Pages

Monday 15 August 2011

Niat Puasa Siang Hari Ramadan: Perbezaan Antara Fiqh Shafi`i Dan Fiqh Bukhari

PENDAHULUAN
Kita sekarang telah sampai kepada pertengahan Ramadan. Semoga kita lebih banyak bermuhasabah diri, apakah amalan yang telah kita lakukan bagi mengisi bulan Ramadan yang penuh barakah ini. Pada kali ini, penulis akan membicarakan mengenai perbezaan pandangan antara fiqh Shafi`i dan fiqh Bukhari mengenai hukum niat puasa pada siang hari di bulan Ramadan. Sebagaimana yang telah kita semua sedia maklum, fiqh Shafi`i dalam hal ini tidak membolehkan seseorang itu berniat puasa Ramadan pada siang hari. Mereka mestilah niat puasa Ramadan pada malam hari. Berlainan pula dengan fikah Bukhari, niat puasa Ramadan pada siang hari, tetap dibolehkan menurut beliau. Apa-apa pun, kedua-dua mazhab ini mempunyai alasan yang tersendiri bagi membahaskan mengenainya. Oleh yang demikian pada coretan ringkas ini, penulis akan mendedahklan alasan-alasan yang dikemukakan oleh kedua-dua mazhab, bagi membincangkan perkara khilaf ini.

FIKAH SHAFI`I MENGENAI NIAT PUASA RAMADAN
Niat bermaksud tujuan atau matlamat. Ini bermakna, apabila kita melakukan sesuatu perkara, mestilah mengandungi tujuan dan matlamat tertentu. Seperti kita berada di masjid, mestilah jelas niat kita sama ada ingin duduk saja-saja atau beriktikaf. Sekitanya tujuan untuk beriktikaf, maka kita akan dapat pahala iktikaf. Tetapi sekiranya matlamat kita adalah untuk duduk saja-saja walaupun di dalam masjid, maka kita tidak mendapat pahala iktikaf.

Niat puasa bermaksud tujuan untuk berpuasa, dan tempatnya ialah di hati. Ini bermakna, apabila seseorang ingin berpuasa, ia mesti memasang niatnya di dalam hati untuk berpuasa. Sekiranya ia ingin berpuasa dan hanya dinyatakan di lidah seperti katanya: "...نويت صوم غد", maka tidak memadai melafazkannya di lidah. Ianya mesti dihadirkan di dalam hati kerana tempat niat ialah di hati. Melafazkan niat dengan lidah, bukanlah merupakan syarat bagi puasa. Ini bermakna, tidak melafazkan niat ketika berpuasa, tidak memberikan apa-apa kesan kepada puasa seseorang. Walaupun demikian, sekiranya melafazkan niat dan disertai dengan niat di dalam hati, maka ianya adalah digalakkan.

Niat ini sebenarnya mempunyai pengertian yang lebih luas iaitu apabila kita melakukan sesuatu perbuatan yang menunjukkan bahawa kita mahu berpuasa pada esok hari, seperti kita bersahur dengan matlamat untuk berpuasa pada esok hari, atau minum seteguk air untuk menahan diri daripada dahaga keesokannya, menahan diri daripada makan, minum, dan jimak lebih awal pada waktu malam kerana ditakuti waktu Subuh telah masuk, maka kesemua perbuatan ini menjurus kepada matlamat berpuasa pada keesokannya. Maka kesemua contoh perbuatan ini dikira sebagai niat untuk berpuasa. Menurut penulis, kesemua ini dikira niat berpuasa kerana tiada satu perbuatan pun yang sama dengan sahur, melainkan seseorang itu mahu berpuasa pada keesokannya. Apabila seseorang itu sahur, maka dengan sendirinya niat puasa telah hadir di dalam hatinya.

Berdasarkan mazhab Shafi`i, niat puasa Ramadan merupakan satu perkara yang penting sehinggakan ianya merupakan satu yang wajib dan fardu menurut mereka. Apabila seseorang tidak niat Ramadan, bermakna puasanya tidak sah. Istinbat hukum seperti ini adalah berdasarkan kepada hadith daripada riwayat `Umar bin al-Khattab r.a., bahawa Nabi s.a.w. bersabda:
إِنَّمَا الأَعْمَالُ بِالنِّيَّاتِ ، وَإِنَّمَا لِكُلِّ امْرِئٍ مَا نَوَى       
(Sahih al-Bukhari, Kitab Bad' al-Wahy, Bab Kayf Kana Bad' al-Wahy Ila Rasulillah, no. hadith 1)

Selain berdasarkan hadith di atas, niat puasa Ramadan adalah fardu dan wajib kerana puasa Ramadan merupakan ibadah tulen, maka tidak sah melakukan ibadah tanpa niat seperti mana tidak sah solat tanpa niat.

Syarat Niat Puasa Ramadan Menurut Mazhab Shafi`i 
Dalam mazhab Shafi`i, dibezakan antara niat puasa yang fardu dan puasa sunat. Bagi puasa fardu, ianya mempunyai tiga syarat iaitu: 1) niat pada waktu malam, 2) menentukan niat puasa, dan 3) berulang-ulang. Di antara ketiga-tiga syarat ini, maka penulis akan memberikan perhatian kepada syarat pertama sahaja dalam coretan ringkas ini, dengan tujuan membahaskan mengenai perkara khilaf antara fikah Shafi`i dan fikah Bukhari mengenainya.

Bagi syarat yang pertama iaitu niat pada waktu malam, yang tempoh waktunya ialah bermula selepas Maghrib sehingga sebelum masuk waktu Subuh, maka mazhab Shafi`i mengatakan bahawa tidak sah puasa Ramadan, melainkan seseorang itu mesti niat pada waktu malam. Ini bermakna, niat berpuasa pada waktu malam adalah begitu penting di dalam mazhab Shafi`i, sehingga ianya memberikan kesan tidak sah puasa seseorang apabila ia tidak melaksanakannya pada waktu malam. Perkara ini adalah berdasarkan kepada hadith riwayat Hafsah r.ha. bahawa Nabi s.a.w. bersabda:
مَنْ لَمْ يُبَيِّتِ الصِّيَامَ قَبْلَ الْفَجْرِ فَلاَ صِيَامَ لَهُ
(Sunan al-Nasa'i, Kitab al-Siyam, Bab Dhikr Ikhtilaf al-Naqilin Li Khabar Hafsah Fi Dhalik, no. hadith 2343)

Berdasarkan hadith ini, secara umumnya membawa maksud puasa seseorang sama ada sunat atau fardu, tidak sah melainkan dengan niat sebelum masuknya waktu Subuh. Berdasarkan hadith di atas, mazhab Shafi`i mengatakan bahawa ianya ditujukan kepada puasa fardu, bukan sunat. Berlainan pula dengan puasa sunat menurut mereka. Boleh niat pada siang hari berdasarkan hadith daripada `A'ishah, beliau berkata: pada satu hari Rasulullah s.a.w. bertanyaku: "يَا عَائِشَةُ هَلْ عِنْدَكُمْ شَىْءٌ", `A'ishah pun menjawab: "يَا رَسُولَ اللَّهِ مَا عِنْدَنَا شَىْءٌ". Lalu Rasulullah s.a.w. bersabda: "فَإِنِّى صَائِمٌ".   (Sahih Muslim, Kitab al-Siyam, Bab Jawaz Sawm al-Nafilah Bi Niyyah Min al-Nahar Qabla al-Zawal, no. hadith 2770), Berdasarkan hadith, menunjukkan bahawa Rasulullah s.a.w. berniat puasa sunat di siang hari yang membawa implikasi keharusan niat puasa sunat di siang hari.

(Rujukan: al-Majmu`, Mughni al-Muhtaj, dan al-Mu`tamad Fi al-Fiqh al-Shafi`i).


FIKAH BUKHARI MENGENAI NIAT PUASA PADA SIANG HARI
Mazhab Bukhari berkaitan dengan niat puasa pada siang hari di bulan Ramadan adalah berbeza dengan mazhab Shafi`i. Bagi mazhab Bukhari, sekiranya seseorang itu berniat puasa Ramadan pada siang hari, selagi mana ia tidak melakukan perkara-perkara yang membatalkan puasa, maka ia boleh melakukan demikian. Imam Bukhari tidak membezakan antara puasa fardu dan puasa sunat dalam hal ini.

Di dalam Sahih al-Bukhari, Imam Bukhari ada membuat satu tajuk yang berbunyi: "باب إِذَا نَوَى بِالنَّهَارِ صَوْمًا", setelah itu beliau membawakan kata-kata Abu al-Darda' yang disokong oleh pengamalan yang dilakukan oleh Abu Talhah, Abu Hurayrah, Ibn `Abbas dan Hudhayfah r.hm. Ummu al-Darda' berkata: "Satu hati Abu Darda berkata: Kamu ada makanan. Sekiranya kami menjawab tidak ada, maka Abu Darda akan berkata: Oleh itu, aku berpuasa pada hari ini." (Sahih al-Bukhari, Kitab al-Sawm, Bab Idha Nawa Bi al-Nahar Sawman, tarjamah bab ke-21).

Berdasarkan kepada tajuk dan kata-kata serta pengamalan sahabat yang dibawa oleh Imam Bukhari di dalam karyanya, masih tidak jelas untuk menafikan fikah Shafi`i mengenai niat puasa Ramadan pada siang hari. Kata-kata Abu Darda di atas, boleh sahaja dikatakan untuk puasa sunat, kerana jika puasa fardu, mustahil Abu Darda akan bertanya makanan kepada ahli keluarganya samaada ada atau tidak pada siang harinya.

Namun, berdasarkan kepada hadith yang dibawa oleh Imam Bukhari dalam tajuk ini menampakkan dengan jelas kecenderungan mazhabnya iaitu beliau tidak membezakan antara puasa fardu dan sunat bagi hal niat. Dalam hal ini, beliau berdalilkan kepada hadith seperti berikut iaitu:
حَدَّثَنَا أَبُو عَاصِمٍ عَنْ يَزِيدَ بْنِ أَبِى عُبَيْدٍ عَنْ سَلَمَةَ بْنِ الأَكْوَعِ - رضى الله عنه - أَنَّ النَّبِىَّ - صلى الله عليه وسلم - بَعَثَ رَجُلاً يُنَادِى فِى النَّاسِ ، يَوْمَ عَاشُورَاءَ « أَنْ مَنْ أَكَلَ فَلْيُتِمَّ أَوْ فَلْيَصُمْ ، وَمَنْ لَمْ يَأْكُلْ فَلاَ يَأْكُلْ »       
 (Sahih al-BukhariKitab al-Sawm, Bab Idha Nawa Bi al-Nahar Sawman, no. hadith 1924).

Berdasarkan hadith yang dibawa oleh Imam Bukhari, harus niat puasa wajib pada siang hari berdasarkan lafaz di dalam hadith iaitu: " فَلْيُتِمَّ", dan: "فَلاَ يَأْكُلْ" yang menunjukkan harus niat puasa pada siang hari, dan tidak pula disyaratkan niat pada malam hari. Hadith ini menceritakan mengenai puasa wajib iaitu `Ashura'. Di dalam hal ini, para sahabat pada hari tersebut, ada di antara mereka yang telah makan, dan ada di kalangan mereka yang belum makan. Setelah itu, seorang sahabat diperintahkan untuk membuat pengumuman bahawa hari tersebut merupakan hari puasa wajib bagi mereka. Dengan yang demikian, Nabi s.a.w. mengarahkan orang yang makan supaya menyudahkan makannya lalu berpuasa, dan bagi orang yang tidak makan, serta merta mereka perlu berpuasa. Peristiwa ini berlaku pada siang hari yang menunjukkan bahawa niat puasa wajib tidak disyaratkan pada waktu malam. Puasa pada hari `Ashura' merupakan puasa fardu sebelum difardukan puasa bulan Ramadan. 

Bagi menolak golongan yang mensyaratkan puasa fardu mesti niat pada waktu malam, maka al-Kankuhi mengatakan bahawa lafaz hadith yang dibawa oleh Imam Bukhari berbentuk mutlak, dan tidak membataskan sama sekali jenis puasa sama ada sunat atau wajib. Mazhab yang dipegang oleh Imam Bukhari dalam hal ini adalah bersesuaian dengan mazhab Hanafi, dan berbeza pula dengan mazhab Shafi`i, Maliki dan Hanbali. 

Walau apa pun, mazhab Shafi`i dalam hal ini adalah bersesuai dengan pandangan yang dipegang oleh jumhur ulama yang mensyaratkan puasa fardhu mesti pada waktu malam kerana berdalilkan hadith iaitu:
مَنْ لَمْ يُبَيِّتِ الصِّيَامَ مِنَ اللَّيْلِ فَلاَ صِيَامَ لَهُ     
(Sunan al-Nasa'i, Kitab al-Siyam, no. hadith 2346).

Dan satu lagi riwayat:
مَنْ لَمْ يُجْمِعِ الصِّيَامَ قَبْلَ الْفَجْرِ فَلاَ صِيَامَ لَهُ   

Berdasarkan hadith ini, Imam Tirmidhi mengatakan bahawa menurut ahli ilmu, tidak dikira berpuasa seseorang yang tidak niat di malam hari. Puasa ini ditujukan kepada puasa Ramadan, puasa nazar, dan puasa-puasa wajib yang lain.

(Rujukan: Sahih al-Bukhari, Sunan al-Tirmidhi,`Umdah al-Qari, Fath al-Bari, Lami` Darari, dan Fiqh al-Bukhari Min Jami`ihi al-Sahih al-Siyam oleh al-Hamdani).

PENUTUP
Berdasarkan kepada perbahasan di atas, perbezaan pandangan antara mazhab Shafi`i dan Bukhari adalah berpunca kepada dalil yang digunakan dalam membahaskannya. Mazhab Shafi`i memakai dalil yang menunjukkan tidak sah seseorang yang tidak niat berpuasa pada waktu malam bagi puasa fardhu, manakala Imam Bukhari memakai dalil puasa `Ashura' yang merupakan puasa fardu menurut beliau. Hadith yang diriwayatkan oleh beliau menunjukkan bahawa tidak disyaratkan niat puasa fardu pada waktu malam. Walaupun bagaimana pun, khilaf yang berlaku di kalangan Imam merupakan rahmat. Kemungkinan perkara khilaf yang dibincangkan ini membawa jalan keluar bagi kes yang di mana seseorang itu terlupa niat pada waktu malam, atau pada awal Ramadan yang di mana beliau tidak niat sebulan bulan Ramadan. Maka inilah jalan penyelesaiannya. Wallahua`lam.     

No comments:

Post a Comment