Pages

Tuesday 23 August 2011

MENGHASILKAN ARTIKEL ISI SECARA BERJAMAAH

Baru-baru ini kita dikejutkan dengan berita yang menggemparkan Universiti Malaya iaitu mengenai perletakan jawatan oleh ramai staf yang kebanyakannya ahli akademik, kerana tidak berpuas hati dengan pihak pengurusan universiti. Antara punca utama perletakan jawatan tersebut ialah disebabkan kriteria untuk seseorang dinaikkan pangkat, ia mestilah menghasilkan sekurang-kurangnya artikel ISI. Kita di Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, mengambil langkah yang proaktif dalam hal ini iaitu berusaha menghasilkan artikel ISI, walaupun menyedari bahawa ruang untuk ilmu Islam berkembang di kalangan orang barat adalah begitu sukar untuk direalisasikan. Menyedari hakikat tersebut, maka pihak pengurusan tinggi akademi Islam yang diketuai sendiri oleh pengarah mengambil inisiatif mengadakan satu bengkel bagi membantu para stafnya menghasilan artikel ISI. Menerusi bengkel tersebut yang dihadiri sendiri oleh penulis, maka beberapa perkara penting yang bermain-main di dalam benak pemikiran penulis, terngiang-ngiang di dalam kepala. Menurut gerak hati penulis, sebenarnya kita di akademi pengajian Islam mampu untuk menghasilkan artikel ISI, sekiranya kena caranya. Maka di dalam coretan ringkas ini, penulis mencadangkan beberapa langkah atau sikap yang dirasakan oleh penulis, amat perlu bagi merealisasian impian akademi dalam menghasilkan artikel ISI yang berkualiti tinggi.  

Jangan Pentingkan Diri Sendiri

Bagi menghasilkan artikel ISI yang berkualiti tinggi, maka sikap pentingkan diri sendiri perlu dikikis dari dalam diri. Ini kerana sikap sebegini tidak akan membawa seseorang itu ke mana-mana dalam dunia ISI. Walaupun kita mempunyai idea yang banyak dalam satu-satu masa, atau mempunyai tajuk yang banyak untuk dilakukan, sekiranya kita tidak berbincang dengan orang lain dalam menghasilkan sesuatu artikel, maka artikel yang kita hasilkan itu agak kurang nilainya berbanding menghasilkan artikel dalam bentuk jamaah. Ini kerana, dengan menghasilkan artikel seorang diri, kita tidak akan terlepas daripada sikap 'syok sendiri', sedangkan artikel yang dihasilkan itu kemungkinan dinilai rendah oleh orang lain.

Kita Tidak Mempunyai Ramai Staf/ Felo Slab Slai/ Biasiswazah


Berbalik kepada menghasilkan artikel dalam bentuk jamaah, salah satu alasan yang baik untuk mengatakan bahawa menghasilkan artikel secara jamaah adalah bagus kerana kita tidak mempunyai ramai staf akademik/ felo slab slai/ biasiswazah. Dengan yang demikian, untuk menghasilkan artikel secara berjamaah, merupakan satu perkara yang mudah untuk diamalkan. Misalnya di Jabatan al-Quran dan al-Hadith, kita tidak mempunyai ramai staf akademik/ felo slab slai/ biasiswazah. Sekiranya kita mempunyai beberapa tajuk yang ingin diajukan menjadi sebuah artikel ISI, apa salahnya kesemua tajuk tersebut disertakan sekali kesemua nama staf akademik/ felo slab slai/ biasiswazah yang ada di dalam jabatan? Dalam dunia ISI, tidak semestinya tajuk yang kita buat akan diterima oleh pihak yang mengendalikan ISI, kemungkinan tajuk orang lain akan diterima. Dengan meletakkan kesemua nama staf akademik/ felo slab slai/ biasiswazah dalam satu jabatan untuk kesemua tajuk yang ingin dibuat, maka tidak mustahil, salah satu tajuk yang dicadangkan akan diterima dalam artikel ISI, dan kesemua staf akademik/ felo slab slai/ biasiswazah akan memperoleh manfaatnya.

Misalnya si A ingin membuat tajuk yang berkaitan dengan hadith, si B pula ingin membuat tajuk berkaitan dengan al-Quran, si C ingin membuat tajuk berkaitan dengan sejarah ulama hadith dan mufassir, dan si D pula ingin membuat mengenai Qiraat. Cadangan saya, walaupun si A membuat tajuk berkaitan dengan hadith, maka dia perlu libatkan juga sahabat2nya yang terdiri daripada individu B, C dan D, masukkan kesemua nama mereka dalam artikel. Begitu juga yang perlu dilakukan oleh individu B, C dan D. Oleh itu, dalam empat artikel yang dihasilkan, kesemua nama mereka ada di dalam keempat-empat artikel itu. Daripada empat artikel ini, tidak semestinya kesemuanya akan diterima oleh pengendali ISI, kemungkinan satu sahaja yang akan diterima. Bayangkan, sekiranya si A tidak meletakkan nama sahabat-sahabatnya yang lain (kalau artikel si A diterima), maka si A sahaja yang akan dapat manfaatnya, orang lain tidak. Tetapi sekiranya si A meletakkan semua nama sahabat2nya, maka mereka semua akan memperolehi manfaatnya. Dalam dunia ISI, perasaan pentingkan diri sendiri, tidak akan membawa sebarang keuntungan. Apabila perkara sebegini dapat diamalkan, iaitu meletakkan kesemua nama staf akademik/ slab slai/ biasiswazah jabatan dalam kesemua artikel yang dibuat (walaupun sumbangan yang diberikan bagi sesebuah artikel tidak sama antara satu sama lain), maka kesemua pihak akan memperolehi manfaatnya. Nama jabatan juga yang akan naik. Seterusnya akan mengharumkan nama Akademi Pengajian Islam di kalangan warga universiti.

Sekarang Bukan Masanya Untuk Bersaing, Tetapi Bekerjasama

Bagi menghasilkan satu artikel ISI yang berkualiti, maka kerjasama antara semua pihak amat diperlukan. Ini bukan masanya untuk kita bersaing mendapatkan pangkat, berfikir untuk menjatuhkan orang lain, tetapi ini masanya untuk kita saling tolong-menolong antara satu sama lain, berdiri sama tinggi, duduk sama rendah. Sekiranya kita mahu kenaikan pangkat, maka kita juga mahu orang lain naik pangkat. Kita tidak mahu sahabat seperjuangan kita tercicir di tengah jalan, hanya semata-mata dia tidak menghasilkan artikel ISI. Tetapi sekiranya kita meletakkan namanya sekali di dalam artikel kita, sudah tentu keciciran tersebut tidak akan berlaku, dan sahabat kita pula akan dapat terus bersama kita dalam membangunkan APIUM. Di dalam Islam, akhlak serta budi yang baik amat disanjung. Tolong menolong dalam melakukan kebaikan, amat digalakkan di dalam Islam.

Bersama-sama Mendukung Gagasan Yang Diinginkan Oleh Pengarah APIUM, Memartabatkan Islam Di Mata Dunia

Satu perkara yang kita tidak boleh abaikan dalam menghasilkan artikel ISI ialah dari sudut memartabatkan Islam di mata dunia. Inilah apa yang penulis dengar dari mulut pengarah APIUM sendiri, yang mahukan Islam dimartabatkan. Pengendali kepada bengkel ISI iaitu Prof Dr Kamurazaman Jusoh sendiri mengakui bahawa ruang untuk Islam diterima oleh masyarakat barat amat mudah menerusi penglibatan kita dalam menghasilkan artikel ISI. Oleh yang demikian, kerja menghasilkan artikel ISI, bukan sahaja bertujuan untuk kenaikan pangkat, tetapi matlamat yang lebih penting lagi ialah memartabatkan Islam di mata dunia. Siapa lagi yang akan perjuangkan misi yang amat mulia ini sekiranya bukan kita!!!    

Lajnah Pascasiswazah Akan Diaktifkan Semula Bagi Merealisasikan Impian APIUM Menghasilkan ISI


Lajnah Pascasiswazah telah lama ditubuhkan di APIUM iaitu semenjak awal tahun 2000 lagi. Pengerusinya silih berganti, dan ada ketikanya lajnah ini mengalami pasang surutnya. Bagi mengaktifkan semula lajnah ini, maka penulis selaku pengerusi kepada badan ini akan mengaktifkannya semula, dengan melakukan gerak kerja agar para pelajar pascasiswazah kemasukan sesi baru yang wajib menghasilkan artikel ISI, dapat dibantu untuk menghasilkan artikel ISI. Bagi penulis, dengan penglibatan aktif para pelajar siswazah dalam badan ini, maka impian kita untuk menghasilkan banyak artikel ISI yang berkualiti tinggi, dapat direalisasikan. Oleh yang demikian, bagi sesiapa yang berminat untuk terlibat secara langsung dengan badan ini, maka ia boleh hubungi penulis menerusi alamat emel seperti berikut: kap6994_murshid@yahoo.com.

Semoga segala gerak kerja kita untuk memartabatkan Islam di muka bumi ini akan diberkati Allah..Wallahua`lam.

No comments:

Post a Comment