Pages

Sunday 28 August 2011

Metodologi Mendapatkan Fikah Imam Bukhari Menerusi Karya Sahihnya

Disediakan oleh: Mohd Murshidi Bin Mohd Noor

Pendahuluan
Apabila kita membaca Sahih Bukhari, maka kita akan mengatakan bahawa karya ini adalah karya hadith. Namun sebenarnya karya ini mengandungi nilai fiqh yang sangat tinggi nilainya, hasil daripada ijtihad seorang mujtahid yang sangat hebat. Oleh yang demikian, penulis pada catatan ringkas ini akan cuba memperjelaskan kepada pembaca sekelian, cara untuk mendapatkan fikah Imam Bukhari menerusi karya sahihnya.

Fikah Imam Bukhari: Satu Sorotan

Salah satu kepentingan mengkaji fikah Imam Bukhari disebabkan Imam Bukhari telah menghasilkan satu karya hadith yang begitu ulung, yang dikumpulkan di dalamnya hadith-hadith sahih. Para ulama mengatakan bahawa karya Sahih Bukhari adalah karya yang paling sahih setelah al-Quran. Imam Bukhari adalah seorang tokoh yang menguasai dua ilmu utama di dalam agama iaitu ilmu hadith dan fiqh. Karya Sahih Bukhari perlu dikaji dari sudut fiqhnya agar umat Islam dapat merasai bahawa karya Sahih Bukhari bukan sekadar karya hadith, tetapi merupakan karya yang mengandungi nilai fiqh. Para ulama terdahulu memberi perhatian kepada Sahih Bukhari adalah dari sudut menghuraikan hadith-hadith yang terdapat di dalamnya, menerangkan perkataan gharib yang terdapat di dalam hadith, mengkaji sanad serta rijalnya, dan sebagainya. Para pelajar yang terdiri daripada pejajar Umm al-Qura iaitu pengkaji terkemudian, memberi perhatian dari sudut fikah yang terdapat di dalam Sahih Bukhari. Oleh yang demikian, boleh dikatakan bahawa institusi utama yang memberi perhatian kepada fikah Imam Bukhari ialah uniersiti Umm al-Qura yang telah mengumpulkan para pelajarnya untuk mengkaji fikah Imam Bukhari. Boleh dikatakan bahawa universiti Umm al-Qura merupakan pelopor kepada pengkajian fikah Imam Bukhari. Setakat pemerhatian penulis, tiada lagi mana-mana universiti di dunia yang begitu giat mengumpulkan pelajarnya untuk mengkaji fikah Imam Bukhari dalam bentuk tesis mahupun disertasi melainkan Universiti Umm al-Qura sahaja. Bagi pengkaji yang begitu bersungguh-sungguh mendapatkan fikah Imam Bukhari dan mereka merupakan perintis terawal di Umm al-Qura yang mengkaji fikah Imam Bukhari ialah Nizar bin `Abd al-Karim al-Hamdani, Nur binti Hasan Qarut, Satar al-Ja`id dan ramai lagi.

Pengkajian terhadap fikah Imam Bukhari banyak didorong oleh pengumpulan hadith-hadith sahih yang terdapat di dalam Sahih Bukhari. Ini bermakna, fikah yang dibawa oleh Imam Bukhari merupakan fikah yang berdasarkan kepada hadith sahih. Fikah yang terkandung di dalam Sahih Bukhari kesemuanya tersirat di dalam tarjamah bab Sahih Bukhari. Imam Bukhari telah membentangkan fiqh di dalam karya sahihnya dengan uslub yang begitu istimewa dan berbeza daripada karya para fuqahak. Idea-idea fiqh yang dikemukakan di dalam karya sahihnya digunakan lafaz yang begitu ringkas, tetapi kesannya kepada akal fikiran manusia begitu kuat. Imam Bukhari merupakan tokoh yang begitu teliti dalam mengistinbatkan hukum-hakam. Di dalam Sahih Bukhari, Imam Bukhari akan memilih hadith yang paling sahih serta merekodkan kefahamannya terhadap dalil-dalil syarak di dalam karya sahihnya dengan ungkapan yang menunjukkan kepada maksud yang dikehendaki. Imam Bukhari memiliki kedudukan yang besar di kalangan umat Islam secara umumnya dan di kalangan ahli ilmu secara khususnya. Keimaman beliau di dalam hadith adalah begitu terkenal di kalangan umat Islam, tetapi keimaman beliau di dalam fiqh, tidak begitu disedari oleh orang ramai, hatta ahli ilmu sekalipun. Perkara ini tersembunyi disebabkan beberapa sebab, antaranya ialah penonjolan beliau dalam ilmu hadith, sehingga menenggelamkan penonjolan beliau dalam ilmu fiqh. Selain itu, kesungguhan para pengkaji lebih kepada imam Imam Bukhari dalam hadith, tanpa memberi perhatian kepada keimaman beliau di dalam fiqh. Kalau kita membaca karya-karya fiqh, maka tidak terdapat di dalamnya pandangan Imam Bukhari yang dimasukkan di dalam perbincangan, melainkan sedikit sahaja.

Menurut `Abd al-Qahir Muhammad yang mengkaji mengenai fikah Imam Bukhari, `Abd al-Qahir Muhammad mengatakan bahawa Imam Bukhari adalah seorang mujtahid yang mustaqil yang memiliki mazhab beliau yang tersendiri. Oleh yang demikian, apabila kita mengkaji fikah Imam Bukhari, bermakna kita bukan mengkaji fikah empat mazhab yang terkenal, tetapi mengkaji fikah Imam Bukhari itu sendiri yang berlainan bentuknya dengan fikah empat mazhab. Sekiranya kita mengatakan Imam Bukhari adalah pengikut kepada mazhab tertentu, maka pengkajian terhadap fikah Imam Bukhari tidak membawa apa-apa manfaat kerana lebih baik kita mengkaji mazhab yang diikuti oleh Imam Bukhari itu daripada mengkaji fikah Imam Bukhari. Namun, pengkajian terhadap fikah Imam Bukhari mendatangkan manfaat kerana fikah beliau berdiri dengan sendirinya, tanpa mengikut mana-mana mazhab. Antara ciri-ciri terpenting fikah beliau ialah berpegang kepada hadith-hadith sahih, beliau tidak taklid kepada mana-mana imam sebelumnya, fikah Bukhari disandarkan sepenuhnya kepada beliau tidak kepada orang lain, fikah beliau ada yang berbentuk qat`i dan ada yang berbentuk zanni kerana terdapat perselisihan pandangan di kalangan pengkaji untuk memahami kehendak Imam Bukhari dalam sesuatu permasalahan, fikah beliau tersimpan di dalam Sahih Bukhari menerusi tarjamah babnya, dan permasalahan yang dipilih oleh Imam Bukhari kebanyakan berlaku di kalangan masyarakat dan masyarakat amat memerlukannya. Antara usul terpenting fikah Imam Bukhari ialah beliau berpegang kepada kias jali, berdalilkan kepada kata-kata sahabat, banyak berpegang kepada makna umum nas, sangat luas pemerhatiannya, begitu berhati-hati dalam mengeluarkan hukum dan bersikap warak.

Kita perlu memberi perhatian kepada fikah Imam Bukhari kerana fikah beliau adalah di antara mazhab yang hampir lupus di muka bumi disebabkan orang terlalu memberi perhatian kepada hadith yang diriwayatkannya, sedangkan idea fiqh beliau juga tersimpan di dalam karya sahihnya. Selain itu, dengan mengkaji fikah Bukhari, akan mematahkan sama sekali pandangan sesetegah pihak yang mengatakan Imam Bukhari bermazhab tertentu seperti mazhab Shafi`i, Hanbali atau Zaidi, sedangkan Imam Bukhari memiliki mazhab beliau yang tersendiri. Di dalam Sahih Bukhari terdapat hukum-hakam fikah yang banyak dan halus, serta pemahaman Imam Bukhari yang begitu mendalam. Ini kerana fikah Imam Bukhari itu tersirat di dalam tarjamah babnya. Terdapat tarjamah bab yang amat sukar untuk difahami oleh pengkaji fikah Bukhari, maka dengan yang demikian, perlu dilakukan pengkajian secara terperinci untuk merungkaikan kesukaran tersebut. Ada pandangan daripada pengkaji yang mengatakan bahawa fikah Imam Bukhari merupakan satu pandangan yang rajih sekiranya dibandingkan dengan pandangan para fuqahak sebelum atau sezamannya kerana fikah Bukhari disandarkan kepada dalil yang sahih lagi jelas.

Adakah dengan mengkaji fikah Imam Bukhari akan memberi faedah yang begitu banyak kepada umat Islam? Menurut In`am binti Muhammad Sharaf al-Hilwani, dengan mengkaji fikah Bukhari maka kita akan mendapat khazanah fiqh yang amat bermutu tinggi yang ditinggalkan oleh Imam Bukhari. Ini kerana fikah Bukhari dibina berdasarkan dalil sahih yang begitu digemari oleh kebanyakan penuntut ilmu.

Metodologi Mendapatkan Fikah Imam Bukhari

Timbul persolalan, sekiranya karya Sahih Bukhari mengandungi nilai fiqh yang begitu tinggi di dalamnya, jadi bagaimana untuk mendapatkan fikah Imam Bukhari menerusi karya sahihnya? Di sini penulis akan membincangkan sedikit sebayak beberapa cara yang terpenting yang sering digunakan oleh para pengkaji fikah Bukhari menerusi karya sahihnya:

- Seelok-eloknya, untuk mendapatkan fikah Bukhari, perlu dikaji dari satu bab ke satu bab dalam sesuatu topik besar kerana antara satu bab dengan satu bab yang lain di dalam Sahih Bukhari mempunyai pertalian yang amat erat dan mengandungi isyarat fikah yang tiada bandingannya.

- Bagi mendapatkan fikah Bukhari, perlu merujuk kepada karya-karya ulasan Sahih Bukhari terlebih dahulu. Antara kepentingannya ialah mendapatkan makna-makna yang gharib yang terdapat di dalam hadith, serta beberapa isitilah yang sukar difahami, di samping mendapatkan fikah Bukhari menerusi karya ulasan tersebut.

- Kalau seseorang itu mampu, maka ia boleh membahaskan keterkaitan bab-bab Imam Bukhari di dalam sesuatu topik besar. Ianya seperti membahaskan munasabah antara ayat-ayat di dalam ilmu tafsir.

- Ketika membahaskan mengenai fikah Bukhari, maka ianya tidak boleh lari daripada merujuk kepada kaedah-kaedah usul fiqh.

- Bagi mendapatkan fikah Bukhari, maka seseorang itu mesti memberi fokus sepenuhnya kepada tarjamah bab Sahih Bukhari serta mengambil kira pandangan para pengulas Sahih Bukhari berkaitan dengan tarjamah bab tersebut. Setelah mendapatkan ulasan-ulasan mereka, maka untuk mendapatkan kepastian, perlu dirujuk kepada tarjamah bab-tarjamah bab lain yang membincangkan perkara yang sama atau hampir sama dengan tarjamah bab yang kita bincangkan itu di dalam Sahih Bukhari.

- Perlu menjelaskan dalil-dalil yang digunakan oleh Imam Bukhari dalam sesuatu bab. Ini kerana fikah Bukhari  amat berkait rapat dengan dalil-dalil yang dibawanya.

- Perlu diberi perhatian bahawa untuk menentukan fikah Bukhari dalam sesuatu permasalahan, bukanlah satu perkara yang mudah kerana ianya mengandungi pelbagai andaian yang dikehendaki oleh Bukhari dalam sesuatu tarjamah bab. Oleh yang demikian, apabila kita melihat karya-karya ulasan Sahih Bukhari, kita akan dapati para pengulas Sahih Bukhari berselisih pendapat dalam menentukan kehendak Bukhari, walaupun mereka mempunyai kedudukan ilmu yang tinggi di kalangan umat Islam. Ada ketikanya tarjamah bab yang dilakukan oleh Bukhari amat sukar untuk dibandingkan dengan permasalahan fikah yang dibincangkan oleh para fuqahak di dalam karya mereka. Oleh yang demikian, perlu diminta pertolongan dan bimbingan daripada mereka yang pakar mengenai fikah Bukhari.

- Ketika mengkaji fikah Bukhari, apa yang dirasakan oleh seseorang pengkaji itu sebagai fikah Bukhari hanyalah berdasarkan kepada apa yang zahir pada pandangannya sahaja. Yang mengetahui kehendak Imam Bukhari yang sebenar, hanyalah Allah S.W.T. sahaja. Antara jalan yang paling singkat untuk mendapatkan fikah Bukhari ialah dengan merujuk kepada ulasan yang telah diberikan oleh para pengulas Sahih Bukhari dan mereka yang memberi perhatian khusus kepada tarjamah bab Sahih Bukhari. Oleh yang demikian, ketika mengkaji fikah Bukhari, seseorang itu akan menghadapi beberapa situasi seperti berikut: 1) para pengulas Sahih Bukhari bersepakat untuk mengatakan itu fikah Bukhari dan kita juga bersetuju dengan mereka. 2) Para pengulas telah bersepakat untuk mengatakan itu sememangnya kehendak Bukhari, tetapi kita pula berbeza pandangan dengan mereka kerana kita berkesempatan untuk mendapatkan data-data yang lebih banyak, sehingga nyata kepada kita kehendak Bukhari, tidak sebagaimana yang difahami oleh para pengulas sebelum kita. 3) Para pengulas berselisih pandangan untuk menentukan fikah Bukhari, maka kita memilih salah satu pandangan mereka yang dirasakan lebih menepati zahir tarjamah bab yang dibuat oleh Bukhari. 4) Para pengulas Sahih Bukhari berselisih pandangan dalam menentukan kehendak Bukhari, dan kita pula mempunyai pandangan tersendiri yang berlainan sama sekali dengan pandangan mereka. 5) Kadangkala para pengulas Sahih Bukhari tidak membincangkan beberapa tarjamah bab yang berada di dalam Sahih Bukhari, maka kita sendiri yang perlu mengkaji tarjamah bab tersebut untuk mendapatkan kehendak Bukhari. Ini merupakan satu aspek yang paling sukar yang perlu dihadapi oleh pengkaji Sahih Bukhari. Bagi memudahkan untuk mendapat fikah Bukhari dalam aspek seperti ini, maka perlu diperhatikan pada karya-karya para fuqahak dan ahli hadith mengenainya. Setelah dilakukan perkara ini, maka sebaik-baiknya yang perlu kita katakan dalam kes seperti ini ialah: "mudah-mudahan maksud Imam Bukhari terhadap tarjamah bab ini ialah . . ."

- Kadangkala kita terpaksa mengambil masa yang lama untuk mendapatkan kehendak Bukhari, serta memerhatikan tarjamah babnya dengan berulang-ulang kali. Perkara ini perlu dilakukan sehinggalah nyata kepada kita apakah kehendak sebenar Imam Bukhari dalam sesuatu permasalahan yang diutarakannya. Dalam aspek ini, ianya benar-benar menguji ilmu dan intelektual seseorang pengkaji Sahih Bukhari.

- Seelok-eloknya, segala dalil yang dibawa oleh Imam Bukhari perlu dijelaskan wajah dilalahnya dengan merujuk karya ulasan Sahih Bukhari kerana dalil tersebut merupakan mazhab pegangan Bukhari. Apabila tidak didapati wajah dilalah tersebut di dalam karya ulasan, maka kita perlu mendapatkannya sendiri sekadar yang kita mampu.

- Untuk menentukan penisbahan sesuatu perkara itu sebagai fikah Bukhari maka ianya terbahagi kepada dua. Sekiranya tarjamah bab Sahih Bukhari adalah jelas, maka penisbahan fikah kepada beliau adalah secara qat`i. Namun, sekiranya tarjamah bab mempunyai pelbagai makna dan wajah, maka kita perlu mengkajinya menerusi ulasan yang diberikan oleh para pengulas Sahih Bukhari, sehingga kita menemui kehendak Bukhari yang dirasakan rajih oleh kita. Penisbahan fikah kepada Bukhari dalam hal ini adalah secara zanni.       

- Antara karya-karya ulasan Sahih Bukhari yang boleh dijadikan rujukan untuk menghampirkan diri kita mendapatkan fikah Bukhari ialah al-Mutawari `Ala Tarajim al-Bukhari oleh Ibn al-Munyyir, al-Kawakib al-Dirari oleh al-Kirmani, Munasabat Tarajim al-Bukhari oleh Ibn Jamaah, Fath al-Bari oleh al-Hafiz Ibn Hajar, `Umdah al-Qari oleh al-`Ayni, Ishad al-Sari oleh al-Qastalani, Lami` al-Darari oleh al-Kakuhi, Ta`liqat al-Shaykh al-Kandahlawi, Hashiyah al-Sindi, Sharh Tarajim al-Bukhari oleh al-Dihlawi dan Fayd al-Bari oleh al-Kashmiri.

Inilah antara metodologi yang terpenting yang perlu diketahui oleh mereka yang ingin mengkaji fikah Bukhari. Bagi sesiapa yang mengkaji fikah Bukhari berdasarkan metodologi yang disebutkan di atas, maka ia akan merasai satu suasana baru dalam hidupnya dalam membahaskan mengenai fiqh. Dalam pengkajian itu, ia akan merasai bahawa Imam Bukhari merupakan imam mujtahid yang begitu teliti dalam mengistinbatkan hukum-hakam. Segala tarjamah bab yang dibuat oleh Imam Bukhari sebenarnya boleh mengembangkan kemahiran fiqh seseorang dan meningkatkan daya intelektual dalam menganalisis sesuatu nas syarak. Semoga fikah Bukhari yang masih belum dikaji, yang masih tersimpan kukuh di dalam karya sahihnya, perlu giat dijalankan oleh umat Islam sendiri. Jangan biarkan barang bernilai yang amat berharga ini, diambil alih oleh orientalis atau orang Barat untuk mengkajinya. Ianya seperti harta karun yang perlu dicari, yang di mana ramai orang berebut-rebut untuk mendapat harta tersebut kerana mereka tahu bahawa harta karun merupakan harta yang begitu tinggi nilainya. Begitu lah juga dengan fikah Bukhari, sesiapa yang telah merasai kepentingannya, maka cepat-cepatlah mengkaji agar ia dapat merasai nikmat yang tidak dapat dirasai oleh orang lain yang tidak tergerak hati untuk mengkaji.

Kesimpulan
Berdasarkan perbincangan yang diutarakan di atas, bermakna fikah Bukhari merupakan satu fikah yang sangat tinggi nilainya. Di samping Imam Bukhari adalah imam di dalam bidang hadith, beliau juga merupakan imam di dalam bidang fiqh. Pengkajian fikah Imam Bukhari adalah berlainan dengan pengkajian terhadap fikah empat mazhab. Ini kerana Imam Bukhari tidak taklid kepada keempat-empat mazhab tersebut. Fikah Bukhari adalah fikah tersendiri yang diistinbatkan sendiri oleh Imam Bukhari menerusi data-data nas syarak yang begitu banyak yang ada pada beliau. Segala idea fiqh beliau kesemuanya tersirat di dalam tarjamah bab Sahih Bukhari. Bagi mereka yang ingin mendapatkan fikah Bukhari, maka perlu memahami metodologi yang telah dibincangkan menerusi coretan ringkas ini. Inilah metodologi yang seringkali diguna pakai oleh para pengkaji fikah Bukhari yang dipelopori oleh para pelajar di Uniersiti Umm al-Qura. Semoga kita semua mendapat manfaat yang banyak daripada pengkajian terhadap fikah ahli hadith yang merupakan seorang tokoh yang julung-julung kali mengumpulkan hadith yang tiada siapa pun dapat mencabar status kesahihannya, sehingga ke hari kiamat. Wallahua`lam. 

No comments:

Post a Comment