Pages

Tuesday 9 August 2011

Sifat Sujud Di Dalam Solat

Sujud dari sudut syarak bermaksud dahi orang yang solat mestilah terkena tempat sujud. (Muhammad al-Zuhayli, al-Mu`tamad Fi al-Fiqh al-Shafi`i, j. 1, h. 278). Oleh itu, dahi mestilah tidak dilapik oleh pakain yang dipakai oleh seseorang yang sedang solat. Berlainan dengan anggota-anggota lain seperti tapak tangan, lutut, dan hujung jari kaki, tidak mengapa anggota ini berlapik dengan pakaian yang dipakai oleh orang yang sedang solat ketika sujud.

Syarat Solat Yang Berkaitan Dengan Sujud
Ketika sujud di dalam solat, wajib ke atas kita sujud dengan dahi yang menyantuh bumi, tanpa berlapik dengan pakaian yang dipakai. Ini adalah berdasarkan kepada pengaduan sahabat mengenai panasnya tempat sujud kerana cuaca panas, di mana baginda s.a.w. tidak membenarkan mereka untuk menutupnya dengan pakaian yang dipakai. Khabab bin al-Arat r.a. meriwayatkan dengan katanya:

شكونا إلى رسول الله صلى الله عليه وسلم شدة الرمضاء في جباهنا واكفنا فلم يشكنا
(al-Sunan al-Kubra Li al-Bayhaqi. Al-Bayhaqi mengatakan bahawa sanad hadith ini adalah jayyid). 

Berdasarkan hadith ini, sekiranya menutup dahi ketika sujud dengan pakaian yang dipakai dibolehkan, sudah tentu Rasulullah s.a.w. akan membenarkannya. (Muhammad al-Zuhayli, al-Mu`tamad Fi al-Fiqh al-Shafi`i, j. 1, h. 280). Namun berdasarkan hadith ini, Rasulullah s.a.w. tidak membenarkan para sahabat melakukan demikian.

Mengenai anggota sujud yang lain iaitu tapak tangan, lutut, dan hujung kaki, tidak diwajibkan membukanya, malahan makruh membuka dua lutut tanpa ditutup oleh pakaian kerana ianya boleh membawa kepada terbukanya aurat. Apabila terbuka aurat, maka terbatal solat seseorang. (Muhammad al-Zuhayli, al-Mu`tamad Fi al-Fiqh al-Shafi`i, j. 1, h. 280). Ini bermakna, anggota lain selain dahi dibolehkan menutupnya ketika sujud seperti memakai stoking dan sebagainya. Ianya tidak wajib dibuka ketika sujud. 

Terdapat pandangan yang mengatakan bahawa wajib membuka dua telapak tangan ketika sujud berdasarkan hadith Khabbab di atas. Oleh yang demikian, sunat membuka kedua-duanya ketika sujud untuk keluar dari khilaf dalam permasalahan ini. (Muhammad al-Zuhayli, al-Mu`tamad Fi al-Fiqh al-Shafi`i, j. 1, h. 280). Berdasarkan kepada penerangan ringkas yang diberikan ini, maka kita dapat lihat masyarakat kita yang bermazhab Shafi`i, akan membuka dahi dan dua telapak tangan ketika sujud tanpa menutup kedua-duanya dengan pakaian yang dipakai. Oleh itu, tidak menutup dahi ketika sujud adalah berdasarkan kepada hadith dan ianya menepati sunnah sebagaimana yang kita amalkan kini. Wallhua`lam.

No comments:

Post a Comment