Pages

Sunday 12 June 2011

Perbezaan Analisis Hadith Jilatan Anjing Menurut Perspektif Mazhab Bukhari dan Mazhab Shafi`i

Pada perbahasan yang lalu, penulis membawakan beberapa dalil dan alasan yang digunakan oleh Imam Bukhari di dalam karya sahihnya, serta beberapa dalil dan sedikit alasan yang diberikan oleh ulama al-Shafi`yyah mengenai permasalahan najis anjing. Oleh itu, pada perbahasan kali ini, penulis akan akan membincangkan pula perbezaan perspektif dalam membahaskan mengenai hadith jilatan anjing oleh Imam Bukhari dan mazhab Shafi`i, agar dapat dikenalpasti punca perbezaan tersebut.

Antara punca perbezaan yang dapat dikenalpasti antara mazhab Bukhari dan mazhab Shafi`i mengenai isu jilatan anjing ini adalah beredar kepada beberapa perkara beikut iaitu pertama: pemakaian makna zahir hadith, kedua: tiada arahan membasuh najis lain selain jilatan anjing dengan bilangan tertentu, ketiga: pemakaian dalil umat terdahulu, keempat: nasih mansuh sesuatu hadith, kelima: kesesuaian hadith dengan al-Quran, keenam: melihat hadith dari aspek perubatan dan ta`abbudi, ketujuh: pertembungan antara hadith-hadith, kelapan: penggunaan kias, kesembilan: penggunaan kaedah fiqh, kesepuluh: penggunaan dalil ijmak, dan kesebelas: penggunaan kaedah usul iaitu qiyas awla. Oleh itu, di bawah ini, akan diperhatikan secara umum mengenai punca perbezaan yang berlaku antara mazhab Bukhari dan mazhab Shafi`i mengenai isu najis anjing. Perkara2 yang dibahaskan ialah 1) hadith yang dililih, 2) pemakaian makna zahir hadith, 3) penakwilan terhadap sesuatu hadith yang perlu kepada dalil yang kukuh, 4) pemakaian dalil syariat umat terdahulu, 5) pertembungan antara hadith-hadith dan 6) penggunaan al-ra'y.

1) Hadith-hadith Yang Dipilih

Dalam memilih hadith Nabawi untuk dibahaskan mengenai fiqh, maka ia terpulang kepada para imam mujtahid untuk memilihnya, dan meninggalkan untuk tidak memilih hadith lain. Dalam isu jilatan anjing ini, dapat dilihat mengenai hadith-hadith yang digunakan oleh Imam al-Bukhari adalah lebih banyak dari hadith yang digunakan dalam mazhab Shafi`i. Berdasarkan isu jilatan anjing ini sahaja, maka sebanyak empat teks hadith yang digunakan oleh Imam Bukhari untuk membahaskan mengenai najis anjing. Keempat-empat hadith itu kesemuanya menjurus ke arah mazhab beliau iaitu tidak najisnya anjing.

Bagi mazhab Shafi`i pula, hadith yang digunakan adalah sedikit bilangannya berbanding mazhab Bukhari. Hadith yang digunakan dalam mazhab Shafi`i hanyalah hadith yang datang daripada Abu Hurayrah mengenai basuhan air yang perlu dituangkan dan dibasuh tujuh kali yang salah satunya adalah dengan tanah. Hadith ini menurut mereka merupakan dalil kepada najisnya anjing.

2) Pemakaian Makna Zahir Hadith

Dalam isu ini, dapat dilihat penggunaan zahir hadith yang berselang seli antara mazhab Bukhari dan mazhab Shafi`i. Mengenai hadith basuhan tujuh kali, Imam Bukhari tidak melihatnya dari sudut zahir hadith yang menunjukkan kepada najisnya anjing, tetapi melihat kepada makna yang lain seperti perubatan dan sebagainya, atau ianya telah dimansuhkan. Bagi mazhab Shafi`i pula, mereka melihatnya dari sudut zahir hadith yang mana maknanya adalah jelas mengenai najisnya anjing kerana terdapat karenah yang menyatakan demikian iaitu adanya arahan supaya air di dalam bekas itu dibuang dan dibasuh sebanyak tujuh kali.

Bagi hadith yang menyatakan mengenai anjing yang ulang alik di dalam masjid dan perburuan, maka dilihat pula oleh Imam Bukhari dari zahir maknanya yang menunjukkan tidak najisnya anjing. Tetapi bagi mazhab Shafi`i, mereka tidak melihat dari sudut zahirnya, tetapi menakwilkannya dengan makna yang lain seperti hadith itu telah dimansuhkan, atau kesan air kencing yang tidak terlihat dengan jelas sehingga menyukarkan untuk dibasuh, serta kes perburuan yang diberikan keringan oleh syarak bagi mereka yang ingin berburu yang menggunakan anjing buruan yang telatih.

3) Penakwilan Terhadap Sesuatu Hadith Yang Perlu Kepada Dalil Yang Kukuh

Kedah yang digunakan ini dilihat oleh penulis banyak kali dipakai oleh Imam Bukhari menerusi mazhabnya di dalam fiqh. Seperti di dalam kes jilatan anjing ini, kenapa beliau tidak memakai makna zahir hadith mengenai najisnya anjing kerana tidak terdapat dalil yang jelas menunjukkan kepada makna demikian. Berdasarkan iijtihad beliau dan berdasarkan kepada dalil-dalil lain yang dikumpulkan oleh beliau, kesemuanya menjurus ke arah tidak najisnya anjing. Arahan supaya dituang bekas air serta dibasuh tujuh kali merupakan arahan sementera oleh Nabi s.a.w. dan ianya telah mansuh kerana kes yang berlaku itu, tidak berlaku lagi pada waktu berikutnya.

Kaedah yang dipegang oleh mazhab Shafi`i pula adalah sekiranya sahih sesuatu hadith itu, maka ianya boleh dijadikan dalil di dalam syarak. Maka dengan itu, makna bagi hadith-hadith yang tidak membincangkan mengenai jilatan anjing, perlu ditakwilkan agar ianya bersesuaian dengan makna yang dikehendaki oleh hadith jilatan anjing. Bagi mereka, hadith jilatan anjing, dan basuhannya sebanyak tujuh kali, adalah tidak dimansuhkan sebagaimana yang dipegang oleh mazhab Bukhari. Dalam hal ini dapat dilihat, Imam Bukhari mementingkan kesabitan sesuatu perkara sebelum menentukannya sama ianya najis atau tidak. Bagi mazhab Shafi`i pula, kesabitan sesuatu perkara cukup berdasarkan hadith sahih yang diriwayatkan menerusi tariq yang kuat, walaupun berdasarkan tariq yang lain, berlaku pertentangan makna antara kedua-duanya. Hadith yang dijadikan dalil oleh mazhab Shafi`i ini adalah kuat kerana berdasarkan hadith riwayat Muslim.    

4) Pemakaian Dalil Syariat Umat Terdahulu

Dalam isu yang dibincangkan ini, Imam Bukhari memakai dalil syariat umat terdahulu. Bagi mazhab Shafi`i pula, mereka tidak memakai sumber hukum ini. Mereka hanya cukup memakai dalil daripada hadith, ijmak dan kias. Sekiranya diperhatikan kepada karya Sahih Bukhari, Imam Bukhari banyak mengemukakan dalil daripada syariat umat terdahulu. Berbanding mazhab Shafi`i yang tidak menjadikan sumber dalil ini sebagai prioriti utama dalam membahaskan mengenai fiqh.

5) Pertembungan Antara Hadith-hadith

Dalam isu ini dapat dilihat kedua-dua mazhab meraikan pertembungan antara lafaz-lafaz hadith. Hadith yang dibawa oleh Imam Bukhari mengenai jilatan, sebenarnya terdapat tariq lain yang menyebutkan mengenai lafaz-lafaz yang berbeza dari sudut bilangan basuhan. Ini menunjukkan kepada hukum basuhan sebanyak tujuh kali itu adalah pada ketika tertentu, bukannya dikuatkuasakan selama-lamanya. Bagi mazhab Shafi`i pula, mereka tidak melihat kepada lafaz yang berbeza itu sebagai isyarat kepada hukum mansuh kerana lafaz pada tariq lain yang menyebutkan tiga kali basuhan dan sebagainya adalah tafsiran darpada perawi hadith terhadap hadith yang diriwayatkannya, bukannya datang daripada Nabi s.a.w. Perawi hadith ini iaitu Abu Hurayrah yang hanya membasuh bilangan yang tidak sampai tujuh kali, merupakan perbuatan yang datang daripada beliau, yang tidak dijadikan hujah di sisi mazhab Shafi`i.

6) Penggunaan al-Ra'y Dalam Isu Ini

Dalam isu ini, didapati bahawa Imam al-Bukhari tidak menggunakan al-ra'y secara meluas berbanding mazhab Shafi`i. Imam Bukhari sekadar memerhatikan dalil-dalil yang berkaitan dengan jilatan anjing secara keseluruhannya, lalu membuat kesimpulan hukum daripada dalil-dalil tersebut. Berbanding mazhab Shafi`i yang banyak menggunakan al-ra'y dalam isu ini, seperti menggunakan kaedah kias, penakwilan terhadap makna zahir hadith dan sebagainya. Misalnya dalam kes anjing buruan yang di mana umat Islam tidak perlu membasuh bekas gigitan anjing, adalah berdasarkan kepada kaedah fiqh yang bersangkut paut dengan keperluan manusia serta masyaqqah yang dihadapi oleh manusia dalam keadaan demikian. Apabila syarak mengharuskan memakan bekas gigitan anjing buruan, maka ianya merupakan keringanan yang diberikan oleh syarak, disebabkan manusia memerlukan kepada anjing terlatih untuk menangkap haiwan liar.

Selain itu, mazhab Shafi`i juga menggunakan qiyas awla dalam kes najis anjing. Apabila jilatan anjing dianggap najis berdasarkan hadith, sudah tentu keseluruhan badan anjing juga adalah najis berdasarkan kepada kaedah qiyas awla. Selain itu, air kencing2 kanak yang perlu direnjis apabila terkena sesuatu tempat kerana bernajis, sudah tentu lebih utama membasuh air kencing anjing yang terkena sesuatu tempat, kerana air kencing haiwan adalah najis menurut ijmak ulama. (pandangan ini dikemukakan oleh Bayhaqi sebagaimana yang dinukilkan oleh Nawawi di dalam karya Majmu`).

Selain itu, sekiranya seseorang itu yakin bahawa sesuatu tempat itu terkena najis kerana nampak `aynnya atau sifat2nya, maka ia perlu membasuh tempat tersebut. Tetapi sekiranya tidak nampak `ayn tersebut kerana najis itu terserap ke dalam tanah, maka tidak wajib membasuhnya. Ini juga merupakan analisis hadith yang berdasarkan kepada al-ra'y kerana perbahasan mengenai `ayn sesuatu benda serta sifat2nya adalah termasuk dalam perbahasan berdasarkan al-ra'y. Dengan demikian, mazhab Shafi`i mengambil semua perkara ini kerana ciri2 mazhab Shafi`i adalah pertengahan antara madrasah ahli hadith dan ahli al-ra'y atau penggunaan kaedah naqli dan `aqli. Berbanding mazhab Bukhari yang sangat sedikit menggunakan kaedah al-ra'y ini kerana mazhab beliau lebih cenderung kepada mazhab hadith. Mazhab hadith ialah apabila sahih sesuatu hadith itu, maka itulah mazhabnya, tanpa perlu kepada dalil lain untuk menakwilkan makna sesuatu hadith.

Kesimpulan

Berdasarkan kepada perbezaan analisis hadith mengenai isu najis anjing antara mazhab Bukhari dan mazhab Shafi`i di atas, menunjukkan bahawa Imam Bukhari dalam hal ini adalah lebih cenderung kepada mazhab hadith, berbanding mazhab Shafi`i yang menggabungkan antara aliran hadith dan al-ra'y. Oleh itu, dapat disimpulkan bahawa turutan penggunaan dalil antara mazhab Bukhari dan mazhab Shafi`i dalam isu yang dibincangkan ini adalah seperit berikut: Mazhab Bukhari - turutan dalil yang digunakan ialah hadith, syariat umat terdahulu dan dan kata-kata tabiin. Manakala mazhab Shafi`i pula ialah hadith, ijmak dan kias. Walaupun Bukhari tidak menggunakan kias dalam isu ini, tetapi sebenarnya beliau turut menjadikan kias sebagai sumber hukum dalam permasalahan yang lain. Oleh itu, mazhab beliau tidak sama dengan mazhab Zahiri yang tidak memakai sumber kias. Dengan demikian, penulis dalam isu ini lebih cenderung kepada mazhab Shafi`i kerana mazhab ini menyeimbangkan antara dalil naqli dan `aqli dalam membahaskan mengenai hukum-hakam. Wallahua`lam.             

   



No comments:

Post a Comment