Pages

Sunday 14 August 2011

Konsep Khiyar Dalam Muamalah

Pengenalan
al-Khiyar adalah satu hak yang diberikan oleh Islam kepada mereka yang ingin mengadakan kontrak yang berbentuk lazim, sama ada mereka ingin membatalkan kontrak yang telah dimeteraikan, atau ingin mengesahkannya dalam tempoh khiyar. Khiyar terbahagi kepada tiga bahagian utama iaitu khiyar majlis, khiyar shart dan khiyar `ayb. Penulis membincangkan berkaitan dengan khiyar di dalam muamalah disebabkan ianya seringkali diabaikan oleh umat Islam di dalam muamalah mereka seharian, sedangkan sekiranya mereka mengambil perhatian akan hak yang diberikan oleh Islam ini, maka kes penipuan di dalam perniagaan dan sebagainya dapat dikurangkan sedikit demi sedikit, dan konsep al-taradi antara mereka akan dapat diaplikasikan. Oleh kerana hak yang diberikan oleh Islam ini adalah begitu penting, maka penulis di dalam catatan ringkas ini akan membincangkan mengenai konsep khiyar dalam aspek muamalah.

Khiyar Menurut Istilah Syarak

Khiyar adalah satu hak yang diberikan kepada orang yang mengadakan kontrak, sama ada ia ingin membatalkan kontrak atau mengesahkannya. Hak khiyar wujud dalam dua keadaan sama ada ianya wujud secara automatik menurut syarak, atau ianya wujud berdasarkan persetujuan antara orang yang mengadakan kontrak. (al-Khiyar Wa Atharuhu Fi al-`Uqud, h. 43). Oleh yang demikian, khiyar akan wujud disebabkan kontrak dimeteraikan antara dua orang yang mengadakannya. Sekiranya kontrak belum dimeteraikan, maka khiyar masih belum wujud.

Sejarah Kewujudan al-Khiyar Di Dalam Muamalah

Sesuatu konsep yang dibawa oleh Islam di dalam muamalah terbahagi kepada dua, sama ada konsep tersebut tidak wujud pada zaman jahiliyah, lalu Islam mengadakannya, atau perkara tersebut sememangnya telah ada sebelum kedatangan Islam, maka setelah kedatangan Islam, ianya memperakui konsep yang diamalkan itu, atau membetulkan konsep yang telah sedia ada agar  bersesuaian dengan prinsip Islam.

Berdasarkan salah satu dalil mengenai pengamalan khiyar dalam muamalah, ianya bersumberkan kepada akhlak mulia Nabi s.a.w. dalam muamalah, dan ianya dipuji oleh orang yang bermuamalah dengan baginda s.a.w. Peristiwa ini berlaku sebelum baginda s.a.w. diutuskan menajdi Nabi dan Rasul. Imam `Abd al-Razzaq al-San`ani meriwayatkan hadith daripada Tawus dengan katannya:
ابتاع النبي صلى الله عليه و سلم قبل النبوة من أعرابي بعيرا أو غير ذلك فقال له النبي صلى الله عليه و سلم بعد البيع اختر فنظر إليه الأعرابي فقال عمرك الله من أنت فلما كان الإسلام جعل النبي صلى الله عليه و سلم الخيار بعد البيع   

Berdasarkan hadith yang dipaparkan di atas, menunjukkan bahawa khiyar majlis yang dipraktikkan oleh Nabi s.a.w. dalam jual beli dirasai asing oleh orang Arab pada masa itu. Namun, setelah Nabi s.a.w. mengamalkannya dalam muamalah, maka perbuatan tersebut dipuji oleh mereka. Ini bermakna, khiyar majlis sebelum kedatangan Islam masih tidak wujud di kalangan orang Arab. Berdasarkan kepada ulasan yang diberikan oleh Dr. `Abd al-Sattar Abu Ghaddah terhadap hadith ini, khiyar merupakan satu perkara baru yang diadakan sendiri oleh Nabi s.a.w. yang melanjutkan dasar ajaran Nabi Ibrahim a.s., sebelum baginda s.a.w. diutus menjadi Nabi dan Rasul. (al-Khiyar Wa Atharuhu Fi al-`Uqud, h. 45). Oleh yang demikian, khiyar merupakan hasil ijtihad Nabi s.a.w. berdasarkan pemerhatian baginda s.a.w. terhadap ajaran pokok Nabi Ibrahim a.s. 

Perbahasan di atas adalah berkaitan dengan khiyar majlis. Perkara yang sama juga mengenai khiyar shart iaitu ianya merupakan satu benda baru di kalangan orang Arab. Bezanya ialah kewujudan khiyar shart adalah terkemudian daripada khiyar majlis kerana kewujudan khiyar shart adalah pada zaman Nabi s.a.w. setelah baginda s.a.w. diangkat menjadi Nabi dan Rasul. Bukti kewujudannya ialah berdasarkan kepada hadith Habban bin Munqidh yang sentiasa ditipu di dalam jual beli yang berlaku pada zaman Nabi s.a.w. Sekiranya khiyar shart telah wujud sebelum kedatangan Islam sudah tentu orang Arab pada masa itu tahu cara penyelesaiannya iaitu mempraktikkan khiyar shart, tetapi tidak berlaku sedemikian. Berdasarkan kisah yang terpapar di dalam hadith Habban bin Munqidh, maka Nabi s.a.w. mengajar beliau supaya mengadakan khiyar shart agar beliau tidak tertipu lagi pada pembelian seterusnya, dan beliau dapat berbincang dengan orang yang lebih tahu mengenai selok belok perniagaan dan barang yang dibelinya kerana beliau memiliki tempoh khiyar dalam pembelian. Berdasarkan kisah ini, menunjukkan bahawa orang Aran setelah kedatangan Islam sekalipun, masih lagi tidak mengenali konsep khiyar shart mahupun khiyar ghubn. (al-Khiyar Wa Atharuhu Fi al-`Uqud, h. 45). Oleh yang demikian, khiyar merupakan satu hak istimewa yang diberikan oleh Islam, dan ianya tidak bersumber sama sekali daripada pemikiran manusia. Ianya merupakan wahyu Allah S.W.T. untuk menjaga hak orang Islam agar mereka dapat merealisasikan konsep taradi antara mereka dalam muamalah.    

Mengenai khiyar `ayb pula, maka perbuatan menyembunyikan keaiban yang terdapat pada sesuatu barang sememangnya begitu terkenal di kalangan orang Arab. Oleh yang demikian, sesuatu barang dijual yang ada keaiban, sentiasa berlaku di kalangan orang Arab. Sekiranya konsep khiyar `ayb sudah terkenal di kalangan orang Arab, sudah tentu mereka tidak akan berani untuk mengadakan penipuan di dalam jual beli, kerana boleh merugikan mereka sendiri. Tetapi perkara tersebut tidak berlaku menunjukkan bahawa khiyar `ayb masih belum wujud di kalangan orang Arab sebelum kedatangan Islam. Oleh yang demikian, kita dapat perhatikan bahawa banyak hadith menyebutkan mengenai larangan menipu di dalam jual beli, respon kepada adat buruk masyarakat arab dalam muamalah mereka. Antara hadith yang menyebutkan mengenainya ialah:
الْمُسْلِمُ أَخُو الْمُسْلِمِ وَلاَ يَحِلُّ لِمُسْلِمٍ بَاعَ مِنْ أَخِيهِ بَيْعًا فِيهِ عَيْبٌ إِلاَّ بَيَّنَهُ لَهُ 

Kesemua hadith larangan penipuan di dalam jual beli, dikuatkuasakan oleh Nabi s.a.w. sebagai mengadakan syariat di dalam agama yang tidak disebutkan hukumnya di dalam al-Quran. Nabi s.a.w. mempunyai autoriti menggubal undang-undang yang tidak disebutkan di dalam al-Quran. Walaupun demikian, semua tindakan Nabi s.a.w. adalah berdasarkan wahyu Allah yang diwahyukan kepadanya. 

Perbahasan yang dikemukakan di atas adalah berkaitan dengan khiyar yang tidak dikenali di kalangan orang Arab sebelum kedatangan Islam. Berlainan dengan tamadun yang telah wujud lama sebelum kedatangan Islam seperti tamadun Rom misalnya, maka konsep khiyar telah lama wujud di kalangan mereka disebabkan keperluan yang mendesak untuk mengadakannya di dalam undang-undang. (al-Amwal Wa Nazariyyah al-`Aqd Fi al-Fiqh al-Islami, perkara ke-667). Di dalam undang-undang mereka, terdapatnya hak untuk membatalkan sesuatu kontrak pada masa hadapan menerusi syarat yang diadakan antara mereka.Syarat untuk membatalkan kontrak juga wujud di dalam undang-undang pada masa kini seperti di Mesir dan Syria. (al-Khiyar Wa Atharuhu Fi al-`Uqud, h. 48). Demikian juga dengan khiyar `ayb, juga telah wujud di dalam undang-undang Rom. (Lihat al-Wajiz Fi al-Qanun al-Rumani, j. 2, h. 166). Ini bermakna, konsep khiyar shart dan khiyar `ayb telah lama wujud pada zaman sebelum kedatangan Islam, cumanya ianya tidak begitu dikenali di kalangan orang Arab pada masa itu. Lalu ianya dikuat kuasakan oleh Nabi s.a.w. di dalam negara Islam setelah kedatangan Islam. Perbezaannya ialah penguatkuasaan oleh Nabi s.a.w. adalah berdasarkan kepada wahyu, berbanding undang-undang manusia yang berdasarkan kepada akal semata-mata.

Hikmah Pensyariatan Khiyar

Kewujudan khiyar  hukmi di dalam Islam adalah untuk menghindarkan kemudaratan kepada orang yang berakad. Para fuqahak membahagikan khiyar hukmi kepada dua bahagian iaitu khiyar tarawwi dan khiyar naqisah. Kewujudan khiyar naqisah adalah untuk menghindarkan kemudaratan, manakala kewujudan khiyar tarawwi pula adalah untuk menarik manfaat. Adapun tujuan diadakan khiyar yang datang daripada kehendak orang berakad yang dikenali sebagai khiyar iradi, maka ianya berbeza sama sekali dengan khiyar hukmi. Khiyar iradi diadakan adalah berdasarkan petimbangan orang yang berakad semata-mata, untuk meneliti barang yang dibelinya dalam tempoh khiyar. (Lihat al-Khiyar Wa Atharuhu Fi al-`Uqud, h. 49). Daripada penerangan di atas, maka dapat diketahui bahawa tujuan khiyar diadakan oleh Islam adalah begitu bermanfaat untuk umat manusia yang mengamalkannya di dalam muamalah.    

No comments:

Post a Comment