Pages

Monday 20 June 2011

Melafazkan Niat Sebelum Solat: Antara Tradisi Dan Salafi


Pendahuluan
Permasalahan yang berkaitan dengan melafazkan niat sebelum solat sememangnya mempunyai khilaf antara tradisi dan salafi. Bagi golongan tradisi, ianya tidak dikira bid‘ah, sedangkan bagi golongan salafi, ianya dikira bid‘ah. Oleh itu, pada perbincangan kali ini, penulis akan membawakan alasan bagi kedua-dua golongan ini dalam membincangkan mengenai permasalahan melafazkan niat.
Seperti biasa, pada pembincangan yang lalu, saya merujuk kepada dua buah karya yang mewakili golongan tradisi dan salafi iaitu karya yang berjudul al-Bid‘ah Fi al-Mafhum al-Islami al-Daqid yang mewakili golongan tradisi, dan buku Ittiba‘ La Ibtida‘ yang mewakili golongan salafi. Kedua-dua buku ini dijadikan rujukan kerana kedua-dua pengarangnya mengemukakan alasan-alasan yang boleh dijadikan rujukan oleh kita semua.
Pendirian yang kita ambil dalam permasalahan ini ialah boleh melafazkan niat sebelum solat dan ia tidak dikira sebagai bid‘ah, sedangkan bagi golongan salafi yang merupakan golongan minoriti di Malaysia menganggapnya sebagai bid‘ah yang perlu dijauhi. Oleh itu, akan dikemukakan alasan-alasan oleh kedua-dua golongan ini dalam membincangkan mengenai permasalahan melafazkan niat.

Golongan Tradisi
‘Abd al-Malik ‘Abd al-Rahman al-Sa‘di pengarang kepada karya al-Bid‘ah Fi al-Mafhum al-Islami al-Daqid mengatakan bahawa niat adalah tempatnya di hati, tetapi melafazkan niat bagi mengikat hati dengannya adalah lebih afdal.[1] Ini kerana dengan kita melafazkan niat di mulut, maka ianya akan membantu hati untuk menyebutkannya dengan lebih lancar lagi. Misal yang diberikan oleh ‘Abd al-Malik ‘Abd al-Rahman al-Sa‘di ialah sekiranya seseorang itu mahu menunaikan keperluan seseorang insan, maka cukup baginya menghulurkan tangan kepada orang itu untuk memberikan sesuatu kepadanya. Tetapi kalau ia menyebutkan kepada orang itu “ambillah” atau “silakan”, maka lafaz tersebut adalah lebih elok untuk diucapkan.[2]    
Seterusnya ‘Abd al-Malik ‘Abd al-Rahman al-Sa‘di mengakui bahawa sememangnya terdapat sebahagian fuqahak yang mengatakan perbuatan melafazkan niat ini sebagai bid‘ah, tetapi bid‘ah dari segi bahasa sahaja, bukannya bid‘ah dari sudut syarak. Ini kerana perbuatan ini merupakan perbuatan baru yang tidak pernah berlaku pada zaman Nabi s.a.w. Namun begitu, ianya bukanlah bid‘ah dalalah yang membawa seseorang itu ke neraka.[3]

Golongan Salafi
Menurut Hisam al-Din bin Musa ‘Afanah di dalam karyanya Ittiba‘ La Ibtida‘, melafazkan niat secara jihar menurut beliau adalah bid‘ah sayyi’ah dan madhmumah yang bertentangan dengan petunjuk Nabi s.a.w.[4] Alasan beliau ialah 1) niat merupakan peranan yang dimainkan oleh hati, bukannya peranan yang dimainkan oleh lidah. Ini kerana kebanyakan ahli ilmu memberikan takrifan kepada niat dengan mengatakan bahawa ianya merupakan keazaman atau maksud yang datang di dalam hati.[5] 2) Asal bagi perkara ibadah adalah berbentuk tawqifi, oleh itu perlu berpandukan kepada petunjuk Nabi s.a.w. Tiada satu pun hadith yang menyatakan bahawa Nabi s.a.w. melafazkan niat, begitu juga tiada satu hadith yang menyebutkan bahawa baginda s.a.w. mengajarkan sahabatnya supaya melafazkan niat.[6] 3) Tiada seorang pun di kalangan imam dan para kibar ulama yang membicarakan mengenai lafaz niat.[7] 4) Bagi mereka yang mengatakan bahawa dengan melafazkan niat akan membantu hati, maka dijawab oleh Hisam al-Din bin Musa ‘Afanah dengan beberapa wajah. Secara umumnya beliau berpandangan bahawa tiada dalil daripada syarak menyebutkan demikian. Begitu juga para imam tidak mengatakan demikian.[8]

Penutup
Berdasarkan kepada pandangan yang diberikan oleh golongan yang mewakili tradisi dan salafi di atas, maka kedua-duanya mempunyai alasan yang tersendiri untuk membolehkan atau tidak membolehkan sesuatu amalan itu dilakukan. Bagi golongan tradisi seperit yang dikemukakan oleh ‘Abd al-Malik ‘Abd al-Rahman al-Sa‘di, beliau mengatakan bahawa lafaz niat itu adalah afdal kerana dapat membantu hati menyatakannya. Namun, perkara ini dipandang sinis oleh golongan salafi kerana untuk dikatakan sesuatu perkara itu afdal atau tidak perlu ditentukan oleh dalil yang kuat. Dengan demikian, dalam permasalahan ibadah ini, golongan salafi  adalah begitu ketat dan begitu kuat berpegang kepada dalil, dan perbuatan para salaf soleh. Berbanding golongan tradisi yang tidak memandang sempit perkara ini kerana walaupun ianya tidak pernah dilakukan oleh para salaf soleh, tetapi sekiranya ianya adalah dengan tujuan yang baik, dan masih di bawah kaedah umum syarak, maka ianya masih dikira tidak bid‘ah. Sekiranya bid‘ah sekalipun, maka ianya merupakan bid‘ah dari segi bahasa yang tidak membawa kepada bid‘ah dalalah.


[1] ‘Abd al-Malik ‘Abd al-Rahman al-Sa‘di, al-Bid‘ah Fi al-Mafhum al-Islami al-Daqid, h. 65.
[2] Ibid.
[3] Ibid.
[4] Hisam al-Din bin Musa ‘Afanah, Ittiba‘ La Ibtida‘, h. 105.
[5] Ibid.
[6] Ibid., h. 106-107.
[7] Ibid., 109.
[8] Ibid., h. 111.        



[1] ‘Abd al-Malik ‘Abd al-Rahman al-Sa‘di, al-Bid‘ah Fi al-Mafhum al-Islami al-Daqid, h. 65.
[2] Ibid.
[3] Ibid.
[4] Hisam al-Din bin Musa ‘Afanah, Ittiba‘ La Ibtida‘, h. 105.
[5] Ibid.
[6] Ibid., h. 106-107.
[7] Ibid., 109.
[8] Ibid., h. 111.        

No comments:

Post a Comment