرَ اللَّهُ لَهُ فَأَدْخَلَهُ الْجَنَّةَ »
Kesesuai hadith ini dengan tarjamah bab yang dikehendaki oleh Imam Bukhari ialah mengenai tidak najis air liur anjing, kerana lelaki seperti yang terdapat di dalam hadith memenuhkan khufnya dengan air, serta memberi minum kepada anjing. Berdasarkan kisah ini, tidak syak lagi bahawa air liur anjing itu sudah tentu akan bercampur aduk dengan khuf yang digunakan untuk memberi minum kepada anjing. Khuf yang seperti itu diharuskan untuk digunakan di dalam solat dan selain solat, tanpa perlu membasuhnya. Ini kerana, tidak terdapat di dalam hadith arahan supaya membasuh khuf itu. (Kata-kata sebahagian ulama Maliki mengenai fikah Bukhari, seperti mana yang dinukilkan di dalam karya al-Kawakib al-Dirari, j. 3, h. 10).

Seterusnya Imam Bukhari mendatangkan hadith daripada Ibn `Umar iaitu:
عَنِ ابْنِ شِهَابٍ قَالَ حَدَّثَنِى حَمْزَةُ بْنُ عَبْدِ اللَّهِ عَنْ أَبِيهِ قَالَ كَانَتِ الْكِلاَبُ تَبُولُ وَتُقْبِلُ وَتُدْبِرُ فِى الْمَسْجِدِ فِى زَمَانِ رَسُولِ اللَّهِ - صلى الله عليه وسلم - فَلَمْ يَكُونُوا يَرُشُّونَ شَيْئًا مِنْ ذَلِكَ
Kesesuian hadith ini dengan permasalahan yang diutarakan adalah mengenai kesucian anjing beserta dengan air liurnya. Ini kerana anjing yang berulang alik di dalam masjid, sudah tentu air liur dan perkara-perkara lain yang ada padanya, tidak terlepas dari terkena ruangan masjid. Apabila Rasulullah s.a.w. tidak memerintahkan supaya membasuh tempat yang dilalui oleh anjing itu, maka dapat diketahui bahawa anjing tidak bernajis. (Lihat al-Kirmani, al-Kawakid al-Dirari, j. 3, h. 11). 

Imam al-Bukhari juga berdalilkan kepada hadith ini iaitu:
عَنْ عَدِىِّ بْنِ حَاتِمٍ قَالَ سَأَلْتُ النَّبِىَّ - صلى الله عليه وسلم - فَقَالَ « إِذَا أَرْسَلْتَ كَلْبَكَ الْمُعَلَّمَ فَقَتَلَ فَكُلْ ، وَإِذَا أَكَلَ فَلاَ تَأْكُلْ ، فَإِنَّمَا أَمْسَكَهُ عَلَى نَفْسِهِ »
Wajah dilalah daripada hadith ialah Rasulullah s.a.w. memberi keizinan kepada sahabat yang terlibat memakan bekas gigitan anjing buruan. Berdasarkan hadith, tidak terdapat pula arahan daripada Nabi s.a.w. supaya membasuh bekas gigitan anjing itu. Apabila tidak terdapat arahan sedemikian, maka jelaslah bahawa air liur anjing adalah suci. (Lihat Ibn Hajar, Fath al-Bari, j. 1, h. 279.) 

Pada sebahagian naskhah Sahih Bukhari, terdapat tarjamah bab yang berbunyi: "Apabila anjing meminum di dalam bekas air kamu, maka hendaklah kamu membasuhnya tujuh kali." Menurut Nur Hasan `Abd al-Halim, perkara yang dimaksudkan oleh Imam Bukhari menerusi tarjamah bab ini ialah penerangan mengenai kewajipan membasuh bekas air yang dijilat anjing sebanyak tujuh kali, tanpa perlu menggunakan tanah. (Nur Hasan `Abd al-Halim, j. 1, h. 328). Arahan basuh ini tidak menunjukkan kepada najisnya air liur anjing, tetapi ia adalah merupakan arahan yang berbentuk ta`abbudi (Lihat Dihlawi, Sharh Tarajim Bukhari, h. 27), atau ilat menerusi arahan membasuh sebanyak tujuh kali itu adalah dilihat daripada aspek perubatan (lihat Dr Mahmud Ahmad Najib, al-Tibb al-Islami, h. 22), kerana arahan tersebut khusus kepada anjing gila (lihat Ibn Hajar, Fath al-Bari, j. 1, h. 275). Tambahan pula, berdasarkan kepada kenyataan syarak yang menyebutkan mengenai angka tujuh, adalah sangat berkait rapat dengan perubatan (lihat Nur Hasan `Abd al-Halim, j. 1, h.427).

Berdasarkan kepada dalil-dalil yang dikemukakan oleh Imam Bukhari, menunjukkan bahawa beliau berpandangan anjing tidak najis.

Mazhab Shafi`i Mengenai Najis Anjing

Kita yang bermazhab Shafi`i di Malaysia telah maklum bahawa najis anjing merupakan najis dalam kategori berat yang perlu dibasuh sebanyak tujuh kali, salah satunya adalah dengan tanah. Najis tersebut sama ada air liur anjing, atau keseluruhan badannnya, kesemuanya merupakan najis menurut mazhab Shafi`i. Inilah titik perbezaan pandangan antara Imam Bukhari dengan mazhab Shafi`i dalam permasalahan ini. Titik perbezaan tersebut, tidak perlulah membawa kepada perbalahan umat Islam di Malaysia, kerana masing-masing mempunyai alasan dan hujah untuk berhadapan dalam isu ini. Apa-apa pun, pandangan yang dipegang di Malaysia adalah anjing merupakan haiwan yang bernajis yang perlu dibasuh sebanyak tujuh kali, salah satunya adalah dengan tanah. Penulis juga dalam coretan ini, cenderung kepada pandangan ini kerana melihat kepada alasan yang digunakan oleh mazhab Shafi`i yang begitu kukuh mengenainya.

Imam Nawawi di dalam karya Majmu` mengatakan bahawa kesemua anjing adalah bernajis menurut mazhab Shafi`i sama ada anjing itu jenis terlatih atau tidak terlatih, besar atau kecil. (Nawawi, Majmu`, j. 2, h. 585). 

Hujah yang digunakan di dalam mazhab Shafi`i adalah hadith daripada Abu Hurayrah iaitu:
عَنْ أَبِى هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- « إِذَا وَلَغَ الْكَلْبُ فِى إِنَاءِ أَحَدِكُمْ فَلْيُرِقْهُ ثُمَّ لْيَغْسِلْهُ سَبْعَ مِرَارٍ »

عَنْ أَبِى هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- « طُهُورُ إِنَاءِ أَحَدِكُمْ إِذَا وَلَغَ فِيهِ الْكَلْبُ أَنْ يَغْسِلَهُ سَبْعَ مَرَّاتٍ أُولاَهُنَّ بِالتُّرَابِ »

Dilalah daripada hadith pertama adalah jelas kerana sekiranya tidak najis, sudah tentu air yang dijilat anjing itu tidak diperintahkan untuk dituang. Ini kerana menuang air merupakan pembaziran sedangkan Rasulullah s.a.w. melarang umatnya daripada menyia2kan harta. Dilalah daripada hadith kedua juga jelas kerana perkara yang dikatakan bersih itu adalah sesuatu yang tidak terkena tahi mahupun najis. (Nawawi, Majmu`, j. 2, h. 586). Sharibini di dalam Mughni Muhtaj mengatakan bahawa berdasarkan hadith, sabit najis pada bahagian mulut anjing, sedangan mulut adalah salah satu bahagian yang paling bersih berbanding yang lain. Oleh itu, bahagian lain yang terdapat pada anjing adalah lebih utama untuk dikatakan bernajis (al-Sharbini, j. 1, h. 129).  

Bagi ayat al-Quran mengenai anjing buruan sebagaimana yang digunakan di dalam mazhab Bukhari, maka dijawab oleh ashab mazhab Shafi`i bahawa tidak wajib membasuh dalam kes buruan. Dalam hal ini, najis anjing dimaafkan disebabkan keperluan bagi orang yang terlibat dengan perburuan. Oleh itu, untuk membasuh najisnya merupakan mashaqqah kepada mereka yang terlibat dengan perburuan. Berlainan dengan membasuh najis yang terdapat di dalam bekas air. (Nawawi, Majmu`, j. 2, h. 586).

Mengenai hadith Bukhari yang menunjukkan bahawa anjing berulang alik di dalam masjid, maka dijawab oleh Bayhaqi bahawa umat Islam telah ijmak untuk mengatakan air kencing anjing adalah najis, dan wajib merenjiskan air kepada air kencing kanak2 lelaki. Oleh itu, air kencing anjing adalah lebih utama untuk dilakukan sedemikian. Hadith tersebut juga boleh diandaikan bahawa ianya disabdakan oleh Nabi s.a.w. adalah sebelum hadith mengenai arahan Nabi s.a.w. supaya membasuh tujuh kali, atau air kencing anjing terserap ke dalam tanah, dengan demikian, amat sukar untuk mengenal pasti tempat terkena air kencing itu. Oleh itu, sesiapa yang yakin bahawa sesuatu tempat itu terkena najis anjing, maka wajb ke atasnya membasuh tempat yang terkena najis itu. (Nawawi, Majmu`, j. 2, h. 586).           

Kesimpulan

Sebenarnya penulis ingin melanjutkan lebih panjang lagi perbahasan mengenai isu ini iaitu dengan melihat analisis hadith berdasarkan perspektif yang berbeza oleh Imam Bukhari dan mazhab Shafi`i. Namun, memandangkan perkara ini dirasakan oleh penulis satu benda yang agak baru di kalangan masyarakat (walaupun sebenarnya ia merupakan isu yang lama), maka penulis bahawakan di sini sekadar informasi, agar kita mendapat sedikit gambaran mengenai isu khilaf yang berlaku di kalangan para mujtahid. Dengan demikian, dapat disimpulkan bahawa hujah yang digunakan oleh masing-masing mazhab adalah kuat. Cuma perbezaan yang berlaku adalah disebabkan perbezaan perspektif dalam menganalisis dan memahami hadith-hadith Nabi s.a.w. Kita yang bermazhab Shafi`i, memahami hadith adalah berdasarkan kepada kaedah yang telah disusun oleh ulama mazhab ketika berinteraksi dengan hadith Nabawi. Kaedah yang disusun itu adalah begitu penting, agar kita dapat mengamalkan sunnah Nabi s.a.w. dengan penuh amanah dan tanggungjawab. Dengan demikian, mengamalkan agama yang berdasarkan mazhab Shafi`i seperti yang kita amalkan kini adalah benar-benar mengikut sunnah yang sahih. Semoga para ulama kita dirahmati Allah, dan kita mengikuti jejak langkah mereka.

InsyaAllah, akan bersambung pada isu seterusnya. Semoga mendapat sokongan dari sahabat2, serta komen yang membina dari kalian. 

  

No comments:

Post a Comment