Pages

Saturday 6 August 2011

Ilmu Takhrij al-Hadith

Ilmu takhrij hadith adalah ilmu yang begitu penting untuk mendapatkan sumber asal sesuatu hadith. Kadangkala kita temui sesuatu hadith yang tiada sumbernya, maka hadith tersebut tidak diketahui status sama ada sahih, hasan, daif atau palsu. Menerusi ilmu takhrij hadith, kesemua kategori hadith-hadith tersebut dapat dikenal pasti. Ilmu takhrij hadith adalah satu ilmu yang dipelajari di universiti-universiti sama ada di Malaysia atau di negara-negara luar. Dengan yang demikian, ilmu ini dibincangkan di peringkat universiti-universiti yang menunjukkan betapa pentingnya ilmu ini. Dalam perbincangan kali ini, penulis akan membicarakan sedikit sebanyak berkaitan dengan ilmu takrij hadith, dengan merujuk kepada tiga buah karya takrij hadith iaitu Usul al-Takhrij Wa Dirasah al-Asanid oleh Mahmud Tahhan, Takhrij al-Hadith Nash'atuhu Wa Manhajiyyatuhu oleh Abu al-Layth dan Turuq Takhrij Hadith Rasulullah S.A.W. oleh Abu Muhammad `Abd al-Mahdi. Ketiga-tiga pengarang ini dipilih kerana mereka datang dari universiti yang berbeza yang membicarakan mengenai ilmu takhrij hadith.

Istilah Takhrij 

Menurut Mahmud Tahhan, takhrij ialah penunjukan kepada sumber asal sesuatu hadith, di mana sumber asal tersebut mempunyai sanad hadith. Setelah itu, akan diterangkan status hadith apabila diperlukan. (Mahmud Tahhan, Usul Takhrij al-Hadith Wa Dirasah al-Asanid, h. 12). Menurut Abu al-Layth, perkara yang dipentingkan dalam takhrij hadith ialah sumber dan darjat hadith. Sekiranya tidak diketahui salah satu daripada kedua-dua perkara ini, maka ianya kekal tersembunyi di kalangan manusia, serta tidak akan mencapai objektif takhrij hadith. (Muhammad Abu al-Layth al-Khayr Abadi, Takhrij al-Hadith Nash'atuhu Wa Manhajiyyatuhu, h. 10). Namun menurut Mahmud Tahhan, perkara yang dipentingkan dalam takhrij hadith ialah mendapatkan sumber asal hadith, bukannya darjat hadith. Oleh yang demikian, tugas mencari darjat dalam takhrij hadith bukanlah tugasan utama, tetapi sebagai tugasan sampingan. (Mahmud Tahhan, Usul Takhrij al-Hadith Wa Dirasah al-Asanid, h. 14). Penulis juga setuju dengan pandangan Mahmud Tahhan, kerana kebanyakan hadith yang terkumpul di dalam karya-karya asal hadith telah diterangkan darjatnya oleh para imam. Oleh itu, memadai kita hanya mendapatkan sumber asalnya. Manakala pencarian pada darjat hadith pula adalah pada hadith-hadith yang tidak diterangkan darjatnya oleh para imam.

Takhrij mestilah merujuk kepada sumber asal hadith iaitu hadith yang diriwayatkan oleh pengarang asal hadith, bukannya karya-karya yang mengumpulkan hadith-hadith yang datang daripada karya asal. Contoh sumber asal hadith seperti al-Kutub al-Sittah, Muwatta' Malik, Musnad Ahmad, Mustadrak al-Hakim, Musannaf `Abd al-Razzaq dan sebagainya. (Mahmud Tahhan, Usul Takhrij al-Hadith Wa Dirasah al-Asanid, h. 12-13). Manakala karya hadith yang bukan sumber asal tetapi mengumpulkan hadith-hadith daripada sumber asal seperti Bulugh al-Maram oleh Ibn Hajar, al-Jami` al-Saghir oleh al-Suyuti, al-Arba`in al-Nawawiyah dan Riyad al-Salihin oleh al-Nawawi. Karya-karya ini bukan sumber asal hadith, tetapi ianya hanya boleh dijadikan panduan untuk mendapatkan hadith-hadith di dalam karya asal. (Mahmud Tahhan, Usul Takhrij al-Hadith Wa Dirasah al-Asanid, h. 14). Oleh yang demikian, apabila kita merujuk kepada karya-karya ini walaupun ianya bukan karya asal, ianya akan memudahkan kita untuk mendapatkan hadith-hadith di dalam karya asal.

Kepentingan Mempelajari Ilmu Takhrij al-Hadith

Tujuan melakukan takhrij hadith adalah untuk mendapatkan sumber asal hadith, serta hal keadaannya sama ada makbul atau tertolak. (Abu Muhammad `Abd al-Mahdi, Turuq Takhrij Hadith Rasulullah S.A.W., h. 11). Oleh yang demikian, tidak syak lagi bahawa ilmu takhrij hadith adalah sangat penting bagi sesiapa sahaja yang mendalami bidang agama (Mahmud Tahhan, Usul Takhrij al-Hadith Wa Dirasah al-Asanid, h. 14) sama ada mereka teridiri daripada golongan pondok, universiti atau profesion tertentu. Kepentingannya adalah untuk mengetahui sumber asal hadith yang dijadikan dalil dalam agama. (Mahmud Tahhan, Usul Takhrij al-Hadith Wa Dirasah al-Asanid, h. 14).

Bagi setiap ilmu yang dipelajari mempunyai beberapa faedah. Antara faedah mempelajari ilmu takhrij hadith ialah:

1) Mengetahui sumber hadith. Dengan takhrij, seseorang itu dapat mengetahui hadith-hadith yang dikeluarkan oleh para imam, dan kedudukan hadith di dalam karya-karya asal hadith.

2) Dapat mengumpulkan sanad hadith dalam bilangan yang banyak. Dengan takhrij, seseorang itu akan dapat sampai ke tempat-tempat hadith yang terdapat di dalam pelbagai kitab hadith. Contohnya sesuatu hadith yang mempunyai banyak tempat di dalam Sahih Bukhari, maka hadith yang sama juga dapat diketahui di dalam karya hadith selain Sahih Bukhari. Pada setiap tempat itu dapat diketahui pula sanadnya, dan ada kalanya sesuatu hadith itu mempunyai banyak sanad hadith.

3) Mengetahui hal keadaan sanad hadith menerusi penelitian terhadap turuqnya. Perkara ini penting diperhatikan untuk memastikan bahawa sesuatu sanad itu sama ada terputus, mu`dal atau sebagainya.

4) Mengetahui hal keadaan hadith berdasarkan kepada kepelbagaian tariq hadith. Kemungkinan salah satu tariq hadith adalah daif, maka dengan takhrij hadith kita akan dapati tariqnya yang lain adalah sahih. Kemungkinan juga kita dapati sesuatu sanad hadith itu terputus, maka dengan takhrij hadith dapat menghilangkan kesangsian tersebut.

5) Sesuatu hadith itu boleh naik status disebabkan kepelbagaian tariq hadith. Kadangkala kita temui sesuatu hadith itu daif, tetapi dengan takhrij hadith kita dapati ianya mempunyai mutaba`at atau shawahid yang menguatkannya. Dengan mutaba`ah atau shawahid itu maka kita hukumkannya sebagai hasan.

6) Mengetahui hukum hadith atau hukum yang dikeluarkan oleh para imam dari sudut sahih atau selainnya.

7) Dapat membezakan perkara yang dimuhmalkan pada seseorang perawi hadith di dalam sanad hadith. Sekiraya terdapat pada salah satu sanad hadith, seseorang perawi yang muhmal seperti dikatakan: "عن محمد" atau: "حدثنا خالد" sedangkan kedua-dua nama ini dimiliki oleh ramai orang, maka dengan takhrij hadith dan memerhatikan kepelbagaian tariqnya, maka dapat membezakan perkara yang dimuhmalkan itu. Ini kerana pada sebahagian tariq hadith, nama perawi hadith yang dimuhmalkan itu ditentukan.

8) Dapat menentukan sesuatu mubham yang terdapat di dalam hadith. Kadangkala kita temui perawi hadith atau individu tertentu disebutkan secara mubham di dalam matan hadith seperti dikatakan: "جاء رجل إلي النبي صلي الله عليه وسلم" atau: "عن رجل" atau: "عن فلان", maka dengan takhrij hadith yang mempunyai kepelbagaian tariq hadith, akan ditemui pada sebahagian tariqnya, ditentukan individu yang mubham itu.

9) Dapat menghapuskan kesangsian terhadap `an`anah yang dilakukan oleh mudallis. Kadangkala kita temui sanad hadith yang mana perawi mudallis meriwayatkan hadith daripada gurunya dengan tahammul ada'  `an`nah yang menjadikan sanad itu terputus. Dengan takhrij hadith, membolehkan kita memerhatikan tariq lain bagi hadith yang sama, kemungkinan perawi mudallis itu meriwayatkan hadith daripada gurunya dengan lafaz tahammul 'ada'  dengan katanya: "سمعت", "حدثنا", atau "أخبرنا" yang menunjukkan sanad hadith itu bersambung. Perkara sebegini boleh menghilangkan kesangsian terhadap penyambungan sesuatu sanad hadith yang diriwayatkan oleh perawi mudallis.

10) Dapat menghilangkan kesangsian terhadap periwayatan yang datang menerusi perawi mukhtalit. Sekiranya kita menemui sesuatu hadith yang sanadnya mempunyai perawi mukhtalit, dan kita tidak tahu orang yang meriwayatkan hadith daripadanya adakah sebelum berlaku ikhtilat kepadanya atau selepasnya, maka dengan takhrij hadith perkara sebegini dapat dihilangkan. Seperti pada sebahagian tariq hadith, seseorang perawi hadith meriwayatkan hadith sebelum berlaku ikhtilat kepada perawi mukhtalit, atau seseorang perawi hadith mendengar hadith daripada perawi mukhtalit hanya pada periwayatan mukhtalit sebelum berlaku ikhtilat kepadanya. Berdasarkan tariq sebegini, maka ianya dapat menguatkan hadith yang kita temui itu. Ianya dapat dipastikan bahawa hadith yang diriwayatkan oleh perawi mukhtalit adalah sebelum berlaku ikhtilat kepadanya.

11) Dapat menentukan seseorang perawi hadith yang tidak ditentukan namanya. Kadangkala kita temui seseorang perawi hadith disebutkan dengan kunyah, laqab atau nisbah, dan ketiga-tiga perkara ini pula dikongsi oleh perawi lain yang ramai bilangannya, maka dengan takhrij hadith dapat diketahui namanya kerana pada sanad lain, namanya disebutkan secara jelas.

12) Mengetahui lafaz tambahan yang terdapat pada sesuatu riwayat. Kadangkala satu riwayat yang kita temui adalah dengan lafaz yang tidak lengkap, lalu hukum-hakam atau makna daripada hadith tidak diketahui dengan jelas. Dengan takhrij hadith yang diperhatikan pada periwayatan yang lain, lafaz tambahan yang terdapat pada periwayatan lain itu dapat menunjukkan kepada hukum-hakam yang jelas, atau dengannya dapat diketahui makna sesuatu hadith dengan jelas.

13) Dapat menerangkan makna gharib yang terdapat dalam hadith. Kadangkala terdapat di dalam sesuatu hadith yang mana lafaznya disebutkan secara gharib, maka dengan takhrij hadith yang mengumpulkan kepelbagaian riwayat, dapat menjelaskan lafaz gharib itu, di mana terdapat pada sehagian riwayat disebutkan dengan lafaz yang tidak gharib.

14) Dapat menghindarkan sesuatu hadith daripada dikategorikan sebagai shadh. Kadangkala sesuatu hadith itu dihukumkan sebagai shadh, tetapi dengan takhrij hadith yang mengumpulkan kepelbagaian riwayat hadith, akan diketahui bahawa lafaz yang disangka shadh itu sebenarnya tidak diriwayatkan secara bersendirian. Ianya disebutkan juga menerusi tariq lain yang dapat menghapuskannya daripada dikategorikan sebagai shadh.

15) Dapat menerangkan mengenai mudraj. Kadangkala seseorang perawi memasukkan lafaznya di dalam matan hadith, maka dengan takhrij hadith yang dapat dilakukan perbandingan antara riwayat-riwayat, dapat diterangkan perkara idraj tersebut.

16) Dapat dipastikan lafaz yang tertinggal di dalam matan hadith. Kadangkala seseorang perawi hadith terlupa  untuk memasukkan satu bahagian daripada matan hadith, atau ia meriwayatkan hadith secara ringkas. Dengan takhrij hadith, membolehkan kita mengenalpasti perkara tersebut sama ada ianya tertinggal dalam periwayatan hadith atau diriwayatkan secara ringkas.

17) Dapat menyingkap perkara-perkara awham atau kesalahan yang dilakukan oleh seseorang perawi hadith.  Kadangkala seseorang perawi hadith tersalah dalam meriwayatkan hadith. Dengan takhrij hadith yang dapat dikumpulkan pelbagai riwayat hadith, maka perkara tersebut dapat dijelaskan.

18) Mengetahui sesuatu hadith itu diriwayatkan dengan makna. Kadagkala seseorang perawi hadith meriwayatkan hadith dengan makna, maka dengan melakukan takhrij hadith, akan mengetahui perawi hadith lain yang meriwayatkan hadith dengan lafaz.

19) Dapat menerangkan mengenai masa dan tempat sesuatu hadith disebutkan. Dengan mengumpulkan pelbagai riwayat hadith, maka membolehkan kita untuk mengetahui masa dan tempat sekiranya sebahagian riwayatnya menerangkan mengenai hal tersebut.

20) Mengetahui sebab-sebab sesuatu hadith itu disebutkan. Kadangkala sesuatu hadith itu disebutkan adalah disebabkan seseorang individu atau beberapa individu. Dengan takhrij hadith yang dikumpulkan pelbagai riwayat bagi satu hadith, maka akan dapat diketahui sesuatu hadith itu disebutkan adalah disebabkan seseorang individu atau beberapa individu.       

21) Mengetahui kesalahan-kesalahan dalam menyalin hadith. Kadangkala kesalahan tersebut berlaku pada sanad hadith, atau ianya berlaku pada matan hadith. Dengan melakukan takhrij hadith yang dikumpulkan pelbagai riwayat, maka kesalahan tersebut dapat diketahui.

(Abu Muhammad `Abd al-Mahdi, Turuq Takhrij Hadith Rasulullah S.A.W., h. 11-14).

Secara umumnya, dengan takhrij hadith, memungkinkan kita untuk mengumpulkan kepelbagaian sanad dan matan hadith sekaligus dalam satu tempat untuk dilakukan pengkajian terhadapnya. (Abu Muhammad `Abd al-Mahdi, Turuq Takhrij Hadith Rasulullah S.A.W., h. 14).

Karya-karya Masyhur Dalam Takhrij Hadith

Karya-karya yang disebutkan ini adalah karya-karya yang telah ditakhrijkan hadithnya oleh beberapa orang ulama tertentu. Karya-karya tersebut antaranya ialah:

1) Takhrij Ahadith al-Muhadhdhab oleh Abu Ishaq al-Shirazi yang dilakukan takhrijnya oleh Muhammad bin Musa al-Hazimi (584 H).

2) Takhrij Ahadith al-Mukhtasar al-Kabir oleh Ibn Hajib, ditakhrijkan oleh Muhammad bin Ahmad `Abd al-Hadi al-Maqdisi (744 H).

3) Nasb al-Rayah Li Ahadith al-Hidayah oleh al-Marghaynani, ditakhrijkan oleh `Abd Allah bin Yusuf al-Zayla`i (762 H).

4) Takhrij Ahadith al-Kashshaf  oleh al-Zamakhshari, ditakhrijkan oleh al-Hafiz al-Zayla`i.

5) al-Badr al-Munir Fi Takhrij al-Hadith Wa al-'Athar al-Waqi`ah Fi al-Sharh al-Kabir oleh al-Rafi`i, ditakhrijkan oleh `Umar bin `Ali bin al-Mulaqqan (804 H).

6) al-Mughni `An Haml al-Asfar Fi al-Asfar Fi Takhrij Ma Fi al-Ihya'  Min al-Akhbar, ditakhrijkan oleh `Abd al-Rahim bin al-Husayn al-`Iraqi (806 H).

7) Takhrij al-Ahadith al-Lati Yushir Ilayha al-Tirmidhi Fi Kull Bab oleh al-Hafiz al-`Iraqi.

8) al-Talkhis al-Habir Fi Takhrij Ahadith Sharh al-Wajiz al-Kabir oleh al-Rafi`i, ditakhrijkan oleh Ahmad bin `Ali bin Hajar al-`Asqalani (852 H).

9) al-Dirayah Fi Takhrij Ahadith al-Hidayah oleh al-Hafiz Ibn Hajar.

10) Tuhfah al-Rawi Fi Takhrij Ahadith al-Baydawi, ditakhrijkan oleh `Abd al-Ra'uf Ibn `Ali al-Munawi (1031 H).

Daripada karya-karya yang disebutkan ini, bermakna usaha takhrij hadith telah dilakukan oleh para ulama hadith kita sejak dahulu lagi. Antara karya-karya besar yang telah ditakhrijkan oleh mereka termasuk di dalamnya karya utama di dalam mazhab Shafi`i seperti al-Muhaddhab oleh al-Shirazi, dan karya utama dalam tasawwuf seperti Ihya' ``Ulum al-Din dan sebagainya. Walaupun karya-karya yang telah disebutkan di atas telah ditakhrijkan, tetapi masih banyak lagi karya yang belum ditakhrijkan hadithnya. Oleh itu, usaha yang dilakukan oleh universiti tertentu di Malaysia seperti Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan Malaysia dan banyak lagi dalam menjalankan usaha takhrij hadith terhadap kitab-kitab tertentu haruslah dipuji.

Contoh Hadith Yang Telah Ditakhrijkan

 إِذَا خَطَبَ أَحَدُكُمُ الْمَرْأَةَ فَإِنِ اسْتَطَاعَ أَنْ يَنْظُرَ إِلَى مَا يَدْعُوهُ إِلَى نِكَاحِهَا فَلْيَفْعَلْ 

Berdasarkan takhrij hadith yang dilakukan, hadith ini dikeluarkan oleh Abu Dawud, al-Hakim, Ahmad, `Abd al-Razzaq dan lain-lain.

Abu Dawud berkata: 
 حَدَّثَنَا مُسَدَّدٌ حَدَّثَنَا عَبْدُ الْوَاحِدِ بْنُ زِيَادٍ حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ إِسْحَاقَ عَنْ دَاوُدَ بْنِ حُصَيْنٍ عَنْ وَاقِدِ بْنِ عَبْدِ الرَّحْمَنِ - يَعْنِى ابْنَ سَعْدِ بْنِ مُعَاذٍ - عَنْ جَابِرِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- « إِذَا خَطَبَ أَحَدُكُمُ الْمَرْأَةَ فَإِنِ اسْتَطَاعَ أَنْ يَنْظُرَ إِلَى مَا يَدْعُوهُ إِلَى نِكَاحِهَا فَلْيَفْعَلْ »

al-Hakim pula berkata:
أخبرني أبو بكر محمد بن عبد الله بن قريش ثنا الحسن بن سفيان ثنا محمد بن أبي بكر المقدمي أخبرني عمر بن علي بن مقدم ثنا محمد بن إسحاق عن دواد بن الحصين عن ولقد بن عمرو بن معاذ عن جابر رضي الله عنه قال : قال رسول الله صلى الله عليه و سلم : إذا خطب أحدكم امرأة فإن استطاع أن ينظر إلى بعض ما يدعوه إلى نكاحها فليفعل

Ahmad bin Hanbal berkata:
حَدَّثَنَا يُونُسُ بْنُ مُحَمَّدٍ حَدَّثَنَا عَبْدُ الْوَاحِدِ بْنُ زِيَادٍ حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ إِسْحَاقَ عَنْ دَاوُدَ بْنِ الْحُصَيْنِ عَنْ وَاقِدِ بْنِ عَبْدِ الرَّحْمَنِ بْنِ سَعْدِ بْنِ مُعَاذٍ عَنْ جَابِرٍ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- « إِذَا خَطَبَ أَحَدُكُمُ الْمَرْأَةَ فَإِنِ اسْتَطَاعَ أَنْ يَنْظُرَ مِنْهَا إِلَى مَا يَدْعُوهُ إِلَى نِكَاحِهَا فَلْيَفْعَلْ »

dan Ahmad berkata lagi:
حَدَّثَنَا يَعْقُوبُ حَدَّثَنَا أَبِى عَنِ ابْنِ إِسْحَاقَ حَدَّثَنِى دَاوُدُ بْنُ الْحُصَيْنِ مَوْلَى عَمْرِو بْنِ عُثْمَانَ عَنْ وَاقِدِ بْنِ عَمْرِو بْنِ سَعْدِ بْنِ مُعَاذٍ عَنْ جَابِرِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ الأَنْصَارِىِّ قَالَ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- يَقُولُ « إِذَا خَطَبَ أَحَدُكُمُ الْمَرْأَةَ فَقَدِرَ أَنْ يَرَى مِنْهَا بَعْضَ مَا يَدْعُوهُ إِلَيْهَا فَلْيَفْعَلْ » 

`Abd al-Razzaq berkata: 
عن يحيى بن العلاء عن داود بن الحصين عن واقد بن عمرو بن سعد بن معاذ عن جابر بن عبد الله قال : قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : لا جناح على أحدكم إذا أراد أن يخطب المرأة أن يغترها فينظر إليها ، فإن رضي نكح ، وإن سخط ترك 

Daripada takhrij hadith yang dilakukan di atas, maka beberapa isi penting dapat diambil iaitu:

1) Dengan takhrij hadith, kita dapat sampai kepada sumbernya yang asal iaitu hadith ini terdapat di dalam kitab hadith yang terdiri daripada Sunan Abi Dawud, Mustadrak al-Hakim, dua tempat di dalam Musnad Ahmad, dan Musannaf `Abd al-Razzaq.

2) Kita dapati bahawa Ibn Ishaq meriwayatkan hadith daripada gurunya Dawud bin Husayn dengan `an`anah sedangkan Ibn Ishaq adalah seorang perawi mudallis. Periwayatan perawi mudallis dengan `an`anah dihukumkan sanad itu sebagai terputus, sehingga nyata yang perawi mudallis itu mendengar hadith ini daripada gurunya. Sanad hadith seperti ini terdapat juga dalam Sunan Abi Dawud, al-Hakim, dan sanad pertama Imam Ahmad. Apabila dikumpulkan kepelbagai tariq hadith, maka ternyata pada sanad kedua Imam Ahmad, Ibn Ishaq meriwayatkan hadith daripada gurunya dengan lafaz: "حدثني داود". Dengan yang demikian, sanad hadith ini yang pada asalnya dikatakan terputus, dapat dihindarkan dengan pengumpulan kepelbagaian riwayat hadith.

3) Kita dapati dalam sanad riwayat Abu Dawud dan sanad pertama riwayat Ahmad, bahawa perawi yang meriwayatkan hadith daripada Jabir Ibn `Abd Allah (sahabat) dinamakan sebagai Waqid bin `Abd al-Rahman bin Sa`d bin Mu`adh oleh mereka berdua. Perawi ini penyebab kepada Ibn al-Qattan mengilatkan hadith ini dengan katanya: "nama yang dikenali di sini ialah Waqid Ibn `Amru."  Namun, berlainan pula dengan apa yang kita dapati menerusi riwayat al-Hakim dan Abu Dawud yang menyebutkan bahawa nama ini ialah Waqid bin `Amru bin Sa`d bin Mu`adh. Demikian juga namanya disebutkan sedemikian pada riwayat kedua Imam Ahmad, begitu juga dengan riwayat `Abd al-Razzaq, mereka kesemua mengeluarkan hadith ini daripada Dawud daripada Waqid bin `Amru daripada Jabir. Dengan kepelbagaian riwayat ini, dapat menghindarkan ilat yang dikatakan oleh Ibn Qattan terhadap hadith ini. Begitu juga yang diisyaratkan al-Mizzi di dalam Tuhfah al-Ashraf selepas hadith ini dengan katanya: "Demikian juga yang dikatakan Abu Dawud iaitu Waqid bin `Abd al-Rahman. Beliau dikenali sebagai Waqid bin `Amru bin Sa`ad bin Mu`adh."       

4) Pada riwayat kedua Imam Ahmad, terdapat penambahan keterangan bagi perawi hadith yang bernama Dawud bin Husayn. Diterangkan menerusi riwayat kedua Imam Ahmad bahawa beliau ialah mawla `Amru bin `Uthman. 

5) Pada riwayat `Abd al-Razzaq diterangkan bahawa jenis melihat yang terdapat di dalam hadith ialah melihat wanita tanpa wanita itu mengetahuinya. Wanita itu tidak menyedari bahawa ianya dilihat. Sehinggalah apabila lelaki yang melihat itu tidak suka kepada wanita yang dilihatnya, maka dia boleh meninggalkannya tanpa menyakiti hati wanita tersebut.

6) Sebahagian riwayat disebutkan ungkapan secara umum iaitu: "ينظر إلي ما يدعوه" atau sebagainya, dan sebahagian riwayat yang lain menyebutkan ungkapan ini secara khusus iaitu: "ينظر إلي بعض ما يدعوه", berdasarkan kaedah usul, makna umum akan dibawa kepada makna yang lebih khusus.

7) Kita dapat perhatikan bahawa menerusi kepelbagaian riwayat hadith ini, sanad hadith menerusi Dawud bin al-Husayn yang sampai kepada sahabat, hanyalah satu sahaja. Tetapi perawi hadith yang meriwayatkan hadith daripadanya pula adalah pelbagai. Ianya diriwayatkan oleh dua orang perawi hadith yang berlainan iaitu Dawud bin Ishaq dan Yahya bin al-`Ala'. Orang yang meriwayatkan hadith daripada Ibn Ishaq pula pelbagai. Dengan itu, kepelbagaian sanad hadith seperti ini dapat menguatkan sesuatu hadith yang diriwayatkan.

Bagi sesiapa yang dapat meneliti tariq hadith yang lebih banyak lagi, maka dia akan memperolehi manfaat yang lebih banyak lagi (Rujuk al-Talkhis al-Habir, j. 3, h. 168. no. 8; Tahdhib al-Tahdhib, j. 11, h. 106 dan 107, tarjamah no. 183 dan no. 184) daripada di atas.

(Lihat Abu Muhammad `Abd al-Mahdi, Turuq Takhrij Hadith Rasulullah S.A.W., h. 17-20). 

Kesimpulan
Berdasarkan perbahasan mengenai takhrij hadith yang telah dilakukan di atas, dapat dilihat bahawa takhrij hadith adalah begitu penting dalam pengajian hadith. Dengan itu, bagi mereka yang menceburi bidang pengajian Islam sama ada dalam bidang Usuluddin atau Syariah, amat memerlukan kepada ilmu ini. Keperluan tersebut adalah untuk menghindarkan diri mereka daripada menggunakan hadith yang sahih tetapi dikatakan tidak sahih, atau daif tetapi dikatakan sahih, dan seumpamanya. Oleh itu, kita perlu mempelajari ilmu ini untuk mendapat manfaat yang begitu banyak daripada kajian terhadap hadith. Semoga ilmu takhrij hadith ditawarkan sebagai subjek teras di universiti-universiti. Wallahua`lam... 

No comments:

Post a Comment