Pages

Tuesday 2 August 2011

Fikah Imam Bukhari Berkaitan Puasa

Pendahuluan

Setiap kali masuknya bulan puasa, maka kita seringkali diigatkan tentang beberapa perkara yang berkaitan dengan puasa. Antaranya ialah perkara2 sunat ketika puasa, dan sebagainya. Pendek kata, segala hal yang berkaitan dengan puasa seringkali disebutkan oleh masyarakat kita. Oleh itu dalam perbincangan yang pendek ini, penulis akan cuba melihat puasa dari sudut perspektif Imam Bukhari, yang mana kemungkinan salah satu atau beberapa pandangannya yang berkaitan dengan puasa dapat memberi manfaat kepada kita semua.


1) Berpuasa Di Bulan Ramadan Dengan Penuh Keimanan dan Pengharapan

Apabila masuknya bulan Ramadan, maka kita hendaklah melaksanakan ibadah puasa dengan penuh keimanan iaitu membenarkan akan kewajiban melaksanakannya. Dalam kita melaksanakan puasa dengan penuh keimanan itu, maka kita hendaklah menyertakan sekali pengharapan kita kepada rahmat Allah S.W.T. iaitu mahukan pahala yang berlipat ganda di bulan ini. Apabila kita menyertakan kedua-dua perkara ini ketika berpuasa, maka ianya akan menjadi satu perkara yang mendekatkan diri kita kepada Allah S.W.T. Kesemuanya itu, bergantung kepada niat dalam melaksanakannya. (Fath al-Bari, j. 4, h. 115).

2) Rasulullah sa.w. Begitu Pemurah Dalam Bulan Ramadan

Rasulullah s.a.w. adalah seorang yang terkenal dengan sikap pemurahnya. Tetapi di dalam bulan Ramadan, maka sikap pemurahnya itu amat terserlah sehinggakan para sahabat melihat sikap pemurah baginda pada bulan ini melebihi sikap pemurahnya pada bulan-bulan yang lain. Oleh yang demikian, kita sebagai umat baginda s.a.w. perlulah mengikuti jejak langkahnya dengan menjadikan diri kita lebih bersikap pemurah pada bulan Ramadan. Imam Bukhari meriwayatkan hadith daripada Ibn `Abbas, dia berkata:

كَانَ النَّبِىُّ - صلى الله عليه وسلم - أَجْوَدَ النَّاسِ بِالْخَيْرِ ، وَكَانَ أَجْوَدُ مَا يَكُونُ فِى رَمَضَانَ ، حِينَ يَلْقَاهُ جِبْرِيلُ ، وَكَانَ جِبْرِيلُ - عَلَيْهِ السَّلاَمُ - يَلْقَاهُ كُلَّ لَيْلَةٍ فِى رَمَضَانَ حَتَّى يَنْسَلِخَ ، يَعْرِضُ عَلَيْهِ النَّبِىُّ - صلى الله عليه وسلم - الْقُرْآنَ ، فَإِذَا لَقِيَهُ جِبْرِيلُ - عَلَيْهِ السَّلاَمُ - كَانَ أَجْوَدَ بِالْخَيْرِ مِنَ الرِّيحِ الْمُرْسَلَةِ

3) Sesiapa Yang Tidak Meninggalkan Kata-kata Dusta Ketika Berpuasa

Orang yang tidak meninggalkan kata-kata dusta, serta melakukan pendustaan, maka dia dikira di kalangan pendusta, terpesong daripada kebenaran, dan beramal dengan satu perkara yang batil. (al-`Umdah, j. 10, h. 275). Imam Bukhari membawakan hadith daripada Abu Hurayrah iaitu: 

مَنْ لَمْ يَدَعْ قَوْلَ الزُّورِ وَالْعَمَلَ بِهِ فَلَيْسَ لِلَّهِ حَاجَةٌ فِى أَنْ يَدَعَ طَعَامَهُ وَشَرَابَهُ

Oleh yang demikian, kita perlu menjaga percakapan kita, agar tidak terlibat dengan perkara yang dimaksudkan ini.

4)Niat Puasa Di Siang Hari

Fikah Imam Bukhari dalam hal ini sememangnya berbeza dengan fikah mazhab Shafi`i. Di dalam mazhab kita, untuk berniat puasa di bulan Ramadan, mestilah berniat pada waktu malam, bukannya pada waktu siang. Sekiranya berniat pada waktu siang, maka tidak dikira berpuasa. Berlainan dengan fikah Bukhari. Bagi beliau, boleh seseorang itu berniat puasa Ramadan pada waktu siang.

Imam Bukhari mengambil kata-kata Abu al-Darda' di dalam karya sahihnya iaitu:

كَانَ أَبُو الدَّرْدَاءِ يَقُولُ عِنْدَكُمْ طَعَامٌ فَإِنْ قُلْنَا لاَ . قَالَ فَإِنِّى صَائِمٌ يَوْمِى هَذَا

Imam Bukhari turut mengatakan bahawa Abu Talhah, Abu Hurayrah dan Ibn `Abbas melakukan sebagaimana yang dilakukan oleh Abu Darda' iaitu berniat di siang hari. Lafaz asal di dalam Sahih Bukhari iaitu:

وَفَعَلَهُ أَبُو طَلْحَةَ وَأَبُو هُرَيْرَةَ وَابْنُ عَبَّاسٍ وَحُذَيْفَةُ - رضى الله عنهم

Seterusnya Imam Bukhari membawakan dalil hadith daripada Salamah bin al-Akwa` r.a. dengan katanya:

أَنَّ النَّبِىَّ - صلى الله عليه وسلم - بَعَثَ رَجُلاً يُنَادِى فِى النَّاسِ ، يَوْمَ عَاشُورَاءَ « أَنْ مَنْ أَكَلَ فَلْيُتِمَّ أَوْ فَلْيَصُمْ ، وَمَنْ لَمْ يَأْكُلْ فَلاَ يَأْكُلْ »

Berdasarkan dalil hadith yang dibawa oleh Imam Bukhari yang mengandungi perkataan: "فَلْيُتِمَّ" dan: "فَلاَ يَأْكُلْ", maka harus niat puasa pada waktu siang. Ini kerana Rasulullah s.a.w. memerintahkan para sahabat berpuasa ketika mana waktu itu telah siang. Oleh itu, niat puasa tidak disyaratkan pada waktu malam. Dalam hal ini, tiada beza antara puasa Ramadan dan puasa yang lain. [al-`Umdah, j. 10, h. 303]. Tiadanya perbezaan tersebut adalah berdasarkan kepada puasa `Ashura' yang merupakan puasa fardu, sebelum difardukan puasa Ramadan. [Nizar Bin `Abd al-Karim Bin Sultan al-Hamdani (1412 H), Fiqh al-Imam al-Bukhari Min Jami`ihi al-Sahih al-Siyam. Makkah: (t.t.p.), h. 62]. Oleh itu, fikah Imam Bukhari dalam hal ini ialah dibolehkan niat puasa Ramadan pada waktu siang. Niat puasa Ramadan pada waktu malam bukanlah syarat puasa menurut Imam Bukhari. Dengan yang demikian, ianya berbeza sama sekali dengan fikah yang dipegang di dalam mazhab Shafi`i dalam permasalahan niat puasa ini. Di dalam mazhab Shafi`i, niat puasa Ramadan mestilah pada wajtu malam.

Kesimpulan
Apa yang dibawa oleh penulis mengenai fikah Imam Bukhari berkaitan puasa, adalah sebahagian daripada banyak hukum-hakam yang terdapat di dalam Sahih Bukhari. Penulis bawakan di sini adalah sebahagian kecil sahaja yang tidak sampai 5% daripada fikah Imam Bukhari berkaitan puasa. Apa yang penulis bincangkan di sini adalah sekadar pendedahan fikah Imam Bukhari yang terdapat di dalam karya sahihnya. Wallahua`lam. 
       

No comments:

Post a Comment